Wednesday, August 25, 2010

PERISTIWA AGUNG 17 RAMADAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia pada 28/8/2010 dengan tajuk Memupuk Kekuatan Akidah

SEKOLAH Ramadan telahpun memasuki fasa yang kedua. Keghairan segelintir umat Islam yang bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau di awal Ramadan sudah mula berkurangan. Di satu sudut yang lain kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadan bagi mencari juadah berbuka dan tidak kurang juga ramai yang mula mengunjungi pusat membeli-belah bagi membuat persiapan menjelang hari lebaran. Ia sekaligus menjanjikan pulangan laba yang lumayan buat para peniaga namun jangan dilupa tanggungjawab agama dan sosial terhadap sesama manusia.

Apapun dalam kesibukan membuat pelbagai persiapan segala perintah dan larangan agama jangan dilalaikan. Untuk sampai kepada matlamat itu umat Islam diseru agar sentiasa memperkayakan diri dengan segala ilmu dan pengetahuan agar tidak terpesong daripada laluan yang sebenar. Malah suruhan ini adalah antara intipati wahyu pertama daripada Surah al-Alaq yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW pada malam 17 Ramadan.

Kemudian daripada itu peristiwa agung Nuzul al-Quran terus disambut oleh seluruh warga Islam di mana-mana sahaja setiap kali tibanya tarikh 17 Ramadan. Namun sepatutnya ia tidak sekadar disambut dengan sesi ceramah dan tazkirah begitu sahaja. Jauh daripada itu al-Quran perlu dibaca, difahami dan dihayati sebagai petunjuk sepanjang jalan. Ini kerana al-Quran sarat dengan pelbagai panduan hidup di dunia dan akhirat yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim.

Sehubungan dengan itu kebiasaan sesetengah masyarakat yang seronok mengadakan majlis khatam al-Quran di akhir Ramadan mahupun sebelum melangsungkan sesuatu pernikahan perlu diperelokkan lagi dengan berusaha membaca keseluruhan ayat al-Quran hingga tamat dan bukan sekadar khatam “juz amma” sahaja. Begitu pula amalan songsang membungkus al-Quran dalam kain kuning kemudian meletakkannya di atas pintu rumah dengan kepercayaan mampu mengusir syaitan adalah perbuatan khurafat yang perlu dibenteras bagi mengelak dosa syirik yang tidak diampunkan.

Masyarakat Islam juga disaran mencontohi Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berakhlak dengan akhlak al-Quran. Lebih-lebih lagi dalam situasi cemas kerosakan akhlak ummah yang tidak bertepi dewasa ini. Gejala ketirisan akhlak ini boleh diperhatikan kepada segelintir individu Muslim yang tanpa segan-silu makan dikhayalak ramai di siang hari bulan Ramadan. Ada pula yang berbangga dan seronok bercerita tentang segala dosa dan maksiat yang dilakukan termasuk jika tidak berpuasa.

Seluruh masyarakat juga sudah muak dengan sajian muka depan akhbar yang sering memaparkan tindakan nekad membuang bayi kerana malu dengan perbuatan zina yang awalnya seronok dilakukan. Malahan berbagai kempen kesedaran juga nampaknya belum berupaya menyedarkan mereka. Disinilah wujudnya keperluan mengapa masyarakat Islam perlu kembali berpegang dengan al-Quran dan al-sunnah sebagai satu-satunya mukijzat Nabi SAW yang dapat ditatang hingga ke saat ini.

Perkara ini juga sangat bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Aku tinggalkan bagi kamu 2 perkara jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku”.

Bertepatan dengan tarikh 17 Ramadan juga berlaku satu lagi peristiwa agung yang sering menjadi bualan masyarakat Islam. Peristiwa Perang Badar yang berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah merupakan detik bersejarah kemenangan tentera Islam yang sedikit pimpinan Nabi Muhammad SAW bertemu kaum Musyrikin Mekah pimpinan Abu Jahal yang jauh lebih ramai bilangannya. Peristiwa ini menunjukkan betapa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Ia juga jelas memaparkan bagaimana akidah dan keimanan yang teguh merupakan senjata ampuh yang sukar ditewaskan.

