Saturday, May 21, 2016

AZAM BAHARU MENJELANG RAMADAN


Kemeriahan Pesta Bola Sepak Euro 2016 yang bakal tiba semakin terasa. Kemungkinan ramai yang mula berkira-kira untuk berjaga malam bagi menyaksikan aksi pasukan pilihan mereka. Namun sedar ataupun tidak Ramadan bulan yang penuh keberkatan juga kunjung tiba. Soalnya berapa ramai yang membuat persiapan bagi menemui bulan istimewa tersebut. Atau mungkin ramai yang lebih teruja membuat persiapan hari raya berbanding persiapan menyambut Ramadan yang kini diambang mata. Oleh itu kaum Muslimin diajak berazam untuk memenuhi Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah bagi meraih ganjaran takwa dan hanya datang setahun sekali. Allah SWT berfirman maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah:183).

Semua ini dapat direalisasikan dengan mula memasang niat untuk berpuasa bersungguh-sungguh selain berusaha mempertingkatkan ibadah dan amalan kebajikan yang lain. Malah niat yang ikhlas kerana Allah SWT juga berupaya menjadi motivasi untuk para Muslimin berjihad menahan lapar dan dahaga di siang hari serta qiamullail di waktu malam. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Barang siapa berpuasa di Bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Hadis riwayat Bukhariy dan Muslim).

Masyarakat Islam seterusnya diajak berazam untuk mempertingkatkan kualiti puasa daripada puasa awam kepada puasa khusus dengan menjaga seluruh pancaindera daripada gejala-gejala maksiat yang boleh mengurangkan pahala puasa. Berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa. Lebih dari itu bagi meraih ganjaran puasa tingkatan tinggi mukminin hendaklah sentiasa menundukkan pandangan, mengelak daripada mengumpat dan mengeji serta mendengar sesuatu yang dilarang. Apatah lagi nilai dan ganjaran yang diperoleh seseorang daripada puasa berbeza-beza mengikut tahap keimanan dan penjagaan terhadap pantang larangnya selain hanya Allah SWT yang berkuasa mutlak memberi ganjaran kepada puasa yang telah dilakukan hambanya.

Berazamlah untuk memenuhi Ramadan dengan meningkatkan kualiti ibadah wajib seperti solat supaya beroleh ganjaran 70 kali ganda lebih daripada bulan-bulan yang lain. Kewajipan lain seperti menutup aurat juga tidak patut diabaikan. Apalah erti seseorang berpuasa jika hanya mengelak daripada makan dan minum tetapi tidak solat dan tidak menutup aurat. Perbanyakan juga melakukan ibadah sunat yang dilipatgandakan pahalanya seperti melakukan ibadah wajib. Antaranya dengan solat berjemaah setiap waktu, beriktikaf di masjid memperbanyak bersedekah dan membantu golongan memerlukan.

Berazamlah dari hari ini untuk solat tarawih setiap malam mudah-mudahan terpilih mendapat nikmat beribadah di malam al-Qadar yang dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Jika sepanjang tahun tidak sempat mengaji al-Quran apatah lagi mengkhatamkannya ketibaan Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk berbuat demikian. Justeru berazamlah untuk memenuhi waktu terluang ketika rehat tengah hari ataupun menunggu masa berbuka puasa dan selepas bersahur untuk mengaji dan mentadabbur ayat al-Quran. Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai sehingga waktu yang ada berlalu pergi dengan sia-sia.

Ramadan juga bulan diturunkan rahmat, bulan pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dengan waktu yang terhad di Bulan Ramadan ditambah lagi dengan sekian banyak amal kebajikan untuk dilakukan kemungkinan tidak semua dapat dilakukan. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana seseorang hamba berusaha melakukan ibadah dengan kadar yang paling sempurna tanpa menghitung dan berkira-kira sambil berharap Allah SWT menerimanya sebagai amalan kebajikan yang sempurna. Banyakkan juga berdoa kerana Ramadan bulan perkenan doa. Pastinya banyak hajat-hajat dunia mahupun akhirat yang didambakan oleh setiap Muslimin maka kesempatan Ramadan terbuka luas untuk memohon, bermunajat dan berharap kurnia Syurga yang tiada tolok bandingnya.

