Monday, February 22, 2010

MUHASABAH KETIKA SAMBUT MAULUD NABI

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26hb. 2. 2010

IRONINYA menjelang sambutan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, seluruh masyarakat Islam di Malaysia melakukan pelbagai persiapan termasuk perarakan, program ceramah dan forum bagi memperingati kelahiran insan agung ini. Segalanya dilakukan demi menunjukkan rasa kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi terhadap pengutusan Baginda Nabi Muhammad SAW yang telah membawa rahmat dan kesejahteraan untuk seluruh alam. Ini juga bertepatan dengan sabdanya yang bermaksud “Tidak beriman seseorang kamu kecuali aku lebih dicintai daripada kedua ibubapanya, anak dan manusia keseluruhannya”.

Namun setelah lebih 1400 tahun Nabi Muhammad SAW diutus dengan seruan untuk mentauhidkan Allah SWT serta memperelok akhlak manusia, terdapat segelintir masyarakat Islam yang masih tidak mengerti ajaran mulia yang dibawa olehnya.
Perkara ini dapat dilihat daripada sudut kepercayaan, amalan syariah dan akhlak mulia yang sepatutnya sebati dalam diri individu Muslim. Ketiga-tiga aspek ini merupakan komponen utama ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Kepentingannya boleh diibaratkan seperti sebatang pokok yang tegak berdiri dek kerana akar tunjang yang menusuk bumi, dihiasi pula dengan dahan, ranting serta daun-daun menghijau yang kemudian menghasilkan buah yang enak dimakan.

Kegagalan menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup telah menyebabkan, aspek kepercayaan terhadap rukun Islam dan rukun iman yang menjadi tonggak keutuhan akidah umat Islam tercalar lalu menyumbang gejala kerosakan akidah yang membimbangkan.Terbaharu, pendedahan sebuah kumpulan ajaran sesat di Putrajaya, jelas menyimpang daripada landasan akidah yang sebenar. Bagaimana mungkin seseorang mendakwa melihat Nabi Adam dan Nabi Sulaiman AS, sedangkan nikmat mimpi melihat Nabi Muhammad SAWpun sukar untuk diperoleh. Begitu pula dakwaan memiliki kitab yang mempunyai petunjuk lebih jelas berbanding al-Quran merupakan pembohongan nyata yang mengelirukan umat Islam.

Gejala kerosakan akidah, berjangkit pula kepada masalah pelaksanaan undang-undang syariah, lalu ada yang berani mempersoalkan hukuman sebat kepada pesalah zina dan peminum arak. Bukankah Allah SWT dengan jelas menyatakan dalam Surah al-Maidah bahawa orang yang berzina lelaki dan perempuan hendaklah disebat dengan 100 kali sebatan, tanpa belas kasihan.

Fakta ini boleh dirujuk kepada firman-Nya yang bermaksud “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukuman Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman siksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang yang beriman”. (Surah al-Nur:2)

Dalam konteks pelaksanaan ibadah pula, secara sedar atau tidak masih ramai yang melaksanakan ibadah tetapi di bawah indeks pencapaian kualiti ibadah (KPI) yang ditetapkan. Sebagai contoh, ramai yang solat tanpa disertai rasa khusyuk dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Malah ramai yang solat tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada solatnya kecuali rasa penat dan bosan kerana terpaksa melaksanakannya. Begitu juga ada yang tak malu jika tidak berpuasa di bulan Ramadan, orang kaya khuatir disindir kedekut jika tidak bersedekah ataupun pergi haji sekadar untuk mencukupkan pingat & gelaran sedia ada.

Apabila kerosakan akidah dan syariah semankin parah, ia menyumbang pula kepada kehancuran akhlak dan nilai murni yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpelukan, berciuman dikhayalak ramai bahkan bersekedudukan seakan menjadi gaya hidup kepada sesetengah masyarakat Islam. Cara hidup yang tidak berpaksikan kecantikan akhlak Islam ini menyumbang pula kepada peningkatan maksiat, pembunuhan, buang dan bakar bayi, minum arak dan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral. Begitu juga tatacara berpakaian yang menjolok mata dan menampakan susuk tubuh sedikit sebanyak menyumbang kepada jenayah rogol dan ganguan seksual yang menjadi-jadi.

