Tuesday, July 27, 2010

HALAL BUKAN SAHAJA PADA MAKANAN





KEPRIHATINAN umat Islam terhadap aspek kesucian makanan dan minuman yang disuap ke dalam mulut menunjukkan betapa ramai telah mula sedar akan kewajipan berbuat demikian demi mengelak sesuatu yang haram menjadi darah daging. Soal halal dan haram ini juga jika tidak diberi perhatian akan turut memberi kesan kepada aspek pelaksanaan ibadah apatah lagi menjelang bulan Ramadan al-Mubarak dimana umat Islam berlumba-lumba untuk melakukan amal ibadat.

Atas keperluan itu bukan sahaja pengusaha Kopitiam perlu mendapatkan pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan tetapi semua kedai makan yang biasa dikunjungi umat Islam termasuk kedai-kedai mamak dan restoran di hotel-hotel di seluruh negara perlu memohon sijil halal.

Pengesahan status halal ini semakin signifikan menjelang tibanya bulan puasa berikutan trend berbuka puasa di luar rumah yang semakin diminati oleh masyarakat Islam dewasa ini. Ia sekaligus menarik perhatian pengusaha kedai makanan melakukan promosi gila-gila bagi menarik pelanggan ke premis mereka dengan menyediakan aneka juadah berbuka puasa.

Namun jika mereka enggan, pelanggan Muslim pula harus lebih sensitif untuk memilih dan menentukan hanya yang halal dan suci sahaja boleh menjadi hidangan mereka. Kegagalan mengikut garis panduan pemakanan yang telah ditetapkan syariat tersebut kemungkinan menyebabkan seseorang hanya menanggung beban berpuasa di siang hari tetapi tidak beroleh sebarang ganjaran berpuasa sebagaimana yang dicita-citakan.

Diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yangbermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja”.

Disamping itu budaya makan di luar sebegini sedikit sebanyak menyebabkan segelintir masyarakat Islam terlepas peluang keemasan untuk meraih ganjaran berlipat kali ganda dengan bersolat tarawih secara berjamaah yang hanya datang setahun sekali. Malah terdapat pula yang terpaksa menggabaikan solat fardu Maghrib kerana asyik menjamu selera.

Selain daripada itu umat Islam juga perlu memahami aspek halal bukan sahaja tertumpu kepada soal makan dan minum tetapi sebenarnya mencakupi segala muamalah yang dilakukan oleh manusia. Ini termasuklah penglibatan masyarakat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba’yang diharamkan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa”.(Surah al-Baqarah:275-276).

Malah hukum bermuamalat dengan bank-bank perdagangan yang berorentasikan riba’ juga pernah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-32 yang telah bersidang pada 10-11 Jun 1993. Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa; i) Bekerja di bank atau institusi kewangan hukumnya harus, ii) Pinjaman bank atau institusi kewangan adalah haram hukumnya kecuali kerana terpaksa bagi memenuhi keperluan asas yang mendesak. iii) Menyimpan di bank dengan tidak mengambil faedah hukumnya harus. iv) Wang faedah yang diperolehi dari bank atau institusi kewangan adalah haram digunakan untuk diri sendiri tetapi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal. v) Menerima berbagai bentuk hadiah dan pemberian dari bank dan institusi kewangan seperti biasiswa adalah harus hukumnya. vi) Menyewa bangunan kepada bank adalah haram. vii) Memegang saham bank yang mengamalkan riba adalah haram.

Sehubungan dengan itu, umat Islam dinasihat supaya menyokong sistem kewangan dan perbankan berteraskan Islam bagi mengelak dalam kancah dosa yang memudaratkan. Lagipun jika difikir secara logik siapa lagi yang diharap untuk menyokong peraturan syariah yang ditetapkan oleh Allah SWT melainkan ia merupakan amanah yang wajib dipikul oleh semua umat Islam. Tindakan sesetengah umat Islam yang mempersoalkan pelaksanaan sistem tersebut juga amat dikesali kerana ia ibarat menghina agama sendiri.

