Sunday, May 21, 2017

SYUKURI NIKMAT KETIBAAN RAMADAN



Mungkin ramai yang sudah bersiap sedia untuk berniaga di kala Ramadan. Ini termasuklah peniaga Bazar Ramadan, Bazar Hari Raya, pengusaha kedai makan dan restoran yang pastinya tidak menang tangan melayan karenah pelanggan. Pengusaha kuih raya, tukang jahit pakaian juga tentunya sedang sibuk menyiapkan tempahan supaya semuanya dapat diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya. Malah ramai yang sudah berkira-kira akan keuntungan lumayan bakal diraih daripada perniagaan yang dijalankan. Ini kemungkinan menarik minat pihak tertentu untuk cuba-cuba berniaga atau mengambil kesempatan berniaga tanpa mengambil kira kualiti dan kehendak pelanggan, yang penting barangan dijual laris dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Apapun marilah kita bersikap adil dengan bersyukur atas nikmat terpilih bertemu Ramadan lagi. Ini dapat direalisasikan dengan bersiap sedia merebut pelbagai ganjaran lumayan yang disediakan oleh Allah SWT hanya dalam Bulan Ramadan. Ramadan yang datang setahun sekali menjanjikan pelbagai kelebihan buat golongan yang sedar tentang kemuliannya. Malah umat Islam dijanjikan dengan kurniaan rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Oleh itu, setiap Muslimin diajak bersiap sedia dengan mengikhlaskan niat berpuasa Ramadan semata-mata mengharapkan keampunan dan keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan niat yang betul akan mendorong memperbanyak amalan ibadah sepanjang Ramadan. Usah terkesima dengan melakukan persiapan untuk berhari raya sedangkan Ramadan yang didepan mata dikesampingkan. Adalah molek jika Ramadan yang tiba disambut dengan pakaian baharu dan azam baharu untuk mempertingkatkan kualiti puasa. Malah tidak menjadi satu kesalahan jika rumah kediaman dihiasi dengan langsir baharu dan cahaya lampu kelap kelip yang bergemerlapan di malam satu Ramadan. Semua ini dilakukan tidak lain demi menunjukkan kesyukuran dan kegembiraan atas nikmat sekali lagi dipilih oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan yang hanya dikurniakan kepada insan terpilih.

Ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Apabila tiba awal malam Ramadan diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka dan tidak dibuka walau satu pun dan dibuka pintu-pintu syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu. Penyerupun menyeru wahai orang yang mengharap kebaikan terimalah dan wahai orang yang berharap kejahatan berhentilah. Dan (yang ikhlas) kerana Allah akan dibebaskan daripada api neraka. Dan( Penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam”. Hadis riwayat al-Tirmiziy dan Ibnu Majah)

Bersesuaian dengan itu juga umat Islam diharap tidak menggantikan tempat Iblis dan syaitan yang dibelenggu dengan melakukan kegiatan keji dan mungkar. Perbuatan segelintir yang sengaja enggan berpuasa ataupan sengaja mereka-reka alasan untuk tidak berpuasa termasuk dosa yang dimurkai Allah SWT. Ini diburukkan lagi dengan perbuatan segelintir yang mensia-siakan masa dengan melepak dan membuang masa setelah berbuka sehingga gagal meraih ganjaran Ramadan. Perbuatan seperti ini eloklah diganti dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam, qiamullail dan bermunajat kepada Ilahi.

Justeru itu umat Islam diajak mengerah seluruh usaha dan tenaga untuk memperhebat kegiatan ibadah sepanjang Ramadan. Bagi yang mempunyai lebihan rezeki bolehlah bersedia dengan bajet tertentu untuk diinfakkan fi sabilillah. Menyediakan jamuan berbuka puasa termasuk satu daripada cabang-cabang kebaikan yang mesti direbut. Ambillah juga peluang untuk menunaikan kewajipan zakat fitrah di awal Ramadan supaya segera dapat diagihkan kepada asnaf yang memerlukan.