Sehubungan dengan itu kekuatan akidah perlu dipupuk dan dibaja dengan sentiasa memperkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Tuhan. Ini kerana kesatuan ummah atas dasar akidah yang satu sahaja mampu menyelamatkan manusia dan berupaya pula menangani pelbagai cabaran mendatang. Mungkin impak daripada ketiadaan satu ummah satu akidah itulah yang menyebabkan Maqam Nabi Ibrahim AS, Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS yang terletak dalam kawasan suci Masjid Ibrahim di Hebron, Palestin tidak dapat diziarahi oleh umat Islam kerana turut terjajah hingga ke hari ini.

Perkembangan terbaharu politik tanahair juga wajar dijadikan sempadan bagi memelihara kelangsungan dan survival umat Melayu Islam di Malaysia. Jika ada pihak yang sanggup mengenepikan idealisme kepartian dalam memperjuangkan nasib bangsa sendiri, mengapa tidak umat Islam yang memiliki akidah tauhid yang sama bersatu demi agama, bangsa dan tanahairnya.

Peristiwa Perang Badar juga mengajar umat Islam betapa bilangan yang ramai belum menjanjikan apa-apa jika tidak disertai dengan perancangan yang sistematik dan tersusun. Malah jika umat Islam terus berbangga dengan kuantiti berbanding kualiti Islam akan terus dihina dan umatnya akan terus melarat di alam buana ini. Jika umat Islam terus mendabik dada berbangga dengan kegemilangan masa lalu tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketamadunan itu juga kemungkinan Islam akan terus dilabel sebagai pengganas dan pencetus kerosakan kepada dunia.

Walau apapun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadan ini tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya sebagai manusia biasa kita sering terdedah kepada melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang untuk diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari rahmat dan kasih sayang Allah SWT disamping terus melakukan pelbagai bentuk ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Bertakwalah kepada Allah SWT walau di mana sahaja, ikutilah kejahatan dengan melakukan kebaikan nescaya ia (kebaikan) dapat menghapuskannya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang mulia”.(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Wednesday, August 18, 2010

Realisasikan semangat kebersamaan Ramadan

Sekolah Ramadan telah mula memasuki fasa yang kedua. Keghairahan segelintir umat Islam yang bersesak-sesak memenuhi masjid dan surau-surau di awal Ramadan sudah mula berkurangan. Di satu sudut yang lain kelihatan umat Islam berpusu-pusu ke tapak Bazar Ramadan bagi mencari juadah berbuka sekaligus memberi laba yang lumayan kepada komuniti peniaga.

Apapun ganjaran pengampunan dosa yang disediakan oleh Allah SWT di bahagian kedua daripada Ramadan ini tidak sewajarnya dipersiakan. Ironinya sebagai manusia biasa kita sering terdedah kepada melakukan gejala dosa dan maksiat yang terlarang. Maka peluang diampunkan dosa terbuka luas bagi sesiapa yang menyedari hakikat tersebut disamping terus melakukan pelbagai bentuk ketaatan yang dapat menghapuskan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Bertakwalah kepada Allah SWT walau di mana sahaja, ikutilah kejahatan dengan melakukan kebaikan nescaya ia (kebaikan) dapat menghapuskannya dan berinteraksilah sesama manusia dengan akhlak yang mulia”.Hadis riwayat Imam Ahmad)

Apatah lagi jika segala amalan kebajikan itu dilakukan secara berjamaah. Malah secara praktikalnya itulah antara intipati yang tersirat disebalik daripada pensyariatan berpuasa di mulia ini. Lihat sahaja ketika berbuka puasa ramai yang berusaha sedaya upaya untuk dapat bersama keluarga walau dalam kesibukan menjalankan aktiviti harian. Keseronokan itu semakin bertambah jika dapat bersama kedua ibubapa dan adik-beradik berkumpul dan berbuka dikampung halaman masing-masing.

Dalam konteks pelaksanaan ibadat pula suruhan supaya salat Isyak secara berjamaah sebelum melakukan solat tarawih juga menggambarkan betapa Islam sangat menitikberatkan amal jamai’e dalam kehidupan seharian bagi memperkasa kekuatan ummah sejagat. Perkara ini dapat direnungkan dalam firman-Nya yang bermaksud “Kekuasaan Allah SWT berada di tangan mereka” (Surah al-Fath:10), yakni dengan pengawasan Allah SWT kepada mereka. Malah terdapat dikalangan ahli tafsir yang mentakwilkan ayat tersebut kepada maksud pahala yang diberikan oleh Allah SWT melampaui kebaikan yang dilakukan oleh manusia.

