Friday, December 6, 2013

Apabila UAI Berlakon



Filem terbaharu terbitan MIG Production yang turut dibintangi oleh Ustaz Azhar Idrus penceramah terkenal tanah air kini mula berada di pawagam seluruh negara. Penayangan filem ini dilihat kena pada masanya disaat dunia perfileman tanah air secara umumnya dicemari dengan unsur-unsur tahyul, khurafat, jenayah kekerasan dan unsur lucah yang boleh jadi memberi impak yang buruk kepada masyarakat. Ini ditambah lagi dengan pelbagai macam peri laku dan budaya songsang yang menular dalam masyarakat kesan buruk dari pada media sosial yang mudah diakses di mana-mana.
Ia juga membuktikan betapa filem tanpa aksi ganas, kelibat wanita yang berpakaian seksi lagi mengghairahkan berjaya menarik minat penonton untuk ke pawagam. Malah ia amat sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat kerana di sebalik unsur-unsur dakwah ia turut diselitkan dengan lawak-lawak selamba oleh Kumpulan Shiro yang turut membintangi filem ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada pengarahnya iaitu saudara Piere Andre kerana berani menongkah arus menampilkan kelainan dalam arena perfileman tanah air sekali gus menolak dakwaan bahawa filem seperti ini tidak mampu menjana keuntungan yang diharapkan. Ini kerana menurut laman Facebook MIG Talent filem ini telah berjaya mengaut keuntungan RM 1.4 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan.

Sehubungan dengan itu bersempena cuti sekolah yang panjang ini para ibu bapa juga bolehlah mengambil kesempatan membawa anak-anak untuk menonton filem ini. Di samping berhibur ia juga antara aktiviti santai bersama seisi keluarga yang boleh dilakukan sehingga anak-anak tidak bosan berada di rumah atau hanya menghadap komputer sepanjang hari yang boleh merosakkan mata dan menjadikan mereka stres. Atau lebih buruk lagi apabila anak-anak seronok bersembang dilaman sosial dan melayari laman sesawang yang negatif sehingga tidak menghiraukan makan minum dan bersosial.

Di sudut pandang yang lain golongan pendakwah diseru berusaha untuk mempelbagaikan kaedah dan tatacara berdakwah kerana medan dakwah dan golongan sasarannya sudah jauh berbeza pada masa kini. Golongan muda-mudi yang gemar mengisi masa lapang di hujung minggu dengan menonton wayang perlu dididik dan ditarbiyah dengan cara yang mereka sukai.
Justeru tidak salah jika ada dikalangan daie menerima untuk berlakon di layar perak jika adab-adab dan akhlak sebagai daie dapat dipatuhi. Hal ini penting bagi mengelak fitnah kepada golongan pendakwah apatah lagi jika terjebak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat sehingga menyimpang dari pada tujuan yang sebenar. Pendek kata jika ada di kalangan ustaz dan ustazah yang ingin turut berdakwah dengan kaedah seperti ini mereka perlu menetapkan sempadan dan peraturan sendiri supaya golongan pendakwah tidak terpalit dengan onar dunia perfileman yang beraneka ragam.

Penulis sendiri amat menyokong usaha murni seperti ini dan menggalakkan lebih banyak ustaz dan ustazah yang berbakat untuk tampil mewarnai dunia hiburan dan perfileman negara demi memenuhkan lompang-lompang kosong yang tidak mampu dipenuhi terutamanya oleh golongan yang tidak arif hukum hakam agama.

Selain dari pada itu pengarah-pengarah filem tanah air diseru turut sama menyumbang kepada aktiviti dakwah dan kemasyarakatan dengan memperbanyak filem-filem berunsur Islamik bagi menarik golongan muda khususnya kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Ia juga dilihat dapat mengimbangi kemasukan filem-filem Barat yang banyak memasukkan unsur budaya tidak sihat seperti propaganda, perkauman, kebebasan tanpa sempadan selain unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah dan kepercayaan kaum Muslimin.

Penulis juga optimis betapa filem berunsur dakwah seperti ini boleh ditayangkan di luar negara terutama sekali di negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam kerana di sana terdapat ramai peminat-peminat wayang gambar yang dahagakan nasihat-nasihat yang baik dan dakwah kepada melaksanakan kewajipan agama dalam bentuk kontemporari dan diminati pada masa kini. Kemungkinan ia boleh dialih bahasa kepada bahasa setempat sehingga mudah difahami dan diterima tanpa menghilangkan keaslian dan keunikan filem tersebut.

Ia sekali gus menjadi indikator betapa filem tanpa unsur kekerasan, jenayah, seksual yang bercanggah dengan syariat dan budaya hidup masyarakat Timur boleh meraih keuntungan lumayan jika pandai mengolah dan menarik perhatian peminat.
Adalah diharapkan juga agar seluruh penggiat seni tanah air termasuk pengarah-pengarah filem, golongan artis dan pelakon tempatan khususnya yang beragama Islam sedar akan tanggung jawab dan peranan mereka sebagai hamba kepada Allah SWT dan masyarakat. Sehingga dengan itu mereka tidak terjebak mencemarkan kesucian agama dengan hanya berlakon semata-mata sedangkan realitinya tidak seperti yang disangka. Golongan ini perlu memahami selain berlakon sebagai sumber mata pencarian ia juga sebenarnya boleh menjadi sumber meraih keredaan Ilahi jika kena dengan caranya.

Dalam hal ini golongan artis yang sering menjadi idola masyarakat boleh menjadi teladan yang baik sehingga mereka juga mendapat ganjaran dari pada amal baik yang dicontohi.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya “Barang siapa melakukan dalam Islam amalan-amalan yang baik, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun dari pada pahala-pahala amal mereka sama sekali. Barang siapa melakukan dalam Islam amalan-amalan yang buruk, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikit pun dari dosa-dosa mereka sama sekali.” ( Hadis Riwayat Muslim)

Semoga selepas ini lebih banyak lagi filem-filem bercorak Islamik dan jenaka diterbitkan oleh pengarah filem tanah air sekali gus menggamit kenangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan filem berunsur lawak jenaka tetapi penuh dengan sindiran tajam dan sungguh bermakna buat umat Islam dan masyarakat Melayu secara khususnya.