Wednesday, December 29, 2010

Azam Tahun baru 2011

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam ruangan email anda harian metro bertarikh 3 januari 2011 dengan tajuk perlu perubahan.

SUDAH agak lama rasanya pihak kerajaan tidak mengisytiharkan cuti umum bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjuang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Alhamdulillah, kemenangan Harimau Malaya dengan agregat 4-2 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno kini dapat dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan cuti bersempena dengan kejayaan tersebut. Apatah lagi setelah 14 tahun peminat bola sepak negara kempunan untuk membawa pulang Piala AFF Suzuki ke bumi bertuah ini.

Kemenangan tersebut juga wajar dijadikan sumber inspirasi untuk seluruh lapisan masyarakat melangkah ke tahun baru 2011 dengan penuh keazaman untuk berubah. Kemenangan berganda yang diraih oleh pasukan negara membuktikan betapa slogan Malaysia Boleh mampu mengubah segala-galanya. Walaupun begitu adalah diharapkan agar perubahan yang berlaku menjurus kepada perubahan positif bagi meningkatkan potensi diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Untuk mencapai hasrat dan cita-cita murni tersebut komuniti Islam terutamanya diseru agar tidak terikut-ikut dengan budaya asing meraikan ketibaan tahun baru 2011 dengan pesta arak, pesta seks dan berpeleseran ke sana ke mari tanpa arah tujuan. Kemungkinan juga ada yang mengambil kesempatan sempena cuti umum untuk melakukan perbuatan zina terlarang tanpa mempedulikan sensitivity agama dan masyarakat sekeliling. Perbuatan jijik sebegini dikhuatiri akan menyumbang kepada pertambahan kes mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi yang tiada henti. Tindakan pihak-pihak tertentu yang menganjurkan konsert hiburan sehingga lewat malam juga dibimbangi menyemarakkan lagi aktiviti tidak sihat dikalangan remaja dan muda mudi dengan kegiatan tidak bermoral seperti merempit dan sebagainya.

Kebiasaannya lagi menjelang tahun baru ramai yang berazam untuk melakukan itu dan ini. Perlu diingat jika seseorang tidak berusaha untuk merubah diri sendiri segala azam di tahun baru hanya tinggal angan-angan yang tidak kesampaian. Elakkan juga daripada suka melihat kecacatan dan keburukan orang lain sedangkan aib dan keburukan sendiri dibiarkan terus menghantui diri. Jangan jadi seperti kata pepatah semut di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan. Justeru mulakan perubahan dengan diri sendiri.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Surah Ar-Ra’du :11)

Golongan pelajar sama ada yang masih di peringkat rendah, menengah dan di pusat pengajian tinggi juga perlu berazam untuk memulakan tahun baru dengan semangat yang berkobar-kobar untuk memperoleh kejayaan paling cemerlang di sesi persekolahan baru 2011 yang hampir bermula. Bagi yang akan menghadapi peperiksaan utama pula persediaan rapi hendaklah dilakukan sejak daripada hari pertama persekolahan lagi. Tabiat menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk mengulangkaji pelajaran pasti membawa padah apabila gagal membuat persiapan yang secukupnya. Ingatlah betapa pengorbanan ibubapa yang bersusah-payah mengeluarkan belanja persekolahan yang semakin meningkat saban tahun perlu dibalas dengan kejayaan dalam pelajaran.

Para ibubapa pula diseru berazam untuk mengambil berat tentang tanggungjawab memberi asuhan dan pendidikan kepada anak-anak dengan sempurna. Walaupun kemungkinan sibuk dengan pelbagai tugasan di awal tahun amanah terhadap anak dan keluarga tidak patut dikesampingkan. Hanya dengan mengeluarkan wang untuk membeli segala kelengkapan persekolahan termasuk yuran dan buku-buku sahaja tidak mencukupi untuk membentuk sahsiah dan peribadi mereka. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk mendidik, menasihati, menegur dan memberi hukuman jika perlu terhadap kesilapan yang dilakukan. Tindakan memberi sepenuh kepercayaan kepada pembantu rumah untuk menguruskan anak-anak juga tidak patut berlaku kerana mereka masih memerlukan kasih sayang dan belaian ibubapa.

