Tuesday, May 26, 2009

MUSIM CUTI SEKOLAH PERLU DIISI DENGAN AKTIVITI BERMANFAAT

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian Ruangan Surat & Email bertarikh 27hb Mei 2009

CUTI pertengahan tahun adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar komuniti pelajar mahupun guru. Setelah melalui berbagai-bagai proses pengajaran dan pembelajaran secara fomal di sekolah ataupun tak formal dikelas-kelas tuisyen, kesempatan cuti sekolah untuk merehatkan minda sejenak tentunya tidak akan dilepaskan.

Sehubungan dengan itu para ibubapa disaran menyediakan jadual aktiviti anak-anak, yang perlu diisi sepanjang 2 minggu cuti persekolahan yang bakal menjelang tiba. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan anak-anak terlibat dengan berbagai-bagai gejala negatif yang merosakkan masa depan mereka.

Ditambah lagi dengan rasa bosan tinggal sendirian dirumah dikala ibubapa sibuk berkerja seharian akan menyebabkan anak-anak lebih gemar melepak dipusat-pusat membeli-belah, berjalan ke sana-sini tanpa arah tujuan dan tak kurang juga yang akan menyertai aktiviti samseng jalanan, ragut dan lain-lain yang merugikan.

Oleh itu, para ibubapa diseru mengambil peluang ini untuk memperuntukkan masa bercuti bersama keluarga dengan tujuan untuk memperatkan lagi hubungan ibubapa dan anak-anak yang kemungkinan sedikit terabai kerana faktor masa dan tumpuan terhadap kerjaya. Ingatlah bahawa anak-anak sentiasa dahagakan kasih sayang dan bimbingan ibubapa sebagaimana mereka juga dahagakan ilmu dan tunjuk ajar para guru.

Masa yang begitu berharga ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk para ibubapa menyelami dan memahami hati anak-anak terutamanya remaja yang sentiasa ghairah mencuba sesuatu yang baharu menerusi dorongan dan bimbingan ibubapa yang sememangnya bertanggungjawab memberi sepenuh pendidikan kepada mereka.

Mereka juga digalakkan membawa anak-anak ke masjid dan surau-surau, melakukan aktiviti salat berjamaah mahupun mendengar kuliah-kuliah agama yang disampaikan bagi memperolehi makanan rohani yang penting dan amat diperlukan oleh golongan remaja dalam menangani cabaran dunia remaja yang semakin kompleks dewasa ini. Peluang ini, jika dimanfaatkan dengana sempurna mampu mempereratkan lagi hubungan silaturrahim diantara sesama ahli kariah.

Kesempatan ini juga boleh diambil oleh para guru untuk bercuti dan berehat seketika bersama keluarga setelah berhempas pulas memberi pendidikan kepada anak bangsa. Sedia dimaklumi bahawa para guru juga mempunyai tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu mahupun ayah. Yang mana semua amanah itu perlu ditunaikan dengan bijaksana bagi mengelak dipersoalkan di hari kemudian. Jangan sampai pula jadi seperti kera di hutan disusukan anak dirumah mati kelaparan.

Perlu diingatkan juga kepada para pengusaha pusat-pusat peranginan mahupun peniaga-peniaga makanan dan minuman agar tidak menangguk di air yang keroh dengan menaikkan harga sesuka hati berikutan kebanjiran pelanggan sempena musim cuti sekolah ini. Sedarlah bahawa semua manusia punya amanah dan tanggungjawab masing-masing. Janganlah hanya disebabkan keuntungan dunia yang sementara nilai peri kemanusiaan dan akhlak yang mulia diketepikan.

Ingatlah bahawa manusia diciptakan Allah SWT dengan nafsu yang tidak pernah puas, sehingga jika mereka memiliki 2 buah bukit emas sekalipun nescaya akan menginginkan yang lain lagi. Sedarlah juga bahawa manusia dihiasi dengan sifat semulajadi cintakan dunia dan segala kemewahan yang sementara sedangkan segala yang disediakan Allah SWT kepada hambanya yang beriman dan beramal saleh berupa kenikmatan syurga kekal untuk selama-lamanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 14 dan 15 yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya”.