Tidak dinafikan terdapat kepincangan dan kekurangan kepada pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara menyeluruh kerana bukan mudah untuk menggantikan sistem ekonomi konvensional yang telah berakar umbi dalam diri umat Islam. Namun sebaiknya golongan cerdik pandai Islam menyumbang idea dan saranan ke arah penambahbaikan sistem sedia ada supaya benar-benar berteraskan syariah Islam daripada memburuk-burukkan usaha murni yang sedang dilakukan.

Untuk tujuan itu juga semua pihak boleh memainkan peranan dengan hanya meminjam daripada institusi kewangan Islam yang patuh syariah, menggunakan kaedah pembiayaan rumah, kenderaan dan insuran berteraskan syariah Islam. Manakala bagi golongan yang berkemampuan dan meminati aktiviti pelaburan produk unit saham amanah patuh syariah yang lebih diyakini sudah banyak tersedia untuk dilanggan. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman.

Kemungkinan ada yang mendakwa keuntungan yang akan diperoleh tidak seberapa tetapi percayalah keberuntungan hidup di hari akhirat adalah lebih bermakna kepada individu Muslim berbanding keuntungan dunia yang sementara.Malah konsep jihad dan pengorbanan dikalangan umat Islam sangat dituntut bagi melonjakkan lagi kecemerlangan tamadun Islam yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.

Monday, July 19, 2010

SUNGAI ADALAH NADI KEHIDUPAN

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan di ruangan Agama Berita Harian bertarikh 2/7/2010

KEWUJUDAN beberapa tamadun awal dunia di sepanjang sungai Tigris di Mesopotamia, Sungai Nil di Mesir, Sungai Indus di India dan Sungai Kuning di Cina menyaksikan betapa sungai sangat signifikan dengan perkembangan peradaban manusia. Tanpa air sungai sebagai punca air minuman dan sungai sebagai jalan perhubungan daripada satu tempat ke satu tempat nescaya tamadun manusia tidak akan berkembang selama-lamanya. Malah fakta sejarah jelas membuktikan betapa Sungai Melaka di Tanah Melayu pernah menjadi hab perhubungan dunia antara Timur dan Barat sehingga menyumbang kepada pembentukan Negara Malaysia yang disegani sehingga ke hari ini.

Maha benar firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’:30)

Namun akibat kerakusan segelintir masyarakat merosakkan sumber anugerah Tuhan yang sangat bernilai dengan membuang sejumlah 2000 tan sampah ke sungai setiap bulan telah menyebabkan sungai gagal berfungsi dengan sempurna. Malah ia mengundang malapetaka dan bencana lain seperti banjir lumpur dan limpahan air sungai ke kawasan penempatan rendah lalu menyebabkan korban nyawa dan kerugian harta benda. Begitu pula sistem marin dan ekologi sungai akan turut mengalami kerosakan apabila sisa industri dan kumbahan yang tidak terurus dialirkan ke sungai dengan sewenang-wenangnya.

Pernyataan ini dikuatkan lagi menerusi kajian yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mendapati air sungai di Malaysia telah tercemar dengan logam berat seperti arsenik, raksa,kadmium, kromium, plumbum dan zink. Sesuatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak, kerana sungai adalah sumber utama air minuman di Malaysia.

Malah tindakan pihak tertentu mengambil jalan mudah meraih keuntungan lumayan dengan membuang sisa industri dan lain-lain ke sungai patut dikenakan tindakan yang setimpal supaya tidak berulang kembali. Ini ditambah lagi dengan kegiatan pertanian, penternakan, penempatan dan perindustrian di kawasan berhampiran sungai yang tidak terkawal sehingga menambahkan lagi pencemaran yang sedia berlaku.

