Monday, February 28, 2011

Jom tunaikan solat

WALAUPUN tiada statistik terperinci untuk dipaparkan, pemerhatian rambang memadai bagi membuktikan betapa ramai yang alpa dan lalai daripada melaksanakan ibadah yang paling utama iaitu solat. Terdapat di kalangan umat Islam yang lebih mementingkan keperluan fizikal berbanding santapan rohani yang mampu memberi kekuatan kepada ummah seluruhnya. Mereka lebih seronok berborak di meja makan sekalipun surau dan masjid di depan mata. Malah laungan azan yang berkumandang seakan gemeresik bunyi lagu yang begitu enak didengar tetapi kemudian dilupakan begitu sahaja.

Setiap Individu Muslim sewajarnya memahami bahawa solat adalah tunjang ibadah yang wajib ditunaikan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Ia perkara pertama yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari akhirat kelak. Pelbagai alasan seperti sibuk, tiada pakaian sesuai dan malas yang sering dikemukakan untuk tidak melaksanakan kewajipan itu hendaklah diganti dengan berusaha sedapat mungkin solat sama ada bersendirian atau yang afdal secara berjemaah. Ini termasuklah solat fardu Jumaat yang wajib dilakukan hanya seminggu sekali oleh setiap individu Muslim yang mukallaf.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, Barang siapa yang melalaikan dan meninggalkan sembahyang lima waktu yang difardukan akan diseksa oleh Allah SWT dengan lima belas jenis hukuman ketika di dunia, saat kematian dan ketika di dalam kubur. Antara seksa semasa di dunia ialah, hilang keberkatan umur, tiada keberkatan rezeki, dihilangkan tanda orang soleh pada wajahnya, tidak diakui daripada kalangan orang Islam, segala amal baiknya tidak diberi ganjaran dan doa serta permohonannya juga tertolak.

Dalam riwayat yang lain pula dinyatakan “Bermula orang yang meninggalkan sembahyang itu tidaklah ia termasuk golongan orang Islam. Allah SWT tidak menerima tauhid dan imannya, dan tiada faedah sedekah, puasa dan syahadahnya. Kemudian para sahabat bertanya, Ya Rasulullah apakah seksa yang akan diterima sewaktu hampir ajalnya “Baginda bersabda, Adalah matinya dalam keadaan kehinaan, matinya dalam keadaan kelaparan, matinya juga dalam keadaan kehausan yang bersangatan. Kemudian para sahabat bertanya lagi, Ya Rasulullah, apakah pula seksa yang akan diterima dalam kuburnya? Baginda bersabda, Disempitkan Allah akan kuburnya dan digelapkan. Allah SWT akan memerintahkan malaikat ke kuburnya yang akan menyeksanya hingga hari kiamat tanpa henti.

Seyogia ditegaskan betapa kewajipan solat tidak wajar dipandang remeh. Selain berbagai hukuman Tuhan menanti di hari kemudian, individu yang tidak solat akan diselubungi perasaan gundah-gulana, meraba-raba mencari ketenangan hidup malah jauh daripada rahmat serta petunjuk Ilahi. Golongan ini kemungkinan akan terdedah pula melakukan kegiatan negatif yang lain kesan daripada ketiadaan perisai dan benteng yang berupaya mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar yang dilakukan oleh masyarakat Islam hari ini.

Sehubungan dengan itu, semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan agar kewajipan ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Misalnya sewaktu di rumah Ibu bapa memainkan peranan signifikan untuk melatih dan mendidik anak-anak agar sentiasa melaksanakan solat. Tugas yang berat bagi sesetengah individu Muslim ini perlulah terlebih dahulu dimulai dengan diri sendiri. Jika tidak ia tak ubah seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri tidak mampu melakukannya.

Pendidikan solat hendaklah dimulakan seawal kanak-kanak berusia tujuh tahun dan berterusan sehingga umurnya sepuluh tahun. Setelah itu jika dia enggan atau lengah untuk melaksanakannya bolehlah dirotan sebagai satu daripada kaedah pendidikan solat yang disyariatkan. Kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab ini boleh jadi menyebabkan anak-anak alpa dengan kewajipan solat sehingga zuriat keturunan yang lahir daripada mereka juga dikhuatiri terdiri daripada kelompok yang mengabaikan kewajipan solat.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar menghantar anak-anak ke sekolah agama di mana mereka akan diajar serta dididik akan tatacara solat dengan sempurna. Apatah lagi jika ibu bapa kurang mahir tentang selok-belok pelaksanaan sesuatu ibadah yang difardukan. Malah jika ada golongan dewasa yang masih tidak tahu mengerjakan solat mereka berkewajipan untuk berguru sehingga tahu untuk menunaikan kewajipan tersebut.