Yang paling penting setiap Muslim perlu berusaha untuk mempertingkatkan kualiti puasa daripada tingkatan puasa awam kepada puasa khusus ataupun khususulkhusus. Tidak sepatutnya setelah bertahun tahun berpuasa Ramadan kualiti puasa masih di takuk lama. Inilah masanya kaum Muslimin berazam untuk menjaga seluruh pancaindera daripada terlibat berbuat maksiat. Usaha perlu digerakkan untuk melakukan amalan fardu dengan sempurna di samping memperbanyak bertadarus al-Quran dan kegiatan ibadah yang lain. Ini kerana Ramadan sinonim dengan masa turunnya al-Quran sehingga umat Islam diajak berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan segenap suruhan, meninggalkan larangan dan mengamalkan pedoman al-Quran sepanjang kehidupan.

Malah Ramadan merupakan kesempatan untuk mendidik nafsu ke arah yang diredai oleh Allah SWT. Sehingga apabila berakhir Ramadan seseorang berjaya memperoleh ganjaran takwa yang menjadi benteng dan perisai untuk melalui liku-liku kehidupan pasca Ramadan. Allah SWT berfirman maksudnya; Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Terjemahan al-Quran, al Baqarah: 183)

Nikmat kemuliaan Ramadan ditunjukkan lagi dengan malam al-qadar yang pahala beribadah pada malamnya lebih baik daripada 1000 bulan yang menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia. Nabi Muhammad SAW sendiri mengambil berat tentang lailatulqadar sehingga mengejutkan keluarganya untuk beribadah pada malam tersebut. Para sahabat dan salafus soleh juga berusaha untuk menghidupkan malam 10 yang akhir daripada Ramadan kerana beramal dengan anjuran Nabi SAW untuk mencari lailatulqadar pada malam-malam tersebut. 

Sesungguhnya segala nikmat dan ganjaran Ramadan hanya boleh dikecapi oleh hamba yang beriman dan beramal soleh. Manakala golongan yang lemah iman akan kekal melihat Ramadan sebagai wasilah untuk menyambut hari raya semata-mata. Boleh jadi golongan inilah yang beriya-iya membuat persiapan hari raya sedangkan Ramadan di depan mata dipandang remeh dan tidak dipedulikan. Ingatlah betapa Baginda Nabi SAW pernah mengingatkan tentang golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.

Justeru sambutlah ketibaan Ramadan kali ini dengan niat untuk beribadah sepenuh jiwa dan raga. Rasakan betapa Ramadan ini yang terakhir dalam kehidupan sehingga membangkitkan kesungguhan untuk berbakti dan beramal soleh. Usah sia-siakan nikmat sekali lagi terpilih bertemu Ramadan dengan perbuatan sia-sia apatah lagi yang mengundang dosa. Rebutlah ganjaran pahala berlipat kali ganda kurniaan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang ikhlas sambil berharap kemuliaan dari Nya.





Saturday, May 6, 2017

SYARAT BEKERJA DI NILAI IBADAH



Akibat salah faham sesetengah masyarakat mengenai falsafah bekerja dalam Islam terdapat yang memisahkan antara pekerjaan seharian dengan ibadah. Lebih memburukkan apabila terdapat yang sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk menunaikan solat lima waktu ataupun tidak berpuasa di Bulan Ramadan dengan alasan keletihan dan kehausan. Sedangkan apabila diteliti Islam tidak pernah memisahkan antara agama dengan kehidupan seharian malah kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain. Malah terdapat kata-kata yang masyhur menyebutkan bekerjalah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Oleh sebab itu Islam menggariskan beberapa syarat untuk dipenuhi agar apa sahaja pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah. Antara yang terpenting ialah niat bekerja ikhlas kerana Allah SWT. Besar kemungkinan apabila niatnya betul akan dipermudahkan oleh Allah SWT untuk bekerja dalam apa jua bidang yang diceburi. Mudah-mudahan dengan cara itu rezeki atau gaji yang diperoleh akan mendapat keberkatan walaupun tidaklah sebanyak mana.

