Saturday, August 27, 2011

Kesilapan di hari lebaran

Suasana riang dan gembira jelas terpancar di wajah umat Islam di seluruh tanahair dengan ketibaan hari lebaran. Pastinya kanak-kanak antara yang paling ceria berhari raya ke sana dan kemari dengan pakaian serba baharu, sambil berpeluang mengumpul duit raya. Kesempatan cuti panjang sempena hari raya juga menjadikan kampung halaman riuh rendah dengan hilai tawa perantau yang pulang beraya ke kampung. Namun begitu disebalik kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilftri yang diraikan setahun sekali terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan oleh umat Islam yang tidak bertepatan dengan kemenangan menyambut hari lebaran.

Mana tidaknya kawasan tanah perkuburan yang sunyi sepi tiba-tiba bertukar wajah seakan menjadi tapak pesta di pagi 1 syawal. Ada pula yang mengambil kesempatan berniaga dengan menjual bunga-bungaan dan air mawar kepada pengunjung yang datang. Ia adat kebiasaan yang dilakukan saban tahun apabila tiba pagi Syawal yang sememangnya sukar untuk dihentikan. Mungkin kerana jarang-jarang pulang ke kampung peluang ini dimanfaatkan untuk menziarahi pusara orang tersayang, walaupun ia secara umumnya tidak sesuai dengan situasi dimana semua sedang bergembira.

Ini diburukkan lagi dengan sikap pengunjung yang tidak menjaga adab seperti tidak memberi salam ketika masuk ke kawasan perkuburan, bercakap perkara yang tidak sopan, tidak menutup aurat malah terlibat pula melakukan perkara-perkara khurafat. Adalah lebih molek jika pagi 1 Syawal diganti dengan menziarahi orang yang masih hidup seperti orang tua dan kaum kerabat sambil bersalaman dan memohon kemaafan atas segala salah silap. Atau sekiranya ingin juga berziarah ke pusara berkunjunglah pada hari-hari yang lain seperti di akhir Ramadan dan bukannya pagi 1 Syawal yang sayogianya di raikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Terdapat pula segelintir masyarakat Islam yang seakan begitu teruja sekali untuk menunaikan solat sunat hari raya sedangkan solat fardu terabai dek kerana seronoknya berhari raya. Ada pula yang tanpa rasa malu tidak penuh berpuasa di bulan Ramadan tetapi hadir bersolat hari raya. Mungkin kerana telah berhabis shopping baju raya dan seronok untuk bergaya segalanya diketepikan. Termasuk kesilapan dan dosa yang lebih besar apabila terdapat segelintir orang Islam yang langsung tidak peduli untuk solat tidak kira solat fardu mahupun solat sunat. Justeru itu betulkan niat berpakaian baharu di bulan Syawal bukan untuk membangga diri mahupun menunjuk-nunjuk tetapi elok dijuruskan kepada pengabdian diri kepada Allah Yang Maha Esa.

Perlu juga diingatkan betapa ketibaan 1 Syawal bukan masa untuk mengqaqa dosa dan maksiat yang berhenti dilakukan sebulan yang lalu. Apalah ertinya melalui proses tarbiyah Ilahiyah di bulan Ramadan selama sebulan kemudian dirosakkan dalam masa tak sampai satu hari. Jika itu berlaku boleh jadi ia petanda betapa ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa kecuali rasa lapar dan dahaga sebagaimana yang pernah dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya. Malah ganjaran takwa kurnia Allah kepada hambaNya yang berjaya menempuh jihad Ramadan juga jauh panggang dari api.

Ini kerana ramai yang menyambut hari raya tanpa mempedulikan cara berpakaian yang menutup aurat. Ada pula dikalangan muda-mudi yang berhari raya dipanggung wayang yang kemungkinan terlibat pula melakukan dosa dan noda yang terkutuk. Malah ada pula yang mengambil kesempatan memadu kasih di kawasan tumpuan awam tanpa sekelumit rasa bersalah.

Ketibaan Syawal juga bukanlah masa untuk makan sebanyak-banyaknya. Ini kerana enjin penghadaman yang baru memulakan tugas setelah bercuti hampir sebulan tidak memproses makanan di siang hari dikhuatiri terperanjat dengan lambakan makanan yang dimakan terutama yang berempah dan pedas-pedas. Akibatnya ramai yang merana sakit perut mahupun cirit-birit di saat orang lain bergembira. Golongan perokok juga dinasihat tidak begitu teruja membalas dendam dengan menghisap berkotak-kotak rokok di hari lebaran kerana bakal mengundang padah kepada diri sendiri.

Adalah lebih baik jika golongan ini berusaha untuk berhenti merokok dan memulakan Syawal dengan nafas yang baru. Perkara ini juga adalah selari dengan ajaran syariat yang mengajak umatnya untuk tidak membazirkan rezeki kurniaan Tuhan kepada perkara yang memudaratkan.