Sebagai umat Islam kita memang sentiasa digalakkan untuk bersih dan suci. Sementelah lagi kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Justeru itu umat Islam yang terlibat mencemarkan sungai dan alam sekitar disaran supaya bertaubat dan berhenti daripada terus merosakkan alam ciptaan Tuhan yang tiada galang-gantinya. Malah jika diteliti fitrah semulajadi manusia cenderung kepada kebersihan dan secara semulajadi pasti menjauhkan diri daripada kejijikan dan kekotoran.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud Dari Abu Hurairah r.a. berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Bagaimana pandanganmu seandainya pada pintu salah seorang di antara kamu sekalian ada sebuah sungai di mana ia mandi setiap hari lima kali di sungai itu; apakah masih tertinggal sesuatu kekotorannya?” Para sahabat menjawab; “Tidak”. Beliau bersabda lagi; “Demikianlah perumpamaan solat yang lima di mana Allah SWT menghapus dosa-dosa dengannya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu pula pihak yang terlibat dengan industri dicadang supaya menyumbang kepada Corporate Social Responsibility (CSR) dengan menyediakan takungan khusus untuk sisa buangan industri ataupun pembuangan secara berjadual sisa cecair atau pepejal dengan menggunakan khidmat kontraktor yang dilantik. Elakkan terlalu berkira dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat demi kebaikan bersama.

Bersyukurlah dengan nikmat air sungai yang banyak mengalir di negara kita dengan tidak mencemarkan kejernihan dan kebersihan airnya. Malahan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah dan mengalirkan sisa penternakan dan industri ke sungai akan menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan sumber alam yang sangat bernilai suatu hari nanti. Ingatlah ada negara yang terpaksa berbelanja besar untuk menyuling air laut bagi mendapatkan sumber air minuman. Terdapat pula negara tertentu yang terpaksa mengitar semula sisa air buangan untuk keperluan masyarakat setempat.

Siapa kata kita tak lalu makan daging kerbau...

Daging import India adalah daging kerbau,
Petikan daripada Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19/7/2010

ALOR SETAR 18 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan daging import dari India yang berada di pasaran ialah daging kerbau dan bukannya daging lembu seperti yang mungkin difikirkan oleh ramai pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, sehubungan itu pengguna dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan istilah daging import atau Indian Beef dari negara berkenaan.

“Saya nak buat perisytiharan supaya rakyat tidak terkeliru. Daging import dari India atau dikenali sebagai daging kotak sebenarnya ialah daging kerbau dan bukannya lembu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.

Dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan bertajuk Kisah daging kerbau semalam, Awang Selamat menulis mengenai kekecewaan seorang pensyarah yang membuat kajian berkaitan daging import kerana hampir 80 peratus daripadanya adalah dari India.

Pensyarah itu memberitahu Awang Selamat bahawa beliau kecewa kerana rakyat kita disajikan dengan daging kelas ketiga. Lebih menyedihkan, selama ini kita tidak dimaklumkan bersungguh-sungguh bahawa daging yang diimport dari India adalah kerbau.

Menurut Awang Selamat, berdasarkan kajian pensyarah itu juga, ramai pengguna tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

Noh berkata, dianggarkan 80,000 tan daging import India dibawa masuk setiap tahun dan kebanyakannya bergred utiliti.

“Rakyat boleh buat pilihan, hanya kita mahu mereka tidak terkeliru,” katanya.

Beliau menambah, pegawai-pegawai bertauliah daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihantar ke India bagi memastikan daging yang diimport ke Malaysia adalah halal.

Noh berkata, pemeriksaan meliputi ciri-ciri kebersihan serta cara penyembelihan mengikut prosedur dan hukum syarak yang betul supaya menepati piawaian yang ditetapkan.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan persatuan pengguna, daging kotak ini haruslah dilabelkan sebagai daging kerbau supaya tidak mengelirukan.

“Masalah yang timbul adalah kemungkinan wujud sesetengah pihak yang tidak mematuhi garis panduan ini dan enggan melabelkan kotak tersebut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga peniaga yang menyahbekukan daging itu dan menjualnya ke pasaran sebagai daging lembu.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan ayam dan daging bagi keperluan musim perayaan ini adalah mencukupi.

