Tuesday, June 23, 2009

PESANAN SEBELUM MASUK U


SEKALUNG tahniah ditujukan kepada semua bakal mahasiswa dan mahasiswi yang akan menjejakkan kaki memulakan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), pada sesi perkuliahan yang baharu sesi Julai 2009 yang akan datang.

Tawaran dapat menyambung pelajaran di IPTA tentunya berita gembira buat pelajar dan seluruh kaum keluarga. Justeru tak hairan jika ada yang sanggup berhabis duit menyediakan bas rombongan untuk mengangkut jiran sekampung bagi menghantar anak masuk U. Itu tak cerita lagi yang tumbang lembu dan kerbau buat kenduri kesyukuran hingga menyebabkan geng-geng lembu dan yang sewaktu dengannya tak selera nak makan, mengenangkan nasib badan..

Namun lebih daripada itu setiap pelajar selayaknya mengucapkan syukur yang tidak terhingga atas kurnia ilahi kerana terpilih masuk universiti. Mana tidaknya antara ribuan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu, hanya sebahagian kecil sahaja ditawarkan ke institusi pengajian tinggi awam yang sememangnya menyediakan tempat terhad kepada yang benar-benar layak.

ٍSeterusnya kejayaan ini hendaklah dibuktikan pula dengan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh demi agama, bangsa dan negara tercinta. Sedia difahami bahawa kejayaan yang bakal dikecapi tidak akan datang bergolek begitu sahaja tanpa disertai usaha dan komitmen yang jitu oleh setiap pelajar.

Jangan hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam, di awal semester tetapi setelah tahu selok-belok berada di universiti mereka mula pandai tidak hadir ke kuliah, terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah, asyik dilamun cinta yang kesemuanya bakal memusnahkan harapan keluarga dan negara. Apatah lagi setelah berjaya mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang jika tidak diurus dengan baik pasti akan digunakan untuk tujuan yang tidak betul.

Golongan mahasisiwa juga perlu mengikhlaskan niat sejak daripada hari pertama melangkahkan kaki ke universiti, untuk menuntut ilmu semata-mata kerana Allah SWT dan tidak hanya berharap akan beroleh gaji besar dan pangkat tinggi setelah tamat belajar nanti.

Dewasa ini ramai golongan terpelajar yang terjebak melakukan aktiviti jenayah kolar putih seperti rasuah, penipuan dan pecah amanah kemungkinan disebabkan tiada keberkatan ilmu akibat niat yang tidak ikhlas. Tiada kesepaduan antara ilmu dan amal juga boleh menyumbang kepada gejala buruk ini. Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda “Ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah”.

Selain daripada itu para pelajar juga diingatkan agar sentiasa bergantung harap kepada Allah SWT. Amalan berdoa dan berharap kepada pertolonganNya adalah jalan terbaik untuk cemerlang. Kerana walau genius mana sekalipun seseorang itu, tanpa hubungan erat dengan PenciptaNya seseorang tidak akan berjaya dalam erti kata kejayaan sebenar, dunia dan akhirat.

Golongan pelajar Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama, melaksanakan ibadat wajib yang diperintahkan Allah SWT. seperti sembahyang lima waktu dan berpuasa penuh di bulan Ramadan. Alasan kesuntukan masa, sibuk dengan kuliah, banyak assignment dan tugasan untuk diselesaikan bukan hujah untuk tidak mengerjakan perintah itu. Kerana sebagai individu muslim ibadah kepada Allah SWT wajib diutamakan sebelum yang lain-lain.

Pelajar juga diingatkan agar sentiasa taat dan patuh kepada segala perintah Allah SWT terutama dari aspek pemakaian yang menutup aurat, menjaga batasan pergaulan lelaki dan perempuan serta jangan terlibat dengan perkara-perkara yang melanggar peraturan agama mahupun universiti.