Ketibaan hari lebaran sebaiknya dimanfaatkan pula dengan amalan kunjung mengunjung bagi mempererat hubungan silaturrahim antara sanak saudara dan kaum kerabat. Oleh itu para ibubapa disaran tidak membiarkan anak-anak asyik menonton televisyen dengan pelbagai rancangan menarik yang ditayangkan sempena hari raya. Golongan muda hendaklah dibiasakan dengan amalan mulia ini kerana suatu hari nanti merekalah yang akan mewarisinya. Bawalah mereka berkenalan dengan saudara-mara dan jiran tetangga. Malah inilah kesempatan terbaik untuk bermaafan dan menghentikan persengkatan yang berlaku jika ada. Seperti kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih.

Disudut yang lain keengganan sesetengah masyarakat menerima kunjungan tetamu termasuk kanak-kanak untuk berhari raya adalah juga kesilapan di hari baik bulan baik ini. Mungkin kerana tidak mahu rumah berkecah dan malas melayan tetamu mereka dilayan dipintu pagar sambil menghulurkan sampul duit raya. Sungguhpun begitu itu umat Islam diingat supaya prihatin dengan waktu berziarah.

Perbuatan berziarah tanpa ikut masa termasuk ketika ketika waktu tengahari ataupun lewat malam adalah bersalahan dengan ajaran syariat. Menurut adabnya lagi tetamu yang datang hendaklah terlebih dahulu memberi salam sebanyak 3 kali jika tiada yang mempersilakan masuk maka eloklah beredar kerana boleh jadi tuan rumah tidak bersedia menerima tetamu. Usahlah juga terlalu lama berziarah kerana berkemungkinan tuan rumah ada urusan dan keperluan lain yang hendak diuruskan.

Disamping itu umat Islam diminta sentiasa bersabar dan berhemah ketika dijalanraya. Jangan rosakkan kegembiraan hari raya dengan kesedihan pemergian orang yang tersayang akibat kecuaian dan kesalahan sendiri.

Akhirnya Syawal yang tiba wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika ini, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang. Kegembiraan bertemu Syawal hendaklah disyukuri dengan berusaha untuk segera mempraktikkan pendidikan Ramadan agar berjaya mengharungi liku-liku hidup yang penuh pancaroba.

Monday, August 22, 2011

HAYATI PEMERGIAN RAMADAN SYUKURI KETIBAAN SYAWAL


SETELAH hampir sebulan berpuasa kini umat Islam bergembira menanti detik tibanya hari raya. Manakala Ramadan al-Mubarak pula beransur melabuhkan tirai menandakan segala kelebihan beramal dan ganjaran berlipat kali ganda juga kembali seperti sedia kala.

Pemergian Ramadan sudah pasti ditangisi oleh individu Musllim yang sedar akan segala keistimewaan kurniaan Tuhan yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Golongan ini juga pasti merindui keseronokan berpuasa di siang hari dan bermunajat kepada Tuhan di kala malam. Semoga segala kurnia tersebut yang berupa ganjaran rahmat, pengampunan dosa, pembebasan api neraka, perkenan doa dan kelebihan beribadah di malam lailatulqadar berhasil diraih dengan sempurna oleh para Mukminin terpilih.

Selain itu terlalu banyak pengajaran boleh diperoleh daripada pendidikan Ramadan. Umpamanya umat Islam dididik supaya sentiasa menepati masa melalui amalan berbuka dan bersahur. Kepentingan menghargai masa ini boleh diaplikasikan pula dengan berusaha untuk solat tepat pada waktunya. Ramadan turut mengajar tentang kepentingan ibadat dalam diari kehidupan Muslim. Justeru segala amal ibadah yang dipraktikan sepanjang Ramadan seharusnya diteruskan sebagai rutin harian sepanjang tahun. Dengan pelaksanaan itu ia berupaya pula menjadi kaffarah kepada dosa-dosa sehingga menjelang Ramadan yang akan datang.

Amalan berdoa yang sinonim dengan Ramadan dan merupakan senjata para Mukminin wajar dipergiatkan lagi. Terutama di sepertiga malam yang merupakan waktu mustajab berdoa. Begitu pula, perbuatan buruk yang merosakkan pahala puasa seperti mengumpat, mengeji orang, banyak makan, banyak tidur dan melakukan perkara tidak berfaedah elok dihentikan. Ini kerana jika setiap pengajaran Ramadan boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian bermakna individu terbabit telah beroleh sifat takwa sebagai balasan yang dijanjikan Tuhan.

Ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman di fardukan keatas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu, semoga kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah:183)

Dengan berakhirnya Ramadan umat Islam kembali kepada fitrah semula jadi seperti sebelumnya. Kegembiraan jelas tergambar dengan persiapan kuih-muih, pakaian baharu dan perancangan untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Maha benar hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan “Bagi orang yang berpuasa dikurniakan dua kegembiraan; kegembiraan ketika berhari raya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhan Nya”.