Jika amanah dan tanggungjawab ini diabaikan maka lahirlah golongan remaja dan muda-mudi yang lalai dan asyik dengan hiburan sepanjang masa. Sementelah lagi apabila tiada didikan agama yang sempurna hingga terjebak pula dalam kancah dosa dan maksiat yang berleluasa di sana sini. Tahun 2010 yang sampai kepenghujungnya menyaksikan jenayah rogol, pembunuhan, pembuangan dan pembunuhan bayi, bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan yang sah dan pelbagai gejala negatif lain ditahap yang membimbangkan.

Akhir-akhir ini terdapat pula kecenderungan pihak tertentu menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan pelbagai nama untuk mengelabui mata masyarakat. Ada pula di kalangan muda-mudi Islam yang tanpa segan-silu memperagakan tubuh badan mereka demi memperoleh hadiah lumayan yang ditawarkan. Terdapat juga dikalangan artis beragama Islam yang memperagakan pakaian dan tubuh badan mereka demi populariti sedangkan semua itu dilarang agama. Tindakan segelintir umat Islam yang seronok bergaya ala Santa Klaus sempena sambutan Hari Natal lalu menunjukkan betapa parahnya penyakit sosial dan budaya yang melanda umat Islam masa kini.

Justeru itu ketibaan tahun baru 2011 hendaklah dimulakan dengan keazaman dan kesungguhan untuk berubah menjadi individu Muslim yang sentiasa menjaga peraturan dan pantang larang agama. Usah terpedaya dengan tipu helah dan kemewahan dunia hingga sanggup menggadaikan maruah diri, agama dan bangsa Melayu yang terkenal dengan sifat pemalu, sopan santun dan berakhlak mulia. Jadikanlah tahun baru ini juga sebagai titik tolak untuk meningkatkan ekonomi diri mahupun keluarga dengan berusaha mencari pekerjaan halal dan mulia sehingga memperoleh rezeki halal yang diberkati. Begitu pula segala kesilapan lalu hendaklah disesali dengan berhenti dan bertaubat daripada terus menimbun dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.

Tuesday, December 14, 2010

10 Muharram pencetus perubahan

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 16 Dis. 2010 bersamaan 10 Muharam 1432H dengan tajuk "Institusi Pemikir Muslim tangkis dakyah songsang".

TANGGAL sepuluh Muharram merupakan satu lagi hari yang dimuliakan dalam Islam. Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharram sebagai menunjukkan betapa syariat Islam yang suci jauh berbeza dengan amalan agama lain yang kemungkinan juga berpuasa menurut kepercayaan mereka.

Diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Jika aku hidup lagi sehingga ke tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari ke- 9 Muharram”. (Hadis riwayat Muslim). Ini berlaku kerana Baginda Nabi SAW mendapati orang Yahudi juga turut berpuasa pada hari ke-10 Muharram sebagaimana yang disunnahkan. Justeru bagi menunjukkan perbezaan dalam amalan beragama, Baginda Nabi SAW memerintahkan supaya para sahabatnya berpuasa pada hari ke-9 Muharram pada tahun yang berikutnya, walaupun Baginda sendiri tidak sempat berbuat demikian.

Begitu pula ada yang berpendapat disunnahkan berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharram untuk berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan dalam menentukan awal Bulan Muharram sehingga umat Islam luput beroleh kelebihan berpuasa pada 10 Muharram yang diberi ganjaran pengampunan dosa setahun yang lalu. Justeru itu peluang dan kesempatan berharga sebegini tidak patut dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja memandangkan tiada manusia biasa yang terhindar daripada kekurangan dan kesilapan. Inilah juga saat untuk umat Islam menambah amal dan mengurangkan tanggungan dosa yang tidak perlu di bawa mati.

Justeru itu detik 10 Muharram sewajarnya menjadi pemankin untuk umat Islam merubah kiblat pemikiran, budaya dan kehidupan daripada amalan songsang kepada pelaksanaan Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Hanya dengan berpegang kepada agama yang benar sahaja cabaran dan mihnah kehidupan dapat diatasi dengan sempurna.
Kegagalan masyarakat Islam berubah mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan telah menyebabkan kehidupan mereka tersasar daripada matlamat hidup yang sebenar. Ada yang bertuhankan nafsu sehingga sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa, bersekedudukan tanpa mematuhi pantang larang agama, hidup suka berfoya-foya dan terlibat dengan budaya hedonisme yang melampau.