Apa yang berlaku menampakkan reality kehidupan umat Islam hari ini lebih buruk daripada masyarakat Arab jahiliyah ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan. Kalau dahulu mereka sanggup menanam anak hidup-hidup kerana malu dikurniakan cahaya mata perempuan kini segelintir masyarakat Islam lebih advanced kerana tergamak membunuh sesiapa sahaja tak kira bayi perempuan, lelaki hatta khunsa sekalipun kerana malu akibat keterlanjuran zina yang dilakukan. Terbaharu kes bayi ditemui dibakar adalah episod pembunuhan kejam segelintir masyarakat jahiliyyah moden yang tidak berpenghujung. Tindakan mereka bersifat kebinatangan dan langsung tidak berperikemanusiaan.

Lalu apakah cukup maulud Nabi Muhammad SAW diingati hanya dengan mengadakan majlis di masjid dan surau, kawasan kejiranan dan di jabatan-jabatan tertentu selama berbulan-bulan lamanya tanpa dihayati dan dilestarikan sunnah dan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW.

Jika begitulah amalannya ia tak ubah seperti meraikan sambutan hari jadi biasa yang dipenuhi pelbagai kuih-muih juga hidangan nasi minyak yang menyelerakan, diselitkan pula dengan sesi ceramah seperti program Raja Lawak yang menyebabkan semua hadirin ketawa terbahak-bahak dan pulang tanpa memperoleh apa-apa. Ada pula yang mengadakan sambutan mauludulrasul sebagai satu trend bagi memenuhi aktiviti tahunan yang juga perlu dihindari bagi mengelak tanggapan serong yang bakal mencemarkan kesucian institusi kenabian.

Justeru itu, sempena ketibaan hari mulia ini, umat Islam diseru untuk mengamalkan 4 M terhadap sirah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW. Mereka diseru memiliki sekurang-kurangnya sebuah kitab sirah, kemudian membaca, memahami isi kandungannya dan mempraktikkan setiap sunnah tinggalan nabi sebagai jalan selamat untuk beroleh kejayaan hidup dunia dan akhirat. Dengan cara ini juga kita akan lebih mengenali personality dan peribadi Nabi yang dikasihi oleh kawan dan lawan. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.

Selain daripada itu, individu Muslim juga digalak memperbaharui ingatan dengan memperbanyak ucapan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebagai bukti kecintaan hakiki. Malah sesiapa yang sentiasa berselawat kepada Baginda Nabi SAW akan beroleh pula ucapan salawat dan salam daripada Allah SWT.Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadisnya yang bermaksud “ Barangsiapa berselawat ke atasku sekali nescaya Allah SWT akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali.

Bagi yang berkemampuan pula digalak untuk menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di Kota Suci Madinah, sambil berharap syafaat daripadanya. Diriwayatkan dalam sabdanya yang bermaksud “Barang siapa yang menziarahi kuburku maka berhaklah dia mendapat syafaat dariku. Dan dalam hadis yang lain juga disebutkan “Barang siapa yang menziarahi aku setelah kewafatanku sama seperti dia menziarahiku ketika aku hidupku”.

Sunday, February 7, 2010

My First Time.. Sembelih Lembu

Walaupun peristiwa ini agak lama untuk dikongsi bersama, ia merupakan sejarah peribadi yang perlu diabadikan di dalam blog ini. Setelah beberapa tahun melihat tok imam menyembelih lembu,akhirnya penulis diberi penghormatan untuk melakukannya. Peluang yang diberikan pada ketika itu tidak patut ditolak kerana rasanya sukar untuk diperolehi dimana-mana, ia melibatkan kepercayaan masyarakat dan sekaligus keyakinan terhadap diri sendiri. Ikutilah keseronokan itu melalui foto-foto eksklusif yang berikut.