Sehubungan itu, Syawal yang menjelang tiba wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika itu, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang.

Bagi orang Mukmin, inilah masa untuk merealisasikan pendidikan Ramadan dalam realiti kehidupan sebenar. Perlu difahami, Syawal bukan kesempatan untuk menqada’ dosa yang berhenti dilakukan sebulan lalu. Malah perjuangan selepas ini, ternyata lebih sukar kerana berhadapan dua musuh dalam satu masa; iaitu Iblis dan nafsu diri sendiri. Menjelang 1 Syawal, pertolongan Allah SWT sangat diperlukan bagi membantu menjalani kehidupan dengan berpandukan syariat disamping berdoa dan memohon bantuan daripada Nya.

Aktiviti shopping sakan yang telah menjadi tradisi sehingga disaat-saat akhirpun masih ada yang mahu diborong berikutan banyaknya promosi jualan murah juga elok dikikis dengan berhemah ketika berbelanja. Beli yang patut dan perlu serta elakkan berhutang semata-mata untuk bergaya di hari raya. Ungkapan biar papa asal bergaya tidak patut menjadi amalan kerana bersalahan dengan prinsip Islam yang menganjurkan kesederhanaan dalam semua hal. Malah yang patut difikirkan ialah keperluan lain dipenghujung tahun seperti persiapan persekolahan anak-anak yang juga memerlukan perbelanjaan yang besar.

Setiap individu Muslim juga perlu mempastikan, pakaian hari raya yang dibeli dan diperagakan adalah yang patuh syariah, tidak terlalu ketat ataupun mendedahkan bahagian tubuh yang dilarang. Jangan alasan bergaya, kewajipan menutup aurat diabaikan. Hayatilah pengajaran Ramadan yang mendidik supaya sentiasa mengikut peraturan sepanjang masa. Ketahuilah, Syawal bukan bulan memperagakan berbagai fesyen pakaian, lalu mengundang sifat mazmumah seperti ego dan bangga diri. Tiada guna bersusah-payah melakukan ketaatan selama sebulan, kemudian dirosakan hanya dalam tempoh sehari.

Sempena I Syawal pula, masyarakat Islam diseru menyemarakkan lagi budaya kunjung mengunjung bagi mempertaut hubungan silaturrahim. Sifat mulia seperti saling memaafkan dan menerima kekurangan orang lain adalah intipati daripada luasnya pengampunan Allah SWT yang diadaptasi daripada pengajaran Ramadan. Walaupun demikian keseronokan berhari raya diharap tidak menyebabkan tanggungjawab utama seperti solat dilupakan. Ia tugas hakiki yang tidak boleh diabaikan dalam apa jua situasi.

Selain itu, amalan berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal sangat digalakkan kepada individu Muslim. Mereka yang melaksanakannya bakal beroleh ganjaran pahala puasa setahun, sebagaimana dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang setahun”. ( Hadis Riwayat Muslim).

Ketetapan ini berdasarkan perkiraan jika setiap amalan kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Bermakna dengan berpuasa sebulan, sebanyak 300 kebajikan telah diperolehi kemudian ditambah lagi enam hari di bulan Syawal, maka genaplah seperti berpuasa 360 hari, iaitu kira-kira setahun.

Akhirnya, hayatilah pemergian Ramadan dengan ketakwaan dan sambutlah ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran. Semoga nikmat berpuasa di bulan Ramadan akan terus diraih tahun demi tahun sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.


Tuesday, August 16, 2011

Murid Melayu Islam: “Ya, saya tahu Nabi Isa sayangkan saya...”

Dipetik daripada AKhbar Utusan Malaysia bertarikh 17/8/2011. Tulisan oleh ZAINI HASSAN. BACA, PERHATI DAN BERTINDAK SEGERA UNTUK MEMPERKUKUH AKIDAH UMAT ISLAM SEJAGAT

PENDEDAHAN yang mahu dibuat ini diharap tidak akan menyusahkan semua pihak. Bukan semua orang yang sukakan kepada masalah.

Pejabat-pejabat kerajaan dan pihak berkuasa kadang kala tidak mahu menyusahkan diri dengan masalah-masalah seperti ini. Tapi demi akidah umat Islam yang sedang dicerobohi oleh pihak-pihak tertentu, maka menjadi kewajipan kita untuk mendedahkannya.

Selebihnya biarkan pihak berkuasa yang mengambil tindakan, lagipun itu adalah amanah yang diberikan rakyat kepada mereka.

Kisahnya datang daripada seorang cikgu sekolah rendah, berbangsa India (Cikgu S) yang amat prihatin kepada anak-anak muridnya. Satu petang beliau mencari nombor saya dan menghubungi saya di pejabat.

Cikgu S berkata kepada saya: “Saya terkejut apabila mendapati beberapa anak murid saya berbangsa Melayu dan beragama Islam murid Tahun 1 dan 6 boleh menyanyi dengan semangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.