Selain daripada itu masyarakat Islam diajak membuat persiapan fizikal, mental dan kewangan untuk bertemu Ramadan. Ini dilakukan dengan berusaha menjaga kesihatan diri sambil banyak berdoa moga Allah SWT panjangkan umur untuk bertemu Ramadan lagi. Malah nikmat sihat dan nikmat masa lapang termasuk dua perkara yang sering dilekakan oleh manusia sehingga ada yang gagal memanfaatkannya dengan berkesan.

Persiapan mental dan keimanan yang tinggi juga penting untuk mengharungi Ramadan. Bukan calang-calang orang sanggup berpuasa apatah lagi dalam keadaan berpanas, kehausan dan keletihan melakukan pekerjaan seharian. Hanya individu yang kukuh iman dan benar-benar ikhlas berpuasa kerana Allah SWT mampu berjihad bersungguh-sungguh melawan keinginan hawa nafsu. Lebih membimbangkan apabila terdapat individu Muslim yang sengaja enggan berpuasa dan tanpa segan silu makan di khalayak ramai.

Dalam hal ini golongan peniaga secara khususnya diharap tidak terpalit dengan dosa apabila terlibat mempermudah golongan culas berpuasa untuk makan dan minum sesuka hati. Peniaga bazar Ramadan sebagai contohnya diharap tidak terlalu awal memulakan perniagaan malah jangan ada peniaga makanan yang berselindung di sebalik pintu premis yang tertutup tetapi di dalamnya ramai yang makan dan minum tanpa sekelumit rasa bersalah. Ingatlah betapa Ramadan bulan penuh kemuliaan jadi jangan rosakkannya dengan melakukan perkara mungkar yang dilarang. Apalah ertinya berpuasa dan dalam masa yang sama terlibat pula mempermudah orang lain tidak berpuasa. Dalam hal ini penulis mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan peraturan supaya peniaga bazar Ramadan hanya boleh memulakan perniagaan selepas waktu Asar bagi mengekang gejala ingkar berpuasa. Dengan cara ini golongan peniaga tidak terlalu awal menyediakan juadah untuk dijual sehingga makanan yang dijual masih elok, tidak basi yang kemungkinan menyebabkan sakit perut dan cirit-birit pula. Pihak berkuasa agama juga diharap membuat pemantauan rapi menguatkuasakan undang-undang dan hukuman kepada peniaga yang hanya mementingkan keuntungan dan lupa tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559 misalnya memperuntukkan “Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-(a) menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau (b)secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.

Bagi merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki, sebahagian gaji dan pendapatan bulanan boleh diperuntukkan untuk infak ke jalan Allah SWT. Bersedekah, memberi makan orang berbuka puasa dan membantu golongan memerlukan termasuk amalan yang dituntut dan besar pahalanya khusus di Bulan Ramadan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang memberi makan berbuka puasa baginya pahala seperti pahala golongan yang berpuasa tanpa berkurangan sedikit pun daripada apa yang diperoleh mereka. (Riwayat Ibnu Majah). Dalam hal ini banyak madrasah, sekolah tahfiz, rumah anak yatim, rumah kebajikan dan pihak universiti di seluruh negara memerlukan sumbangan kewangan untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur. Justeru peluang terbuka luas untuk para dermawan meraih ganjaran berlipat kali ganda sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki yang diberikan.    