Ini bertepatan dengan status sebagai pelajar universiti yang matang dan boleh mempertimbangkan sesuatu dengan baik berasaskan akal yang sihat dan landasan agama yang benar. Justeru sebelum melakukan sesuatu tindakan yang boleh merosakkan agama dan keperibadian mereka fikirlah dengan matang dan bijaksana.

Menuntut ilmu perlukan pengorbanan dan kesungguhan. Ia seperti berjihad dijalan Allah SWT. Malahan Islam akan dipandang mulia dengan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh umatnya. Nama-nama besar seperti Abu Muhammad al-Khawarizmi, al-Biruni, al-Farabi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi adalah bukti kegemilangan tamadunan Islam suatu ketika dahulu yang berpaksikan kepada ilmu pengetahuan.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda “Barangsiapa yang inginkan dunia dan kemewahannya hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat dan kenikmatannya hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang ingin kedua-duanya; dunia dan akhirat juga hendaklah dengan ilmu.

Justeru peluang keemasan, mendapat tempat di universiti perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan pelajar agar menjadi insan berguna satu masa nanti apabila kembali berbakti kepada agama bangsa dan negara. Begitu pula diingatkan agar tidak ada yang menjadikan segulung ijazah untuk mendabik dada dan menyombong diri sehingga merasa dialah yang terbaik daripada segala-galanya. Ikutlah resmi padi makin berisi makin tunduk dan jauhi resmi lalang makin tinggi makin tegak berdiri.

Sunday, June 21, 2009

TUTUP AURAT KEWAJIPAN AGAMA YANG DIPANDANG REMEH


CORAK pakaian yang menjolok mata sering menjadi pilihan golongan muda untuk berhias dan berfesyen. Tanpa segan silu, ada yang mengenakan skirt pendek hingga ke panggal peha, mendedahkan bahagian dada dan tak kurang juga yang berbaju sendat sehingga menampakan bentuk badan yang menggiurkan.

Ramai orang Islam yang tak menyedari bahawa menutup aurat hukumnya wajib sama seperti menunaikan fardu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadan dan berbagai-berbagai kewajipan agama yang lain. Kewajipan ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran dan hadis-hadis yang direkodkan daripada Nabi Muhammad SAW. Bahkan seluruh ulama salaf dan khalaf bersepakat mengatakan menutup aurat hukumnya wajib dan mendedahkannya dikira berdosa tanpa ada yang mengingkarinya.

Bagi yang tidak mengetahui, dalil kewajipan itu boleh dirujuk kepada firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( Surah al-Ahzab, 59).

Begitu pula di dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman yang maksudnya “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.( Surah al-Nur:31)

Manakala bukti tegahan mendedahkan aurat daripada sabda Nabi Muhammad SAW pula boleh dirujuk kepada teguran Nabi Muhammad SAW terhadap Asma’ yang berpakaian nipis ketika datang bertemu Nabi SAW, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma’ Sesungguhnya seorang wanita apabila telah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya. Jika hanya dengan berpakaian nipis sahaja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini.

Sehubungan dengan itu setiap individu muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian orang lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama.

Lebih daripada itu, setiap muslim wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai penjuru yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang sebenarnya.

Keengganan umat Islam mentaati perintah menutup aurat, mendedahkan diri mereka kepada gejala-gejala buruk yang tidak diingini seperti kemungkinan dirogol, diraba ditindas secara seksual dan lain sebagainya. Mereka juga bakal berhadapan dengan hukuman berat yang disediakan Allah SWT di hari akhirat kelak, akibat menggabaikan perintahNya.

Nabi Muhammad SAW direkodkan pernah bersabda “ Ada 2 kelompok penghuni neraka yang tidak pernah kulihat, satu kaum ditangannya cambuk-cambuk seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia. Manakala kelompok yang lain daripada kalangan wanita yang bertelanjangan, jalannya menggoda, rambutnya pula menggunung seperti unta yang sedang berjalan. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya. Padahal bau syurga itu dihidu daripada jauh perjalanan lima ratus tahun. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Perlu diingat bahawa perintah menutup aurat bukan sahaja ditujukan kepada wanita malahan juga kepada lelaki. Kitab-kitab fekah sedia menjelaskan tentang perkara ini. Menurut ulamak Mazhab Shafi’e aurat lelaki ialah diantara pusat dan lutut manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan yang harus didedahkan kerana ia biasa digunakan ketika berkerja.

