Monday, November 29, 2010

Menggamit kenangan ketika di Guangzhou dan Kota Suci Mekah

TAHNIAH dan selamat pulang daripada Guangzhou diucapkan kepada kontinjen negara kerana telah berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa. Walaupun berada di tangga ke-10 daripada pungutan pingat dan dalam beberapa acara favorite seperti badminton dan hoki pemain negara gagal memperoleh pingat emas ini tidak bermakna kejayaan-kejayaan lain harus dilupakan begitu sahaja. Malah kejayaan pasukan negara mencapai sembilan emas yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) membuktikan betapa usaha gigih dan semangat juang yang tinggi perlu dibalas dengan pujian dan sorakan yang gemilang oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sokongan yang berterusan juga harus diberikan kepada kesemua atlet negara dalam apa jua acara sukan yang diceburi kerana terdapat diantara mereka yang bakal beraksi di Temasya Sukan Olimpik London 2012 yang akan datang. Sudah pasti tanpa sokongan moral yang berterusan daripada seluruh anggota masyarakat kejayaan sukar dikecapi. Golongan cerdik pandai dalam bidang sukan juga diseru tampil untuk memperbaiki kelemahan dan kepincangan yang berlaku tanpa seronok menyalahkan itu dan ini.

Untuk tujuan itu juga para atlet negara sewajarnya membuat persiapan rapi bagi membawa cabaran negara ke London dan tidak hanya berbangga dengan pencapaian sedia ada. Malah jika diteliti perjuangan untuk meraih emas di temasya sukan itu nanti pastinya sukar dengan penyertaan nama-nama besar sukan di peringkat antarabangsa.

Kebangkitan kuasa sukan baharu seperti China dan Korea Selatan yang telah mendominasi pungutan pingat sempena Sukan Asia ke-XVI di Guangzhou juga tidak harus dipandang remeh. Malah sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga sukan tanahair untuk bangkit berjuang habis-habisan demi negara Malaysia tercinta.

Segala pengalaman manis saat meraikan kejayaan negara merangkul pingat di Guangzhou China hendaklah dijadikan panduan dan pedoman bagi meraih kejayaan lain di masa hadapan. Begitu pula segala pengalaman pahit seperti corak pengadilan yang kurang bermutu ketika pasukan bola sepak negara beraksi dan lain-lain lagi seharusnya dijadikan sempadan dan pengajaran untuk memperbaiki kelemahan diri.

Bagi mencapai hasrat murni itu juga para pemain sukan dinasihatkan supaya mengenepikan kepentingan peribadi dan meraih populariti kendiri semata-mata. Mereka juga diingatkan tidak mendabik dada dan menyombong diri dengan kejayaan yang ada kerana ia bersifat sementara dan akan sirna apabila tiba masanya. Begitulah lumrah hidup di dunia terkadang ada yang di atas dan terkadang ada yang di bawah. Lihatlah bagaimana nasib sesetengah rakan sukan yang kini terlantar sendirian tanpa dipedulikan sedangkan suatu ketika dahulu nama mereka sering disebut-sebut di corong radio mahupun di tayang di kaca tv.

Rakan-rakan ahli sukan se-agama juga dinasihatkan supaya tidak mengenepikan tanggungjawab beragama. Ingatlah betapa tanggungjawab untuk solat 5 waktu sehari semalam adalah tugas utama yang bakal menentukan kejayaan sebenar meraih reda dan maghfirah ilahi.

Dalam situasi yang berbeza tahniah dan syabas juga diucapkan kepada golongan yang baharu bergelar haji dan hajjah. Kepulangan kira-kira 26,000 jamaah haji ke tanahair sememangnya dinanti oleh sanak-saudara dan handai taulan. Malah ramai yang berharap beroleh keberkatan Tanah Suci melalui ole-ole yang di bawa sekalipun hanya sekadar sehelai kopiah putih dan tasbih yang diimport daripada negara China.

Bagi golongan baharu bergelar haji dan hajjah pula pasti mengakui betapa kerja-kerja untuk menyelesaikan amalan haji bukan perkara yang mudah. Pengalaman kira-kira sebulan lebih berada di negara asing jauh daripada nasi dan lauk pauk seperti asam pedas, ikan kering, sambal belacan dan lain-lain sudah cukup membuatkan sesetengah jamaah haji kurus kering kerana tidak selera untuk menjamah juadah yang disediakan. Ini ditambah lagi dengan rutin harian terpaksa bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di Masjid Nabi mahupun di Masjidil Haram menyebabkan terdapat yang mengaku kalah lalu solat di hotel penginapan masing-masing.

Di samping itu cuaca yang tidak menentu, keadaan persekitaran yang berdebu dan tidak kondusif mungkin menyebabkan ada yang berkata kalaulah tidak kerana kewajipan mengerjakan haji termasuk rukun Islam yang ke-5 sudah pasti tiada sesiapa yang ingin bersusah payah begini.

Kini setelah kembali ke tanahair tentu ramai yang berasa lega kerana tidak lagi perlu bermalam di khemah seperti di Arafah dan Mina ataupun bersusah-payah berjalan beberapa kilometer sehari bagi menyelesaikan kerja-kerja haji seperti melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyrik.

Namun persoalan yang lebih penting untuk direnungkan ialah bagaimana golongan haji dan hajjah mampu meneruskan legasi ibadah di tanahair sama seperti pengalaman ibadah yang dilaksanakan di Tanah Suci Mekah dan Madinah. Ataupun mungkin sudah ada yang awal-awal lagi ketinggalan solat lima waktu ketika penerbangan kembali ke tanahair setelah berstatus haji dan hajjah.

Justeru itu perlu difahami betapa panggilan haji dan hajjah bukan sekadar gelaran buat yang sudah melaksanakan kewajipan haji dan terhenti di situ sahaja. Ia merupakan panggilan kekal seumur hidup dan akan dipertanggungjawabkan pula terhadap kelangsungan segala pengalaman dan pengajaran yang pernah ditimba semasa melakukan kerja-kerja haji hingga ke akhir hayat.

Hakikatnya itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan baharu dan lama bergelar haji dan hajjah. Malah itulah antara petanda betapa segala pengorabanan wang ringgit, masa dan tenaga yang disumbangkan ke jalan Allah SWT diterima dengan sebaiknya.

Golongan haji dan hajjah juga dinasihat supaya sentiasa menjaga nama baik dan kedudukan mereka disisi masyarakat. Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Lebih membimbangkan apabila nama baik Islam tercalar dek kerana perbuatan buruk segelintir umat Islam apatah lagi yang berstatus haji dan hajjah.

Apapun yang lebih penting setiap individu Muslim harus memahami ke mana sahaja arah dituju pasti mereka akan diperhatikan dan pertanggungjawabkan terhadap segala kealpaan dan kelalaian. Justeru itu belajarlah daripada pengalaman orang lain supaya tidak terlibat melakukan kesilapan yang sama. Bak kata orang “belajarlah daripada kesalahan-kesalahan orang lain kerana anda tidak akan hidup lama untuk melakukan kesalahan-kesalahan itu sendirian”.

Thursday, November 25, 2010

Budayakan salam dalam kehidupan seharian

Artikel ini diterbitkan sepenuhnya di ruangan Rencana Akhbar Utusan Melaysia bertarikh 3 Dis. 2010 denga tajuk Budayakan salam dalam kehidupan seharian seperti amalan Rasulullah. Sebahagian daripada artikel ini juga telah diterbitkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian dengan tajuk "Ucapan salam disertai berjabat tangan eratkan persaudaraan" bertarikh 30 Nov. 2010

UCAPAN “assalamualaikum” boleh jadi asing bagi segelintir masyarakat. Mungkin kerana sudah terbiasa mengucapkan hai dan bye-bye apabila bertemu dan berpisah sehingga ucapan salam yang mulia dipinggirkan. Bak kata pepatah alah bisa tegar biasa. Namun perlu difahami betapa ucapan salam yang disyariatkan mempunyai impak yang sangat besar dalam memelihara hubungan ukuhuwah sesama manusia. Malah ucapan tersebut dinilai sebagai ibadah dalam konteks mempraktikkan sunnah warisan agung tinggalan Rasulullah SAW.  

Dalam sebuah hadis Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan tentang amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi SAWpun bersabda “Sebarkanlah salam di kalangan kamu”. (Hadis riwayat Muslim)

Selain daripada itu ucapan salam yang disertai perbuatan berjabat tangan juga merupakan sunnah yang dituntut. Walaupun demikian ia masih tertakluk kepada hukum bersentuhan antara bukan mahram yang perlu dipelihara. Yang mana dewasa ini amalan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi seakan menjadi perkara biasa walhal ia merupakan perbuatan dosa yang semestinya dijauhi. Justeru jangan mudah menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan sesiapa sahaja kecuali setelah dipastikan segala ketetapan agama dipatuhi sepenuhnya. Ataupun jika terdesak untuk berjabat tangan berusahalah untuk mengelak dengan cara yang bijaksana tanpa menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.

Membungkukkan badan sambil berjabat tangan juga merupakan perbuatan terlarang. Ini bagi mengelak wujudnya unsur-unsur syirik penyembahan kepada sesama makhluk. Adapun perbuatan saling berpelukan dan berciuman ketika bertemu adalah diharuskan terutama apabila seseorang pulang daripada musafir yang jauh seperti ketika menyambut kepulangan jamaah haji yang selamat pulang ke tanahair. Perbuatan berdiri untuk mengagungkan seseorang yang lain juga adalah tidak disukai oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Justeru itu para sahabat tidak berdiri apabila melihatnya.  

Lalu timbul pula persoalan tentang bagaimanakah ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan. Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada sebuah riwayat lain yang menyatakan “bahawa telah bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW seraya mengucapkan Assalamualaikum. Nabi SAW bersabda “sepuluh kebaikan”. Kemudian datang yang lain pula sambil mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”. Nabi SAW bersabda “Dua puluh kebaikan”. Kemudian datang yang lain lagi dan mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”. Baginda Nabi SAW bersabda “Tiga puluh”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmiziy).

Memandangkan betapa hebatnya ucapan salam dan pahala yang disediakan untuknya umat Islam diseru tidak lagi memandang remeh amalan baik mengucapkan salam ketika bertemu dengan saudaranya yang lain. Malah yang terbaik dikalangan mereka adalah yang mula-mula mengucapkan salam. Ucapan ini juga merupakan hak dan tanggungjawab seorang Muslim dengan Muslim lain yang perlu dilunaskan.

Dalam masa yang sama janganlah pula kita terlalu mengagungkan ungkapan-ungkapan lain yang tidak bersesuaian dengan kehendak syariat mahupun budaya kesopanan masyarakat Timur. Begitu juga amalan masyarakat di Barat yang saling berpelukan dan berciuman antara lelaki dan perempuan ketika bertemu misalnya adalah tidak kena sama sekali untuk dipraktikkan di negara ini.

Umat Islam juga perlu memahami bahawa suruhan untuk mengucapkan salam dan menjawabnya hanya sesuai ditujukan kepada sesama saudara se-Islam sahaja. Kalaupun ada dikalangan orang kafir yang mengucapkannya ia perlu di balas dengan ungkapan baik yang lain selain ucapan salam yang mulia.

Diriwayatkan bahawa sekelompok orang Yahudi datang menemui Rasulullah SAW sambil mengucapkan “Assaamu alaikum” yang bermaksud racun untuk kamu. Lalu dijawab oleh Nabi SAW “alaikum”. Saidatina Aisyah RA kemudian menambah lagi “Bahkan racun dan laknat buat kamu. Nabi SAW kemudian bersabda lagi. “Wahai Aisyah sesungguhnya Allah SWT mencintai kelembutan dalam segala hal. Aisyah RA membalas, “Apakah tuan tidak mendengar apa yang mereka ucapkan”. Nabi SAW menjawab lagi sambil berkata aku telah membalasnya dengan mengucapkan “alaikum” yang bermaksud untuk kamu juga. (Hadis riwayat Bukhariy dan Muslim).