Ambillah juga kesempatan sempena musim cuti persekolahan menjelang Ramadan tahun ini untuk mengemas rumah, menghias kediaman dan menggantikan langsir baharu sebagai persiapan bertemu Ramadan. Tunjukkan kepada anak-anak betapa kegembiraan bertemu Ramadan lebih bermakna berbanding ketibaan hari raya yang tak ubah seperti hari-hari biasa. Di malam-malam Ramadan umat Islam diajak menghidupkan lampu-lampu hiasan di rumah dan premis sebagai tanda bersyukur atas nikmat terpilih bertemu Ramadan sekali gus bergembira dan berlapang dada melaksanakan kewajipan berpuasa.

Sehubungan dengan itu bonus tahunan Ramadan sebagai ganjaran untuk semua Muslimin perlu direbut sebelum ia sekali lagi pergi dan kemungkinan tidak kembali lagi. Ini dapat diusahakan dengan membuat persiapan awal menjelang tibanya Ramadan dan berazam bersungguh-sungguh untuk memenuhi Ramadan kali ini dengan segala macam ibadah. Jika ini tidak berjaya dilakukan kemungkinan seseorang yang terpilih bertemu Ramadan sekali lagi terlepas kesempatan seumur hidup untuk beribadah sekali gus mengumpul ganjaran berlipat kali ganda yang tiada pada bulan-bulan lain.

Monday, May 2, 2016

IKTIBAR DARI ISRAK & MIKRAJ

Peristiwa agung perjalanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW merupakan peristiwa luar biasa yang mencarik adat kebiasaan manusia. Ia jauh daripada keupayaan akal untuk memikirkan bagaimana Nabi Muhammad SAW berkelana dalam satu malam dengan ruh dan jasad daripada Masjidilharam di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin seterusnya di bawa naik menembusi tujuh petala langit dan menghadap Allah SWT Yang Maha Esa.

Namun bagi hamba Mukminin peristiwa ini merupakan peristiwa imaniyyah yang menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah SWT kepada seluruh makhluknya yang berkuasa mutlak mengatur perjalanan menakjubkan itu. Dengan itu manusia perlu beriman dan meyakini kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Penguasa sekalian alam. Setiap hamba perlu sentiasa berusaha untuk membuktikan keimanan dan ketaatan melalui amal ibadah yang ikhlas dilakukan kerana Nya. Kelalaian berbuat demikian tidak mengurangkan sedikit pun daripada keagungan dan kekuasaan Allah SWT sebaliknya golongan yang ingkar bakal menerima balasan buruk dan seksaan yang amat pedih akibat kelakuan sendiri.

Justeru itu masyarakat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah untuk mengerjakan solat lima waktu yang juga difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Kepentingannya diperjelaskan lagi dengan kewajipan solat yang difardukan secara langsung ketika Nabi SAW menghadap Allah SWT Rab al-Jalil. Malah dalam perjalanan tersebut Nabi SAW ditunjukkan dengan perbuatan malaikat yang rukuk, sujud dan melakukan pergerakan solat yang lain kemudian dihimpunkan semuanya menjadi ibadah solat yang difardukan kepada kaum Muslimin. Perkara ini penting untuk diperhatikan kerana akhir-akhir ini terdapat masyarakat Islam yang langsung tidak mengendahkan solat apatah lagi solat Jumaat yang merupakan ibadah mingguan. Boleh jadi dengan sebab itu hilang keberkatan umur, keberkatan rezeki, perniagaan tidak menjadi malah keluarga porak peranda dan anak-anak liar tanpa pedoman.

Selain itu, peristiwa Nabi Muhammad SAW menjadi imam kepada para anbia dan pertemuan dengan Nabi-nabi terdahulu sebagaimana disebutkan dalam hadis Israk dan Mikraj menunjukkan Nabi SAW adalah penghulu segala Nabi. Ajaran yang dibawa olehnya adalah kesinambungan daripada ajaran samawiy terdahulu yang tidak bercanggah satu sama lain dan semuanya mengajak manusia mentauhidkan Allah SWT. Pengutusannya sebagai Nabi terakhir mengingatkan manusia tentang peristiwa Hari Kiamat yang menghancurkan seluruh alam sekali gus merupakan seruan untuk sentiasa memuhasabah diri dan menyediakan bekalan secukupnya.

