Tuesday, April 22, 2014

SEGERA TUBUHKAN POLIS ADAB DI MALAYSIA



Budaya hidup yang dpenuhi dengan keseronokan semata-mata jelas menyimpang dari pada tujuan dan matlamat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Umat Islam secara khususnya perlu menyedari betapa Allah SWT menciptakan manusia dengan tujuan utama untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Nya dalam skop yang luas dan menyeluruh. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”. (Surah al-Dzariyat:56).

Sehubungan dengan itu semua lapisan masyarakat tidak kira tua ataupun muda perlu menterjemahkan ayat ini dalam realiti kehidupan sebenar dengan berusaha untuk berbakti dan menimbun amalan baik bagi mengharap keredaan Ilahi.Perlakuan songsang segelintir masyarakat Islam yang hidup dengan hanya berfoya-foya, berseronok sepanjang masa tanpa memahami tujuan penciptaan manusia patut dibendung dan dibimbing untuk kembali kepada ajaran agama yang suci.

Perbuatan segelintir muda-mudi dan remaja Islam yang berpesta arak, terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan pil ecstacy juga pelbagai perlakuan maksiat termasuk berkhalwat, melakukan aktiviti seks luar nikah dan lain-lain adalah keseronokan sementara yang akan sirna apabila tiba masanya. Lebih membimbangkan lagi apabila golongan ini tidak menyedari bahawa perlakuan mereka dikutuk oleh agama lagi tersasar dari pada tatasusila dan cara hidup manusia yang beragama.

Sedarlah betapa kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak lebih sebagai seorang pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju ke suatu destinasi. Adalah molek bahkan merupakan sesuatu yang dituntut untuk manusia mengumpul seberapa banyak bekalan sepanjang perjalanan bagi keperluan perjalanan seharian mahupun ketika sampai ke tempat yang dituju.

Begitulah halnya dengan kehidupan dunia yang sementara yang mana setiap yang bernyawa pasti akan binasa. Apabila tiada bekalan amal yang mencukupi dapat dibawa untuk kehidupan lain yang kekal abadi pasti kehidupan disana akan lebih sukar dan menyeksakan.

Ingatlah juga bahawasanya umur pinjaman Allah SWT kepada manusia adalah terhad bukan untuk selama-lamanya. Apabila ajal datang secara tiba-tiba, tanpa disangka-sangka apatah lagi dalam keadaan sedang bergelumang dengan dosa dan maksiat kepada Allah SWT apakah yang dapat diharapkan dari pada penghabisan umur dalam keadaan yang menyedihkan seperti itu.

Lebih dari pada itu golongan rosak akhlak seperti ini perlu ditarbiyah dan dibimbing kepada jalan yang sebenar. Ini kerana mereka sebenarnya terkesima dengan keseronokan yang tiada batasan tanpa sedar bahawa mereka sebenarnya tertipu dengan nafsu dan keinginan sendiri. Mereka perlu dikejutkan dari pada lamunan dan mimpi-mimpi yang disangka indah kerana pandangan mata hati sudah tertutup dek dosa dan noda hitam yang dilakukan saban hari.

Penulis merasakan sudah tiba masanya pihak-pihak berwajib duduk semeja mencari jalan penyelesai kepada masalah umat yang tidak bertepi ini. Ia seakan barah yang sudah sampai ke tahap yang paling kritikal sehingga begitu sukar untuk dibendung lagi. Malah seluruh masyarakat seakan-akan sudah mual dengan berita-berita kerosakan akhlak yang sering didengar akhir-akhir ini.

Penulis mencadangkan agar golongan muda-mudi dan remaja Islam yang didapati hidup dengan budaya hedonisme melampau seperti ini dikuarantin sementara di pusat-pusat pemulihan akhlak yang boleh ditubuhkan oleh pihak kerajaan bagi menyedarkan mereka tentang tujuan hidup yang sebenar. Atau boleh juga golongan seperti ini ditempatkan di kem-Kem Latihan Khidmat Negara atau Kem Bina Negara untuk tempoh tertentu bagi menyedarkan mereka betapa golongan muda-mudi adalah aset yang amat berharga kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.

Pakar-pakar motivasi dan ilmuan Islam yang tersohor lagi dikenali diseluruh negara boleh dijemput untuk sama-sama membantu membimbing golongan ini supaya tidak terus tersesat dalam kehidupan yang dipenuhi dengan dosa dan maksiat setiap hari.

Cadangan penubuhan skuad penguatkuasa akhlak atau Polis Akhlak dan Polis Adab yang pernah diutarakan sebelum ini patut diperhalusi semula bagi menguatkuasakan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan nilai moral dan akhlak yang mulia. Ini penting bagi mengelak ia terus menular dalam masyarakat sehingga menggangu ketenteraman awam dan masyarakat setempat.

Malah skop dan bidang tugas mereka boleh juga diperluaskan kepada penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan akhlak yang lain seperti berpakaian menjolok mata lagi mendedahkan aurat dikhalayak ramai. Ia dilihat sebagai sebahagian dari pada tanggungjawab pemerintah untuk melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar yang diperintahkan oleh agama. Kemungkinan juga model penguatkuasaan akhlak ini boleh dicontohi dari pada negara-negara lain yang sudah lama mengamalkannya lalu disesuaikan dengan persekitaran dan situasi di Malaysia.

Sesungguhnya tidak ada jalan penyelesai kepada kemelut moral dan akhlak seperti ini kecuali kembali kepada ajaran agama yang sebenar. Untuk itu juga ketika dikuarantin mereka perlu dilatih supaya sentiasa mengerjakan solat lima waktu selain dilibatkan dengan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti bergotong royong dan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Modul asas-asas akidah, syariah dan akhlak juga molek disampaikan kepada mereka sebagai bekalan mengharungi liku-liku hidup seharian apabila kembali kepada semula ke pangkuan masyarakat.

Mudah-mudahan kalaupun tidak semuanya insaf dan bertaubat dari pada terus berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa, diharapkan lahirlah benih-benih yang baik dari pada program pemulihan tersebut lalu dicampakkan ke dalam masyarakat dan ia tumbuh serta bermanfaat kepada yang lain. Persoalannya jika ada negara tertentu boleh menguatkuasakan undang-undang moral sehingga boleh menghukum artis memandu secara mabuk dan penyalahgunaan dadah yang melampau di pusat pemulihan akhlak serta dikehendaki melakukan aktiviti kemasyarakatan selama berbulan-bulan lamanya, mengapa tidak kita mencontohi mereka bagi membendung gejala moral yang semakin bernanah ini.