Inilah Lembu yang akan terkorban..Ganas tak

Tapi sebelum sembelih lembu test power dulu sembelih ayam

Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

Tuesday, February 2, 2010

Henti Sambut Hari Valentine’s

PROMOSI tidak memakai seluar dalam bagi menggambarkan cinta kepada kekasih menjelang Hari Valentine seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star On-line bertarikh 29 Januari 2010 (http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/1/29/nation/5567822&sec=nation)adalah memalukan dan tidak sesuai dengan nilai budaya ketimuran. Sehubungan dengan itu masyarakat Islam terutama kalangan remaja dan pelajar diingatkan supaya tidak terikut-ikut budaya songsang yang merosakkan akidah ini.

Sambutan hari kekasih yang bakal disambut diseluruh dunia, adalah ritual agama kristian yang dikatakan bermula apabila Paderi St. Valentine menjalin hubungan cinta terlarang lalu di jatuhkan hukuman bunuh. Sebelum mati beliau sempat menulis surat kepada kekasihnya bertandatangan ‘From your Valentine’.

Semenjak hari itu, masyarakat Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk meraikan hari kekasih demi memperingati kematian paderi mereka St. Valentine. Malahan, penghormatan itu disamakan dengan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Jesus yang sanggup disalib demi menghapuskan dosa kaumnya.

Tidak dinafikan amalan berkasih-sayang dan saling cinta-mencintai antara lelaki dan perempuan merupakan fitrah semulajadi manusia. Namun ia perlu direalisasikan bukan dengan perbuatan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan ilahi. Islam juga, tidak pernah mempromosikan supaya amalan berkasih sayang hanya disambut pada hari-hari tertentu, malah berpanjangan dan bersifat holistic kepada semua makhluk, termasuk haiwan.

Islam juga sangat mengambil berat persoalan ini kerana jika tidak diurus dengan baik pasti akan mengundang perbuatan zina yang terkutuk. Walaupun pada asasnya cinta menurut pengertian muda-mudi hari ini tidak ada kaitan secara langsung dengan syariat Islam yang suci tetapi oleh kerana naluri semulajadi manusia ingin bercinta dan berkasih sayang Islam menetapkan falsafah umum yang perlu dipatuhi bagi mengelak terjebak melakukan perbuatan keji dan mungkar. Antaranya ialah:

Cinta hakiki hanya kepada Allah SWT. dan RasulNya. Cinta sejati dan hakiki hanya untuk Allah SWT dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Semua ini dilakukan demi memperhambakan diri kepadaNya, sambil mengharap beroleh kenikmatan menyaksikan zatNya Yang Mulia di syurga. Begitu pula cinta kepada Rasul wajib didahulukan daripada cinta kepada makhluk sebagai syarat untuk mendapat syafaat al-kubra. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud; Didiklah anak-anak kamu cinta kepada 3 perkara; Cinta kepada Nabi mereka, Cinta kepada ahli keluarga Nabi dan cinta kepada al-Quran.

Bertemu dan berpisah kerana Allah SWT. Segala perlakuan mesti dimulai dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, maka begitulah pula apabila ingin bercinta dan berkasih sayang semata-mata kerana Allah SWT. sebagai ikhtiar untuk mendapat pasangan secocok dan berakhir ke jinjang pelamin. Jika ditakdirkan terjadi perpisahan, selepas itu juga kerana Allah agar setiap pasangan pasrah akan takdir ilahi bahawa tiada jodoh antara mereka dan menerima dengan hati yang terbuka. Perbuatan sesetengah pasangan bercinta dengan agenda tertentu seperti untuk mengikis wang, membalas dendam dan meraih keuntungan duniawi adalah tidak selari dengan erti kasih sayang dalam Islam.