Selain daripada itu jalanraya juga biasanya akan menyaksikan pertambahan kenderaan luar biasa terutama dimusim cuti persekolahan. Selaras dengan berbagai kempen kesedaran jalanraya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mahupun badan-badan sukarelawan semua pemandu diseru agar sentiasa berwaspada dan mematuhi segala peraturan jalanraya. Slogan Ingatlah Orang Yang Tersayang, perlu dilekatkan dalam minda setiap pemandu agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Setiap Orang Islam juga digalakkan bertawakkal kepada Allah SWT dengan berusaha melakukan 2 rakaat solat sunat musafir, membaca doa sebelum bermusafir dan membaca doa ketika memandu kenderaan agar perjalanan sentiasa selamat dan terpelihara. Kalaupun terjadi musibah dan malapetaka setelah daripada itu, setiap insan wajib reda atas segala ketentuan Tuhan untuk mematangkan keimanan hamba-hambaNya yang diberi ujian.

Sebagai orang yang beriman cuti tidak bermakna boleh melakukan apa sahaja sebebas-bebasnya. Setiap manusia masih tertakluk kepada segala peraturan dan ketentuan ilahi. Segala kewajipan agama perlu dilaksanakan begitu pula segala larangannya wajib ditinggalkan. Ini kerana cuti yang hakiki hanya berlangsung apabila semua manusia direhatkan untuk selama-lamanya dalam alam barzakh sementara menanti hari perhitungan. Untuk itu setiap makhluk perlu selalu beringat sebelum tiba hari peringatan yang menakutkan.

Thursday, May 21, 2009

FORMULA ISLAM TANGANI PENULARAN VIRUS A(H1N1)

DUNIA hanya mampu menyaksikan penularan Virus A(H1N1) daripada Amerika Syarikat dengan kebimbangan dan kekhuatiran. Virus pembunuh itu kelihatan begitu mudah sekali melolosi segala tapisan teknologi perubatan termaju sehingga merebak ke negara lain di seluruh dunia. Dengan jumlah jangkitan terkini yang telah melepasi paras 11,000 orang diikuti dengan 85 jumlah kematian, tindakan drastik oleh negara terbabit sangat-sangat diharapkan.

Tindakan negara maju menangani wabak penyakit berjangkit ini yang kelihatan seperti melepaskan batok ditangga juga amat dikesali. Malah mereka seolah-olah sedang melancarkan serangan tentera ke seluruh dunia menggunakan senjata canggih Virus A(H1N1) yang belum ada penawarnya buat masa ini. Perbuatan mereka ini juga tidak selari dengan keperluan untuk saling memelihara keharmonian sejagat dengan melakukan langkah-langkah drastik mengelak penularan wabak agar tidak menjadi lebih serius.

Terkini, Filipina adalah negara terbaru di Asia yang dikesan menerima jangkitan selsema babi menerusi seorang kanak-kanak yang baru pulang daripada Amerika Syarikat bersama keluarganya.

Justeru, langkah melarang sesiapapun keluar dan masuk ke Amerika Syarikat dan negara-negara penyebar virus berkenaan sepatutnya dikuatkuasakan oleh WHO sebagai badan tertinggi dunia yang memantau penyebaran wabak tersebut.

Islam telah lama mempraktikkan formula pengasingan sementara penduduk sesuatu tempat yang dicemari dengan wabak penyakit berjangkit. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sedang berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya." Hadis riwayat Bukhari)

Tegahan untuk meninggalkan negeri yang dijangkiti penyakit juga ditegaskan lagi oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadisnya yang lain bermaksud "Seseorang hamba (Muslim) yang berada dalam satu-satu negeri terkena wabak taun maka hendaklah dia tetap diam di dalamnya, jangan sama sekali dia lari keluar daripadanya, bersabar dan mengharapkan ganjaran Tuhan dan dalam hatinya dia berkeyakinan bahawa dia tidak akan terkena sesuatu kecuali apa yang ditentukan Allah untuknya. Baginya ganjaran pahala sebagaimana pahala orang yang mati syahid." (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis ini juga mengandungi pegertian betapa manusia perlu memahami konsep qadar dan qadar dengan sebenar-benarnya. Ia juga menolak tanggapan salah sesetengah orang yang menganggap tinggal di kawasan wabak penyakit berjangkit merupakan perbuatan menjerumuskan diri ke lembah kehancuran yang dilarang syariat.

