Tuesday, May 18, 2010

Sejarah hitam Jahiliyah berdarah kembali

SEJARAH hitam perlakuan keji masyarakat Arab jahiliyah yang tergamak menanam anak sendiri kini berulang lagi. Walaupun perbuatan sebegitu dianggap tidak berperikemanusiaan, mereka punya alasan tersendiri ketika melakukannya. Hanya kerana malu dikurniakan zuriat perempuan, bayi yang tidak berdosa dibunuh hidup-hidup. Masyarakat Arab jahiliyah juga terkenal dengan kegemaran berperang dan bergaduh sesama sendiri. Malah dikatakan jika tiada sebab untuk berperang mereka akan mencari sebarang alasan untuk mencetuskan peperangan. Untuk tujuan itu semangat juang dan keperwiraan yang ada pada lelaki sangat diperlukan berbanding wanita.

Amalan pelik dan keji ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah al-Nahl:58-59)

Malangnya kini, setelah lebih 1400 tahun pengutusan Nabi Muhammad SAW dengan misi membenteras amalan bersifat kebinatangan dan memperelok budi pekerti manusia, masih ada yang berkelakuan keji seperti dirasuk oleh Iblis sehingga rela menanam bayi darah daging sendiri. Lebih memeranjatkan lagi, apabila ia dilakukan oleh pasangan remaja berusia 15 dan 19 tahun yang masih di bangku sekolah. Bayangkan betapa luluhnya hati ibubapa menangisi perbuatan terkutuk anak sendiri yang menjadi mangsa nafsu serakah yang tidak terkawal.

Dimanakah silapnya sehingga episod buang bayi dan penderaan kepada kanak-kanak terus menghiasi dada-dada akhbar hampir setiap minggu. Walaupun setelah berbagai kempen kesedaran dilakukan nampaknya ia belum mampu meredakan situasi gawat yang berlaku.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, gejala keruntuhan akhlak dan moral segelintir masyarakat hari ini berpunca daripada rapuhnya institusi kekeluargaan. Ditambah lagi dengan kesibukan ibubapa bekerja sehingga ada yang jarang bersemuka dengan anak sehingga mereka lebih seronok bersosial bersama rakan-rakan. Begitu pula sikap sesetengah ibubapa yang kurang mengambil tahu aktiviti anak sedikit sebanyak menambah statistik pembuangan bayi yang membimbangkan.

Ingatlah anak umpama kain putih yang perlu dicorakkan dengan tunjuk ajar, didikan asuhan berdasarkan pedoman agama supaya tidak terpesong daripada jalan yang lurus. Jika amanah ini tidak dilaksanakan oleh ibubapa kemungkinan mereka tersesat dan sukar untuk kembali ke pangkal jalan. Malah ada pula yang menyerahkan bulat-bulat urusan anak kepada pembantu rumah yang sudah tentu lebih mementingkan kerjaya daripada terlibat menjadi pengasuh dan pendidik anak majikan.

Selain itu, amalan yang dianggap biasa bagi sesetengah muda-mudi seperti saling berpegangan tangan, keluar berdating, dan bercumbu-cumbuan merupakan budaya yang dicedok daripada Barat dan tidak ada kaitan langsung dengan ajaran Islam dan adat budaya ketimuran. Walaupun kelihatan biasa ia sebenarnya perkara yang diharamkan agama kerana menjurus kepada perbuatan zina dan bersekedudukan yang juga diharamkan. Akhirnya akibat terlanjur melakukan zina yang terkutuk,tidak sanggup pula menanggung malu mengandung anak hasil persetubuhan haram, bayi tersebut dibunuh ataupun dibuang dan dibiarkan di merata tempat.

Untuk membendung krisis moral dan akhlak yang semakin meruncing ini setiap individu Muslim wajib kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup dengan melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Muda-mudi Islam juga dinasihatkan supaya sentiasa melaksanakan solat yang boleh menjadi perisai ampuh untuk menangkis serangan Iblis dan hawa nafsu sendiri yang selalu mengajak untuk melakukan kejahatan.