Akibatnya manusia yang merupakan makhluk paling istimewa yang dijadikan Allah SWT gagal memacu potensi diri bangkit menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Begitu pula masih yang ada tersesat dalam mencari kebenaran lalu terpengaruh dengan ajaran menyeleweng dan menyimpang daripada landasan agama sebenar. Mereka kemudiannya terlibat pula mencetuskan perpecahan dalam masyarakat yang dikhuatiri akan melemahkan umat Islam setempat. Kesemua daripada gejala akidah, syariah dan akhlak yang membelenggu umat Islam dekad ini perlu diatasi dengan segara dan bijaksana.

Cadangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj ketika merasmikan Multaqa Ulama di Johor Bahru baru-baru ini juga boleh dijadikan pencetus kepada perubahan yang diidam-idamkan. Cadangan supaya ditubuhkan sebuah institusi pemikir Muslim memang tepat pada masanya memandangkan sebilangan umat Islam hari ini mengenepikan agama dalam kehidupan mereka.

Dengan tertubuhnya institusi itu nanti golongan agama, ahli akademik, para cendikiawan dan pemimpin masyarakat boleh mengembeleng segenap usaha dan tenaga bagi mengatasi gejala moral dan sosial yang meruncing dikalangan umat Islam sendiri.

Institusi itu juga boleh berperanan sebagai pusat pemikiran Islam dan menyebarluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat agar mereka memahami Islam berdasarkan sumber yang diterima dan disepakati bersama. Ia juga boleh berfungsi untuk menangkis sebarang dakyah dan serangan pemikiran yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakan akidah pemikiran umat Islam dengan kaedah yang difikirkan sesuai masa kini.

Disamping itu peristiwa-peristiwa penting yang dikatakan berlaku pada tanggal 10 Muharram seperti Nabi Nuh as. terselamat daripada banjir besar, Nabi Ibrahim terselamat daripada bakaran api Raja Namrud dan Nabi Yunus as. dikeluarkan daripada perut ikan patut dijadikan iktibar.

Pastinya bukan mudah untuk menjadi individu Muslim yang patuh dan taat pada semua ajaran agama. Ujian dan cabaran pasti terlebih dahulu dihadapi bagi mematangkan jiwa dan ketakwaan kepada Allah SWT. Untuk tujuan itu umat Islam boleh mengambil contoh para nabi-nabi as. yang sabar dan tabah dalam mengharungi segala ujian berat yang dibebankan ke atas mereka. Segala susah-payah dan kesabaran itu pasti akan dibalas dengan ganjaran setimpal sama ada berbentuk ganjaran duniawi mahupun ukhrawi.

Malah jika direnungkan-renungkan segala ujian dan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian besar umat Islam hari ini jauh lebih ringan berbanding Nabi SAW dan para sahabat terdahulu yang mempertaruhkan nyawa dan kehormatan mereka demi mempertahankan kedaulatan Islam daripada diceroboh oleh orang-orang kafir. Ingatlah juga betapa manusia akan terus diuji oleh Allah SWT dengan ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta benda dan kehilangan nyawa sehingga mereka kembali menghadap Allah Yang Maha Esa.

Ini jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya. (surah al-Baqarah:155-157).

Sunday, December 12, 2010

Berbanggalah dengan warisan sejarah sendiri

HUJUNG minggu di musim cuti persekolahan menjadikan pusat-pusat pelancongan dan rekreasi di seluruh tanahair dibanjiri oleh pelancong tempatan. Kesesakan lalulintas di kawasan tumpuan pelancong dan sekitarnya juga tidak dapat dielakkan. Malah kawasan rehat dan rawat yang disedaikan oleh PLUS juga kelihatan penuh sesak dengan orang ramai yang singgah untuk berehat sambil menjamu selera. Menjelang petang Ahad pula kesesakan lalulintas mula berlaku di jalan-jalan keluar menuju ke lebuhraya utama dengan ribuan kenderaan bergerak ke destinasi masing-masing yang kadang-kadang menyumbang pula kepada kecelakaan di jalanraya.

Senario seperti ini sememangnya lumrah biasa apabila tiba musim cuti persekolahan. Namun ada yang lebih penting untuk diperkatakan supaya percutian seisi keluarga ke tempat-tempat bersejarah sebagai contohnya bermanfaat dan menjadi iktibar untuk survival agama, bangsa dan negara tercinta.