Perasaan malu seharusnya dibuang jauh-jauh. Apa yang penting ialah keinginan dan komitmen berterusan untuk melaksanakan solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang disyariatkan. Malah segala pengorbanan masa, wang ringgit dan tenaga yang disumbangkan untuk merealisasikan nilai ubudiyyah yang hakiki pasti diberi ganjaran setimpal yang tidak ternilai apabila sampai ketikanya. Sedarlah juga betapa ketika solat individu Muslim bermunajat kepada Tuhan Nya sehingga dengan cara itu terjalinlah hubungan erat antara makhluk dan khalik.

Bagi menyemarakkan kembali kesedaran untuk solat, kempen dan ceramah mengenainya patut diperluaskan kepada golongan sasar yang spesifik seperti di sekolah, di pejabat dan kawasan perindustrian. Papan tanda berserta ungkapan “Sembahyang lah sebelum kamu di sembahyangkan” juga elok diperbanyakkan dan diletakkan di kawasan strategik bagi mengingatkan umat Islam yang lalai. Penganjur program-program tertentu juga dinasihat agar lebih prihatin dengan mengumandangkan azan radio melalui corong pembesar suara apabila masuk waktu solat. Setidak-tidaknya ia dapat mengingatkan umat Islam untuk solat sekalipun tidak dapat menyediakan kemudahan surau kerana kekangan tempat dan sebagainya.

Sesungguhnya nikmat kuasa pemerintahan di tangan orang Islam, nikmat keamanan dan nikmat kemudahan untuk melaksanakan pelbagai kewajipan agama yang terbentang luas di negara kita hendaklah disyukuri. Di sana sini tersergam indah masjid dan surau yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk tugasan ibadah khusus tetapi ia juga merupakan lambang kesatuan ummah yang berpaksikan tauhid dan ketakwaan kepada Allah SWT. Perhatikan pula bagaimana di sesetengah negara tiada kemudahan serupa disediakan sehingga ada yang terpaksa solat di kaki lima sehingga menjadi perhatian dan kemungkinan ejekan oleh orang lain.

Oleh itu, menjadi kewajipan setiap individu Muslim berusaha melunaskan tanggungjawab ini dengan kadar yang sempurna sambil berharap reda dan keampunan dari Nya. Mudah-mudahan harapan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mendapat keredaan Ilahi akan terbukti suatu hari nanti. Tentunya ia lahir dengan komitmen dan kesungguhan umat Melayu Islam di bumi bertuah ini untuk merealisasikan ibadah dan kerjaya kendiri dengan sebaik mungkin.

Sunday, February 20, 2011

Hebatnya penangan Facebook

NAMA Wael Ghoniem mungkin tidak begitu dikenali berbanding Mark Zuckerberg seorang warga Amerika Syarikat yang menjadi pengasas dan pereka kepada laman sembang sosial Facebook. Menurut laman sesawang Forbes.com beliau kini memiliki kekayaan sejumlah USD6.9 billion, meletakkannya pada tangga ke-212 daripada ranking individu terkaya di dunia. Malah dengan usia yang baru mencecah 26 tahun beliau telah berjaya menjadikan laman Facebook sebagai sesuatu yang tidak dapat dapat dipisahkan daripada kehidupan kira-kira 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia pada tahun 2010 yang lalu.