Beberapa bentuk seksaan diperlihatkan kepada Nabi SAW elok dijadikan iktibar dan pengajaran terutama ketika memperingati detik bersejarah Israk dan Mikraj. Antaranya disebutkan oleh al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair, Sayyidina Ali meriwayatkan hadis Nabi SAW tentang kaum wanita yang diazab dengan beberapa bentuk seksaan. Ada yang digantung dengan rambut sehingga menggelegak otaknya kerana tidak menutup rambut di hadapan lelaki, ada yang digantung dengan lidahnya dan dituangkan air yang panas meluap-luap ke kerongkong akibat menyakiti suami, ada yang ditarik kaki ke payu dara dan tangan ditarik ke kepala selain disengat oleh ular dan kala jengking kerana tidak membersihkan diri daripada janabah dan haid sehingga meremehkan solat, ada yang digantung dengan payu dara kerana menduakan suami, ada yang kelihatan kepalanya kepala babi dan badannya badan keldai seraya diseksa dengan pelbagai azab yang lain kerana melaga-lagakan sesama manusia dan pendusta dan terdapat wanita seperti anjing, api dimasukkan ke dalam badan dan keluar melalui duburnya seraya malaikat memukul kepalanya dengan cambuk daripada api kerana sering mengungkit-ungkit kebaikan dan bersifat hasad dengki.

Sehubungan dengan itu kaum wanita diajak supaya sentiasa menjaga penampilan diri dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Usah terikut-ikut dengan fesyen masa kini yang tidak bertepatan dengan syariat sehingga menjatuhkan maruah diri serta terdedah kepada kutukan Ilahi. Pakaian yang jarang, ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan adalah dilarang oleh syariat. Kaum wanita yang bersuami juga hendaklah sentiasa menjaga kehormatan suami dan rumah tangga dengan membatasi pergaulan terutama ketika di luar rumah dan tempat kerja. Dalam hal ini suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak sentiasa menutup aurat dan mematuhi kewajipan agama.

Selain itu Nabi Muhammad SAW ditunjukkan dengan seksaan lain seperti golongan yang bertindak memukul kepalanya sendiri sehingga pecah berulang-ulang kali sebagai balasan buruk mengabaikan dan meremehkan solat lima waktu. Ada pula yang hanya menutup kemaluan sahaja, memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan ingkar mengeluarkan zakat yang difardukan.

Golongan yang memakan riba dan membenarkan pelaksanaannya juga terdedah kepada balasan seksa seperti golongan yang perutnya terlalu besar setiap kali ingin berdiri terjatuh dan tidak berupaya berdiri semula. Nabi SAW diperlihatkan dengan sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir sendiri berulang-ulang kali sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah, menyampaikan berita-berita palsu dan pesanan buat orang yang mengajak kepada ketaatan tetapi dia sendiri tidak melakukannya. Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar dan sombong ibarat sebuah lubang kecil yang keluar daripadanya lembu yang besar kemudian ingin memasukinya semula tetapi berjaya. Ini seperti pepatah Melayu yang menyebutkan terlajak perahu boleh di undur terlajak kata badan binasa.

Bersempena memperingati peristiwa agung perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit masyarakat Islam diseru untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam setiap lapangan kehidupan. Usah terlalu disibukkan dengan perniagaan mahupun tugasan di pejabat sehingga lupa untuk menyiapkan bekalan di hari kemudian. Lebih memburukkan apabila terdapat pelaku dosa dan maksiat yang seronok bergelumang dengan dosa seolah-olah tiada apa yang akan berlaku kepada mereka. Sedarlah betapa kematian pasti akan kunjung tiba, tanpa disangka-sangka dan semua yang diusahakan di dunia akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Pada ketika itu hanya amalan baik yang dibawa sedangkan golongan yang lalai terpinga-pinga dan berharap supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal.