Saturday, December 31, 2016

Berpada Sambut Tahun Baharu

Masyarakat Islam diseru tidak terlalu teruja menyambut tahun baharu Masihi yang tiada kena mengena dengan ajaran Islam. Tindakan segelintir yang mengambil kesempatan berfoya-foya dan melakukan maksiat ketika sambutan tahun baharu memburukkan lagi keadaan. Malah saban tahun pihak penguat kuasa agama tak menang tangan menangani kes-kes tidak bermoral seperti khalwat dan zina di malam tahun baharu.

Perbuatan keji ini dikhuatiri menyumbang pula kepada peningkatan kes mengandung luar nikah dan pembuangan bayi yang belum bernoktah. Ia juga mencerminkan betapa bejatnya akhlak dan perilaku sesetengah individu Muslim yang begitu mudah terikut-ikut dengan budaya asing. Lebih menghairankan apabila tiba 1 Muharram hanya kaki masjid dan jemaah biasa yang bersungguh-sungguh ke masjid sedangkan yang lain langsung tidak mempedulikannya.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Nescaya kamu akan mengikut jejak langkah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun memasuki lubang biawak” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Siapa lagi kalau bukan Yahudi dan Nasrani” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehubungan dengan itu kesempatan cuti tahun baharu elok dipenuhi dengan aktiviti berbentuk keagamaan mahupun kekeluargaan misalnya dengan menghadiri ceramah maulidulrasul yang masih semarak diadakan di serata tempat. Atau setidak-tidaknya ambillah peluang bersantai bersama keluarga di rumah sambil membuat persiapan akhir menjelang musim persekolahan yang baharu. Ini penting bagi menyediakan alternatif dan pilihan aktiviti untuk masyarakat Islam sekaligus mengelak terlibat berbuat perkara dosa mahupun membazir masa.

Dalam pada itu carilah juga kesempatan untuk menjengok di sekitar kariah akan keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyediakan keperluan persekolahan. Sayu rasanya membaca laporan akhbar yang mengisahkan terdapat ibubapa yang bershopping barangan keperluan sekolah di kedai barangan terpakai. Terdapat pula yang terpaksa mencuri kerana kehabisan wang untuk membeli keperluan sekolah.

Dalam masa yang sama rakan-rakan sebaya bergaya dengan pakaian serba baharu dan sesetengahnya berjenama pula di hari pertama persekolahan. Itu belum termasuk wang saku harian yang kemungkinan tidak mencukupi untuk membeli makanan dikantin ataupun langsung tidak berduit dan mengharap simpati kawan.

Boleh jadi isu ini tidak termasuk isu utama yang biasa didendangkan di dada akhbar walaupun hakikatnya ibu bapa yang terlibat rungsing memikirkan hal persekolahan anak-anak mereka. Namun apa kan daya kemungkinan itu sahaja yang termampu ditambah lagi dengan bilangan anak yang bersekolah ramai.

Justeru itu segenap lapisan masyarakat diajak membantu sikit sama sikit untuk menyelesaikan isu tahunan ini. Penulis mencadangkan agar pihak pengurusan sekolah dan PIBG mengambil langkah proaktif mengusahakan dana tahunan untuk golongan pelajar miskin. Malah pihak masjid dan surau juga boleh mengambil inisiatif mengumpulkan derma daripada kariah setempat untuk turut sama membantu.

Dalam hal ini usaha pihak-pihak tertentu yang menaja perbelanjaan sekolah kanak-kanak terpilih patut dicontohi oleh semua pihak. Ini penting bagi melahirkan sebuah generasi yang berilmu dan berwawasan sehingga akhirnya menyumbang semula kepada kesejahteraan dan kemajuan negara.
Disudut pandang yang lain, masa seharian yang berlalu jika dipenuhi dengan perkara laghah dan membuang masa pasti merugikan.

Sedarlah betapa Bulan Rabiulakhir iaitu bulan keempat dalam takwim hijrah hampir menjelma dan bagaimana pula dengan azam 1 Muharram yang lalu. Adakah azam untuk berubah ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT sudah direalisasikan atau sekadar angan-angan semata. Ataukah  masih ada yang terkeliru dan tidak dapat membezakan antara awal tahun hijrah dan tahun baharu Masihi. Kemungkinan juga terdapat yang tidak dapat menyebut nama bulan-bulan dalam Islam kerana tidak mengambil berat tentang kepentingannya kepada diri setiap Muslim.

Sehubungan dengan itu Muslimin diajak melaksanakan ajaran Islam dalam setiap gerak geri kehidupan. Usah jadi pak turut sehingga terikut-ikut budaya asing yang menyimpang daripada ajaran Islam. Malah syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bersifat universal lagi syumul merangkumi segenap lapangan kehidupan dunia dan akhirat. Hanya yang perlu, setiap individu Muslim mempelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak Islam tidak akan dihormati dan umatnya akan terus mundur. Akibatnya lagi golongan yang kurang pengetahuan agama akan terus tertipu dan terpedaya dengan amalan-amalan songsang yang boleh jadi membawa kepada kesesatan. Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya; “Barangsiapa menyerupai sesuatu kaum maka dia daripada kalangan mereka” (Riwayat Abu Dawud).