Manakala Wael Ghoniem pula seorang pemuda Arab Mesir yang bertugas sebagai eksekutif di Google Inc. yang berpengkalan di Dubai. Namanya mula disebut-sebut sebagai wira yang berjaya mempengaruhi golongan muda Mesir untuk bangkit menggulingkan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak. Semua ini dikatakan bermula apabila beliau telah menggunakan laman sembang Facebook sebagai medium untuk menarik golongan anti-kerajaan berkampung di Dataran Tahrir selama 18 hari lalu berjaya memaksa Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Malah dengan perkembangan terkini di Yemen, Algeria, Libya, Bahrain dan beberapa negara Arab yang lain, sudah pasti laman Facebook rancak digunakan untuk meraih simpati dan sokongan golongan anti-kerajaan bagi menyokong perjuangan mereka. Begitulah hebatnya penangan Facebook sehingga jatuh bangun seorang pemimpin negarapun boleh ditentukan.

Namun di Malaysia lain pula ceritanya. Laman sembang Facebook yang sepatutnya dimanfaatkan untuk berhubung dan mempererat silaturrahim kini mula disalahgunakan. Penyalahgunaan laman sembang sosial ini mula diperkatakan disana-sini. Kebimbangan itu sememangnya berasas kerana ia mampu meruntuhkan sebuah institusi rumahtangga yang terbina atas dasar saling bertanggungjawab dan saling percaya-mempercayai antara pasangan suami isteri.

Akibatnya ada pasangan yang tanpa sedar bermain kayu tiga kerana terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumahtangga diluahkan kepada individu maya yang kemungkinan mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Ada juga yang telah bergelar isteri seakan muda remaja semula apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah berselerak tidak terurus.

Dalam hal ini pandangan oleh Ustaz Hj Zawawi Jusoh, seorang pendakwah bebas patut dijadikan iktibar. Menurut beliau lagi dengan berkelakuan begitu isteri sebenarnya telah melakukan dosa dengan membenarkan lelaki bukan mahram masuk ke rumah tanpa pengetahuan dan izin suami. Apatah lagi jika isteri mula bercinta dan berkasih di alam maya yang kemungkinan boleh menyebabkan pergaduhan dan perceraian yang dimurkai Tuhan. Dalam hal ini golongan suami juga tidak terkecuali menyebabkan ada yang mula mengabaikan keperluan rumahtangga kerana bercinta semula di Facebook.

Terdapat pula dikalangan pelajar sekolah yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulangkaji pelajaran terabai. Akibatnya banyak masa dibazirkan kepada perkara-perkara yang kurang bermanfaat dan merosakkan pemikiran muda-mudi Islam. Malah ia juga boleh menyebabkan seseorang terjebak dalam kancah dosa apabila caci makian dan perkataan berunsur lucah digunakan dalam komunikasi seharian.

Laporan akhbar juga menyebutkan bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Akibatnya ada gadis-gadis tempatan yang terjebak dan merengkok dalam penjara di luar negara kerana telah diperalatkan demi habuan lumayan yang dijanjikan kepada mereka.

Justeru itu, tidak keterlaluan jika dikatakan laman sembang sosial yang hangat diperkatakan dewasa ini adalah suatu bentuk dosa dan jenayah alaf baru yang tanpa disedari telah menyebabkan masyarakat Islam bergelumang dengan dosa dan noda setiap masa. Mana tidaknya pembohongan dan penipuan kelihatan sinonim dengan kecanggihan teknologi ICT ini.

Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di pejabat menerusi laman Facebook daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan. Perbuatan sebegini sewajarnya dielakkan kerana ia melibatkan punca rezeki yang kemudiannya digunakan pula untuk menyara kehidupan keluarga. Yang pasti keberkatan daripada wang gaji yang diperoleh setiap bulan boleh jadi hilang disebabkan gagal melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan dengan sempurna. Begitulah hebatnya penangan Facebook kerana berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Sehubungan dengan itu sesuatu perlu dilakukan bagi membendung masalah ini daripada terus berlanjutan dan boleh jadi merosakkan pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Golongan cerdik pandai Islam diseru berbincang dan memikirkan secara terperinci tentang penyalahgunaan laman sembang sosial seperti Facebook dan lain-lain yang mula menular dengan begitu hebat ke dunia Islam keseluruhannya. Sebelum terlambat pepatah mencegah lebih baik daripada mengubat patut menjadi renungan pihak berwajib bagi mengelak nasi ditanak menjadi bubur. Perkara ini juga amat bersesuaian dengan prinsip maqasid syariah yang bertujuan untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Tidak dinafikan berbagai laman sembang sosial yang wujud hari ini seperti MySpace, Twitter, Facebook dan lain-lain mampu menghubungkan manusia yang terpisah dengan sempadan negara dan budaya tersendiri. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiyah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada. YAB Perdana Menteri sendiri menjadikan rakan Facebook dan Twitter sebagai antara medium untuk bertukar pandangan dan pendapat bersama rakyat pelbagai bangsa di Malaysia. Mereka yang minat berbisnes secara online juga boleh memanfaatkan kemudahan ICT ini bagi mengembangkan perniagaan sendiri.