Masanya sudah tiba untuk setiap individu Muslim kembali mempraktikkan segala ajaran agama dalam kehidupan seharian mereka. Ini boleh dilaksanakan dengan mula menyebarluaskan ucapan salam di mana-mana sahaja. Dengan melaksanakan amalan ini juga umat Islam akan sentiasa dilindungi dan dirahmati kerana saling mendoakan antara satu sama lain.

Tuesday, November 9, 2010

Bukan mudah untuk berpoligami

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan e-mel anda akhbar Harian Metro bertarikh 29hb. Nov. 2010 dengan tajuk "Poligami tidak mudah"

Poligami adalah ubat dan penawar. Ia sepatutnya tidak menimbulkan masalah kerana tujuan pensyariatannya bagi menyelesaikan masalah. Bahkan poligami disyariatkan bagi mengelak masyarakat terlibat dengan pelbagai gejala moral yang boleh meruntuhkan institusi rumahtangga. Malah jika diteliti keburukan berpoligami jauh lebih baik bagi masyarakat, keluarga dan individu dibandingkan dengan keburukan membiarkan umat Islam terlibat dengan kancah zina dan persundalan dengan sewenang-wenangnya.

Justeru itu sesiapa sahaja yang ingin berpoligami perlu mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan sama ada berlandaskan hukum syarak yang menetapkan syarat berlaku adil mahupun aspek perundangan syariah negara bagi mengelak suasana haru-biru yang mencemarkan imej institusi kekeluargaan Islam. Malah lebih memburukkan keadaan apabila ada yang mengambil jalan mudah berpoligami di negara jiran seperti di Selatan Thailand yang boleh dipertikaikan status pernikahannya.

Di Malaysia kebenaran untuk berpoligami tertakluk kepada peruntukan Undang-undang Keluarga Islam yang dikanunkan di seluruh negeri. Peruntukan yang sama juga boleh dirujuk pada Seksyen 23 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang memperuntukkan bahawa; “Permohonan untuk kebenaran berpoligami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah diserta dengan suatu akuan menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinannya yang dicadangkan itu.

Selanjutnya peruntukan tersebut juga turut menggariskan sebab-sebab permohonan untuk berpoligami boleh dipertimbangkan oleh pihak Mahkamah iaitu “bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hah-hak persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri sedia ada”.

Malah peruntukan undang-undang juga menetapkan bahawa pihak yang tidak berpuashati boleh merayu bagi mencabar keputusan Mahkamah membenarkan suami berkahwin lagi. Misalnya dalam kes Ramona Juita bt. Abdullah lwn. Engku Nazarudin b. Engku Muhamed tentang kesilapan Mahkamah memberi kebenaran berpoligami kepada responden tanpa memanggil isteri dan saksi-saksi dalam permohonan poligami tersebut.

Melihat kepada peruntukan undang-undang yang begitu ketat sebenarnya sukar untuk para suami berkahwin lagi. Namun ini tidak bermakna poligami telah diharamkan. Penetapan undang-undang yang sebegitu rupa digubal supaya hak dan kepentingan isteri sedia ada terjamin dan tidak dizalimi di samping itu juga bagi mempastikan bahawa keadilan dapat diberikan kepada isteri-isterinya. Peruntukan ini juga perlu agar keharusan berpoligami tidak disalahgunakan dan imej poligami Islam yang baik dapat dizahirkan.

Perlu juga diingat poligami bukan tiket untuk berseronok dan melampiaskan nafsu semata-mata. Poligami juga bukan hak eksklusif untuk suami berkahwin lagi. Suami yang ingin berpoligami tertakluk kepada syarat boleh berlaku adil antara kesemua isteri dan anak-anak yang di bawah tanggungannya.

Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam firman-Nya yang bermaksud “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil kepada anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil ( terhadap isteri-isteri ) maka kahwinilah sseorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya”. (Surah al-Nisa’;3)

Baginda Rasulullah SAW juga turut memberi peringatan dengan sabdanya yang bermaksud:”Barangsiapa memiliki dua orang isteri dan dia melebihkan salah seorang daripadanya maka akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dalam keadaan bahunya senget sebelah”

Sunday, November 7, 2010

Usah tunai haji ikut kuota kroni

KESERONOKAN untuk menunaikan ibadah haji lebih daripada sekali menyebabkan segelintir umat Islam di negara ini sanggup menggunakan kroni dan orang dalam bagi mempermudahkan urusan ke tanah suci. Trend yang mula kedengaran akhir-akhir ini telah menyebabkan bakal jamaah haji yang telah mendaftar sekian lama masih belum mendapat peluang dek kerana sikap umat Islam yang lebih mementingkan diri sendiri. Kemungkinan juga ada yang menggunakan pangkat dan kedudukan tertentu hingga tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan haji kedua dan seterusnya sekembalinya mereka ke tanahair seusai menunaikan fardu haji.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW berkhutbah dengan maksudnya “Wahai sekelian manusia telah diwajibkan ke atas kamu menunaikan fardu haji maka tunaikanlah ia. Lalu bertanya seorang lelaki “Adakah ia diwajibkan setiap tahun ya Rasullulah? Nabi SAW diam sehingga dia mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda Nabi SAW bersabda lagi “Ziarahilah daku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kamu, jika aku menjawab ia nescaya haji akan menjadi suatu kewajiban setiap tahun dan kamu tidak mampu melaksanakannya. Sesungguhnya telah binasa umat yang terdahulu kerana banyak pertanyaan dan perdebatan dengan nabi-nabi mereka. Apabila kamu diperintahkan untuk melakukan sesuatu maka lakukanlah semampu kamu dan jika aku larang daripada sesuatu maka hendaklah kamu menjauhinya”. (Hadis riwayat Muslim dan al-Nasaie)

Para ulama juga telah berijmak dengan hadis di atas bahawa ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan kecuali jika dinazarkan.

Justeru itu masyarakat Islam yang prihatin diseru lebih bertoleransi dan bertimbang rasa agar setiap individu Muslim berpeluang menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu mengharap bantuan dan simpati daripada orang lain. Sebaliknya berdoa dan letakkanlah pergantungan hanya kepada Allah SWT yang berkuasa menjemput sesiapa sahaja menjadi tetamu kehormatnya setiap kali tiba musim haji.

Sistem kuota haji yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menjamin kelancaran pergerakan jutaan tetamu Allah SWT termasuk daripada Malaysia di kawasan masayir al-Haj juga merupakan solusi terbaik agar setiap individu Muslim berkesempatan untuk menunaikan haji apabila sampai masa yang ditetapkan. Cadangan oleh pihak kerajaan memperketatkan syarat supaya jamaah haji yang baharu pulang tidak dibenarkan mendaftar sehingga lima tahun juga dilihat sesuatu yang elok bagi mengatasi masalah pergi haji menerusi kuota kroni ini.

Lagipun jika direnung-renungkan apalah nilai ibadah yang boleh diharapkan jika dilaksanakan dengan mengambil hak saudara se-Islam yang lain terutama golongan tertindas kerana tiada kroni dan kenalan yang membantu untuk mempercepatkan proses naik haji. Keburukan itu semakin terserlah apabila ada pula yang mendabik dada sambil mengatakan mereka lebih daripada mampu untuk pergi haji berulang-ulang kali lalu tiada yang perlu diheboh-hebohkan.

Ada pula yang sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit untuk mendapat layanan bertaraf lima bintang ketika menjadi tetamu Allah sedangkan terdapat saudara se-Islam yang lain kelaparan dan tidak mampu walau untuk membeli sehelai sejadah bagi menunaikan kefarduan solat lima waktu. Malah menurut sesetengah pihak keengganan umat Islam yang leka dan lalai daripada menunaikan kewajipan haji sepatutnya menjadi isu yang perlu diperbincangkan.

Dari satu sisi segala yang diperkatakan mungkin tampak kebenarannya. Namun sesuatu yang juga perlu direnungkan oleh golongan hartawan dan dermawan Islam ialah betapa moleknya jika nikmat kemurahan rezeki yang melimpah ruah itu diinfaqkan pula untuk memberi keseronokan berganda kepada saudara se-Islam yang lain bagi menyelesaikan tanggungjawab haji mereka. Ini boleh dilakukan dengan menaja ibu-bapa, adik beradik, kerabat terdekat mahupun ahli kariah yang berwibawa seperti imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid yang kurang berkemampuan.