Ini disebabkan terdapat segelintir masyarakat Islam yang kurang sensitif apabila membawa anak-anak mengunjungi rumah ibadat agama lain yang sepatutnya boleh dielakkan. Ada pula yang mengabadikan gambar-gambar kenangan berlatarbelakangkan rumah ibadat lama dengan penuh bangga tanpa mengenang pengorbanan umat Islam terdahulu yang mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan kedaulatan Islam daripada penjajahan.

Untuk mengelak gejala ketirisan akidah akibat daripada penyakit buta sejarah yang membelenggu segelintir masyarakat Islam hari ini dicadangkan supaya sejarah ringkas berkaitan monumen tinggalan sejarah tertentu dipaparkan untuk tatapan pengunjung. Selain menjadikan generasi muda celik sejarah ia juga boleh dijadikan iktibar bagi mengelak sejarah penjajahan lampau berulang kembali. In boleh dilakukan dengan berusaha memerdekakan pemikiran masyarakat supaya lebih sensitif terhadap kewajipan dan ajaran agama sendiri. Ataupun kalau ingin juga mengunjungi rumah ibadat tersebut para ibubapa dinasihat menjadi “Muslim tourist guide” dengan memberi penjelasan kepada anak-anak betapa kemerdekaan negara perlu dipelihara sampai bila-bila jika ingin mudah melaksanakan tuntutan agama tanpa rasa bimbang dan takut.

Pernyataan berkaitan tinggalan sejarah di kawasan tumpuan pelancong ini juga signifikan kerana tidak ramai yang seronok untuk meluangkan masa mengunjungi muzium-muzium walaupun percuma. Kalaupun ada rombongan pelajar-pelajar sekolah yang terpaksa mengikut arahan guru pengiring dan jadual lawatan yang telah ditetapkan.

Disudut pandang yang lain masjid-masjid lama yang berusia ribuan tahun sepi daripada kunjungan umat Islam sama ada untuk menunaikan fardu sembahyang mahupun menziarahi Rumah Allah yang lebih layak dibanggakan. Terdapat pula binaan masjid tertentu yang tenggelam dek arus pembangunan bandar lalu terlindung di celah-celah bangunan komersial dan perniagaan yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Begitu pula tinggalan sejarah pahlawan silam seperti Makam Hang Tuah dan rakan-rakannya sepi daripada kunjungan orang ramai. Malah keberadaan tinggalan sejarah itu juga tidak begitu dipromosikan sebagai destinasi pelancongan berunsur sejarah yang perlu dilawati. Mungkin kerana kewujudannya masih menjadi pertikaian dikalangan sejarawan ataupun bagi mengelak fahaman salah mengagung-agungkan kubur dan meminta sesuatu daripada orang yang sudah mati oleh segelintir masyarakat yang rosak akidahnya.

Golongan yang terlibat dalam industri pelancongan juga diharap tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tinggi di atas perkhidmatan yang diberikan. Ia meliputi tiket-tiket masuk ke kawasan tumpuan ramai sehinggalah kepada penjualan barangan makanan dan perkhidmatan beca di sesetengah kawasan pelancongan. Malah jika diteliti tiada bayaran tertentu ditetapkan ke atas perkhidmatan beca sehingga ada yang tertipu dengan bayaran yang dikenakan.

Untuk mengatasi masalah ini pihak persatuan pengusaha beca disaran menetapkan bayaran tertentu yang berpatutan bagi mengelak kekeliruan dan salah faham. Ia juga bagi mempromosikan kenderaan tanpa asap karbon dioksida yang mencemarkan alam sekitar. Dengan cara itu juga perkhidmatan beca boleh dijadikan sebagai sumber mata pencarian tetap berbanding teksi yang menggunakan diesel mahupun NGV ke tempat-tempat bersejarah yang berhampiran. Masalah kesesakan lalulintas dan tempat meletak kenderaan juga boleh diatasi apabila hanya perkhidmatan beca sahaja yang dibenarkan di kawasan tersebut.

Surau-surau yang disediakan di kawasan R&R juga kelihatan tidak mampu menampung kebanjiran umat Islam yang prihatin untuk menunaikan kewajipan solat ketika pergi bercuti. Ramai yang terpaksa menunggu dan ada juga yang solat di kaki lima. Lebih menyedihkan apabila ada yang lalu-lalang dihadapan orang solat sedangkan perbuatan tersebut dilarang. Ada pula yang lain keluar menerusi tingkap kerana tidak mahu melangkah di hadapan orang yang sedang solat.