Akan tetapi jika penyalahgunaan laman sembang sosial ini tidak diperhalusi oleh setiap individu yang terlibat kemungkinan ia akan menyumbang kepada masalah baru yang sukar dibendung kelak. Ini kerana budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburukkan sesama sendiri seakan berkembang subur dalam pelbagai laman sembang sosial yang wujud dewasa ini. Lebih membimbangkan apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Keburukan ini semakin meruncing apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan hasil janaan pemikiran manusia yang terhad untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh bertindak pada bila-bila masa, melakukan pelbagai kejahatan tanpa disedari.

Sunday, February 13, 2011

Contohi kasih sayang Nabi

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Feb. 2011. Ia juga turut disiarkan dalam Ruangan Surat Akhbar Berita Harian.

SECARA kebetulan Valentine Day’s atau hari kekasih yang disambut oleh sesetengah masyarakat dunia pada tahun ini berlaku sehari sebelum umat Islam memperingati keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Uniknya lagi kelahiran insan agung ini membawa seribu kasih sayang dan rahmat buat seluruh alam.

Sebelum kelahirannya masyarakat Arab tanpa rasa belas kasihan tergamak membunuh anak perempuan yang baru dilahirkan hanya kerana malu dan memandang rendah kepada kedudukan kaum wanita. Pengutusan Baginda Nabi SAW telah meletakkan wanita setanding lelaki, mereka di beri hak untuk hidup, hak untuk mewarisi harta pusaka dan lebih mulia lagi apabila diberi hak ihsan dan belas kasihan sehingga ketaatan kepada ibu bakal membawa ke syurga.

Namun kini, apa yang berlaku sebaliknya. Terdapat di kalangan wanita yang secara sengaja menjatuhkan maruah dan kehormatan diri dengan terlibat dalam aktiviti negatif seperti pelacuran, GRO dan bohsia. Ramai pula yang tanpa segan silu memperagakan pakaian menjolok mata lalu menyumbang kepada peningkatan statistik rogol dan salah laku seksual.

Golongan wanita yang secara umumnya berperawakan ayu, lemah-lembut dan di penuh kasih sayang seorang ibu pula, kini seolah-olah menjadi ganas dan tidak berperikemanusiaan lagi. Mana tidaknya ada dikalangan mereka yang tergamak membuang dan membunuh bayi darah daging sendiri. Entah di mana silapnya sehingga ajaran Nabi yang murni supaya menghormati yang tua dan menyayangi yang muda tidak diendahkan. Akhlak Nabi SAW sendiri yang sangat mengasihani kanak-kanak terutama golongan miskin dan anak yatim juga langsung tidak dipedulikan. Saidina Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW adalah individu yang paling sayang kepada wanita dan anak-anak. (Riwayat Muslim)

Selain daripada itu nilai kasih-sayang dalam kehidupan pasangan berumahtangga juga kelihatan mula hilang sedikit demi sedikit. Mungkin kerana kesibukan kerjaya hingga tanggungjawab terhadap anak-anak jadi terabai. Anak-anak juga mula hilang respek terhadap ibubapa. Laporan media-massa menunjukkan bagaimana ada anak yang sanggup tidak mengaku ibu yang pernah melahirkannya hanya kerana termakan pujuk rayu kekasih yang baru sahaja dikenali.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sering bergurau senda bersama isteri-isterinya. Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berlumba berjalan laju bersama Aisyah RA lalu Aisyah mengalahkannya. Kemudian pada kesempatan yang lain Nabi SAW pula mengalahkan isterinya, lalu baginda Nabi SAW bersabda “Yang ini balasan bagi yang lalu”. (Riwayat Abu Dawud)

Boleh jadi semua gejala ketirisan nilai kasih sayang ini berlaku kerana segelintir umat Islam kurang memahami erti kasih sayang sebenar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Ketidakfahaman itu menyebabkan golongan muda-mudi Islam terikut-ikut dengan budaya songsang yang dicedok daripada orang lain tanpa menyedari betapa Islam memiliki khazanah akhlak mulia yang sesuai diamalkan pada bila-bila masa.