Sehubungan dengan itu nilai kebersamaan dan kesatuan itu sewajarnya direalisasikan dalam mengatur dan memelihara hubungan sesama umat Islam. Jika tidak seluruh umat pasti menanggung derita yang tidak berkesudahan. Perkembangan terbaharu di tanahair misalnya menunjukkan ada pihak yang sanggup mengenepikan parti dalam usaha memperjuangkan nasib bangsa sendiri, malangnya umat Islam agak ketinggalan sehingga kini masih meraba-raba mencari formula terbaik untuk menyatupadukan umat Islam Melayu ditanahairnya sendiri.

Ambillah iktibar daripada persengketaan berpanjangan antara Pergerakan al-Fatah dan Hamas di Palestin dalam memperjuangkan kemerdekaan negara daripada kependudukan haram Yahudi. Ternyata sehingga kini belum nampak tanda-tanda perdamaian dan kesatuan antara mereka sehingga rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa malah penempatan haram Yahudi terus dibina yang akhirnya mungkin menyebabkan negara Islam Palestin hilang daripada lakaran peta dunia.

Seluruh masyarakat juga diseru bersatu dan bersama menangani jenayah buang bayi yang kelihatan menjadi musuh nombor satu negara yang perlu diperangi habis-habisan. Ini kerana berbagai kempen kesedaran belum cukup menyedarkan mereka. Berbakul-bakul kata nista dihamburkan kepada manusia keji ini juga tak ubah seperti puisi indah yang didendangkan kepada mereka. Justeru langkah kerajaan memperketatkan undang-undang sehingga ketahap hukuman gantung mandatori diharap berjaya menginsafkan mana-mana makhluk Tuhan yang bercadang untuk membuang bayi yang bakal dilahirkan.

Lebih elok lagi jika segala punca-punca kepada berleluasanya perbuatan zina yang terkutuk dapat dikenalpasti lalu apa sahaja jalan yang menjurus kepadanya boleh dijauhi dan dihindari oleh semua peringkat masyarakat. Penulis juga mencadangkan agar istilah anak haram atau anak luar nikah diperkenalkan semula dalam usaha menyedarkan masyarakat bahawa perbuatan tersebut diharamkan oleh syariat.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu bunuh anak kamu kerana takutkan kemiskinan kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. Dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.(Surah al-Isra’:31-32).

Jika larangan membunuh anak merupakan satu dosa besar walaupun merasa khuatir tidak dapat membesarkan mereka kerana belenggu kemiskinan apatah lagi jika pembunuhan bayi dilakukan atas alasan menutup malu dosa zina yang sengaja dilakukan . Malah jika direnung kepada ayat tersebut semacam ada signifikasi yang erat antara zina dan pembunuhan yang keduanya merupakan dosa besar.

Jauh di negara Pakistan yang merupakan negara yang mempunyai penduduk beragama Islam ke-2 teramai di dunia selepas Indonesia sedang menderita musibah banjir besar ujian Tuhan. Berdasarkan laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Ogos 2010 sejumlah 1600 orang terkorban dalam banjir tersebut. Begitu juga rumah-rumah dan banyak harta benda rosak tak ubah seperti detik hitam tsunami Acheh 2004 yang lalu berulang kembali. Namun sehingga kini belum didengar lagi kempen kutipan derma besar-besaran bagi membantu saudara Islam di Pakistan sama ada melalui NGO mahupun media massa tempatan. Kemungkinan misi kemanusiaan ke Pakistan seperti Life Line For Pakistan boleh digerakkan bagi mengutip derma daripada rakyat Malaysia bagi membantu sesama insan yang ditimpa musibah.

Sehubungan dengan itu umat Islam diseru bersama bersatu mengharungi segala cabaran ummah yang mendatang. Sebarang perselisihan dan ketidaksefahaman yang timbul perlu diselesaikan segera bagi mengelak implikasi yang lebih buruk menimpa. Bak kata pepatah bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Hayatilah semangat kebersamaan Ramadan demi mempastikan survival umat Islam akan terus gemilang di tanah tumpah darahnya sendiri.

Monday, August 16, 2010

Ramadan Bulan Kemerdekaan

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos 2010

TANPA disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umat Islam. Apatah lagi bagi yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar akan keistimewaan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan berlaku sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar yang dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh iaitu Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sayugianya peluang sebegini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat kebajikan semaksima yang termampu. Sementelah lagi perjuangan manusia kini hanya terhad kepada musuh nafsu dan kehendak diri semata-mata. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadan dunia penuh pancaroba boleh berjaya diharungi dengan pedoman wahyu ilahi.