Justeru itu segala perintah agama dan larangannya harus menjadi tonggak dalam kehidupan masyarakat Islam, jika mahu mengecapi kejayaan hidup sebenar, dunia dan akhirat. Apalah erti iman jika hanya membenarkan dalam hati dan mengucapkan dengan lidah tanpa dibuktikan dengan pelaksanaan segala perintahnya.

KONFERENSI CITU KEBANGSAAN 2009



Konferensi Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Kebangsaan 2009, melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menarik penyertaan teramai, warga baru dan lama yang berjumlah 280 peserta daripada seluruh negara dalam satu perhimpunan di Hotel Selesa Pasir Gudang Johor.

Persidangan yang berlangsung selama 3 hari bermula daripada 19-21hb. Jun 2009 itu turut dihadiri oleh Ybhg. Tan Sri Dato'Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah selaku Naib Canselor UiTM Malaysia, dan YB Dato Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang berkenan merasmikan konferensi tersebut.

Antara objektif penganjuran konferensi tersebut ialah;

i. Meningkatkan keprihatinan warga CITU terhadap dasar dan aspirasi kerajaan dan pengurusan tertinggi UiTM

ii. Merangka pelan kesarjanaan tenaga akademik CITU dan meningkatkan profesionalisme perkhidmatan Islam kepada warga UiTM

iii. Memperkasa peranan CITU dalam pembangunan modal insan di UiTM

iv. Memantapkan organisasi CITU dalam seluruh sistem di UiTM

v. Memperkukuhkan kesatuan pemikiran dan gerak kerja di kalangan warga CITU

vi. Mengadakan sesi sumbangsaran dalam membangunkan Kampus Islam

Persidangan dwi-tahunan yang sebelum ini diadakan di Tok Bali, Kelantan, disi dengan empat sesi pembentangan, yang pertama oleh Prof. Dr. Mustaffa Mohamed Zain (Tim. Naib Canselor Akademik & Pengantarabangsaan, dengan tajuk Blueprint Akademik UiTM. Pembentangan kedua oleh Prof. Madya Dr. Zaini Abdullah (Timb. Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi) dengan tajuk Halatuju Strategik UiTM.Pembentangan ketiga pula oleh Dr. Zahrah Mokhtar (Pendaftar UiTM) dengan tajuk Pengurusan dan Pembangunan Modal Insan. Manakala pembentangan keempat oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Rahimi Osman (Pengarah CITU) dengan tajuk Halatuju Strategik CITU.

Ybhg. Tan Sri Dato'Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah selaku Naib Canselor UiTM telah menyampaikan ucaptama pada hari terakhir persidangan dengan tajuk UiTM ke arah Research University (RU) dan World Class University. Dalam ucapannya beliau juga menekankan betapa pentingnya kesatuan warga CITU dalam organisisi UiTM yang berperanan memberi pendedahan agama khususnya kepada komuniti pelajar yang terdiri daripada berbagai latarbelakang pendidikan dan juga kepada seluruh warga UiTM dalam memberi pandangan dan nasihat berkaitan hukum hakam agama agar ia sentiasa berada pada landasan yang sebenar.

Secara keseluruhan program anjuran Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru ini telah mencapai objektif yang dicita-citakan apabila seluruh warganya menyumbangkan idea dan pendapat dalam sesi sumbangsaran ke arah merealisasikan kewujudan sebuah kampus Islam yang akan menawarkan kursus-kursus berbentuk profesional Islam seperti perbankan Islam, perhotelan Islam dan lain-lain.

