Saturday, July 12, 2014

KEMENANGAN YANG DINANTIKAN


DI SAAT seluruh dunia teruja dan berdebar-debar menantikan perlawanan akhir Piala Dunia Brazil 2014 yang akan berlangsung tidak beberapa hari lagi, umat Islam di seluruh dunia merasa begitu marah dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis menyerang Semenanjung Gaza di Bulan Ramadan yang mulia ini. Bulan yang sepatutnya diwarnai dengan semangat cintakan nilai kebebasan, keamanan dan keharmonian buat seluruh dunia ini, tidak sepatutnya dicemari dengan pertumpahan darah dan pembunuhan sesama manusia.

Sudahlah Yahudi menjadi perampas Tanah al-Quds, tanah wakaf milik umat selama-lamanya, kini orang awam yang sepatutnya melalui hari-hari Ramadan dengan aktiviti ibadah dan bersama keluarga tinggal dalam ketakutan dan pelarian di tanah air sendiri. Apalah lagi yang nak direbutkan setelah tanah Gaza yang hanya tinggal sekangkang kera lagi di kepung dengan tembok tinggi terus bermandi darah tanpa henti. Tidakkah boleh semua penganut agama seperti Islam, Kristian dan Yahudi hidup dengan aman dan damai serta bertoleransi seperti pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayubiy.

Peristiwa ini mengingatkan umat Islam ke detik bersejarah Perang Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadan tahun 2 Hijrah bersamaan 17 Mac Tahun 624 Masihi yang mana umat Islam dalam keadaan lemah dan sedikit tetapi diberi kemenangan oleh Allah SWT. Firman Nya yang bermaksud;

“Sungguh Allah telah menolong kamu dalam Peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang yang lemah. Karena itu bertawakallah kepada Allah, supaya kamu mensyukuri-Nya. (Ingatlah), ketika kamu mengatakan kepada orang Mukmin, "Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?" Ya (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda. (Terjemahan Surah Ali Imran : 123-125)

Pun begitu perlu difahami betapa kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT memerlukan nilai kesabaran yang tinggi dan sifat takwa yang mulia. Malah pertolongan yang dijanjikan oleh Allah pasti datang buat umat yang tertindas dan dizalimi. Kalaupun tidak di dunia mudah-mudahan semua yang terkorban dalam mempertahankan tanah air dan kehormatan keluarga mereka termasuk di kalangan Syuhada yang dijanjikan balasan Syurga lalu apakah ada lagi balasan yang lebih bernilai berbanding Syurga?

Peristiwa ini Badar al-Kubra juga menunjukkan betapa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala perancangan manusia. Ia jelas memaparkan bagaimana akidah dan keimanan yang teguh merupakan senjata ampuh yang sukar ditewaskan.
Dalam pada itu bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan apa-apa jika tidak disertai dengan perancangan yang sistematik dan tersusun. Malah jika umat Islam terus berbangga dengan kuantiti berbanding kualiti Islam akan terus dihina dan umatnya akan terus melarat di alam buana ini. Jika umat Islam terus mendabik dada berbangga dengan kegemilangan lalu tanpa berbuat apa-apa untuk mengembalikan ketamadunan itu, kemungkinan Islam akan terus dilabel sebagai pengganas dan pencetus kerosakan kepada dunia.

Sehubungan dengan itu umat Islam diseru menghulurkan apa sahaja bantuan dan pertolongan buat saudara se agama yang tertindas, di mana jua mereka berada. Atau setidak-tidaknya pohonkanlah doa ke hadrat Ilahi dalam bulan mustajab doa ini semoga mereka diberi ketabahan dan kemenangan oleh Ilahi. Bagi kita di Malaysia, usah terlalu berseronok dengan keamanan dan kesenangan yang di kecapi hari ini kerana jika ia tidak dipelihara dan dijaga dalam sekelip mata boleh hilang begitu sahaja.