Kempen-kempen kesedaran berkaitan keburukan zina, pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak perlu diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah kerana boleh jadi di sana terdapat golongan sasar yang memerlukan bantuan. Begitu juga sesi ceramah dan kaunseling berkenaan keburukan pergaulan bebas, seks liar, pengkid juga boleh dipergiatkan dari semasa ke semasa.

Keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam membendung gejala negatif ini juga amat-amat diperlukan. Ia boleh bermula di rumah dengan ibubapa bertindak mendidik, menegur dan menghukum kesilapan anak jika perlu, diikuti di sekolah oleh para guru dengan penerapan nilai-nilai murni dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, begitu juga di surau dan masjid melalui sesi kuliah dan ceramah-ceramah agama. Malah ketua-ketua jabatan juga boleh memainkan peranan melaksanakan kerja amar makruf nahi mungkar, kepada staf bawahannya.

Langkah Kerajaan Negeri Johor misalnya mengadakan Program Membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di jabatan-jabatan kerajaan patut dicontohi kerana berupaya menjadi medium penyampaian dakwah yang berkesan. Ini kerana terdapat juga segelintir golongan dewasa yang kebudak-budakan sehingga masih terikut-ikut cara hidup yang melalaikan. Boleh jadi mereka terkesima dengan trend hidup untuk berseronok dan berfoya-foya lalu lupa tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Dicadangkan juga agar pihak berkuasa tempatan meletakkan papan tanda iklan mengandungi ayat-ayat al-Quran yang melarang perbuatan zina dan maksiat. Begitu pula penerangan tentang implikasi buruk akibat daripada kelahiran tanpa pengawasan pakar perbidanan yang boleh membawa maut, hukuman berat atas kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.

Papan tanda ini hendaklah diletakkan ditempat yang strategik dan kawasan tumpuan awam seperti pusat membeli-belah, pusat-pusat peranginan dan perkelahan juga di taman-taman rekreasi bagi membendung gejala tidak bermoral yang boleh merencatkan pembangunan negara. Hal ini bersesuaian dengan konsep negara maju yang menepati kehendak al-Quran iaitu negara yang aman damai dan mendapat keredaan Tuhan.

Thursday, May 13, 2010

IBU, GURU DAN POLIS ADALAH PENDIDIK MASYARAKAT

PERANAN ibu sebagai pendidik, pengasuh dan pembentuk peribadi anak semasa di rumah sudah diketahui umum. Jasa dan pengorbanannya yang tidak berbelah bahagi dalam membesarkan anak-anak seawal dalam kandungan hingga ke akhir hayat juga tidak dipertikaikan. Bak kata pepatah selagi hayat dikandung badan, ibu pasti akan berusaha dengan susah payah untuk mencukupkan segala keperluan yang dipinta.

Ramai yang berkata seorang ibu sanggup memelihara berapa ramaipun anak yang dilahirkan ke dunia tetapi belum tentu anak yang ramai sanggup untuk menjaga walau seorang ibu disaat uzur dan hampir meninggalkan dunia. Malah perbuatan segelintir anak yang hidup mewah tetapi melupakan pengorbanan dan jasa ibu dengan meminggirkannya ataupun membiarkannya hidup merempat dan melarat adalah jauh menyimpang daripada ajaran Islam.