Bagi mengatasi masalah ini pula dicadangkan supaya pihak PLUS menyediakan pintu untuk laluan masuk dan keluar pada kedudukan yang bersesuaian. Ia tentunya tidak membabitkan kos yang tinggi berbanding membina sebuah ruangan solat yang besar dan boleh menampung semua jamaah yang singgah untuk menunaikan solat. Lagi pula bilangan jamaah yang ramai hanya berlaku di waktu tertentu seperti musim perayaan, cuti umum dan musim cuti persekolahan seperti sekarang ini.

Sunday, December 5, 2010

5 ASAS HIJRAH MASA KINI

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bersempena sambutan Maal Hijrah 1432H bersamaan 7 Dis. 2010 dengan tajuk Praktik 5 Asas Hijrah

BULAN Muharram merupakan detik permulaan kalendar baharu dalam Islam. Dengan ketibaan bulan yang mulia ini bermakna bertambah lagi umur dunia dan semakin berkurangan pula umur manusia. Ini juga menandakan betapa manusia semakin hampir dan dekat bertemu dengan Tuhan-Nya. Justeru itu ketibaan tarikh 1 Muharram setiap tahun semestinya menjadi titik tolak kepada permulaan yang baharu dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya yang menjadi matlamat utama penciptaan manusia. Oleh itu beberapa asas hijrah wajar dipraktikkan bagi memenuhi tuntutan hijrah masa kini yang jauh berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah di zaman baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.

Hijrah sikap dan perbuatan

Segelintir umat Islam masih terbelenggu dengan pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki, dendam kesumat dan sikap suka menyalahkan orang lain. Sikap buruk sebegini jika tidak diubati dikhuatiri akan merosak individu dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ia umpama api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. Malah jika diteliti sikap buruk seperti ini akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dalam arus globalisasi yang membadai dunia dewasa ini. Golongan seperti ini juga jauh daripada rahmat dan perlindungan Allah SWT yang sangat diperlukan bagi mengharungi liku-liku hidup di dunia yang beraneka ragam.

Terdapat juga di kalangan umat Islam yang boleh diibaratkan seperti cakap tak serupa bikin. Perbuatan buruk mereka jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Perilaku dosa seperti meminum arak, berkhalwat dan berzina, merompak dan mencuri seterusnya membunuh nyawa yang tidak berdosa termasuk bayi kandungan sendiri seakan menjadi amalan biasa kepada sebilangan kecil individu Muslim. Yang mana kesemua daripada sikap buruk dan jenayah berat seperti ini memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi untuk berubah dan kembali ke jalan yang diredai oleh Ilahi.

Hijrah amal dan ketaatan

Bagi membendung perilaku buruk yang tidak bertepi umat Islam diseru kembali kepada ke pangkal jalan dengan memperbanyak amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Bagi yang tidak solat mahupun jarang-jarang melakukannya dinasihat supaya mula berjinak-jinak dan mendampingkan diri kepada-Nya. Umat Islam juga sewajarnya menilai segala perlakuan ibadah setahun yang lalu sambil berazam untuk mempertingkatkan amalan ke arah yang lebih sempurna dan berkualiti di tahun-tahun yang mendatang.

Ketibaan 1 Muharram yang mulia sangat baik dijadikan landasan untuk menggembeleng seluruh usaha dan tenaga berbakti kepada Ilahi. Permulaan yang baik seperti membaca doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai sama ada di rumah bersama seisi keluarga mahupun di masjid dan surau-surau mampu memberi impak yang baik kepada amalan sepanjang tahun. Seterusnya ia diikuti pula dengan amalan-amalan yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim sepert berbakti kepada Allah SWT dengan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan fardu haji juga amalan berbentuk jama’iy dan kemasyarakatan seperti berbuat baik kepada jiran, menolong dan membantu sesama manusia terutama golongan miskin dan kurang berupaya. Dwi amalan yang diperintahkan ini akan mempertaut hubungan manusia dengan Allah SWT dan dalam masa yang sama mempererat hubungan sesama manusia.