Perlu difahami bahawa, larangan ini bertujuan mengelakkan situasi menjadi bertambah buruk, sehingga ramai orang yang dijangkiti penyakit dan memusnahkan kelangsungan hidup manusia yang akhirnya menjadikan tujuan asal penciptaan manusia untuk memakmurkan mukabumi tidak akan terlaksana.

Dicatatkan bahawa, Saidina Umar al-Khattab pernah menolak untuk pergi ke Syam semasa wabak taun menular di sana. Lalu ada seseorang berkata kepadanya: Adakah tuan hendak lari daripada takdir Tuhan? lalu di jawap oleh Saidina Umar, Kita lari daripada takdir Tuhan kepada takdir Tuhan( yang lain).

Oleh itu tindakan pencegahan yang lebih drastik diharapkan daripada negara-negara terlibat agar ia tidak menjadi igauan ngeri buat seluruh penduduk bumi yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan.

Umat Islam juga diseru untuk memperbanyak membaca doa bagi mengelak musibah penyakit yang sedang melanda ketika ini. Antaranya doa yang boleh dibaca ialah seperti berikut ;
Aku membenteng diri dengan nama Tuhan yang mempunyai kekuatan dan kemuliaan, aku berpegang teguh kepada Tuhan yang menguasai alam nyata dan alam ghaib, aku bertawakkal kepada Tuhan yang hidup dan tidak mati selama-lamanya. Semoga apalah kiranya engkau hindarkan kami Ya Allah dari bala bencana dan wabak penyakit. Sesungguhnya engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Monday, May 18, 2009

KELEBIHAN SALAT SUNAT DHUHA

Sebahagian artikel ini diterbitkan diruangan rencana Utusan Malaysia pada 22hb. Mei 2009

DALAM era kelembapan ekonomi ketika ini, berbagai cara dilakukan untuk mendapatkan wang. Ada yang menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan dan tak kurang juga yang membabitkan diri dengan perkara negatif yang merugikan seperti terlibat dengan skim cepat kaya, rasuah, pecah amanah dan lain-lain

Sebagai seorang muslim yang yakin dan percaya bahawa segala sesuatu adalah milik mutlak Allah SWT, Dia berkuasa untuk memberi rezeki kepada sesiapa yang disukai dan mengambil daripada sesiapa yang dikehendaki, mengapa tidak setiap orang Islam disamping berusaha membanting tulang, memerah keringat, berikhtiyar juga dengan bermunajat, berdoa dan berharap kepada kurniaan rezeki ilahi yang melimpah-ruah. Mengapa tidak segala keluhan berupa sering tak cukup duit, budget lari, hutang bertimbun dan lain diadukan kepada Allah SWT. yang Maha Agung.

Satu antara kaedah yang mudah dilakukan ialah dengan mengerjakan salat sunat Dhuha. Hanya dengan salat 2 rakaat setelah matahari naik kadar segalah iaitu kira-kira tiga puluh minit setelah terbit matahari setiap individu Muslim yang mengamalkannya berpotensi memperoleh kurnia Allah SWT berupa rezeki yang mencukupi dan tanpa disangka-sangka.

Cara melaksanakannya juga tak susah, seperti biasa seseorang wajib berwuduk kemudian solat 2 rakaat dengan niat “ Sahaja aku salat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala”. Pada rakaat pertama selepas membaca Surah al-Fatihah bolehlah dibaca Surah al-Kafirun, kemudian pada rakaat kedua selepas al-Fatihah dibaca pula Surah al-Ikhlas atau yang lebih panjang dibaca Surah al-Syams pada rakaat pertama dan Surah al-Dhuha pada rakaat kedua.

Setelah selesai salat disunatkan pula berdoa dengan doa memohon kurniaan rezeki ilahi yang bererti “Ya Allah, Sesungguhnya waktu Dhuha ini adalah waktu Dhuhamu, Keindahan ini adalah keindahanMu, Kecantikan ini adalah kecantikanMu, Kekuatan ini adalah KekuatanMu, Kekuasaan ini adalah kekuasaanMu, Pemeliharaan ini adalah pemeliharaanMu, Ya Allah jika rezekiku dilangit turunkanlah ia, jika rezekiku di bumi keluarkan ia, jika di dalam laut maka timbulkan ia, jika sukar maka permudahkanlah ia, jika sedikit perbanyakkanlah ia, jika banyak maka berkatilah ia, jika daripada yang haram maka sucikanlah ia, dengan berkat waktu DhuhaMu, KeindahanMu, KecantikanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu dan PemeliharaanMu. Ya Allah Kurniakanlah daku apa yang Engkau anugerahkan kepada hambaMu yang salih lagi beriman.