Lebih membimbangkan lagi apabila ada yang melihat kasih sayang sebagai tiket untuk berbuat dosa dan maksiat yang dilarang. Kasih sayang pada pandangan mereka menghalalkan apa sahaja keinginan nafsu serakah manusia. Mereka mudah termakan pujuk rayu syaitan lalu berkhalwat dan bersekedudukan tanpa rasa bersalah. Perbuatan keji seperti berpelukan dan berciuman diantara pasangan kekasih yang sedang bercinta juga dianggap perkara biasa.

Amalan keji seks luar tabii juga mula mendapat tempat di hati segelintir golongan yang sebenarnya jahil walaupun berjaya memperoleh segulung ijazah. Mereka tertipu dengan keinginan untuk menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada pasangan sesama jenis. Perbuatan hina seperti ini jika dibiarkan berterusan dibimbangi akan membiak persundalan dalam masyarakat. Kemurkaan Ilahi atas kejahatan manusia juga boleh jadi mengundang kemurkaan Tuhan lalu apa yang pernah berlaku kepada kaum Nabi Luth dan masyarakat Pompei di Itali suatu ketika dahulu berulang kembali.

Sehubungan dengan itu bersempena dengan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada tahun ini umat Islam diseru menghayati sirah perjuangannya yang penuh dengan perasaan kasih sayang bersama para isteri dan sahabat-sahabatnya. Malah akhlak mulia seperti itulah yang menjadikan Islam berjaya diterima dan berkembang hingga ke seantero dunia. Perkara ini juga sangat bersesuaian dengan tujuan utama pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia yang satu daripadanya adalah rasa kasih sayang kepada sesama makhluk. Kasih sayang itu pula bukanlah hanya sekadar kata-kata manis ungkapan manusia ia wajib diterjemahkan dalam kehidupan seharian sebagai usaha untuk melaksanakan sunnah agung warisan zaman berzaman.

Perlu juga difahami bahawasanya syariah Islam yang suci tidak pernah mempromosikan supaya amalan berkasih-sayang disambut hanya pada hari-hari tertentu. Ia merupakan nilai akhlak mulia yang tertanam dalam jiwa sanubari setiap insan yang cintakan kasih-sayang dan kedamaian sepanjang masa.

Kedangkalan segelintir muda-mudi Islam yang turut sama menyambut Valantine Day’s adalah bukti betapa masih ramai lagi yang tidak memahami sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang mulia. Mereka lebih seronok mengamalkan sesuatu yang tidak dikenalpasti asal-usulnya berbanding sunnah Nabi yang menjadi asbab untuk beroleh syafaat al-kubra di hari kemudian.

Monday, February 7, 2011

Penunjuk perasaan wira atau penderhaka kepada negara.

MESIR merupakan negara yang aman damai suatu ketika dahulu. Pertembungan antara warisan purba tinggalan Firaun dan sirah kenabian menjadikan rakyatnya sangat kuat berpegang kepada nilai-nilai agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Ini disokong lagi dengan kewujudan Universiti al-Azhar sebagai universiti tertua di dunia yang sejak sekian lama melahirkan tokoh ulama dan ilmuan tersohor di seluruh dunia.

Namun keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi tidak mampu bertahan lama. Dalam sekelip mata emosi rakyat yang membuak-buak terhadap kepimpinan negara telah mengheret rakyatnya dalam kancah demonstrasi jalanan yang sudah berlarutan hampir dua minggu lamanya.

Krisis itu juga telah menjadikan Mesir bumi anbia seakan tidak sesuai lagi menjadi medan juang untuk golongan pelajar menimba ilmu dan pengalaman ketika berada di perantauan. Atas alasan itu jugalah pihak kerajaan mengatur gerakan besar-besaran melalui Ops Pyramid bagi membawa pulang warga Malaysia daripada negara bergejolak itu.