Sejajar dengan peranan CITU yang bertambah besar dan penting itu, seluruh warganya yang terdiri daripada pensyarah dan pegawai penasihat agama disaran berganding bahu mewujudkan komuniti ilmuan agama di UiTM yang disegani, berketrampilan, berdaya saing dan berdedikasi dalam mencapai aspirasi universiti dan kerajaan.

Peringatan ini juga termasuk dalam intipati ucapan Pengarah CITU, Prof Madya Dr. Muhammad Rahimi Osman yang mahu golongan ustaz dan ustazah menjadi role model dalam segenap lapangan; pekerjaan mahupun kehidupan seharian agar ketinggian ilmu Islam sentiasa terpelihara sehingga ke akhir zaman. Mereka juga diingatkan agar tidak hanya bijak menyusun kata-kata tetapi lebih daripada itu terkehadapan daripada orang biasa terutama daripada sudut penerapan segala peraturan agama.

Ia bersesuaian dengan Firman Allah SWT. yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya). (Surah al-Saf:2-3).

MENARIK; FAKTA TERBARU TENTANG ROKOK

ADAPTASI DARIPADA TULISAN oleh Hafizah Iszahanid,Berita Harian

PEROKOK di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Dengan anggaran minimum sebatang rokok berharga 26 sen, perokok membelanjakan kira-kira RM8.6 juta sehari untuk membeli rokok! Suatu pembaziran yang boleh dielakkan.

Merokok adalah sejenis penyakit. Mengikut pengkelasan penyakit antarabangsa, merokok dikodkan sebagai F17.2 iaitu kategori penyakit mental dan perlakuan yang memungkinkan perokok ditakrifkan sebagai penagih.

Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC (Konvensyen Rangka kerja dan Kawalan Tembakau), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Zarihah Zain, berkata tembakau adalah penyebab kematian dan kesengsaraan paling utama di dunia ketika ini.

Lebih daripada lima juta orang meninggal dunia akibat penggunaan tembakau, jumlah yang lebih besar daripada gabungan pesakit malaria, HIV/Aids dan batuk kering.

Di Malaysia, orang Melayu adalah perokok paling ramai iaitu 1.66 juta atau 60.9 peratus daripada keseluruhan 2.73 juta perokok. Majoriti perokok adalah orang dewasa dan hanya 103,630 perokok remaja.

Pada 1998, enam juta dokumen ‘rahsia’ daripada tujuh pengeluar rokok terkemuka di Amerika Syarikat seperti Philip Morris Incorporated, RJ Reynolds Tobbaco Company, Brown & Williamson Tobacco Corporation dan British American Tobacco Industries didedahkan berikutan membabitkan kes perundangan. Dokumen setebal 35 juta halaman itu mendedahkan pelbagai taktik kotor pengeluar tembakau untuk terus menyebabkan ketagihan. Misalnya, memorandum jualan daripada pengeluar rokok, Lorillard Tobacco Company menyebut: “Asas perniagaan kita adalah pelajar sekolah menengah atas.”

Saintis Kanan British American Tobacco membuat dua kenyataan yang menggerunkan iaitu ‘perokok adalah penagih nikotin’ dan ‘perokok wanita lebih bermotivasi untuk merokok dan sukar berhenti. Perokok wanita lebih neurotik (tidak stabil dari segi mental) berbanding lelaki dan lebih suka merokok apabila tertekan.’

Tahap nikotin dalam rokok pada masa ini kemungkinan lebih tinggi berbanding rokok sekitar 90-an atau 80-an.

Industri pengeluaran rokok kini menyasarkan lelaki dan perempuan kumpulan kelas pertengahan dan golongan kurang berpendidikan sebagai sasaran pasaran baru. Di Amerika, sasarannya ialah golongan kulit hitam, Hispanik dan masyarakat daripada Kepulauan Pasifik.

Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok.

Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin.

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak.

Hasilnya menurut Dr Zarihah, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran ‘cap kaki’ (gangrene).