Berpandukan kepada amalan salat seperti ini, yang dilaksanakan dengan seikhlas hati berserta doa yang dipanjatkan ke hadrat ilahi, tidak mustahil masalah kesempitan wang dan kekurangan perbelanjaan akan dapat diringankan dengan rasa tawakkal dan berserah diri mengharap pertolongan hanya kepada Allah SWT.

Ingatlah bagaimana kuatpun seseorang berkerja mencari wang, sehingga kadang-kadang tak peduli halal dan haram, tinggal solat dan tanggungjawab terabai, jika Allah SWT tidak berkenan mengurniakan rezeki maka segala usaha akan menjadi sirna. Malah yang lebih menakutkan jika azab dan hukuman pula yang kunjung tiba, akibat melakukan pekerjaan yang dilarang syariat.

Justeru setiap muslim disaran berjinak-jinak dengan amalan mudah ini kerana selain rezeki bertambah, banyak lagi kelebihan disediakan Allah SWT bagi mereka yang benar-benar percaya kepada kepada janji Allah SWT.

Antaranya diberikan keampunan dosa sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bererti “ Barangsiapa yang sentiasa melaksanakan 2 rakaat Dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih dilautan”.

Pada hadis yang lain pula Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya “ Berpagi-pagi atas tiap-tiap segala sendi daripada seseorang kamu berkehendak sedekah. Maka tiap-tiap tasbih adalah sedekah. Tiap-tiap tahmid adalah sedekah. Tiap-tiap takbir adalah sedekah. Begitu juga menyeru kepada yang makruf adalah sedekah. Mencegah perbuatan yang mungkar adalah sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dua rakaat salat sunat Dhuha”.

Begitulah hebatnya salat, walau bagaimanapun bukan calang-calang orang yang bersedia, berkorban masa untuk melaksanakannya. Ramai yang lebih rela memperuntukkan sejumlah waktu bersembang di waktu pagi sambil menghirup kopi panas diwarung-warung daripada melakukan salat yang tak lebih sepuluh minit lamanya.

Perlu diketahui memang dengan hanya bersalat yang pipih tak akan datang melayang dan yang bulat tak akan datang bergolek. Seakan mustahil jika bongkah-bongkah emas berguguran jatuh ke bumi hanya dengan salat sunat 2 rakaat, tetapi sekurang-kurangnya setiap hamba telah melaksanakan apa yang wajib dengan berpegang kepada prinsip tauhid rububiyah Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang Berkuasa memberi kepada sesiapa yang diperkenankan.

Selain daripada itu amalan kebajikan yang dilaksanakan menerusi salat merupakan bukti betapa setiap individu muslim diperintah untuk selalu bersyukur atas segala nikmat pemberian ilahi. Sedikit atau banyak pemberian itu bukan isu utama malah Allah SWT telah menjanjikan pula tambahan nikmat kepada insan yang tahu bersyukur sebagaimana firmannya yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. (Surah Ibrahim ayat 7)

Thursday, May 14, 2009

APRESIASI BUAT INSAN BERGELAR GURU

UNGKAPAN guru seperti lilin, membakar diri untuk kejayaan anak bangsa sering kali didengar terutama menjelang sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun. Tak ramai yang mengerti dan memahami realiti sebenar tugas guru yang bermula sejak awal pagi hingga larut malam. Malah tanggungjawab mereka bukan sahaja terhad mengajar di sekolah malah menjadi kebiasaan untuk para guru meneruskan kerja-kerja sekolah di rumah disamping tugas dan tanggungjawab rumahtangga yang wajib dipikul jika dalam masa yang sama guru juga bergelar suami dan isteri.

Atas pengorbanan yang sebegitu rupa tak hairan jika terdapat banyak hadis-hadis riwayat Nabi Muhammad SAW yang memperihalkan keistimewaan menjadi guru sekaligus menyangkal tanggapan segelintir masyarakat bahawa profesion perguruan merupakan kerjaya pilihan terakhir setelah habis ikhtiar mencari kerja-kerja berprofil tinggi dan bergaji besar.