Hijrah ilmu dan pencapaian

Secara umumnya umat Islam agak ketinggalan daripada aspek ilmu dan kemajuan teknologi jika dibandingkan dengan masyarakat lain di dunia ini. Malah terdapat negara-negara tertentu yang boleh dicontohi seperti Negara China dan Korea yang begitu drastik bangkit sebagai kuasa baharu dunia dalam pelbagai aspek termasuk kemajuan daripada sudut sains dan teknologi. Tanpa disedari sabda Baginda Nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya menuntut ilmu sehingga ke Negeri China terbukti benar walaupun pernah di ucapkan kira-kira 1400 tahun yang lampau.

Sehubungan dengan itu pelbagai lapisan masyarakat Islam hendaklah menghayati tuntutan mencari ilmu dalam apa sahaja kegiatan seharian. Ini kerana ilmu boleh diperoleh di mana sahaja sama ada melalui kaedah pendidikan formal seperti di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi mahupun ilmu sepanjang hayat yang ada dipersekitaran hidup manusia. Malah pengalaman manis dan pahit yang pernah dilalui oleh seseorang juga merupakan ilmu yang sangat berguna jika dapat dimanfaatkan dengan sempurna.

Hijrah dalam konteks ini juga dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam terdahulu sehingga umat Islam hari ini disegani dan dihormati di mata dunia. Ia sekaligus berupaya menolak pelbagai fitnah dan tohmahan seperti agama ekstrim dan menaja keganasan yang biasa ditujukan kepada umat Islam sedunia.

Hijrah ekonomi dan pemilikan

Umat Islam di Malaysia secara khususnya dan di beberapa negara Islam amnya agak jauh ke belakang daripada aspek ekonomi dan pemilikan harta. Ini boleh jadi berlaku kerana sikap sebahagian umat Islam yang berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi hamba duit dan harta sehingga menghalang usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Ia boleh juga terjadi kerana kekeliruan dalam memahami falsafah pemilikan harta yang telah digarap sempurna dalam syariat Islam. Akibatnya umat Islam terpinggir daripada arus pemodenan dunia yang sangat diperlukan dalam konteks membina semula ketamadunan manusia. Keadaan ini diburukkan lagi dengan salah faham segelintir umat Islam yang menolak dunia dan melalui kehidupan zuhud tanpa bersandarkan kepada realiti kehidupan masa kini yang berbeza daripada zaman awal Islam terdahulu.

Justeru itu penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta juga penting untuk direalisasikan dalam dunia kini. Walau bagaimanapun ia wajib mematuhi garis panduan memperoleh, memanfaat dan mengagihkan harta menurut perspektif Islam. Penglibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi yang berteraskan riba’ demi mencari keuntungan berlipat kali ganda adalah diharamkan. Selanjutnya amalan buruk penipuan, berbuat zalim dan mengambil hak orang lain tanpa hak adalah tidak bersesuaian dengan amalan ekonomi Islam. Di samping itu juga konglomerat Islam perlu memahami ada hak zakat yang diwajibkan dan sedekah sunat daripada harta yang perlu dilunaskan. Ini bagi mengelak kerosakan yang lebih besar kesan daripada kegiatan ekonomi yang tidak berteraskan kehendak Islam sebenar.

Hijrah kepada Islam yang syumul

Akhirnya para Muslimin diseru menghayati ketibaan tanggal 1 Hijrah setiap tahun bukan dalam pengertian sambutan tahun baharu yang difahami oleh golongan yang tidak mengerti agama yang syumul. Sambutan tahun baharu juga bukanlah perayaan yang hanya diraikan di merata tempat. lebih daripada itu tuntutan melestarikan falsafah hijrah Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi untuk kepentingan Islam wajib dicontohi.

Untuk tujuan itu, umat Islam hendaklah kembali melaksanakan Islam dalam segala gerak-geri kehidupan. Maknanya seluruh kehidupan Muslim mesti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan hukum dalam menanggapi pelbagai persoalan hidup yang kompleks dan penuh cabaran dewasa ini. Syariat yang syumul sememangnya bersesuaian untuk direalisasikan dalam konteks kehidupan bernegara, bermasyarakat dan yang pasti untuk keperluan setiap individu. Hanya sahaja persoalannya adakah umat Islam masa kini berbangga menjadi individu Muslim lalu sanggup berhijrah melaksanakan segala peraturan agama dalam segala lapangan kehidupan.