“‘Mereka menyanyikan lagu Yes, I know Jesus loves me dengan begitu bersemangat lagi. Mereka juga menyanyikan lagi Hari Ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib. Saya terkejut bagaimana murid-murid ini boleh menyanyikan lagu-lagu itu?

“Malah mereka juga boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa dengan lancar sekali serta mengenai kisah Nabi Isa disalib.”

Itulah antara pendahuluannya kepada saya. Anak-anak murid cikgu ini adalah anak-anak Melayu miskin yang tinggal di kawasan setinggan di Jalan Klang Lama dalam kawasan Parlimen Seputeh.

Setiap hari Ahad, anak-anak miskin Melayu beragama Islam ini akan ke kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu. Pemuda-pemudi itu dikatakan pendakwah Kristian yang menjalankan kelas-kelas percuma untuk kanak-kanak itu.

Asal matlamatnya ialah untuk mengajar bahasa Inggeris. Maka, ibu bapa yang melepaskan anak-akan mereka itu yakin itulah yang diajar oleh pemuda-pemudi itu.

Namun, akhirnya secara kebetulan cikgu sekolah bernama Cikgu S itu dapat mengesan bahawa anak-anak muridnya sudah hafal dengan lagu-lagu berunsur Kristian yang memuji kebesaran Jesus Christ (Nabi Isa). Memanglah lagu-lagu itu dilagukan dalam bahasa Inggeris.

Bagi ibu bapa miskin yang tidak faham dengan bahasa orang putih itu, mereka tidak akan sedar bahawa lagu-lagu yang dinyanyikan oleh anak-anak kecil mereka itu ialah lagu keagamaan yang berlawanan dengan agama asal mereka.

Cikgu S yang mengajar anak-anak murid di sebuah sekolah kebangsaan di Jalan Kuchai Lama itu tersedar bahawa ada anak muridnya yang boleh menyanyikan lagu Inggeris tersebut.

“Saya terkejut kerana murid itu boleh menyanyikan lagu Nabi Isa. Saya mengajukan kepada pihak sekolah mengenai penemuan itu dan kepada cikgu-cikgu agama sekolah.

“Saya juga mengambil inisiatif menghubungi pejabat agama Islam untuk memaklumkan mengenai perkara ini. Bagi saya ia adalah serius.”

Cikgu S turut merungut kerana pihak pejabat agama Islam tidak respons cepat kepada aduannya itu. Beliau seterusnya menghubungi ke pejabat-pejabat lain, termasuklah kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mungkin Cikgu S tidak dilayan kerana mereka mahu cepat ke Bazar Ramadan!

Saya bertanya kepada Cikgu S mengapa cikgu begitu mengambil berat mengenai hal ini, sedangkan beliau bukan orang Islam dan berbangsa Melayu?

“Saya bangkitkan ini atas kesedaran bahawa apa yang dilakukan kepada anak-anak murid saya itu adalah satu kesalahan moral dan ia adalah tidak patut dan tidak adil berlaku kepada mereka.

“Sebagai seorang guru, anak-anak murid saya yang masih mentah ini tidak patut diterapkan dengan unsur-unsur Kristianiti oleh sesiapa pun. Biar orang sedar murid-murid saya menjadi mangsa ini...”

“Saya sedar mengenai perkara ini pada hari Jumaat dua minggu lalu dan dilihat tiada tindakan yang dibuat, walaupun aduan telah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Pelajaran Negeri.”

Malah Cikgu S juga turut menelefon sahabat baiknya, Ridhuan Tee Abdullah mengenai perkara ini.

Ridhuan Tee di dalam blognya, http://ridhuantee.blogspot.com menulis: ‘‘Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.

“Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya.”

Namun semasa kolum ini ditulis, saya difahamkan pihak sekolah telah menghantar satu laporan lengkap kepada Jabatan Pelajaran untuk tindakan susulan.

Menurut Cikgu S, hasil siasatannya dengan murid-murid itu, dia diberitahu cara pengajaran yang dilakukan oleh pemuda-pemudi itu cukup menarik malah kanak-kanak itu turut dibawa membeli-belah, berkhemah dan berjalan-jalan.

Bagi saya apa yang berlaku di kelas tuisyen di sebuah rumah itu merupakan satu gerakan halus. Ia bukan dilakukan secara suka-suka. Begitu juga yang berlaku di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya minggu lalu. Ia bukan berlaku secara kebetulan, tapi dirancang dengan begitu tersusun.

Matlamatnya ialah untuk menembusi akidah orang Melayu beragama Islam yang selama ini sukar ditembusi. Itulah sebabnya apabila orang Melayu Islam berpecah, maka unsur-unsur ini akan masuk sedikit demi sedikit ke dalam sistem umat Islam.

Persoalannya di mana NGO-NGO Islam kita yang kononnya kuat dan Islamik itu? Malangnya mereka ini lebih kuat berpolitik daripada menjalankan kerja-kerja dakwah yang sebenar.