Noh berkata, kementeriannya menubuhkan jawatankuasa khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk perancangan berterusan dan teliti berhubung perkara itu.

Selain menjalankan pemantauan mengenai bekalan di pasaran, katanya, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar dan penternak tempatan jika ia tidak mencukupi.

“Kalau belum mencukupi, kita akan keluarkan kuota untuk permit import,” katanya.

Sunday, July 11, 2010

PIALA DUNIA LAWAN PIALA AKHIRAT

Kemeriahan pesta bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 kali ke-19 di Afrika Selatan telah melabuhkan sauhnya. Setelah 31 hari berpesta dengan kesemua 64 perlawanan berjaya dilangsungkan dengan jayanya pasukan Spanyol menempa sejarah apabila buat pertama kali menjulang trofi Piala Dunia setelah menang menentang Belanda dengan agregat 1-0

Manakala pasukan Belanda yang berpengalaman 3 kali beraksi di perlawanan akhir Piala Dunia terpaksa berputih mata dan menerima kekalahan yang tidak disangka-sangka. Namun kejayaan menempatkan diri di perlawanan akhir dalam perlawanan bola sepak paling berpengaruh di dunia merupakan detik yang patut dibanggakan kerana ia pasti bermula dengan laluan sukar dan penuh mencabar.

Begitulah adat perlawanan ada yang menang dan ada yang tewas. Seluruh warga bola sepak tempatan sebaiknya mengambil pelajaran daripada semangat 32 buah negara di dunia yang telah beraksi di pentas bola sepak antarabangsa dan tidak hanya berbangga dengan kejayaan yang di raih di padang sendiri. Akibatnya peminat bola sepak di tanahair hanya ghairah bersorak dan menyokong negara lain di hadapan skrin besar di kedai-kedai mamak sedangkan pasukan negara belum mampu sampai ke tahap yang dicita-citakan.

Walau apapun tahniah diucapkan kepada pegawai-pegawai yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa kerana terpilih menyumbang tenaga dalam menjayakan penganjuran Piala Dunia kali ini termasuk saudara Subkhiddin Mohd Salleh yang diturunkan sebanyak 8 kali sebagai pengadil ke-4 mengadili sesi perlawanan pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Namun bagi umat Islam persiapan menjulang piala akhirat terutama menjelang tibanya bulan Ramadan al-Mubarak seharusnya menjadi agenda utama bagi meraih kejayaan hakiki beroleh rida Ilahi yang kekal abadi. Peluang keemasan yang bakal tiba itu tidak patut dipersiakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurniaan yang lebih bernilai daripada wang 500,000 pound sterling seperti habuan yang dijanjikan kepada setiap pemain pasukan Spanyol.

Ini kerana setiap amalan sunat akan dinilai seperti amalan fardu di bulan Ramadan manakala amalan fardu akan dilipat gandakan sama seperti melaksanakan 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Tuhan. Lebih daripada itu ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWTdi bulan-bulan yang lain.

Untuk tujuan itu juga persiapan rapi perlu dilakukan. Setiap individu Muslim perlu membetulkan niat dan melipat gandakan amal kebajikan di bulan Syaaban yang menjelang tiba. Oleh yang demikian bagi yang sudah lama tidak berpuasa kesempatan ini bolehlah dimanfaatkan untuk berjinak-jinak berpuasa kerana diriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW kerap berpuasa sunat di bulan Syaaban. Baginda juga aktif melaksanakan amal kebajikan sehingga diibaratkan seperti angin yang bertiup kencang.

Dalam konteks ini juga Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”. (Surah al-Naba’:32-36)

Selain daripada itu setiap individu Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri. Malah, jika ada yang sanggup berjaga malam ataupun bangun awal pagi sebulan yang lalu semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak kegemaran mengapa tidak ia terus dipraktikkan dalam usaha memburu piala akhirat yang menjadi idaman orang beriman. Ini kerana ramai yang tewas melaksanakan solat subuh setelah tamat menonton perlawanan bola sepak di televisyen walaupun sanggup menahan ngantuk berjam-jam lamanya.