Alhamdulillah kini sebahagian besar daripada 11,000 orang pelajar telah berjaya dibawa pulang dan selamat kembali ke pangkuan negara dan keluarga tercinta. Sudah tentu ia suatu lagi nikmat Tuhan yang wajib disyukuri. Begitu juga keamanan dan kesejahteraan di bumi Malaysia bertuah ini juga merupakan nikmat yang harus dipelihara dengan mengelak sebarang unsur negatif yang boleh merosak keharmonian hidup bersama.

Lalu bagaimana pula pandangan agama terhadap kumpulan penentang kerajaan di Mesir yang sanggup melakukan huru-hara dan kekacauan yang berterusan. Mereka juga terlibat merosakkan harta awam dan mengganggu ketenteraman masyarakat setempat. Terdapat pula nyawa yang terkorban dalam pertempuran bersama pasukan keselamatan. Adakah mereka boleh dikategori dalam kelompok al-Bugha yang menurut ulama fekah sebagai kelompok yang menentang pemerintah yang sah dengan menggunakan kekerasan atau kekuatan senjata.

Menurut satu artikel Berbahasa Arab dalam laman sesawang qaradawi.net., ulama terkenal Dr. Yusuf al-Qaradhawi dilaporkan berkata perjuangan rakyat Mesir bagi mendapatkan hak kebebasan adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Beliau menambah lagi betapa kebebasan adalah sebahagaian daripada natijah pelaksanaan syariah dengan sempurna. Justeru itu beliau menyeru seluruh rakyat Mesir bangun berjuang menentang kezaliman yang berlaku bagi mendapatkan hak dan aspirasi mereka bersama.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Hujurat:9)

Perkara ini juga dilihat bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Bantulah saudara kamu yang zalim juga yang dizalimi. Dikatakan kepadanya saya akan membantu orang yang dizalimi tetapi bagaimana pula untuk membantu orang yang zalim. Baginda Nabi SAW bersabda; Cegahlah dia daripada melakukan kezaliman nescaya itu merupakan bantuan kamu kepadanya”.

Sungguhpun demikian demonstrasi jalanan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku. Ini kerana ia boleh menyumbang kepada pelbagai implikasi buruk yang menyusahkan kehidupan masyarakat sedunia. Krisis di Mesir sebagai contoh telah menyebabkan harga minyak dunia melambung tinggi sehingga mencecah hampir USD 100 per tong. Keadaan di Mesir juga tegang dan huru-hara lalu memaksa pelancong asing berebut-rebut keluar meninggalkan bumi Mesir sebagai antara destinasi pelancongan berunsur sejarah yang terkemuka di dunia.

Walau apapun nasi sudah menjadi bubur. Pemerintah Mesir yang sedia ada mahupun yang baru dilantik pasti akan berhadapan dengan kesukaran bagi mengembalikan semula kebanjiran pelancong asing sebagai satu daripada punca pendapatan negara yang terbesar. Keinginan pemerintah untuk berlembut dan mendengar sebahagian tuntutan rakyat pula merupakan harga yang sangat tinggi yang telah dibayar bagi segala kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang tidak berdosa.

Justeru itu, hubungan baik antara pemerintah dan rakyat perlu sentiasa terjalin dalam suasana aman dan harmoni. Pemerintah misalnya bertanggungjawab untuk memastikan agar rakyat dapat mengecapi kehidupan dengan sempurna antaranya dengan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi. Di samping itu pemerintah seharusnya mengutamakan kebajikan untuk rakyat terutama golongan miskin dan memerlukan agar tiada jurang pemisah antara miskin kaya yang keterlaluan yang kemungkinan mengundang kekacauan dalam negara. Selain itu hak kebebasan untuk bersuara dan melontarkan pendapat juga tidak patut disekat sebagai suatu usaha penambahbaikkan berkesan terhadap tindak-tanduk pemerintah di dalam sesebuah negara.

Jika ini berhasil dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat pula untuk mentaati pemerintah selagi mana tidak menjurus kepada pelanggaran terhadap hak-hak Allah dan Rasul-Nya. Malah inilah antara ijtihad terbesar yang pernah dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sebagai pemerintah yang mengerahkan tentera untuk memerangi orang Islam yang murtad kerana enggan membayar zakat yang difardukan setelah kewafatan Baginda Nabi Muhammad SAW.