Di sana-sini juga kelihatan masih ada umat Islam yang hidup tanpa keperluan daruriyat seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan untuk meneruskan penghidupan. Ada pula yang hanya berupaya menyediakan keperluan hajiyat secara sederhana untuk menyara keluarga dan persekolahan anak-anak. Tentu sekali agenda untuk melaksanakan kerja haji jauh daripada benak mereka kerana tidak mampu menabung wang untuk pergi haji yang mencecah lima angka secara keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu umat Islam diseru mengamalkan prinsip fiqh awlawiyat yakni prioriti dalam beramal agar mampu menyediakan bekalan untuk hari akhirat semaksima mungkin tanpa terlibat menyusahkan orang lain. Bayangkan betapa besarnya ganjaran yang bakal diperolehi jika dengan rezeki pemberian Tuhan seseorang dapat melepaskan fardu haji rakan se-agama yang lain. Dan bayangkan pula betapa ruginya seseorang jika hanya syok sendiri dengan berulang-ulang kali melakukan haji sunat sambil menyangka mereka telah melakukan amalan terbaik dalam hidupnya. Perkara ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Baqarah;265)

Sempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha ataupun dikenali juga sebagai Hari Raya Korban tidak berapa lama lagi setiap individu Muslim disaran merealisasikan nilai pengorbanan agung yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim AS sewaktu diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail AS dalam konteks masa kini. Ini dapat dilakukan dengan kesanggupan semua untuk berkorban masa, tenaga, idea dan wang ringgit demi untuk kepentingan seluruh umat Islam yang bersaudara, termasuklah bersedia menghajikan orang yang masih bernyawa.

Monday, November 1, 2010

Nasib pemandu kenderaan awam terabai

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Pendapat Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3hb Nov. 2010.

KEBIASAANYA apabila berlaku kemalangan maut yang melibatkan kenderaan awam seperti bas ekspress pemandu dan syarikat terbabit akan disiasat serta dihadapkan ke muka pengadilan. Keadaan kenderaan dan fizikal jalanraya turut diteliti sama ada turut menyumbang kepada nahas yang berlaku ataupun tidak. Dalam pada itu masyarakat Malaysia yang prihatin hangat mengandaikan sebab kemalangan sambil ada yang mencadangkan itu dan ini. Tidak kurang juga terdapat segelintir yang mudah membuat kesimpulan dengan menyalahkan pihak tertentu. Selang beberapa ketika isu tersebut seakan dilupakan sehinggalah berlaku kemalangan maut yang lain lalu ia kembali heboh diperkatakan di mana-mana.

Namun sedarkah kita nasib golongan pemandu bas ekspress di Malaysia yang kurang diberi perhatian. Dengan anggaran pendapatan diantara RM300-RM700 sebulan mereka terpaksa berlumba di lebuhraya demi untuk mengejar trip bagi menyara keluarga dan persekolahan anak-anak. Hasilnya mereka beroleh pendapatan empat angka yang tampaknya mewah walaupun terpaksa bersengkang mata kerana memikirkan nasib puluhan nyawa penumpang sebagai amanah yang pasti dipersoalkan.

Tambahan lagi kerjaya sebagai pemandu bas ekspress yang merupakan pilihan terakhir bagi sesetengah golongan tidak menjanjikan penghidupan selesa di masa hadapan terutama bagi yang kurang beringat. Ini kerana tiada potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dilakukan oleh sesetengah majikan. Tiada kenaikan gaji tahunan seperti yang biasa dinikmati oleh pekerja sektor perkilangan. Bonus tahunan pula jauh panggang daripada api. Faedah cuti juga tidak menentu. Mereka seperti kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Malah lebih buruk lagi apabila bas yang digunakan untuk mencari makan mengalami kerosakan pendapatan bulanan mereka juga akan terjejas.