Antaranya sebuah hadis riwayat daripada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk (hidayah) maka dianugerahkan baginya pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya dan tidak berkurangan walau sedikitpun. (Hadis riwayat Muslim). Hadis ini menunjukkan betapa golongan guru begitu dihargai oleh agama atas jasa mengeluarkan manusia daripada kegelapan kejahilan kepada cahaya petunjuk ilahi.

Hadis ini juga bersesuaian dengan riwayat Nabi Muhammad SAW yang lain bermaksud “ Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak saleh yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim)
Selain daripada itu Saidina Ali juga pernah bersajak memuji para guru yang secara umumnya dikategorikan sebagai ahli ilmu, dengan kata-katanya yang berbunyi;

Tiadalah kebanggaan selain bagi ahli ilmu, mereka memberi petunjuk kepada orang yang meminta ditunjukkan.
Nilai manusia adalah dengan kebaikan yang dilakukan olehnya, dan orang-orang jahil adalah musuh ahli ilmu
Menanglah kamu dengan ilmu, hiduplah lama. Walaupun Orang lain mati, ahli ilmu akan terus hidup


Begitulah hebatnya guru sehingga sudah pencenpun masih dipanggil cikgu tidak seperti profesion-profesion yang lain. Jasa mereka dikenang sepanjang zaman berikutan ramainya murid yang telah dididik dan diasuh hinggakan berjaya menjadi manusia terbilang. Lebih daripada itu ganjaran yang dikurniakan Allah SWT kepada guru tetap mengalir seramai murid yang diasuh walau roh telah bercerai daripada badan.

Oleh kerana kedudukan guru yang begitu tinggi disisi agama diharap guru tidak sesekali menjatuhkan kehormatan dan maruah dengan melakukan tindakan-tindakan negatif yang merosakkan imej guru di mata masyarkat, seperti mencabul kehormatan murid dan lain-lain perlakuan sumbang. Mereka wajib menjadi contoh yang terbaik kepada murid dan masyarkat secara umumnya.

Dalam era siber, dunia tanpa sempadan hari ini, guru juga diingatkan agar tidak hanya asyik melakukan tugasan mengajar sahaja. Seharusnya guru juga turut menyumbang kepada pembentukan modal insan cemerlang secara kolektif yang bermula daripada sekolah. Aktiviti rutin pengajaran dan pembelajaran perlu ditambah dengan penerapan nilai-nilai murni dikalangan pelajar.

Tindakan segelintir guru membiarkan pelajar melakukan apa sahaja seperti tidur dan bermain dam walaupun ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang tidak sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyarankan guru memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Kesan daripada tindakan guru tidak menegur perilaku buruk pelajar, sedikit sebanyak merebak dan berjangkit ke luar sekolah sehingga menjadi antara penyebab golongan pelajar terlibat dengan bohsia, bohjan, mat rempit, seks bebas dan lain-lain yang majoriti pelakunya adalah remaja yang masih bersekolah.

Tidak dinafikan dalam zaman serba canggih dan moden ini, para guru juga berhadapan dengan tribulasi dan ujian dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Laporan guru dipukul, ditendang oleh murid, kenderaan guru dirosakkan adalah bukti betapa tugas guru semakin mencabar dan menguji keimanan. Namun adalah diharapkan para guru tidak akan pernah putus asa dan menyesal dengan kerjaya yang telah dipilih, kerana di alam akhirat ada bekalan nikmat yang tidak terhingga disediakan Allah SWT sebagai balasan memperkenalkan manusia kepada pencipta agung yang Maha Tinggi ilmunya lagi Maha Mengetahui.

Sayugianya sempena Hari Guru, seluruh masyarakat bangkit mengenang jasa dan pengorbanan guru yang telah mendidik mereka dengan pelbagai limu pengetahuan seperti kata pepatah supaya tahu akan pedas lada, supaya tahu akan manis garam. Ingatlah bahawa segala jasa guru tidak akan dapat dibayar dengan wang berjuta ringgit. Malah gurupun tidak pernah minta balasan segala ilmu yang pernah dicurahkan. Namun yang lebih diharapkan agar ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan untuk kebahagiaan hidup bersama dunia dan akhirat.