Kajian turut mendapati, walaupun merokok di luar rumah atau di dalam bilik khas, partikel dan gas dari asap rokok berupaya melekat di rambut dan pakaian perokok. Kemudian, apabila perokok pulang ke rumah menyentuh anak-anak dan isteri, mereka juga berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi kesihatan akibat merokok. Antaranya, masalah jantung. ‘Third hand smoker’ atau perokok ketiga adalah terma terbaru yang digunakan bagi menjelaskan golongan yang berisiko pada kewujudan toksin tidak dapat dilihat yang datang dari gas dan partikel sebatang rokok. Malah, gas dan partikel rokok bukan saja melekat pada rambut dan pakaian perokok tetapi juga permaidani dan sofa. Kewujudan terma perokok ketiga ini juga hasil rumusan kajian terhadap risiko rokok pada bayi dan kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat pada Januari 2009.

Pakar Runding Kardiologi, Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim, berkata merokok adalah punca kira-kira 30 peratus daripada masalah jantung koronari dan ia adalah faktor risiko utama bagi strok iskemia dan penyakit berkaitan arteri.

“Perokok ketiga tercemar dengan saki baki asap rokok yang mencemari persekitaran. Biasanya asap rokok kekal di situ selepas rokok habis dihisap. Partikel kimia menyebabkan tembakau terbakar termasuk tar dan nikotin terlekat pada pakaian, rambut, bekas rokok pada kadar yang lebih lama walaupun asap sudah hilang dari udara. Partikel ini membentuk lebih 200 gas beracun yang kebanyakannya menyebabkan barah seperti arsenik dan amonia.

“Jadi perokok ketiga juga berdepan dengan risiko serangan acute coronary syndrome (ACS) (masalah jantung membabitkan kekurangan aliran darah ke jantung) atau barah. Tiada tahap selamat pada pendedahan terhadap asap rokok,” katanya.

Perokok wanita, lebih cenderung menderita barah pangkal rahim jika terus merokok.

Berhenti merokok, membantu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit jantung koronari berbanding terapi pencegahan lain seperti mengurangkan pengambilan kolesterol. Justeru, langkah berhenti rokok adalah asas dalam pencegahan penyakit kardiovaskular. Malah, tabiat merokok juga mengurangkan manfaat ubat yang mencegah faktor risiko kardiovasular.

Pada abad ke-20, 100 juta penduduk dunia meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan tabiat merokok. Pada 2030, dianggarkan lapan juta kematian disebabkan faktor yang sama setiap tahun dengan 80 peratus berlaku di negara membangun.

“Di Malaysia, 10,000 orang berhenti merokok setiap tahun. Malangnya mereka berhenti kerana meninggal dunia,”

Setiap tahun jumlah kemasukan ke wad disebabkan komplikasi merokok meningkat. Pada 2006, 31,186 kemasukan dicatatkan di 773 unit rawatan rapi di Malaysia. Daripada jumlah itu, 12,534 kemasukan dikaitkan dengan ACS. Malah ACS membabitkan 47 kes dalam setiap 100,000 populasi, manakala insiden masalah koronari yang lain dicatatkan 141 per 100,000 populasi.

Cabaran utama perokok untuk membuang tabiat itu ialah ketagihan dan kebergantungan pada nikotin.

Ada terapi berhenti merokok menjimatkan kos yang boleh dipilih perokok jika mereka ingin berbuat demikian. Terapi penggantian nikotin boleh didapati dalam pelbagai bentuk, gula-gula getah, lozenges, tampalan, semburan hidung dan penyedut. Malah, ada juga pilihan ubat oral bukan nikotin yang dihasilkan secara khusus untuk membantu pengguna berhenti merokok,”

SEMOGA FAKTA INI MAMPU MENYEDARKAN SAUDARA SEISLAM YANG MEROKOK

Monday, June 15, 2009

HUKUM JADI MAK NYAH

ALLAH SWT menjadikan manusia berlainan jantina dan berpasang-pasangan dengan tujuan dan maksud tersendiri, iaitu untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Ia dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah al-Hujurat,ayat 13).

