Tuesday, December 26, 2017

Pesanan Buat Ibu Bapa, Pelajar Dan Guru


Musim cuti persekolahan kini sudah sampai kepenghujungnya. Setelah puas bercuti dan melancong ke dalam dan luar negara bersama anak-anak, kini tumpuan ibu bapa pastinya terarah kepada menyediakan keperluan persekolahan. Apapun buatlah persiapan mengikut kemampuan usah membazir dan berlebih-lebihan kerana banyak keperluan seperti buku dan keperluan persekolahan lain perlu disediakan. Apatah lagi jika ramai anak yang masih bersekolah tentu pendapatan yang ada tidak mencukupi. Anak-anak juga diharap tidak membebankan ibu bapa dengan meminta semua kelengkapan sekolah yang baharu. Mana-mana yang masih boleh digunakan eloklah digunakan sementara bagi menampung kekurangan yang ada.

Dalam pada itu masyarakat yang berkemampuan diajak untuk membantu golongan memerlukan bagi menyediakan bantuan persekolahan. Dengan cara ini penyumbang juga mendapat ganjaran daripada amalan bersedekah yang digalakkan oleh agama. Usaha NGO dan pihak-pihak persendirian yang mengusahakan bantuan persekolahan untuk anak-anak golongan fakir miskin adalah suatu usaha mulia. Ia sewajarnya dicontohi oleh semua sekali gus menunjukkan betapa masih terdapat golongan masyarakat yang prihatin dan mengambil berat kesusahan golongan marahein. Malah pihak kerajaan juga turut prihatin dengan menyediakan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada 3.2 juta murid sekolah di seluruh negara menerusi peruntukan bajet 2018 yang lalu.

Semoga dengan cara ini anak-anak golongan kurang berkemampuan tidak terbiar tanpa memperoleh pendidikan asas yang diwajibkan. Malah tiada alasan untuk tidak menghantar anak-anak bersekolah kerana pihak sekolah melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) biasanya boleh mengusahakan bantuan dan pertolongan yang sewajarnya.

Dengan segala kemudahan yang ada para pelajar diharap dapat memulakan sesi persekolahan yang baharu dengan bersemangat dan bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam pelajaran. Ini sekali gus dapat membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa dan para guru yang bersusah payah menyediakan segala kelengkapan persekolahan dan mendidik hingga berjaya ke menara gading.

Sempena pembukaan sesi persekolahan yang baharu ini juga para pelajar diajak memperbaharui azam dan tekad untuk bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan pengetahuan. Tetapkan niat dan tujuan belajar semata-mata kerana Allah SWT selain sentiasa berdoa memohon bantuan dan pertolongan Nya. Dalam kesibukan belajar para pelajar dinasihat tidak mengabaikan kewajipan solat yang difardukan dan memelihara diri daripada melakukan kegiatan dosa dan maksiat. Ini penting bagi melahirkan golongan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi berjaya sebagai individu Muslim yang taat dan patuh perintah Ilahi. Bagi yang akan menduduki peperiksaan utama pada tahun ini dinasihat supaya bersedia sejak hari pertama persekolahan. Usah menunggu disaat-saat akhir kerana pastinya menyusahkan dan berkemungkinan gagal meraih kejayaan cemerlang yang diharap-harapkan.

Selain daripada itu para ibu bapa diingatkan supaya tidak membebankan guru dengan tugas mendidik anak mereka sepenuhnya. Kerana ketika di rumah ibu bapa umpama guru yang bertanggungjawab untuk mendidik dan menasihati anak agar menjadi insan berguna. Malah para ibu bapa memikul amanah untuk memberi pendidikan agama yang secukupnya selain memastikan anak-anak taat kepada perintah Allah dan Rasul Nya. Ibu bapa hendaklah sentiasa memastikan anak mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan selain mendidik anak supaya sentiasa menghormati ibu bapa dan guru yang mendidik mereka. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan ibu bapa pula dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di hari kemudian.

Kesibukan tugasan seharian tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan anak berkeliaran dan berpeleseran ke sana kemari tak kira siang ataupun malam. Dikhuatiri mereka bergaul dengan rakan yang tidak bermoral dan kenakalan tersebut terbawa-bawa hingga ke sekolah. Akhirnya pihak sekolah terpaksa mengambil tindakan demi menjaga kemaslahatan pelajar lain dan kemungkinan ibu bapa pula tidak dapat menerimanya. Untuk tujuan itu juga ibu bapa diajak menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak. Agar tidak jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan diri sendiri gagal berbuat demikan. Sebagai contohnya ketika di sekolah anak-anak berpakaian seragam yang menutup aurat dan dididik untuk solat sebelum pulang tetapi apabila di rumah ayah ibu tidak mempedulikan kewajipan menutup aurat dan tidak menjaga hubungan dengan Allah SWT.
Di sisi pandang yang lain, golongan guru dan pendidik diharap tidak menjadikan kerenah dan kenakalan pelajar masa kini sebagai alasan untuk sekadar mengajar dan melaksanakan kerja kerja pentadbiran disekolah. Anggaplah ia sebagai suatu jihad dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan mendidik anak bangsa. Ini kerana guru seperti individu Muslim yang lain memikul amanah Allah SWT untuk melaksanakan kerja menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana firman Nya yang bermaksud;

 “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf (kebajikan) dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang yang beruntung” (Terjemahan Surah Ali Imran, 104)

Malah jika para guru dan masyarakat menghentikan usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sehingga maksiat dan kemungkaran terus berleluasa dikhuatiri akan mengundang musibah dan malapetaka yang melata serta mengena kepada semua. Sebagaimana firman Nya bermaksud;

 “Peliharalah diri kamu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang yang zalim sahaja di antara kamu. Ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya”. (Terjemahan Surah al-Anfal 25).

Sungguhpun begitu para guru diajak sentiasa mematuhi etika dan profesionalisme perguruan bagi mengelak fitnah kepada diri sendiri. Misalnya ketika terpaksa memberi hukuman kepada pelajar bermasalah segala garis panduan dan peraturan mendenda pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah hendaklah dipatuhi. Pendekatan agama seperti menghukum dengan bijaksana, melalui kaedah nasihat yang baik dan perbincangan dua hala antara ibu bapa dan pihak sekolah juga elok dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah disiplin pelajar. Ini bagi mengelak para guru dicemuh dan dicela walaupun niat dan tujuannya murni untuk mendidik anak bangsa.

Apapun para ibu bapa, pelajar dan guru diajak memainkan peranan masing-masing bagi melahirkan genarasi Muslim yang cemerlang dunia dan akhirat. Malah ibu bapa sewajarnya berterima kasih kepada pihak sekolah dan para guru yang bersusah-payah memberi pendidikan sehingga anak mereka berjaya dalam kehidupan. Akhirnya ibu bapa juga yang bakal menikmati kesenangan hidup hasil kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak sedangkan guru kekal sebagai guru dengan pelajar baharu silih berganti saban tahun selian turut memikul tanggungjawab dan  amanah terhadap anak dan keluarga masing-masing.