Semangat perpaduan yang berhasil digarap daripada penganjuran Piala Dunia oleh FIFA sehingga berupaya mengenepikan sempadan kepercayaan beragama, kedudukan geografi negara dan kelainan tutur bahasa lalu menyebabkan seluruh dunia berbicara tentang bola sepak juga boleh diperluaskan kepada usaha membantu sesama manusia. Misalnya usaha membebaskan tanahair Palestin daripada cengkaman zionis sejak sekian lama boleh dipelopori oleh kuasa-kuasa besar dunia sehingga bekalan makanan, ubat-ubatan dan misi kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa sebarang sekatan.

Semangat Rachel Corrie dan Mavi Marmara serta 9 aktivis Turki yang terkorban juga selayaknya diambil oleh umat Islam dalam usaha menyokong dan menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara se Islam di Palestin. Apa tidaknya kekuatan memiliki akidah yang sama, melaksanakan ibadah yang sama jika boleh disatukan mampu menentang kezaliman Israel di bumi Palestin tanah wakaf milik umat Islam sepanjang zaman.

Setelah tamat pesta bola sepak Piala Dunia masyarakat Islam diharap dapat kembali berpijak di bumi nyata dengan menoleh kepada kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin yang sekian lama dinafikan hak untuk mendapat pembelaan antarabangsa. Kini setelah lebih 60 tahun berlalu, Masjidil Aqsa tempat transit Nabi Muhammad SAW sebelum di bawa dalam kembara agung ke langit dalam peristiwa Isra dan Mikraj masih terkepung di tangan penjajah Yahudi yang tidak berperikemanusiaan.

Dalam masa yang sama kita di Malaysia masih tercari-cari formula ampuh untuk menangani gejala sosial dan moral dikalangan umat yang membimbangkan.Suara tangisan bayi hasil kandungan yang tidak dirancang kelihatan semakin sering kedengaran tak ubah meriahnya tiupan vuvuzela di stadium soccer city Afrika Selatan.

Perlawanan bola sepak Piala Dunia kali ini juga turut diwarnai oleh ramalan Paul Si sotong kurita yang betul meramal Spanyol sebagai juara. Sehubungan dengan itu umat Islam diingat tidak terpengaruh dengan ramalan dan kepercayaan yang karut sehingga terlibat melakukan perbuatan syirik yang dimurkai Tuhan. Ini kerana tiada yang berkuasa memberi mudarat mahupun manfaat kecuali Allah SWT. Malah kegagalan pasukan favourite seperti Itali, Brazil, Francis dan lain-lain beraksi di perlawanan akhir sebenarnya merupakan takdir ilahi yang tidak boleh dipersoalkan.

Akhirnya apabila berlaku perlawanan bagi merebut piala dunia dan piala akhirat, setiap individu Muslim perlu menetapkan tekad untuk memilih bagi mendapatkan piala akhirat. Kerana itulah saringan muktamad yang menjadi pilihan Nabi Muhammad SAW untuk umatnya di malam Isra’ dan Mikraj ketika diperlihatkan dengan gambaran dunia ibarat wanita yang dipenuhi segala perhiasan namun Baginda tidak menoleh ke arahnya.

Lebih daripada itu ingatan terhadap Allah SWT yang akan mengadili setiap gerakan yang dilakukan oleh manusia dalam usaha memburu piala dunia mahupun piala akhirat tanpa pilih kasih atau menyebelahi mana-mana pihak wajar menjadi iktibar. Ini kerana di saat itu tiada lagi kad kuning mahupun kad merah yang akan dilayangkan oleh pengadil perlawanan yang tinggal hanya balasan nikmat syurga mahupun azab api neraka sebagai balasan yang dijanjikan.