Sentiasa menjaga peraturan agama. Bercinta bukan tiket untuk menghalalkan apa sahaja. Oleh itu setiap pasangan wajib menjaga batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan syariat. Elakkan daripada bersikap memandang remeh terhadap perbuatan saling berpegangan tangan yang diharamkan, kerana akan mengundang perbuatan dosa yang lebih berat sedikit demi sedikit. Ini kerana berdasarkan maksud sebuah hadis daripada Rasulullah SAW apabila 2 orang duduk berdua-duaan maka yang ketiga antara mereka adalah syaitan.

Bersegera untuk berkahwin. Tujuan bercinta bukan sekadar untuk berseronok selama-lamanya. Ia hanya perintis jalan untuk berkenal-kenalan sebelum melangsungkan pernikahan yang disyariatkan. Jika pasangan yang dipilih itu sesuai dan sekufu’ pernikahan harus disegerakan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Saydina Ali, "Wahai Ali ada 3 perkara yang perlu disegerakan: sembahyang apabila masuk waktunya, jenazah apabila sudah siap, segera dikebumikan, dan wanita apabila menemukan lelaki yang baik yang meminangnya". (Hadis Riwayat Imam Ahmad) Ibubapa juga perlu peka dengan perintah ini agar tidak terlibat mendapat saham maksiat yang dilakukan oleh anak-anak yang asyik dilamun cinta, sehingga terjebak dalam kancah dosa dan noda.

Berlapang dada menerima nasihat dan teguran. Alam percintaan sememangnya indah dan mempersonakan. Ramai yang terpedaya dengan khayalan indah itu apatah lagi jika semua yang dilakukan atas nama cinta disangka baik, tanpa bersedia menerima pandangan dan teguran orang lain. Perlu diingat bahawa cinta boleh menyebabkan seseorang jadi buta dan pekak, lalu mereka merana dan menderita. Justeru nasihat membina daripada ibubapa dan rakan taulan harus diambilkira agar terselamat daripada godaan syaitan dalam bercinta.

Ingat Tuhan dan gunakan akal sebelum melakukan sesuatu. Hati yang sentiasa ingat kepada Tuhan juga mampu membendung akibat daripada perasaan cinta yang bertuhankan hawa nafsu. Pertimbangan akal yang waras juga boleh dimanfaatkan untuk membezakan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum terlewat. Pepatah ada menyebutkan ikut hati mati ikut nafsu binasa Malahan, jika syariat dan nasihat berguna menjadi teman setia pasangan bercinta, banyak implikasi buruk daripada cinta buta dapat dielakkan.

Hari kekasih yang diraikan oleh pasangan yang sedang bercinta melalui pemberian hadiah, kad ucapan dan lain-lain sewajarnya diganti dengan perkara lain yang lebih berfaedah. Golongan pelajar misalnya disaran memberi lebih tumpuan kepada aktiviti pembelajaran demi untuk meninggikan martabat agama, bangsa dan Negara.

Dikhuatiri, akibat terikut-ikut budaya songsang itu, akan mengundang jenayah zina yang terkutuk sehingga melahirkan anak luar nikah yang kemudiannya dibuang merata tempat kerana malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Dalam Islam terdapat tiga bentuk kasih-sayang; pertama, kasih mutlak dan tidak berbelah-bagi iaitu kasih kepada Pencipta; kedua, kasih kepada hamba dan ketiga, kasih makhluk kepada makhluk yang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud‘‘Lalu Allah menyatukan di antara hati (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali Imran: 103). Nilai kasih-sayang yang berpaksikan semangat persaudaraan Islam inilah yang sepatutnya dipupuk dalam masyarakat.

Tindakan stesyen tv, hotel-hotel dan pusat membeli-belah mempromosikan Hari Kekasih amat dikesali kerana menyumbang kepada ikutan terhadap tradisi ini yang semakin diminati oleh golongan muda-mudi.

Tanpa disedari, agenda untuk melalaikan dan merosakkan akhlak umat Islam telah menular dalam masyarakat yang sudah tentu sukar untuk dibendung. Walaupun ia belum sampai ke tahap yang membimbangkan, pepatah merawat lebih baik daripada mengubati patut dihayati sebelum menjadi barah sehingga merosakkan akidah dan kehormatan diri.