Wednesday, March 20, 2013

LUASKAN SKOP JIHAD MASA KINI

PENGORBANAN Tan Sri P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dalam memartabatkan lagu dan filem Melayu di persada antarabangsa sudah termasyhur di seluruh dunia. Beliau yang dilahirkan pada 22 Mac 1929 bertepatan dengan pagi Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang sudah menunjukkan minat dan bakat seni muzik sejak daripada bangku sekolah lagi. Filem-filem arahan beliau yang beraneka genre termasuk yang berunsur jenaka seperti Labu dan Labi, berciri keislaman seperti Semerah Padi, bercorak peperangan seperti Sarjan Hassan dan berkonsepkan sejarah Melayu seperti Hang Tuah, juga tidak kurang hebatnya malah tetap segar dalam ingatan semua peringkat usia sepanjang zaman.

Sesungguhnya ketokohan dan kebijaksanaan beliau dalam mencipta lagu dan mengarahkan filem Melayu tiada galang gantinya. Ia patut menjadi sumber inspirasi kepada penggiat seni tanah air dalam memperjuangkan karya-karya bermutu sebagai satu elemen pendidikan dan kritikan sosial kepada masyarakat bagi membentuk jati diri Bangsa Melayu yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama dan kemasyarakatan yang terpuji.

Begitu pula, jasa bakti dan pengorbanan tidak berbelah bahagi oleh seluruh anggota pasukan keselamatan negara yang sanggup menggadai nyawa, mempertahankan kedaulatan negara amat-amat dihargai lagi disanjung tinggi. Demi negara, mereka sentiasa berada di barisan hadapan menentang apa jua bentuk pencerobohan dan serangan musuh tanpa mengira masa dan ketika.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa mereka yang terkorban dalam menentang pencerobohan di Lahad Datu sebagai mati syahid yang mudah-mudahan dikurniakan Allah SWT nikmat mati dalam iman sekali gus beroleh kenikmatan Syurga.

Elok diketahui, betapa golongan yang mati syahid terbahagi kepada tiga golongan, iaitu syahid pada hukum dunia dan akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum akhirat. Golongan yang syahid dunia dan akhirat ialah mereka yang terkorban dalam pertempuran menentang orang kafir demi menegakkan agama Allah dengan niat ikhlas semata-mata mengharap keredaan dari padanya. Jenazah yang terkorban syahid dalam kategori ini harus tidak dimandikan dan disembahyangkan Jenazahnya hanya di kapankan lalu dikebumikan. Harus juga dibiarkan dengan pakaian yang dipakai semasa terkorban agar luka dan darah menjadi saksi di hadapan Allah SWT.

Lebih istimewa lagi, jenazah mereka diuruskan oleh para Malaikat Allah SWT sebagai bukti ganjaran mulia yang disediakan buat mereka sejak di dunia lagi. Ini berlaku kepada Hanzalah iaitu seorang sahabat Nabi SAW yang gugur syahid di medan Uhud bersama Sayidina Hamzah dan 70 orang syuhada yang lain.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya "Tiadalah orang yang terluka, yang dilukai, di waktu perang di jalan Allah, dan Allah maha mengetahui kepada orang yang terlukai fisabilillah, kecuali dia datang pada hari kiamat, sementara lukanya itu seperti keadaannya pada hari dia terluka, warnanya warna darah, tapi baunya adalah bau misik" (Riwayat Ibnu Majah dalam kitab sunannya)

Sementara itu menurut al-Ustaz Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah, syahid pada hukum dunia ialah orang yang berperang kerana ingin memperoleh harta al-ghanimah (harta rampasan perang) , atau orang yang melarikan diri dari pada medan pertempuran.

Dalam konteks ini, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, Mufti Kelantan menyatakan, antara syarat utama bagi menentukan syahid di sisi Allah ialah sama ada niat berperang untuk menegakkan agama Allah atau sebaliknya
.
Manakala syahid pada hukum akhirat ialah seperti matinya orang yang dizalimi, mati kerana sakit perut, mati kerana penyakit taun, mati lemas, mati dalam menuntut ilmu atau ibu yang mati ketika melahirkan. Hal ini selaras dengan kenyataan Mufti Selangor yang menyebutkan syahid akhirat dikurniakan kepada umat Islam yang mati mengejut antaranya disebabkan terkena tembakan, kemalangan jalan raya, kebakaran atau ketika bersalin.

Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi SAW bersabda sebagai menjawab pernyataan sahabat yang mengkhususkan pejuang di jalan Allah sahaja yang mati syahid dengan maksudnya “Yang digolongkan sebagai orang yang mati syahid selain seorang yang gugur fisabilillah adalah seorang yang mati disebabkan sakit taun, seorang mati disebabkan sakit perut, seorang yang mati disebabkan lemas, seorang yang mati disebabkan keruntuhan bangunan, seorang yang mati disebabkan oleh bisul ganas yang tumbuh di bahagian pinggang hingga tembus ke dalam, seorang wanita yang mati kerana terbakar dan seorang yang mati disebabkan tidak dapat melahirkan bayinya." (Hadis riwayat al-Nasaie dalam kitab sunannya)

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam secara umumnya diseru untuk memperluaskan lagi pemahaman jihad dalam realiti kehidupan masa kini. Selain daripada berjihad dengan mengangkat senjata, ruang dan skop jihad terbentang luas di hadapan mata.

Menurut Prof. Dr Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid, sebagai sebuah agama dan juga tamadun, Islam perlu menguasai semua lapangan hidup, baik pendidikan dan pelajaran, ekonomi dan kewangan, politik dan pemerintahan, sains dan teknologi, persenjataan dan ketenteraan. Di situlah nampak luasnya perspektif Islam terhadap jihad. Sungguhpun begitu, pandangan tradisi yang melihat jihad sebagai peperangan menentang musuh tidak boleh dipinggirkan, terutama dalam konteks membina kekuatan persenjataan dan ketenteraan yang maju lagi canggih.

Di sudut pandang yang lain, golongan pelajar dan remaja di seru untuk berjihad dengan bersungguh-sungguh mendalami ilmu pengetahuan untuk kemajuan diri, keluarga dan negara secara kolektif. Ini termasuklah pengetahuan tentang hukum-hakam agama yang mampu menyelamatkan manusia daripada sifat jahil yang memudaratkan. Pelajar Muslim dinasihatkan tidak hanya berbangga dengan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik lalu berhenti di situ sahaja. Sebaiknya jika ada peluang dan kesempatan eloklah mendalami perkara fardu ain yang wajib diketahui, difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslimin. Yang mana dewasa ini majlis-majlis ilmu semarak diadakan di sana-sini sekali gus memberi kemudahan untuk menuntut pelbagai ilmu pengetahuan agama.

Sedarlah juga betapa keunggulan sesuatu bangsa bukan hanya dinilai berdasarkan aspek kelengkapan peperangan yang canggih semata-mata, akan tetapi keluhuran akhlak dan budi pekerti di tambah lagi dengan pencapaian yang tinggi dalam bidang keintelektualan juga mampu melonjakkan peradaban sesebuah bangsa.

Ini kerana dalam konteks hari ini jihad dalam skop yang lebih luas termasuk jihad akbar iaitu jihad melawan hawa nafsu kelihatan lebih signifikan untuk dipraktikkan memandangkan saban hari pelbagai perlakuan songsang dan tidak bermoral menjadi tatapan mata dan halwa telinga di mana-mana sahaja.