Tahukah anda bahawa gerakan Kristian ini bukan sahaja bergerak secara agresif di negara ini, tapi juga melangkaui sempadan. Gerakan mereka ini tidak kelihatan dengan imej-imej pakaian ala berkopiah putih, tabligh atau purdah, tapi cukup halus.

Mereka juga membuka kelas-kelas bahasa Inggeris dan muzik di beberapa negara lain, termasuk di Vietnam, Kemboja, Indonesia. Namun ia bukan kelas bahasa Inggeris atau muzik yang biasa, niatnya ialah untuk menerapkan agama mereka.

Siapa sebenarnya yang salah dalam hal ini? Mana perginya Persatuan Mahasiswa Islam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang garang itu. Tapi mereka hanya garang kepada pemerintah kerajaan, yang bagi mereka itu tidak kena, ini tidak kena. Mengapa tidak dilakukan kerja-kerja sosial seperti yang dilakukan oleh gerakan Kristian itu?

Jika dulu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) amat aktif, tapi kini ia nampaknya longlai.

Pas, kini bukan Pas dulu lagi. Perjuangannya kini sudah jauh melencong, sehingga sanggup menggadaikan perjuangan demi hal-hal politik yang keterlaluan. Pas kini sanggup menghalalkan cara untuk mencapai matlamatnya.

Saya pernah syorkan UMNO menubuhkan sayap ulamanya supaya satu rangka kerja sosial dakwah dapat dijalankan dengan lebih tersusun.

Jika Pas sudah gagal, maka UMNO sebagai parti Islam Melayu ulung harus mengambil tugas itu. Tidak dinafikan usaha UMNO melalui kerajaan telah banyak menyebarkan syiar Islam di negara ini, tapi usaha kerja-kerja sukarela harus diperkuatkan supaya gerakan halus tersebut dapat ditangani.

Semasa saya menaip tulisan ini, saya menerima teks SMS daripada Cikgu S. Mesej beliau cukup menyentuh perasaan. Saya berharap dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini ia dapat membuka mata kita semua Melayu Islam: SMSnya berbunyi:

‘‘Terima kasih kerana mengambil serius tentang isu ini. Tahniah saya ucapkan. Saya sebagai Guru dan Anak Malaysia, sangat berharap agar tindakan tegas diambil demi menyelamatkan anak-anak kita yang diibaratkan sebagai ‘KAIN PUTIH’.

“Dengan bukti KUKUH ini, saya berharapan tinggi agar pendedahan ini akan dapat juga membuka mata umat Islam yang berpecah-belah kerana gilakan kuasa politik dengan terlepas pandang anasir di luar sana yang ‘SEDANG’ mengambil kesempatan ini terhadap anak-anak kita yang tidak berdosa.

“Dengan bukti kukuh ini juga biar dunia tahu tentang kesucian agama ISLAM, agama rasmi negara kita yang kita cintai. Semoga saudara diberkati. Salam 1Malaysia. Cikgu S.”

Benarlah sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan bagai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Namun dalam hal ini adakah salah ibu bapa yang miskin dan daif itu, atau salah kita semua...?

Sunday, August 14, 2011

Perjuangan yang belum selesai


KEMENANGAN tentera Islam bagi menegakkan yang hak seterusnya menghancurkan kebatilan dalam Peperangan Badar al-Kubra adalah perjuangan yang sangat signifikan bagi umat Islam pada kini. Pagi Jumaat bersamaan 17 Ramadan tahun ke-dua hijrah merupakan detik bersejarah dalam sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW dan sahabatnya kerana telah berjaya mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih lengkap dalam bidang persenjataan dan bilangan anggota tentera.

Sungguhpun begitu dalam konteks hari ini perjuangan dengan mengangkat senjata dan kekerasan bukanlah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam. Hanya golongan tertentu yang ditindas dan dizalimi seperti saudara Islam di Palestin wajib berjuang habis-habisan bagi mempertahankan agama, nyawa dan tanahair mereka daripada diceroboh oleh musuh Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama umat Islam diseluruh dunia diseru turut berjihad membantu dengan apa cara sekalipun bagi menyokong perjuangan mereka. Ini termasuklah bantuan kewangan dan ubat-ubatan juga buah fikiran yang bernas bagi membebaskan bumi Palestin daripada terus dijajah.

Disudut pandang yang lain umat Islam secara umumnya sedang berhadapan dengan perjuangan melawan hawa nafsu sendiri yang sering menjurus kepada perlakuan noda dan dosa sekalipun di bulan Ramadan al-Mubarak. Perbuatan mencemari kesucian Ramadan dengan perlakuan jijik seperti bersekedudukan, berkhalwat dan berpelukan di kawasan awam menunjukkan betapa ramai yang gagal mengawal nafsu sendiri. Ini ditambah lagi dengan perbuatan makan serta menghisap rokok dikhayalak ramai tanpa rasa malu serta tidak menghormati kesucian Ramadan. Lihatlah bagaimana jika nafsu serakah telah menguasai diri jenayah rogol dan pembunuhan juga turut menghiasi hari-hari Ramadan yang semakin pantas berlalu pergi.