Sunday, May 10, 2009

ULAMA PERLU BANGKIT

DISAAT masyarakat Islam terpedaya dengan berbagai dakyah dan mainan politik yang tidak berkesudahan, ulama perlu digerakkan bagi memperbaiki kesilapan dan kepincangan yang berlaku. Umat Islam secara umumnya perlu dipimpin untuk kembali menyelesaikan segala perselisihan berdasarkan pedoman al-Quran dan al-Sunnah, dan ditangan ulamalah dipertanggungjawabkan tugasan ini.

Ditambah lagi dengan masalah sosial umat yang pelbagai dan tak bertepi, seperti peragut yang telah bertukar menjadi pembunuh, Mat Rempit yang menggila, Ibu yang tidak berperikemanusiaan membuang anak darah daging sendiri, Bohsia dan bohjan yang hilang arah tuju dan lain-lain lagi. Formula Islam yang komprehensif dinantikan dengan penuh pengharapan bagi meneutralkankan semua yang telah terjadi.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud “Manusia yang paling hampir dengan darjat kenabian ialah orang yang berilmu dan berjihad. Adapun orang yang berilmu bertanggungjawab memberi petunjuk kepada manusia berdasarkan apa yang dibawa oleh Rasul-rasul, manakala orang yang berjihad, mereka berjuang dengan pedang membela apa yang dibawa oleh para Rasul”.

Sejarah membuktikan bagaimana Nabi Muhamad SAW sebagai Rasul utusan Allah; dipertanggungjawabkan dengan tugas mengajar dan mendidik umat manusia menuju ke jalan kebenaran dan pada masa yang sama bertindak mengurus dan mentadbir negara dengan dengan penuh kebijaksaan. Baginda SAW membentuk Piagam Madinah sebagai perlembagaan tertinggi negara yang wajib ditaati oleh semua dan berjaya pula menyatupadukan masyarakat majmuk Madinah yang terdiri daripada orang Ansar dan Muhajirin juga orang Yahudi dan golongan penyembah berhala.

Tokoh ulama tanahair juga tidak kurang sumbangannya. Nama-nama seperti Tok Kenali, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan lain-lain pernah terlibat memainkan peranan yang sangat besar dalam mengetuai dan menggerakkan perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British, meskipun tercatat dalam sejarah sebagai pemberontak yang akhirnya gugur syahid ditangan penjajah.

Justeru itu, golongan ulama dilihat mampu menangani kemelut Umat Melayu Islam masa kini, agar perpaduan bangsa yang berteraskan Islam sebagai agama rasmi negara dapat ditegakkan semula. Perselisihan dan percakaran sesama sendiri yang berlarutan harus dihentikan, kerana ia ibarat api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa.

Umat Islam telah lama mengidamkan pemimpin yang berwibawa serta berjaya mengasimilasikan agama dalam kehidupan. Saidina Umar al-Khattab pemimpin agung yang pernah membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan tak lebih hanya tinggal kenangan indah kemenangan umat Islam di zaman silam. Begitu pula Umar bin Abd. Aziz, seorang khalifah Dinasti Umayyah yang berjaya mengurus perbendaharaan negara dengan adil dan sistematik sehingga digelar khlaifah Islam yang ke-lima.

Rahsia kejayaan mereka tentunya tidak terletak hanya kepada bakat kepimpinan yang dimiliki, malah mereka mengadaptasikan model kepimpinan Rasulullah SAW yang tak lapuk ditelan dek zaman sebagai sumber rujukan utama. Ini kerana bukan mudah untuk melahirkan seorang pemimpin yang ikhlas dan berintegriti.

Salahuddin al-Ayubi, pemimpin Islam yang berjaya membebaskan Palestin daripada cengkaman penjajahan suatu ketika dahulu lahir hampir seratus tahun setelah gerakan menyemai semangat cintakan tanahair dan kewajipan membebaskannya daripada dijajah ditabur oleh golongan ulama dan cendiakiwan Islam.

Oleh itu golongan ulama perlu bangkit menggunakan segala kudrat yang ada untuk membantu membendung masalah umat yang semakin kritikal. Janganlah hanya asyik berceramah isu yang panas-panas sedangkan isu suvival umat Islam diketepikan dan tidak diendahkan.