Dalam konteks yang lain, secara umumnya jihad pada masa kini tidak hanya terbatas kepada perjuangan mengangkat senjata dan berperang semata-mata. Skop jihad sangat luas dan merangkumi pelbagai lapangan kehidupan. Usaha mencari rezeki yang halal oleh suami selaku ketua keluarga adalah jihad bagi mengeluarkan diri dan keluarga dari pada kepompong kemiskinan. Usaha mendidik anak dan generasi muda agar sentiasa patuh dan taat kepada agama juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan pada era siber ini. Jihad melawan hawa nafsu yang tidak bertepi tanpa mengira masa dan tempat di Bulan Ramadan ini turut mendambakan individu Muslim yang kukuh iman dan ketakwaannya kepada Allah SWT.
Bagi golongan pendakwah pula jihad dengan ICT dan mata pena juga sangat diperlukan, memandangkan media baharu dan laman sembang sosial yang pelbagai begitu mendapat perhatian dewasa ini. Ia boleh dijadikan mekanisme untuk mengajak ummah kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan berjihad dalam skop yang luas untuk meningkatkan kekuatan ummah yang diserang daripada pelbagai sudut.

Untuk itu golongan pendakwah diseru beralih menggunakan media dakwah yang baharu bukan sahaja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang terhadap Islam dan umatnya tetapi juga sebagai medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini. Laman sembang sosial seperti Twitter, Facebook, Instagram dan lain-lain boleh dimanfaatkan untuk menyebar luaskan ajaran agama, nilai-nilai murni kebebasan dan keamanan sejagat demi kebaikan bersama.

FAHAMI ERTI KEKALAHAN SEBENAR

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2014.


Kekalahan mengejutkan Pasukan Brazil selaku Tuan Rumah Piala Dunia 2014 kepada Pasukan German 7-1, adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka oleh peminat bola sepak di seluruh dunia. Ia sekali gus melenyapkan cakap-cakap bola yang mengatakan bahawa Pasukan Brazil akan menjuarai pertandingan kali ini. Sementara itu, beberapa buah negara seperti Algeria, Nigeria, Bosnia Herzegovina dan Iran yang boleh dikatakan mewakili Negara-negara Islam sudah pun tersingkir awal dari pada pertandingan ini apabila gagal dalam pusingan kalah mati sebelum melangkah ke peringkat suku akhir.
Begitulah resam pertandingan pasti ada yang kalah dan yang menang. Usahlah pula ada yang terlalu fanatik hingga bergaduh dan bermasam muka dek kerana bola kerana ia hanya hiburan dunia yang bersifat sementara. Begitu pula umat Islam diingatkan agar tidak terlibat dengan judi bola sepak kerana ia sesuatu yang merugikan dan dalam masa yang sama ada pihak mengaut keuntungan lumayan dari kegiatan judi yang tidak bermoral ini.

Apatah lagi pada bulan yang mulia ini, umat Islam diseru berusaha menambah amal kebajikan bagi mendapatkan keampunan Ilahi bukan menimbunkan dosa dan kutukan Tuhan yang tidak berkesudahan.
Dalam pada itu terdapat pula segelintir umat Islam yang sudah awal-awal lagi dikalahkan oleh nafsu diri sendiri dengan enggan berpuasa. Tanpa rasa bersalah mereka makan, minum dan menghisap rokok sepuasnya. Ada pula yang dengan sengaja menunjuk-nunjuk kebiadaban mereka dengan makan di khalayak ramai tanpa menghiraukan kehormatan siang hari tanpa makan dan minum pada bulan Ramadan.

Inilah realiti kehidupan sebahagian individu Muslim dewasa ini, yang kelihatan jauh menyimpang dari ajaran syariat yang sebenar. Mereka selamba melanggar segala peraturan dan perintah Allah SWT tanpa rasa takut terhadap azab dan seksa yang dijanjikan buat mereka. Malah boleh jadi golongan inilah nanti yang beria-ia membuat persiapan hari raya tanpa sekelumit rasa malu terhadap Allah SWT yang mewajibkan berpuasa di Bulan Ramadan.

