Tuesday, September 20, 2016

IKTIBAR BUAT PENDAKWAH


Pemergian Tuan Guru Dato Hj. Haron Din merupakan kehilangan besar buat Negara dan ummah. Pepatah harimau mati meninggalkan belang manusia mati meninggalkan nama signifikan untuk menggambarkan betapa besar peranan al-Marhum dalam usaha menyebarkan dakwah dan memberikan perkhidmatan rawatan perubatan Islam. Ketokohannya disenangi oleh kawan dan lawan.

Untuk itu para pendakwah diajak mengambil iktibar dengan mencontohi kesungguhan dan dedikasi dakwahnya hingga ke akhir hayat. Malah kesanggupannya menerima undangan dakwah dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira habuan yang bakal diterima serta jauh daripada mengejar populariti adalah ciri-ciri pendakwah sejati yang patut dicontohi.

Selain daripada itu pendakwah diajak mempelbagaikan kaedah penyampaian dakwah khususnya untuk menarik golongan muda mengamalkan syariat. Ini kerana pendekatan dakwah melalui ceramah dan kuliah di masjid masih kurang mendapat sambutan. Pendakwah perlu melakukan anjakan paradigma dengan menggunakan media sosial dan komunikasi tanpa wayar sebagai wadah untuk berdakwah.

Walau bagaimanapun pendakwah perlu terlebih dahulu mempelajari selok belok penggunaan teknologi komunikasi bagi menyebarluaskan mesej dakwah dengan efisien. Malah dalam era globalisasi masa kini kemahiran ICT penting sebagai medium dakwah yang berkesan untuk menangkis fitnah dan usaha pihak tertentu memburuk-burukkan Islam dan umatnya. Melalui kaedah ini juga sebaran dakwah dapat diperluaskan kepada golongan berkerjaya yang kemungkinan sibuk dengan tugasan seharian. Penggunaan aplikasi wassup sebagai contohnya eloklah dimanfaatkan dengan semaksima mungkin oleh pendakwah sekali gus mengimbangi lambakan mesej-mesej palsu, laghah dan tidak bermanfaat.

Selain itu pendakwah perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan yang luas dalam bidang agama. Atau setidak-tidaknya pendakwah menguasai Bahasa Arab sebagai ilmu alat untuk mentelaah sumber rujukan yang autentik lagi dipercayai. Kemahiran merujuk kepada karya asal dalam sesuatu disiplin ilmu tentunya memberi keyakinan ketika menyampaikan dakwah berbanding hanya merujuk kepada sumber sekunder dan tertiar sahaja.

Dalam masa yang sama pendakwah perlu sentiasa berusaha menjadi teladan kepada masyarakat. Ini direalisasikan dengan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Allah SWT berfirman maksudnya; “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? , (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. (Terjemahan Surah al-Saf ayat 2-3).

Masyarakat pula diharap tidak mudah menggelar individu tertentu sebagai ustaz dan ustazah asal boleh bercakap sedikit sebanyak tentang agama sebelum menyelidiki latar belakang pendidikannya. Ini bagi mengelak golongan pendakwah yang ikhlas dan mahir dalam selok belok agama ditimpa musibah dan fitnah akibat kesilapan masyarakat menilai antara batu dan permata. Lebih-lebih lagi dalam konteks masa kini terdapat pihak tertentu yang giat menyebarkan ajaran sesat yang menyimpang dan mempunyai pengikut yang ramai tetapi terpedaya dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Ilahi. Sehubungan dengan itu masyarakat diajak mendalami ilmu dan pengetahuan agama daripada guru-guru yang berwibawa dan boleh dipercayai. Dalam hal ini, tindakan pihak berkuasa agama Negeri mensyaratkan pendakwah mendapat tauliah mengajar agama dilihat mampu mengekang penyebaran ajaran sesat yang mengelirukan orang ramai.

Dalam masa yang sama masyarakat perlu menyedari betapa golongan pendakwah tidak maksum. Pendakwah hanya mewarisi tugas anbia’ untuk berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran. Sebagai manusia biasa pasti ada kekurangan dan kelemahan di sana sini. Seyogianya kekurangan dan kelemahan manusiawi itu tidak dijadikan alasan untuk mengelak daripada selalu mendengar kuliah mahupun menghadiri program-program keagamaan. 

Realitinya golongan pendakwah yang arif dalam pelbagai disiplin ilmu dan menepati ciri-ciri pendakwah tersohor zaman silam semakin sukar ditemui. Malahan dalam era moden masa kini pendakwah yang berjubah, berketayap dan berserban kemungkinan akan menyempitkan ruanglingkup dakwah. Akan tetapi pendakwah yang berkot dan bertali leher dan dalam masa yang sama mengekalkan keperibadian pendakwah terdahulu lebih mudah diterima di mana-mana. Untuk itu, golongan pendakwah dan masayarakat perlu bersikap terbuka seiring dengan perubahan zaman. Masyarakat diajak tidak menilai pendakwah berdasarkan pakaian dan gaya tertentu. Yang lebih penting ialah bagaimana pendakwah komited menyampaikan ilmu dan dakwah kepada segenap lapisan masyarakat agar masyarakat terdidik mengamalkan ajaran agama yang bertepatan dengan manhaj ahli sunah wal jemaah yang hakiki.

Selain itu golongan yang terlibat berdakwah perlu sedar betapa lapangan dakwah luas dan mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Usah hanya melihat dakwah dalam konteks yang sempit sehingga terdapat yang seolah-olah membuang dunia atas alasan ingin berdakwah. Seseorang pekerja misalnya boleh berdakwah dengan bekerja bersungguh-sungguh, ikhlas dan tidak curi tulang. Mereka boleh juga berdakwah kepada rakan sekerja yang lain supaya tidak meninggalkan solat, berpakaian menutup aurat serta menjaga adab dan pergaulan. Para pendidik berdakwah kepada para pelajar dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran hingga dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Lebih umum masyarakat seluruhnya boleh berdakwah dengan mengamalkan cara hidup Islam yang syumul, menunjukkan nilai peribadi akhlak yang luhur dan berdakwah melalui cara berpakaian, cara makan dan sebagainya yang menepati kehendak syarak. 

Perlu juga diingat tugas dakwah tidak sewajarnya dibebankan kepada golongan ustaz dan ustazah semata-mata, tetapi semua pihak boleh memainkan peranan berdakwah mengikut kemampuan masing-masing. Ini seperti tugas amar makruf dan nahi munkar yang selayaknya dilakukan oleh semua. Walau bagaimanapun dalam konteks berdakwah dengan ajaran dan hukum hakam agama perlu diserahkan kepada golongan yang berkelayakan agar tidak bercanggah dengan syariat yang ditetapkan.