Walau bagaimanapun setiap manusia, perlu sedar bahawa mereka hanyalah wakil yang dibebankan tugas memakmurkan alam ini dan tidak melakukan sebarang kerosakan padanya. Sebagai wakil mereka tidak boleh bertindak melulu melainkan berdasarkan peraturan yang telah digariskan oleh syarak. Setiap pemimpin pula bertanggungjawab terhadap cara kepimpinannya yang pasti akan dipersoalkan dihadapan Allah pada hari akhirat kelak.

Ulama pewaris para Nabi boleh menggalas tugas berat ini jika mereka benar-benar ikhlas melaksanakan sesuatu semata-mata kerana Allah SWT sambil berharap pertolongan daripadanya. Boleh dikatakan ia sebagai tuntutan fardu kifayah demi memelihara dan menjaga kepentingan bersama. Bahkan dalam sesetengah situasi boleh berubah menjadi tuntutan fardu ain pula apabila, kepentingan Islam terabai dan tidak terlaksana.

Langkah kepimpinan baru melantik YB Senator Datuk Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dan masyarakat Islam dilihat mampu menggerakkan ulama untuk bangun mencurahkan sepenuh bakti kepada negara. Pengalaman beliau yang luas dalam bidang kepimpinan juga boleh menjadi role model kepada ulama untuk mengajak seluruh masyarakat bekerja dan menunaikan tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan yang mungkar.

Monday, May 4, 2009

PENDIDIKAN TUHAN MELALUI KHINZIR

Dunia kini dikejutkan dengan penyakit selsema babi yang telah menular dengan meluas ke Amerika Syarikat Eropah dan Amerika Latin. Wabak penyakit yang berpunca daripada babi ini telah menimbulkan kebimbangan baru diseluruh dunia, walaupun sebenarnya ia bukan virus baru yang mengancam nyawa manusia.

Fakta sejarah menyatakan pada tahun 1918, selepas perang dunia pertama dunia pernah dilanda dengan wabak Spanish Flu, bawaan babi sehingga mengorbankan hampir 100 juta nyawa diseluruh dunia. Amerika Syarikat juga pernah mengalami masalah yang sama apabila turut diserang oleh virus ini pada tahun 1976, sehingga kerajaan terpaksa berbelanja sejumlah USD 135 juta bagi program vaksinasi untuk mengelak ia daripada terus merebak.

Negara kita juga tidak terkecuali berikutan tersebarnya virus nipah dan Japanese Encephalitis pada tahun 1999 menyebabkan 105 kematian manusia dan sebanyak sejuta babi telah dimusnahkan. Oleh kerana itu tidak hairan jika YB Menteri Pertanian dan Asas Tani awal-awal lagi mengingatkan 797 penternak babi di Malaysia agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sejarah lama berdarah kembali.

Kini penyakit bawaan babi kembali menyerang dunia. Selsema babi atau Virus H1N1 yang dibawa oleh binatang ini merebak kepada manusia dan menyebabkan mangsanya menghidap selsema, lemah badan, sukar bernafas lalu mati. Ia pertama kali dikesan di Mexico sehingga ada yang menggelarnya sebagai Mexican Flu, walau pun ada cakap-cakap mengatakan ia berpunca daripada negara China.

Situasi yang berlaku, mengajak umat Islam untuk kembali menghayati kitab suci al-Quran yang sarat dengan pelbagai pelajaran dan pengajaran untuk kebaikan manusia. Sementelah lagi tak ramai yang mengetahui, di dalam al-Quran terdapat lima ayat yang secara langsung membicarakan tentang babi sama ada daripada aspek pemakanan mahupun kaitan dengan perilaku manusia.

Walaupun babi atau khinzir merupakan binatang kotor dan menjijikan tetapi dirakamkan namanya dalam al-Quran yang suci lagi mulia tidak lain menunjukkan bahawa terdapat rahsia yang tersurat dan tersirat yang tidak difahami oleh manusia.

Sebagai contohnya dalam Surah al-Maidah ayat 3 Allah SWT menyatakan hukum berkaitan binatang yang haram dimakan satu daripadanya adalah khinzir. Allah SWT berfirman “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. (Surah al-Maidah:3)

Namun larangan ini bukanlah larangan mutlak kerana terdapat pula ayat Allah SWT yang lain menerangkan keharusan memakan makanan yang diharamkan demi untuk menjaga kelangsungan hidup manusia, terutama ketika darurat. Umat Islam dibenar makan sekadar untuk mengelakkan kehilangan nyawa. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (surah al-Maidah:3)

Jika ditinjau dari sudut fekah pula babi dan anjing atau yang lahir daripadanya dikategori sebagai najis mughalazah atau najis berat. Sesiapa yang menyentuh binatang ini dikehendaki menyamak dengan membasuh tujuh kali basuhan satu daripadanya dengan air bercampur tanah. Ini kerana babi dihukumkan najis sama seperti anjing sehingga tidak sah salat kecuali dengan bersuci melalui kaedah yang telah ditetapkan.