Lebih dari pada itu ada kemungkinan golongan manusia seperti ini akan tersingkir daripada memperoleh pelbagai ganjaran dan kurniaan Ramadan yang tidak terhingga banyaknya. Golongan ini juga dinasihatkan supaya segera bertaubat sebelum ajal datang menjemput kerana pada ketika itu tiada apa yang boleh diharapkan melainkan amal ketaatan semasa hidup. Golongan ini juga diperingatkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)”. (Terjemahan Surah al-Mukminun:99-100)

Apa pun tepuk dada tanya iman. Bagi yang malas untuk berpuasa kesempatan untuk makan terbuka luas buat mereka. Kalaupun tiada Bazar Ramadan di kejiranan mereka, di sana sini terdapat restoran 24 jam, seperti kedai mamak dan restoran makanan segera yang bersedia memenuhi tuntutan nafsu serakah mereka. Malah terdapat pula perkhidmatan penghantaran ke rumah dan drive thru lalu sesiapapun boleh makan dan minum dengan bebasnya.

Di sudut yang lain terdapat pula segelintir kaum Muslimin yang mula dikalahkan dengan nafsu sendiri apabila mula lengah dan lalai dari pada melaksanakan tuntutan ibadah pada bulan penuh keberkatan ini. Di sana sini orang ramai sudah mula berpusu-pusu ke pusat membeli belah mahupun bazar Hari Raya bagi membuat persiapan sebelum bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman. Masjid dan surau yang di awal Ramadan meriah dengan kehadiran ramai jemaah kini kembali tenang dan hanya kaki masjid yang terus setia mengimarahkannya. Ramai yang mula berfikir tentang kuih-muih dan persiapan menyambut hari raya berbanding terus berusaha meraih kurnia Ramadan yang tidak ternilai.

Masyarakat Islam diperingatkan betapa bahagian pertama Ramadan yang dijanjikan dengan limpahan rahmat Ilahi baharu sahaja berakhir dan kini ganjaran pengampunan dosa serta pembebasan dari pada api neraka menanti para Mukminin yang sabar dan komited melaksanakan tugasan ibadah. Begitu pula malam kemuliaan lailatul qadar yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW akan berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan juga semakin hampir menjelang tiba.

Justeru itu umat Islam diseru tidak terlalu teruja menantikan ketibaan Syawal dengan segala persiapan yang serba baharu dan mahal-mahal. Ini kerana golongan yang tahu nilai Ramadan berharap agar Ramadan sepanjang tahun. Umat Islam juga diseru menunjukkan tanda syukur kepada Ilahi atas kurnia sekali lagi dipilih bertemu Ramadan dengan banyak berbakti dan beramal kerana boleh jadi inilah Ramadan terakhir buat semua.

Syukurilah nikmat keamanan dan keharmonian yang ada sehingga para Muslimin bebas berpuasa qiamullail dan sebagainya. Ini kerana di sesetengah negara terdapat kaum Muslimin yang ditegah dari pada berpuasa. Saudara se Islam di Semenanjung Gaza terpaksa melalui hari-hari Ramadan dengan peluru dan bedilan roket rejim Yahudi yang tidak berperi kemanusiaan. Manakala di negara Islam yang dilanda kebuluran ada pula yang terpaksa berpuasa selama berhari-hari kerana tiada makanan dan minuman untuk bersahur apatah lagi untuk berbuka puasa.

Fahamilah juga betapa erti kekalahan sebenar buat para Muslimin tidaklah diukur berdasarkan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Akan tetapi kekalahan itu diukur apabila terdapat individu Muslim yang keluar dari pada Ramadan tanpa memperoleh sebarang ganjaran dan kurniaan yang melimpah ruah yang disediakan oleh Allah SWT di kala Ramadan.