Jalanraya umpama rumahtangga sehingga keluarga dan anak-anak kadang-kadang terabai demi mencari sesuap nasi rezeki kurniaan Tuhan. Mereka berkorban masa, tenaga malah nyawa untuk menyelesaikan tuntutan fardu kifayah kepada segenap lapisan masyarakat. Namun jarang jasa dan pengorbanan mereka dibalas dengan ucapan terima kasih oleh penumpang sebaik selamat sampai ke destinasi yang dituju.

Tidak dinafikan ada segelintir pemandu bas ekspress yang nakal ketika di jalanraya. Mereka tidak menghiraukan amaran perangkap laju yang diletakkan di lebuhraya kerana sangat arif dengan kedudukan kamera penembak laju. Ditambah lagi dengan semangat setiakawan yang erat antara pemandu sehingga setiap kali berselisih ada sahaja lambaian manja penuh bermakna diberikan kepada rakan-rakan yang lain. Malah pemandu kereta yang prihatin juga boleh mendapat manfaat apabila terlihat lambaian tersebut. Ataupun setidak-tidaknya memandulah dengan berhemah apabila melihat bas ekspress dan kenderaan berat bertunda-tunda memandu sopan di laluan kiri kerana pasti ada yang sedang memerhati.

Ada juga segelintir pemandu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan arak yang membahayakan penumpang. Tidak kurang juga terdapat komuniti pemandu Muslim yang melalaikan tanggungjawab dan kewajipan agama seperti solat lima waktu sehingga penumpang juga terlibat meninggalkan solat yang difardukan.

Di sudut pandang yang lain tokeh-tokeh bas ekspress mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap tahun hasil kenaikan tambang bas dan peningkatan jumlah penumpang pulang ke kampung terutama di musim perayaan. Namun aspek kebajikan pemandu yang merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan mereka kurang diberi perhatian terutama oleh majikan yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Justeru siapa sebenarnya yang patut dipersalahkan setiap kali berlaku kemalangan maut yang melibatkan kenderaan awam. Yang pasti pemandu bas ekspress akan menjadi suspek utama kerana merekalah yang mengendalikan kenderaan tersebut. Tentunya mereka yang terlebih dahulu direman oleh pihak berkuasa jika bernasib baik tidak mati terkorban ketika keluar mencari rezeki yang halal.

Namun jika difikirkan dengan rasional golongan pemandu juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan. Boleh jadi aspek pemanduan laju dan berbahaya akhirnya mengundang padah kepada mereka. Tidak salah juga jika setiap orang yang beriman kembali berpegang dengan ketentuan qada qadar Tuhan sebagai asbab malapetaka yang tidak boleh dipertikaikan. Malah kemalangan maut yang meragut nyawa hanyalah asbab kepada kematian yang tidak boleh dielakkan oleh sesiapa jua pun.

Walau apapun faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut yang tidak diingini, ramai masyarakat lebih selesa menuding jari menyalahkan golongan tertentu. Kebajikan pemandu kenderaan awam di Malaysia jarang diperbincangkan. Adalah dicadangkan supaya penetapan gaji minimum yang dicadangkan kepada sektor tertentu seperti pengawal keselamatan dan pembantu rumah yang sesetengahnya bukan orang tempatan wajar diperluaskan kepada golongan pemandu yang turut terkesan dengan peningkatan taraf hidup semasa. Malah sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat mereka lebih layak untuk mendapat pengitirafan tersebut berbanding warga asing yang pasti pulang ke negara asal mereka apabila tamat bekerja di sini.

Rakan pemandu se-agama pula dinasihat tidak menggabaikan tanggungjawab solat yang utama walau sesibuk mana mencari rezeki kerana ia merupakan tali penghubung hamba dengan Tuhan-Nya. Disitulah letaknya keberkatan atas nikmat rezeki kurniaan Tuhan yang jika disyukuri akan ditambah sehingga mencukupi. Berusaha dan bertawakkallah kepada Allah SWT serta ingatlah sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “ Tergesa-gesa itu daripada syaitan dan berhemah itu daripada Allah SWT”.