Selain daripada itu penciptaan manusia daripada kalangan lelaki dan wanita juga bertujuan untuk mengembang-biakkan generasi keturunan manusia agar terus berkekalan hingga ke Hari Kiamat, sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhamad SAW dalam maksud sebuah hadisnya yang menggalakkan umatnya berkahwin dan memperbanyakkan zuriat kerana baginda SAW berbangga dengan bilangan umatnya yang ramai di Hari Akhirat kelak.

Sehubungan dengan itu tindakan nekad segelintir lelaki lembut memakan pil perancang keluarga seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini, dengan cita-cita untuk menjadi wanita adalah suatu perbuatan yang melanggar ketentuan agama dan tidak bersesuaian dengan etika nilai budaya ketimuran.

Tidak keterlaluan jika dikatakan golongan ini telah bertindak melampaui takdir ketentuan tuhan yang telah menjadikan mereka daripada jenis lelaki dan wanita yang punya tugas dan tanggungjawab tertentu. Allah SWT berfirman yang ertinya “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan”. (Surah al-Qamar, ayat 49).

Apatah lagi jika proses penukaran jantina itu melibatkan pembedahan dan pembuangan alat kelamin. Menurut al-Syeikh Walid bin Rashid al-Su’aidan, pembedahan menukar jantina melibatkan perubahan ciptaan Allah, mensia-siakan kejadiannya, mengikut hawa nafsu dan memenuhi tuntutan syaitan. Malahan doktor yang melakukan pembedahan seumpama ini dikira berdosa, kerana membuang zakar dan dua testis lelaki dengan tujuan untuk menukar jantina lelaki menjadi wanita begitu juga membuang buah dada dan saluran peranakan untuk menukar jantina wanita menjadi lelaki.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan ini sebenarnya telah dipengaruhi oleh syaitan sehingga terdorong untuk mengikut nafsu dan angan-angan kosong sahaja. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 119 yang bermaksud “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah dia dengan kerugian yang terang nyata”.

Malahan perbuatan mereka juga mendedahkan diri kepada risiko kerosakan anggota badan sehingga boleh lumpuh dan menyebabkan kehilangan nyawa. Sudah semestinya amalan buruk sebegini dilarang agama kerana manusia ditegah daripada mendedahkan diri kepada jurang kebinasaan yang merosakkan.

Selain daripada itu terdapat banyak hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang menegah manusia daripada mengubah ciptaan tuhan. Misalnya sebuah hadis riwayat Abdullah ibn Mas’ud RA. katanya “ Aku mendengar Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencabut bulu keningnya dan yang mengikir giginya untuk kelihatan cantik, yang mengubah ciptaan Allah SWT. Lalu bagaimana pula perbuatan seseorang yang memakan ubat dengan tujuan untuk menukar suara daripada garau menjadi lembut, memakan hormon untuk membentuk fizikal seperti wanita dan lain-lain yang lebih berat daripada sekadar mencukur bulu kening.

Menurut Ibnu Abbas RA., Rasulullah SAW juga direkodkan pernah melaknat lelaki yang menyerupai kaum wanita dan wanita yang menyerupai kaum lelaki. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Perbuatan keji ini juga akan menimbulkan kecelaruan hukum syarak yang semuanya saling berkait antara satu sama lain.Ini kerana walaupun seseorang telah menukar jantina status jantinanya masih kekal disisi syarak walaupun secara fizikal telah berubah. Lalu adakah wajib ke atasnya memakai tudung bagi menutup aurat jika telah menjadi seperti wanita, bolehkah dia berkahwin, menjadi wali dalam pernikahan. Bagaimana pula dengan hukum berkaitan wuduk, adakah batal jika bersentuhan dengan orang yang berbeza jantina?. Ditakdirkan, jika mereka bertaubat berhenti daripada menjadi Mak Nyah adakah wajib untuk mereka mengembalikan semula kejantanan dan keperawanan mereka.