Islam melarang sama sekali perbuatan mendurhaka kepada ibubapa walau dengan apa cara sekalipun. Kedudukan ibu terutamanya telah diangkat pada tingkatan yang mulia sehingga berkata ah’ sahajapun sudah dianggap berdosa. Malah jika diperhalusi Allah SWT sendiri telah mengajar hamba-hambaNya tatacara berbakti kepada ibubapa dengan mendoakan akan kesejahteraan dan rahmat baginya. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud;

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil”. (Surah al-Isra:23-24)

Peranan guru sebagai pendidik di sekolah juga sudah difahami. Dengan sesi persekolahan biasa yang secara relatif memakan masa 6 hingga 7 jam sehari, ditambah lagi pembelajaran di sekolah agama dan tuisyen di sebelah malam, guru memainkan peranan yang signifikan kepada pembinaan sahsiah dan peribadi murid-murid. Malah dengan perkembangan semasa di mana berlakunya gejala ponteng sekolah, pergaduhan dan lain-lain menampakkan tanggungjawab yang dipikul oleh para guru semakin besar dan sukar untuk digalas.

Ini kerana di sekolah guru adalah ibu dan bapa kepada para pelajar. Dibahunya terletak amanah untuk memberi pendidikan disamping berusaha membentuk sahsiah dan peribadi murid-murid menerusi penerapan nilai-nilai murni dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Para guru juga dipertanggungjawab untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ditambah lagi dengan usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Sehubungan dengan itu masyarakat diseru memandang tinggi kerjaya seorang guru dengan tidak mudah menuding jari menyalahkan sekolah dan guru-guru apabila sesuatu perkara berlaku. Sedarlah guru juga manusia biasa seperti ayah dan ibu yang kadang-kadang hilang kesabaran ketika mendidik anak-anak. Walaupun demikian para guru diharap tidak bertindak diluar batasan profesionalisme seorang guru ketika menjalankan tugas mengajar.

Segenap lapisan masyarakat juga diseru supaya sentiasa mengingat jasa dan pengorbanan guru yang pernah memperkenalkan mereka A, B dan C juga Alif, Ba’ dan Ta’. Tanpa guru sesiapapun tidak akan dikenali, tanpa guru tiada apapun daripada kemewahan, pangkat dan kedudukan yang dinikmati hari ini boleh dibanggakan sama sekali. Adalah menjadi tanggungjawab murid mendoakan kesejahteraan guru dan mendoakanya walaupun setelah meninggal dunia. Ibubapa dan guru juga diseru untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai kaedah pendidikan terkini bagi mendidik generasi masa kini selari dengan perkembangan pesat ICT dan cabaran globalisasi.

Anggota polis juga seperti ibu dan guru yang berperanan untuk mendidik masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan negara. Dengan peningkatan kadar jenayah yang membimbangkan, tugas menjaga keharmonian setempat tidak patut dibebankan dipundak mereka sahaja. Semua pihak perlu menggalas tugas berat ini dengan menjadi mata dan telinga melaporkan setiap perkara yang mencurigakan yang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

Jangan hanya mudah mengkritik daripada berusaha mencari jalan menyelesaikan masalah yang berlaku. Kejadian orang awam yang terkena tembakan polis tempohari hendaklah dijadikan sempadan bagi mengelak institusi kepolisian terus menjadi bahan cemuhan dan ejekan berpanjangan. Biarlah pihak yang dipertanggungjawabkan menjalankan siasatan dengan telus bagi menentukan kebenaran. Elakkan juga daripada terus berpolimik sehingga menggangu tugas dan amanah masing-masing.

Walau apapun, masyarakat disaran tidak mudah lupa kepada segala jasa dan pengorbanan anggota polis menggadai nyawa siang dan malam demi menjaga keamanan negara. Tanpa pemantauan dan rondaan yang dilakukan sesiapapun pasti tak lena dibuai mimpi dan berasa selamat untuk bergerak ke sana ke mari siang ataupun malam.

Seharipun sudah cukup membuatkan negara porak peranda jika anggota polis cawangan trafik sebagai contohnya melancarkan mogok untuk tidak membantu mengawal lalulintas terutama diwaktu puncak pergi dan balik daripada bekerja. Cuba renungkan bagaimana mereka terpaksa menghidu asap kenderaan yang merbahaya setiap hari, berpanas dan berhujan hanya semata-mata untuk melancarkan perjalanan trafik.