Sebahagian yang lain pula terikut-ikut nafsu makan sehingga semua ingin dibeli walaupun hanya sedikit yang mampu dimakan ketika berbuka. Ada juga yang terpedaya dengan nafsu berbelanja lalu menjelang hari lebaran semuanya mesti nampak baharu dan bergaya. Kata-kata biar papa asal bergaya seperti sinonim dengan tindakan segelintir masyarakat sehingga ada yang sanggup berhutang demi untuk kepuasan nafsu yang tidak terbatas. Malah yang lebih membimbangkan apabila ada pihak yang sanggup menggadaikan akidah demi mengharap sesuap nasi yang sebenarnya racun yang bakal memurtadkan mereka.

Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW kepada sekumpulan sahabat yang baru pulang daripada satu peperangan; “Kamu pulang dari jihad kecil kepada jihad yang lebih besar iaitu mujahadah seseorang hamba terhadap nafsunya”. (Hadis riwayat al-Dailami).

Justeru itu jihad melawan hawa nafsu yang juga dikenali sebagai jihad al-Akbar perlu dilaksanakan dalam setiap gerak geri kehidupan pada masa kini. Apatah lagi dalam keadaan musuh nafsu yang tidak kelihatan lagi sukar dikawal. Perjuangannya juga tidak terbatas sama ada ketika bersendirian mahupun di khayalak ramai. Masanya juga tidak terhad, siang ataupun malam dan berlanjutan hingga seseorang menemui ajalnya. Malah dengan medan perjuangan melawan hawa nafsu yang luas dan tidak bertepi bukan calang-calang manusia yang mampu menjadi wira dalam perjuangan ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) ". (Surah ali-Imran:14).

Justeru itu kaum Muslimim diseru mengerahkan segenap usaha dan tenaga bagi mengharungi perjuangan menentang hawa nafsu sendiri dalam erti kata perjuangan yang belum selesai dan belum berakhir selagi hayat dikandung badan. Realitinya ia sesuatu yang sukar dan payah untuk dilestarikan. Walau bagaimanapun kemenangan tentera Islam dalam persitiwa Badar al-Kubra boleh dijadikan iktibar untuk mengharungi onak dan ranjau perjuangan mencari reda Ilahi.

Sayogia diketahui betapa manusia adalah hamba Allah yang lemah lagi tidak berdaya. Namun begitu pengharapan dan sandaran yang tidak berbelah bahagi kepada Allah SWT mampu memberi kekuatan yang diperlukan. Perhatikan bagaimana dengan bilangan tentera Islam yang berjumlah 313 orang beserta 70 ekor unta dan 2 atau 3 ekor kuda berjaya menewaskan tentera musuh yang berjumlah 1300 orang serta dilengkapi dengan 600 baju berantai, 100 ekor kuda dan unta yang tidak diketahui bilangannya.

Selain daripada itu dengan munajat Rasulullah SAW yang bersungguh-sungguh disertai kecekalan dan keimanan para sahabat Allah SWT menurunkan bantuan bala tentera malaikat yang membantu kaum Muslimin di saat getir menentang golongan kuffar. Menurut riwayat Ibnu Saad dan Ikrimah ada kepala dan tangan tentera musuh yang terputus tanpa kelihatan sesiapa yang memancungnya. Menurut riwayat Ibnu Abbas pula ada seorang tentera Muslimin mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar pula suara pahlawan berkuda. Malah Iblis yang turut menyertai peperangan itu lari bertempiran apabila melihat kemaraan tentera malaikat dalam peperangan tersebut sebagaimana yang diceritakan dalam Kitab Sirah Ibnu Hisyam.

Justeru itu sebelum berakhirnya Ramadan dan manusia terpaksa bertarung dengan dua musuh;hawa nafsu sendiri dan Iblis yang kembali bebas menyesatkan manusia, berusahalah untuk mendidik jiwa dengan amalan ketaatan yang bersungguh-sungguh disamping bermunajat kepada Allah SWT. Berusahalah untuk beroleh perisai takwa yang merupakan hadiah paling berharga atas susah payah mengharungi Ramadan sebagai persediaan untuk berjuang mati-matian demi memerdekakan diri daripada belenggu nafsu dan kejahilan yang merosakkan.

Masyarakat Islam juga diseru untuk berjihad mempertahankan kesucian akidah dan keimanan daripada dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat yang cuba untuk memesongkan ajaran Islam yang suci. Apalah ertinya pangkat, kedudukan dan kemewahan yang dimiliki jika tidak sanggup menyumbang untuk memelihara akidah saudara sendiri yang dibelenggu oleh kemiskinan sehingga terpaksa melutut dan menadah tangan kepada mereka yang belum tentu ikhlas memberi.

Thursday, August 11, 2011

Bersegera raih bonus Ramadan semaksimum mungkin

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos 2011.