Nabi SAW bersabda yang ertinya “ Sucikanlah bekas kamu yang dijilat anjing dengan tujuh kali basuhan satu daripadanya dengan air bercampur tanah”. Sekalipun hadis ini secara langsung menyatakan berkenaan hukum jilatan anjing, hukum yang sama juga terpakai kepada khinzir kerana khinzir juga najis mughlazah.

Dari aspek kesihatan pula ilmu perubatan moden menyatakan daging babi mengandungi cacing pita yang sangat berbahaya kepada kesihatan dan tak mati walau dimasak pada suhu tinggi. Dagingnya pula sangat keras dan sukar dihadam oleh perut, sehingga ia boleh menggangu sistem pencernaan manusia. Badannya pula dipenuhi dengan virus berbahaya yangmenjadi punca penyakit seperti Japanese Encephalities, virus West Nite Encephalities, rescular stomatis, penyakit kuku dan mulut serta radang paru-paru.

Maha benar Allah SWT lagi Maha Mengetahui yang telah melarang manusia memakan babi kerana ia boleh mengancam nyawa manusia. Malahan dalam sepotong ayat yang lain dengan jelas Allah SWT memerintahkan manusia agar hanya memakan makanan yang baik-baik lagi berkhasiat. Firman Allah SWT yang bermaksud “ Hai Rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal salih. (Surah al-Mukminun:52).

Terdapat pula dikalangan ulama yang mengaitkan babi dengan perlakuan buruk manusia sehingga dilaknat oleh Allah lalu bersifat kebinatangan seperti babi dan monyet. Ini berikutan terdapat ayat dalam Surah al-Maidah yang bermaksud “Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”.

Berdasarkan ayat ini mungkin boleh dikatakan perbuatan membuang bayi dan membunuhnya hidup-hidup diadaptasi daripada perlakuan ganas khinizir yang telah berjangkit kepada manusia sehingga boleh sahaja mengamuk dan memakan anaknya hidup-hidup. Akibat dosa dan kesesatan yang teleh membelenggu diri mereka.

Begitulah satu daripada bentuk pendidikan Allah SWT kepada manusia melalui binatang yang jijik lagi kotor. Walau bagaimanapun sebagai hamba Allah SWT manusia perlu akur dan menerima hakikat bahawa khinzir juga adalah makhluk Allah SWT yang sama-sama menempati alam ini dengan hikmah dan rahsia tersendiri. Binatang ini juga perlu diberi hak untuk hidup dan berkeliaran di habitatnya tanpa sebarang gangguan, seperti mana makhluk-makhluk lain yang diciptakan oleh Allah SWT.

ARTIS DIJULANG DOKTOR DAN GURU PULA DICEMUH

Disiarkan dalam Ruangan Forum Utusan Malaysia 6hb. Mei 2009


ANUGERAH Industri Muzik kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengikitirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tak kira tua mahupun muda.

Malah dikatakan artis seperti Dato’ Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar. Terbaru Tomok, pula dianugerahkan dengan ganjaran RM 1 juta kerana memenangi pertandingan One In The Million. Meet Uncle Hussain juga tak kurang hebatnya apabila telah mengungguli 3 anugerah hiburan berprestij tahun ini, iaitu AJL ke-23, ABPBH dan AIM ke-16.

Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku. Mungkin tak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.

Lihat sahaja ketika ini, disaat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus H1N1, para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara. Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.

Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang Virus JE dan Virus Nipah para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada dikalangan mereka yang turut dicemari virus itu.

Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.

Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semulajadi manusia. Malah yang afdal segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambahbaikkan untuk manfaat bersama.

Nabi SAW pernah bersabda “ Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.

Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu. Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.

Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa pertanggungjawaban bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya. Ibubapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.

Ibubapa juga disaran menjadi contoh tauladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan. Amalan solat berjamaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT, ia juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warganegara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku. Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.