Dan dalam masa yang sama berapa ramaikah daripada orang awam yang melambaikan tangan tanda berterima kasih kepada anggota trafik yang bertugas, atau sebaliknya maki hamun yang dihamburkan kerana disaman atas kesalahan lalu lintas yang dilakukan sendiri.

Monday, May 10, 2010

Statistik OKB (Orang Kaya Berhutang)

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Mei 2010.

Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.

Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).

Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).

Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.

Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).

Sunday, May 9, 2010

PANDUAN MENGURUS MARAH

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 11hb. Mei 2010.

MARAH umpama suntikan ubat pelali kepada pertimbangan akal kemudian menghilangkan kewarasan berfikir. Apabila perasaan marah telah menyelubungi jiwa, pelbagai implikasi buruk yang tidak dijangka boleh berlaku. Hanya kerana isteri berbual ditelefon dengan lelaki lain, seorang suami di Kuala Lipis Pahang tergamak memijak dan menghentak kepala isterinya sehingga menyebabkan kematian. Dalam kes yang berasingan juga di Pahang, seorang suami bertindak mencederakan pasangannya dengan pisau kerana halusinasi dan marah atas dakwaan kewujudan orang ketiga.

Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan boleh diamalkan bagi mengurus marah supaya tidak melarat lalu mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemungkinan perceraian suami-isteri. Setiap individu hendaklah menyedari betapa besar keutamaan dan kelebihan seseorang menahan amarah ketika dia berkuasa untuk melampiaskannya, termasuk dikurniakan kenikmatan masuk Syurga.

Perkara ini boleh diperhatikan dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. (Surah ali-Imran: 133-134)

Perlu juga diketahui apabila perasaan marah telah dihamburkan kepada seseorang ia tidak akan berhenti setakat itu. Orang yang dimarahi pasti akan melawan dengan sumpah seranah dan kata-kata keji sambil memburuk-burukkan satu sama lain. Terdapat pula yang tidak berbuat apa-apa mungkin menyedari dirinya lemah dan tidak berkuasa, tetapi menyimpan dendam kesumat dan berusaha untuk membalas perbuatan itu dengan apa cara sekalipun diwaktu yang lain. Gara-gara itu ikatan persaudaraan akan terlerai dan kesatuan ummah atas nama ukuhwah Islamiyah juga lenyap. Malah kadang-kala boleh mengundang dosa syirik apabila khidmat bomoh yang menggunakan Iblis dan jin sebagai perantara digunakan untuk membalas dendam.

Seseorang yang bersifat panas baran juga patut merenungkan alangkah buruk wajahnya semasa marah, dengan keadaan muka merah padam, mata terbeliak dan berair, telinga seolah-olah berasap dan seluruh badan mengigil. Dalam masa yang sama bayangkan pula gambaran orang yang penyabar dengan wajah yang manis dan berseri-seri dihiasi pula senyuman menawan sehingga membuatkan rakan dan lawan suka untuk berdamping dengannya. Untuk itu kepada yang suka marah-marah, buatlah pilihan sama ada seronok menjadi pemarah atau sebaliknya jika masih memiliki pertimbangan akal yang sihat.

Kebiasaanya api kemarahan menyala dan marak dengan sebab-sebab tertentu. Ada kalanya kerana kesombongan, senda gurauan yang keterlaluan, pertengkaran dan ada juga disebabkan perlakuan curang kekasih, isteri dan sebagainya. Jadi fikirkan dengan rasional sama ada perlu marah atau sekadar memberi nasihat dan menyelesaikan masalah yang berlaku dengan berhemah.

Misalnya perbuatan sesetengah ibubapa memarahi anak dengan sepak terajang sambil mengeluarkan kata-kata kesat seperti bodoh, bebal dan lain-lain tidak patut menjadi amalan, kerana ia merupakan suatu bentuk pendidikan yang salah dan bakal mencorakkan keperibadian anak-anak di hari kemudian. Boleh jadi para ibubapa sebenarnya yang jahil kerana tidak pandai mengasuh dan mendidik terutama dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan masa kini. Perbuatan itu juga boleh menyumbang gejala anak remaja lari daripada rumah kerana tidak tahan dengan kerenah ibubapa mereka.