JIKA pemberian bonus oleh kerajaan kepada warga peneroka Felda seluruh negara disambut dengan penuh kegembiraan, begitu pula pengumuman bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada pekerja sektor awam melegakan menjelang hari lebaran, ganjaran pahala berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah SWT di bulan Ramadan juga seharusnya diraih dengan komitmen bersungguh-sungguh oleh individu Muslim.

Kurniaan pahala yang berlipat kali ganda itu juga tak ubah seperti bonus tahunan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit semata-mata mengharap keampunan daripada-Nya.

Justeru, kesempatan masa yang masih berbaki, umat Islam diseru untuk memanfaatkannya dengan semaksimum mungkin. Selain berusaha untuk mempertingkat ibadah puasa ke tahap yang tertinggi, amalan yang lain juga boleh dilakukan.

Apalah salahnya jika waktu makan tengahari di bulan Ramadan diganti dengan berkunjung ke masjid dan surau terdekat untuk menunaikan solat fardu secara berjamaah.

Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai-santai kerana Ramadan yang datang semakin pantas pergi meninggalkan kita. Cakap-cakap seperti nantilah dan sibuklah seharusnya diganti dengan semangat berkobar-kobar untuk beribadah sebagai tanda syukur bertemu Ramadan lagi.

Diriiwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman r.a. bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di hari terakhir bulan Syaaban dengan maksudnya: "Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan yang agung, bulan yang penuh keberkatan; iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kefarduan dan qiyam di malam harinya suatu galakkan.

"Barang siapa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah sunat, samalah seperti orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu di dalam bulan Ramadan, samalah seperti mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain.

"Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu ganjarannya syurga. Ramadan itu adalah bulan kemurahan dan bulan Allah menambah rezeki kepada orang Mukmin.

"Barang siapa memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, akan beroleh pengampunan daripada dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dan ia akan mendapat pahala seperti mana orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun".

Kesemua ganjaran ini tidak akan datang bergolek tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Begitu pula ia tidak semudah menuturkan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan dan semangat jihad yang tinggi kerana ganjaran syurga sebagai balasannya juga sesuatu yang tidak ternilai.

Setiap individu Muslim boleh merebut peluang ini dengan berusaha untuk melipatgandakan ibadah dengan berpuasa di siang hari dan bertarawih serta qiamullail di waktu malam. Apatah lagi menjelang 10 hari terakhir Ramadan yang menjanjikan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT.

Malah masjid dan surau-surau yang meriah di awal Ramadan kini mula lengang jelas menunjukkan betapa hanya golongan terpilih sahaja yang bakal dianugerahkan oleh Allah SWT dengan bonus Ramadan.

Amalan bersedekah dan infaq fi sabilillah juga turut boleh dipergiatkan lagi. Selain itu perintah wajib mengeluarkan zakat fitrah janganlah pula diabaikan.

Usah menunggu hingga ke saat akhir bagi memudahkan urusan agihan zakat fitrah kepada golongan memerlukan dapat diselesaikan seawal yang mungkin.

Dalam pada itu tindakan sesetengah pihak yang memperalatkan anak yatim, orang buta dan komuniti OKU untuk meraih pendapatan lumayan khususnya di bulan Ramadan adalah sesuatu yang amat dikesali. Mereka sepatutnya dikasihi dan dibantu bukan dipergunakan untuk meminta sedekah, menjual madu dan kitab-kitab agama.

Ramadan kini mula memasuki 10 hari kedua dengan dijanjikan ganjaran pembebasan daripada api neraka khusus bagi yang sanggup bersengkang mata dan berkorban apa sahaja demi kerana Allah SWT.

Justeru umat Islam diseru untuk bersedia memecut laju melipatgandakan usaha dan tenaga untuk beroleh nikmat beribadah di malam lalilatulqadar yang menyamai pahala beribadah seribu bulan ataupun 83 tahun.

Wednesday, August 3, 2011

RAMADAN BULAN IBADAH

JIKA pemberian bonus oleh kerajaan kepada 112,635 warga peneroka Felda seluruh negara yang berjumlah RM42.6 juta disambut dengan penuh kegembiraan, ganjaran pahala berbakti dan mengabdikan diri kepada Allah SWT di bulan Ramadan juga seharusnya diraih dengan komitmen bersungguh-sungguh oleh individu Muslim. Kurniaan pahala yang berlipat kali ganda itu juga tak ubah seperti bonus tahunan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba Nya yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah wang ringgit semata-mata mengharap keampunan daripada Nya.

Justeru itu dengan kesempatan masa yang ada umat Islam diseru untuk memanfaatkannya dengan semaksima mungkin. Selain berusaha untuk mempertingkat ibadah puasa ke tahap yang tertinggi, amalan yang lain juga boleh dilakukan. Apalah salahnya jika waktu makan tengahari yang KIV di bulan Ramadan diganti dengan berkunjung ke masjid dan surau terdekat untuk menunaikan solat fardu secara berjamaah. Masa yang terluang seusai solat fardu kemudiannya dapat diisi pula dengan solat-solat sunat, mengaji sehelai dua ayat-ayat al-Quran mahupun berzikir bagi mendekatkan diri kepada Ilahi.