Di dalam bulan ini juga umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela individu lain.

Kepada yang merokok pula bulan Ramadan adalah bulan yang boleh dijadikan landasan untuk berhenti merokok. Inilah kesempatan ditentukan bagi umat Islam memerdekakan diri dari kongkongan asap rokok. Terimalah hakikat rokok lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat kalaupun ada. Malah dengan segala penyakit dan implikasi buruk akibat rokok seharusnya setiap individu Muslim yang terlibat berusaha meloloskan diri daripada belenggu ketagihan rokok. Janganlah terpedaya menegakkan benang yang basah lalu terlibat menggadaikan kesihatan diri yang perlu digunakan untuk memperhambakan diri kepada ilahi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Baqarah; 195)

Bulan Ramadan juga adalah bulan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT dengan mengeluarkan zakat fitrah dan bersedekah. Umat Islam yang berkemampuan diwajibkan membayar zakat fitrah dengan nilai secupak makanan asasi untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungannya. Oleh itu para Muslimin diseru untuk bersegera menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan. Malahan dengan kaedah ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan sempena Ramadan dan sambutan hari raya sahaja.

Bagi yang terkesima melakukan dosa pula Allah SWT menjanjikan pembebasan daripada bakaran api neraka di bulan mulia ini. Terutama pada bahagian terakhir daripada Ramadan. Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW bersabda memperihalkan Ramadan “Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka”. Justeru itu lipatgandakanlah amalan demi untuk kebahagiaan hidup di hari tiada bantuan dan pertolongan selain dari-Nya.

Apatah lagi tiada siapa yang sanggup menanggung derita kembali ke alam baqa’dengan bekalan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya amalan-amalan yang saleh mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu Ramadan adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Seolah-olah Ramadan dan doa tidak dapat dipisahkan. Ini dapat diperhatikan kepada maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang berkaitan doa, dinyatakan setelah firmanNya yang memperihalkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.( Surah al-Baqarah ayat 186).

Sehubungan dengan umat Islam diseru memperbanyakkan doa bagi mengelakkan pergantungan kepada sesama makhluk dan berharap hanya kepada-Nya apabila berhadapan dengan sebarang permasalahan.

Malah bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 yang jatuhnya dalam bulan Ramadan ini setiap warga 1 Malaysia terutama yang beragama Islam patut merenung dan menilai akan tingginya nilai kebebasan sesebuah negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Sedarilah tanpa nikmat kemerdekaan itu peluang untuk solat tarawih dan qiamullail di masjid dengan sebebasnya mungkin tidak akan dapat dirasai jika tanahair masih dijajah. Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan negara yang diwarisi daripada titisan darah perwira terdahulu dengan mengelak daripada dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan seperti membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa.

Wednesday, August 4, 2010

PERSIAPAN MENYAMBUT RAMADAN

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia 10hb Ogos 2010 dengan tajuk "Bermuhasabah sambut ketibaan Ramadan"



KEMERIAHAN bulan Ramadan sudah mula terasa. Di sana-sini kelihatan pelbagai jenis kurma di jual untuk dinikmati sebagai appetizer sunnah ketika berbuka. AJK masjid dan surau juga sibuk meuar-uarkan kutipan derma bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan bubur lambuk yang sinonim dengan budaya masyarakat Islam di Malaysia sepanjang Ramadan. Malah Syurga juga turut di hias bagi menyambut ketibaan hamba-Nya yang sanggup berjuang menahan nafsu di waktu siang dan melakukan pelbagai ibadah di kala malam.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim seharusnya membuat persiapan rapi bagi meraih kejayaan hakiki beroleh keampunan Ilahi di bulan mubarak yang menjelang tiba ini. Peluang keemasan yang tiba itu tidak patut dipersiakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda termasuklah peluang beribadah pada malam lailatul qadar yang menyamai pahala 1000 bulan.