Selain dari itu, pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syarak. O1eh itu bekerja di premis-premis yang menghidangkan arak dan pergaulan lelaki dan perempuan bebas tanpa sempadan sebaiknya dihindari. Malah ia diharamkan dan umat Islam dinasihatkan bertaubat daripada terus bergelumang dengan dosa dan noda. Ini termasuklah dengan sengaja berpakaian mendedahkan aurat ketika bertugas, terlibat dengan arak, judi, riba yang semuanya termasuk dosa-dosa besar. Semasa bekerja ditegah daripada curi tulang, merakamkan kad masuk untuk rakan-rakan, membuang masa dengan bersarapan dan makan tengah hari berjam-jam lamanya atau juga menerima rasuah dan habuan untuk perkhidmatan yang diberikan.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah dan ibadah utama ketika bertugas. Ini kerana pekerjaan seharian seperti bertugas di pejabat, sektor perkilangan, pembuatan mahupun berniaga termasuk dalam kategori ibadah umum yang diberi ganjaran pahala. Namun ia sepatutnya tidak sampai menggabaikan ibadah khusus seperti solat, puasa dan lain-lain.

Umat Islam yang bekerja juga dinasihatkan supaya tidak culas membayar zakat pendapatan sama ada secara potongan bulanan ataupun secara tahunan di mana-mana pusat pungutan zakat setempat. Ini kerana pada harta atau gaji yang diperoleh ada hak orang miskin dan yang meminta-minta. Dengan wang ringgit yang diperoleh juga boleh digunakan untuk menginfakkan harta ke jalan Allah SWT dengan bersedekah dan berwakaf sehingga ada nilai tambah daripada pendapatan bulanan. Usah juga dilupakan nafkah bulanan untuk ayah ibu di kampung serta keluarga dan anak-anak yang semuanya akan dipertanggungjawabkan jika gagal diselesaikan dengan sempurna.

Khusus bagi kaum wanita yang ingin keluar bekerja Islam menetapkan syarat perlu mendapat keizinan wali atau suami bagi yang sudah berumah tangga. Keizinan ini juga tertakluk dengan syarat wanita berkerjaya tidak boleh mengabaikan tanggungjawab di rumah terhadap suami dan anak-anak. Malah peranan sebagai ibu dalam mendidik dan mengasuh anak juga perlu dititiberatkan. Usah kerana kesibukan berkerjaya semuanya diserahkan kepada pembantu rumah sehingga anak kurang kasih sayang. Terdapat pula segelintir yang enggan berumah tangga dengan alasan ingin menumpukan perhatian kepada mencapai kecemerlangan hidup berkerjaya. Semua ini tidak tepat dengan ajaran Islam dan sunah Rasulullah SAW yang menggalakkan perkahwinan. Kaum wanita juga diingatkan supaya sentiasa menjaga aurat, batasan pergaulan sesama rakan sekerja dan mengelak unsur unsur fitnah yang boleh mencemarkan nama baik keluarga mahupun ibubapa.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmiziy, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda mengenai empat perkara yang akan dipersoalkan di Hari Kiamat. Antaranya mengenai umur ke mana dihabiskan, jasad atau tubuh badan digunakan untuk apa?, tentang ilmu adakah dapat dinilai sebagai ilmu yang bermanfaat atau tidak dan tentang harta daripada mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan.  

Sehubungan dengan itu umat Islam diajak melihat pekerjaan seharian sebagai usaha ibadah kepada Allah SWT dan bukan sekadar makan gaji semata-mata. Malah Islam tidak pernah melarang mana-mana lelaki ataupun wanita untuk bekerja asal sahaja tetap menjaga peraturan agama dan kehormatan diri. Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap individu Muslim mampu menjaga hubungan baik makhluk-khalik dan dalam masa yang sama hubungan baik pekerja-majikan.

Setiap Muslimin juga perlu memahami selagi nyawa dikandung badan tidak ada istilah pencen bekerja dengan Allah SWT. Segala amal ibadah fardu, wajib dikerjakan tanpa sebarang alasan. Turut disunatkan untuk menambah pahala dengan mengerjakan sebanyak mungkin amalan sunat sebagai persiapan untuk kembali kepada Nya.

Justeru bersempena dengan sambutan Hari Pekerja, umat Islam secara khususnya diajak mengembeling usaha dan tenaga untuk memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara dengan bekerja bersungguh-sungguh dan berdedikasi. Usah diabaikan setiapa amanah dan tanggungjawab yang dipikul kerana pasti akan dipersoalkan di hari kemudian.