Sehubungan dengan itu golongan yang berangan-angan untuk menukar jantina dinasihatkan berfikir seribu kali sebelum melakukan tindakan yang akan menyebabkan mereka merana seumur hidup. Syukurilah peluang hidup yang sementara dengan membuat kebajikan sebanyak-banyaknya agar beroleh rahmat dan keampunan daripadaNya.

Ingatlah bahawa syaitan sentiasa berjuang untuk memperdayakan manusia yang lemah iman dan menabur pelbagai janji-janji manis yang tak berkesudahan. Allah SWT berfirman yang maksudnya “Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. Mereka itu, tempat akhirnya ialah Neraka Jahanam dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya”. (Surah al-Nisa’, ayat 120-121)

Mereka yang terlibat dalam bidang seni juga diingatkan agar tidak hanya berusaha meraih populariti dengan menerbitkan karya-karya songsang yang jauh terpesong daripada landasan agama. Begitu juga pelakon yang melakon watak pondan walaupun dengan apa tujuan sekalipun dinasihat agar bertaubat kerana perbuatan itu termasuk dosa besar dan diharamkan.

Ini kerana direkodkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengutuk, melaknat lelaki yang mengenakan atau memakai pakaian perempuan dan perempuan yang mengenakan atau memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, al-Nasaiy dan al-Hakimiy)

Justeru redha dan akur atas segala ketetapan ilahi adalah jalan bahagia menuju kejayaan yang harus diusahakan oleh setiap insan yang mendambakan cinta agung, cinta sejati. Ini kerana dengan rahmat dan kasih-sayangNya manusia dikurniakan akal untuk berfikir sewaras-warasnya sehingga boleh membuat pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.

Tuesday, June 2, 2009

BERHENTI MEROKOK DENGAN DOA

SEMPENA 31 Mei 2009, yang diisytiharkan sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, semua pihak diminta memberi sokongan padu kepada kerajaan dengan berganding bahu menjayakan Kempen Pilih Untuk Berhenti Merokok bagi membendung gejala merokok terutama dikalangan remaja dan pelajar sekolah yang masih mentah.

Sehubungan dengan itu semua pihak diseru memainkan peranan semaksima mungkin untuk menjadikan ia sebagai suatu realiti dan tidak bermusim. Ia boleh dimulakan oleh golongan ulama dan cendikiawan Islam yang punya kedudukan tinggi disisi masyarakat melalui sesi ceramah dan kuliah-kuliah agama. Golongan ini disaran agar tidak hanya berceramah isu yang hebat-hebat sedangkan isu rokok pembunuh umat diabaikan dengan alasan isu lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih malang lagi apabila terdapat daripada kalangan mereka yang merokok sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan khalayak ramai tentang hukum merokok menurut kacamata Islam.

Pendekatan ini dilihat seiring dengan fatwa berkenaan pengharaman rokok yang pernah dikeluarkan di Negeri Selangor pada 7hb. Disember 1995. Fatwa tersebut menyatakan bahawa rokok adalah haram, oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa -apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

Pengharaman serupa juga turut difatwakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok. Tinggal lagi yang dimusykilkan ialah tiadanya penguatkuasaan ke atas pengharaman itu.

Walaupun terdapat percanggahan pendapat dikalangan ulamak berkenaan isu ini namun satu hakikat yang boleh diterima semua, perbuatan merokok adalah suatu pembaziran yang ditegah agama bahkan dilabel sebagai kawan syaitan, sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT. dalam firmannya yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya”. (Surah Al-Israa’ ayat 27)

Sementelah lagi dalam suasana kelembapan ekonomi yang dirasai kini, merokok menyebabkan peningkatan perbelanjaan individu, justeru berhenti merokok berupaya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ia boleh pula digunakan untuk keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Selain ulama para ibubapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anak-anak agar tidak terjebak merokok diusia muda. Malah Ibubapa wajib menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak dengan tidak merokok. Perbuatan sesetengah ibubapa memberikan wang membeli rokok kepada anak juga boleh diumpamakan seperti membunuh anak sendiri.