Oleh yang demikian segala persiapan termasuk ruhani dan jasmani perlu dilengkapkan. Persiapan ruhani diperlukan bagi mengikhlaskan niat melaksanakan ibadah puasa demi mendambakan keampunan daripada-Nya. Manakala persediaan jasmani diiperlukan bagi menjalani proses pentarbiyahan ilahi yang beraneka ragam sepanjang Ramadan. Malah persiapan mental juga penting bagi mengharungi cabaran dan ujian untuk berperang dengan nafsu sendiri. Sehingga kejayaan tersebut menjadi asas pula kepada kejayaan untuk melawan hasutan Iblis apabila berakhirnya Ramadan nanti.

Setiap individu Muslim juga diseru bersedia untuk melipatgandakan amalan kebajikan memandangkan pahala yang melimpah-ruah disediakan kepada individu yang berminat untuk bekerja kerana Allah SWT. Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Tuhan. Lebih daripada itu ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.

Selain daripada itu setiap individu Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri. Malah, jika ada yang sanggup berjaga malam ataupun bangun awal pagi sebulan yang lalu semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemaran mengapa tidak ia terus dipraktikkan dalam usaha memburu kejayaan beroleh takwa yang menjadi matlamat utama pensyariatan puasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu semoga kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah:183).

Umat Islam juga diseru bersedia untuk berpuasa daripada segala-galanya termasuk puasa mulut, telinga dan mata bagi mencapai hakikat puasa khsusul-khusus yang sukar dinikmati. Ataupun setidak-tidaknya berganjaklah daripada tingkatan puasa awam kepada puasa khusus sebagai bukti kesyukuran terpilih sekali lagi dipanjangkan usia untuk beribadah di bulan Ramadan.

Elakkan berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan mulut tidak berhenti mengumpat, mata berkeliaran memandang yang haram, telinga mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Usahakanlah juga untuk terus melaksanakan ketaatan yang lain seperti solat, menutup aurat dan lain-lain kerana ia juga merupakan kewajipan yang akan dipertanggungjawabkan di hari kemudian. Lagipun jika difikir secara rasional apalah erti puasa seseorang jika hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga sedangkan perkara dosa dan maksiat yang lain tetap dilakukan seperti biasa.

Begitu pula umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan trend berbuka di luar yang menjadi pilihan ramai muslimin akhir-akhir ini. Apa yang lebih penting aspek halalan tayyiba wajib dipertimbangkan sebelum menyuap juadah ketika berbuka puasa. Ini kerana terdapat pengusaha kedai makanan termasuk restoran di hotel tertentu yang belum memohon untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Akibatnya aspek kesucian makanan boleh dipertikaikan lalu memberi kesan pula kepada kualiti ibadah puasa yang dikerjakan. Terdapat pula yang lain kerana asyik menjamu selera sehingga terlibat melalaikan solat Maghrib dan Isyak yang semestinya dikerjakan.

Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud; “Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga”. (Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Nasai’e).

Para peniaga bazaar Ramadan juga dinasihat agar tidak mencemari kesucian bulan Ramadan dengan menjual juadah berbuka puasa seawal jam 10.00 pagi. Perbuatan sebegini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan gejala tidak berpuasa dikalangan umat Islam. Sebagai individu Muslim mereka juga dinasihat tidak mengabaikan hak pengguna seagama dengan menjual makanan dan minuman yang sudah basi sehingga memudaratkan orang lain. Ingatlah walau banyak manapun keuntungan yang dikecapi akan hilang entah kemana jika tiada keberkatan padanya.

Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Untuk tujuan itu umat Islam disaran memperuntukkan sejumlah budget bagi berlumba-lumba menginfaqkan harta kejalan Allah SWT. Ini boleh dilakukan dengan memberi juadah berbuka puasa dan menyediakan minuman kepada orang yang berpuasa. Ataupun setidak-tidaknya berusahalah untuk menyegerakan pambayaran zakat fitrah seawal 1 Ramadan supaya pihak yang memerlukan bantuan kewangan dapat sama-sama menikmati kegembiraan sebelum berlalunya Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”. (Surah al-Naba’:32-36)

Akhirnya selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan selamat berpuasa diucapkan kepada semua khayalak pembaca Muslim. Semoga ibadah puasa yang akan ditempuhi tahun ini akan lebih bererti dan berkualiti berbanding tahun-tahun yang lalu. Untuk tujuan itu marilah semua bermuhasabah serta berazam untuk melakukan yang terbaik. Anggaplah puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidup kita, kerana jika terpilih bertemu Ramadan tahun ini belum tentu akan terpilih lagi di masa mendatang.