Dalam konteks ini sunnah Nabi Muhammad SAW sewajarnya menjadi pedoman. Baginda Nabi SAW kadang-kala marah apabila berlaku pelanggaran terhadap hak-hak Allah SWT dan syariatnya. Sebagai contoh Saidina Jabir diriwayatkan berkata “Kami telah keluar bermusafir, tiba-tiba seorang daripada kami luka terkena batu. Ketika tidur dia bermimpi keluar mani dan berhadas besar. Apabila terjaga dia bertanya akan keringanan untuk bertayammum. Lalu dijawab kamu tidak boleh bertayammum kerana kamu boleh menggunakan air. Sahabat tersebut mandi kemudian mati. Apabila sampai kepada Rasulullah SAW kami mengkhabarkan perkara yang berlaku. Rasulullah SAW bersabda “Mereka telah membunuhnya, semoga Allah SWT membunuh mereka. Kenapa tidak bertanya apabila mereka tidak mengetahui, kerana ubat kesamaran itu ialah bertanya. Memadai bagi orang itu bertayammum, membalut luka sambil menyapu diatasnya dan membasuh seluruh badannya. (Riwayat Abu Daud)

Sehubungan dengan itu, sunnah Rasulullah SAW patut dijadikan panduan dan ikutan bagi mengurus marah. Baginda Nabi SAW diriwayatkan pernah memerintahkan seseorang yang marah supaya mengucapkan al-Ta’auz iaitu “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam”.Ini kerana marah daripada syaitan dan dengan perlindungan Allah SWT sahaja seseorang mampu mengelak implikasi buruknya. Jika ia belum mampu meredakan kemarahan amalan berwuduk juga boleh dipraktikkan. Ini disebabkan marah adalah api membakar yang perlu dipadamkan dengan air. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud

“ Sesungguhnya marah daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptkan daripada api, sedangkan api perlu dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang kamu marah hendaklah dia mengambil wuduk”.

Begitu juga dianjurkan duduk jika seseorang marah dalam keadaan berdiri, atau berbaring ke tanah sambil mengingat asal dan tempat kembalinya nanti. Jika sedang bergerak disarankan berhenti dan jika sedang mengeluarkan kata-kata kesat hendaklak diusahakan diam daripada berkata-kata.

Ingatlah marah tidak mencerminkan apa-apa selain daripada keburukan dan hilangnya maruah serta kehormatan diri. Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Orang yang kuat tidak diukur berdasarkan kekuatan fizikal semata-mata tetapi orang yang kuat adalah orang yang berupaya mengendalikan nafsu ketika marah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pernyataan ini juga bukan bermakna seseorang tidak perlu marah sekalipun kehormatan, harta benda dan maruah negaranya tercalar, seperti yang dialami oleh saudara seIslam di Palestin. Dalam situasi biasa kalaupun perlu marah, sebaiknya janganlah sampai terlibat memburuk-burukkan orang lain, apatah lagi membunuh dan mencederakan orang. Mengelakkan diri daripada terlibat melakukan perkara yang lebih buruk adalah lebih baik daripada marah yang tidak berkesudahan.

Malah perbuatan saling memaafkan adalah amalan mulia yang patut dipraktikkan dengan mengambil kira tiada manusia yang sempurna.

Renungkanlah sifat Maha Pengampun Allah SWT kepada seluruh manusia, sekalipun mereka tidak mengesakanNya, tidak melakukan ibadah yang diperintahkan bahkan melakukan pelbagai maksiat dan kemungkaran. Yang mana, dosa itu jauh lebih keji daripada kealpaan dan kesilapan sesama manusia yang sayugia dimaafkan.