Dibimbangi anak-anak yang merokok diusia remaja akan terdedah melakukan gejala yang tidak sihat terutama apabila mereka ketiadaan wang untuk membeli rokok seperti mencuri, menjadi peragut dan sebagainya. Selain daripada itu tumpuan mereka terhadap pelajaran di bilik darjah juga kemungkinan akan terganggu disebabkan tidak dapat merokok untuk jangkamasa yang lama. Golongan pelajar juga diingatkan agar tidak membazirkan wang pinjaman pelajaran seperti PTPTN yang diperolehi dengan membeli rokok kerana ia bercanggah dengan maksud sebenar pemberian bantuan kewangan itu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang lebih efisien dalam menguatkuasakan undang-undang merokok ditempat awam. Ini kerana merokok ditempat awam akan memudaratkan orang lain yang tidak merokok, apabila mereka dipaksa menerima implikasi buruk asap rokok yang mencemarkan udara sekitar. Perokok juga akan mengotorkan tempat tumpuan awam seperti perhentian bas dan tandas awam dengan habuk dan puntung rokok yang dibuang sesuka hati.

Langkah CUEPEC yang bercadang untuk melarang semua kakitangan awam merokok ditempat kerja juga adalah langkah proaktif yang boleh dicontohi oleh sektor swasta. Penguatkuasaan langkah ini oleh pihak kerajaan juga dilihat mampu menjadi pemankin ke arah mewujudkan genarasi bebas rokok pada masa hadapan.

Oleh itu sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia, golongan perokok dinasihat berusaha untuk menghentikan amalan buruk yang ditegah agama ini. Tidak ada baiknya jika bertegang leher menegakkan benang yang basah sedangkan akhirnya diri sendiri dan keluarga yang merana.

Tidak dinafikan berhenti merokok memang payah dan menyakitkan, apatah lagi setelah bertahun-tahun dibelenggu oleh perbuatan itu. Tetapi percayalah dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Hospital kerajaan sebagai contoh ada membuka Klinik Berhenti Merokok bagi sesiapa yang berhasrat untuk berhenti merokok. Rawatan secara tradisional juga kemungkinan boleh membantu. Malah terdapat ramuan herba yang apabila diminum akan menyebabkan perokok tidak berselera untuk merokok lagi.

Bagi umat Islam pula tidak ada yang mustahil jika segala permasalahan diadukan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Berdoa, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk berhenti merokok. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman. Pilihan terletak ditangan sendiri, kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali jika dia sendiri yang berusaha mengubahnya.

Mungkin ada yang mendakwa setelah bertahun-tahun merokok mereka tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya malah ada yang kelihatan awet muda dan jadi lebih sihat berbanding orang yang tidak merokok. Dakwaan ini mungkin benar untuk tempoh yang tertentu sahaja. Sedarlah satu ketika, padah menghisap rokok tetap akan mengena tak kira tua mahupun muda cuma masa yang menentukan segalanya.

Begitu pula mungkin ada yang mendabik dada mengatakan akhirnya semua manusia akan mati jadi jangan dikaitkan masalah rokok dengan punca kematian. Memang itu satu ketentuan ilahi yang tak dapat disangkal, tetapi biarlah mati dalam keadaan terhormat, dengan meninggalkan jasa dan sumbangan yang boleh dimanfaatkan untuk seluruh umat. Pepatah ada menyebutkan harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama.

Adalah diharapkan, dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia mensyaratkan setiap kotak rokok wajib mempamerkan imej kesan buruk akibat merokok yang mengerikan mampu menimbulkan keinsafan dan menyedarkan komuniti perokok tentang bahaya rokok kepada diri, keluarga dan masyarakat.