Elakkan daripada banyak tidur dan bersantai-santai kerana Ramadan yang datang semakin pantas pergi meningglkan kita. Cakap-cakap seperti nantilah, malaslah dan lain-lain seharusnya diganti dengan semangat berkobar-kobar untuk beribadah sebagai tanda syukur bertemu Ramadan lagi. Malah ketidakpastian untuk bertemu Ramadan lagi sehingga seolah-olah inilah Ramadan terakhir dalam diari kehidupan setiap Muslim seharusnya menjadi motivasi untuk bangkit berbakti kepada Ilahi. Apatah lagi dengan peluang keemasan musuh Iblis dibelenggu, pintu syurga dan rahmat Allah SWT terbuka luas dewasa ini.

Diriiwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman r.a. bahawa Rasulullah SAW berkhutbah di hari terakhir Bulan Syaaban dengan maksudnya “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kаmu bulan yang agung, bulan yang penuh keberkatan; iaitu bulan yang didalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu kefarduan dan qiyam di malam harinya suatu galakkan. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadah sunat, samalah seperti orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Barang siapa menunaikan suatu fardu di dalam bulan Ramadan, samalah seperti mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain. Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu ganjarannya syurga. Ramadan itu adalah bulan kemurahan dan bulan Allah menambah rezeki kepada orang Mukmin. Barangsiapa memberi makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, akan beroleh pengampunan daripada dosa dan pembebasan daripada api neraka. Dan ia akan mendapat pahala seperti mana orang yang berpuasa itu tanpa berkurang sedikit pun”.

Kesemua ganjaran ini tidak datang bergolek tanpa usaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Begitu pula ia tidak semudah menuturkan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan dan semangat jihad yang tinggi kerana balasan syurga juga tidak ternilai dan terlalu mahal untuk dimilliki.

Walau bagaimanapun setiap individu Muslim boleh merebut peluang ini dengan berusaha untuk berpuasa dengan sempurna di siang hari dan bertarawih serta qiamullail di waktu malam. Masjid dan surau-surau yang berselerak di seluruh negara malah begitu meriah sekali ketika ini juga seolah-olah memanggil-manggil umat Islam untuk mengimarahkannya melalui aktiviti solat fardu secara berjamaah, iktikaf dan lain-lain.

Sementara itu anak-anak juga patut didedahkan dengan tuntutan ibadah yang pelbagai di Bulan Ramadan. Ini dapat dilakukan dengan membawa mereka solat berjamaah dan menyertai aktiviti tadarus al-Quran terutama bagi yang sudah lancar membacanya. Amalan baik seperti ini diharap dapat memberi pendedahan kepada generasi muda akan tradisi ibadah khususnya di bulan Ramadan supaya dapat diteruskan di masa hadapan.

Amalan bersedekah dan infaq fi sabilillah juga turut boleh dilaksanakan. Ini termasuklah menyediakan juadah berbuka puasa dan memberi sumbangan makanan kepada golongan fakir miskin. Kebiasaan menjemput anak yatim, orang tua daripada rumah kebajikan patut diteruskan dan diperluaskan lagi supaya semua dapat merasa nikmat ketibaan Ramadan al-Mubarak. Dalam pada itu perintah wajib mengeluarkan zakat fitrah janganlah pula diabaikan. Bersegeralah untuk melunaskan tanggungjawab tersebut kepada amil-amil bertauliah yang kini turut berada di pusat tumpuan orang ramai. Usah menunggu hingga ke saat-saat akhir bagi memudahkan urusan agihan zakat fitrah kepada golongan memerlukan yang turut ingin bergembira di hari lebaran.

Tindakan sesetengah pihak yang memperalatkan anak yatim, orang buta dan komuniti OKU untuk meraih pendapatan lumayan khususnya di bulan Ramadan adalah jauh menyimpang daripada peraturan syariat. Malah golongan ini yang pernah mendapat perhatian khusus oleh Baginda Nabi Muhammad SAW semasa hayatnya tidak boleh dieksploitasi demi kepentingan peribadi dan kepentingan lain yang negatif. Golongan ini sepatutnya dikasihi dan dibantu bukan dipergunakan untuk meminta sedekah, menjual madu di stesyen-stesyen minyak dan sebagainya.

Semoga Ramadan yang masih muda dapat diisi dengan tuntutan ibadah sebanyak-banyaknya bagi meraih ganjaran utama kemenangan Ramadan iaitu sifat takwa kepada Allah SWT. Untuk itu banyakkan berdoa memohon keampunan, rahmat dan petunjuk daripada Allah SWT yang juga merupakan suatu ibadah terutama di bulan yang mustajab doa ini.