Monday, October 22, 2012

Realisasikan Nilai Pengorbanan Sempurna

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruaangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Ok. 2012.



JUTAAN tetamu Allah SWT, termasuk jemaah haji dari tanah air kini sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Padang Arafah bermula daripada gelincir matahari hari ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar hari ke-10 Zulhijah. Kegagalan untuk berada di kawasan Arafah bagi jemaah haji yang mukallaf akan memberi impak kepada kesahan ibadah haji yang dilakukan sekali gus gagal meraih peluang beribadat, berdoa dan bermunajat di tempat suci yang sangat mustajab doa itu.

Sementara itu di tanah air, umat Islam juga turut tidak melepaskan kesempatan istimewa untuk berkorban wang ringgit, masa dan tenaga dengan menyembelih ternakan sebagai menghayati falsafah agung pengorbanan Nabi Ibrahim as. yang menyembelih anaknya Nabi Ismail as. semata-mata mentaati perintah Allah SWT. Di sana sini kelihatan pelbagai ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing yang terikat dan bersedia untuk dikorbankan setelah selesai solat sunat Hari Raya Idil Adha dan berlanjutan hingga hari ke-13 Zulhijah.

Apa pun yang lebih utama bukanlah banyak atau sedikit ternakan yang dikorbankan. Akan tetapi niat yang suci dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah SWT yang bakal diterima sebagai ibadah yang sempurna dan beroleh ganjaran takwa.
Allah SWT berfirman maksudnya "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (Surah Al-Hajj: 37).

Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud "Tiadalah Bani Adam, pada hari Nahr, mengamalkan suatu perbuatan yang lebih disenangi oleh Allah Azza Wa Jalla, dibanding amalan menyembelih korban. Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat kelak dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darah korban akan jatuh dari Allah di suatu tempat, sebelum darah tersebut jatuh ke bumi. Maka kerana itu, baguskanlah oleh mu sekalian jiwa mu dengan berkorban". (Riwayat Ibnu Majah)

Selain itu beberapa kriteria ternakan dan sunah dalam penyembelihan binatang turut memberi impak kepada penerimaan ibadah korban yang sempurna. Binatang yang paling afdal untuk dikorbankan ialah unta di kedudukan teratas, lalu diikuti dengan lembu, kerbau dan kambing. Ini dinilai berasaskan jumlah daging yang paling banyak sehingga manfaatnya dirasai oleh sebilangan besar masyarakat setempat. Manakala dari segi warnanya pula yang paling afdal ialah ternakan yang berwarna putih, diikuti, kuning, kelabu, merah, belang putih dan terakhir hitam. Disyaratkan juga ternakan yang dipilih adalah yang paling gemuk, sempurna daripada sebarang kecacatan dan cukup umur, iaitu bagi lembu dan kerbau hendaklah berumur genap dua tahun.

Individu Muslim yang berniat hendak berkorban juga disunatkan untuk tidak mencukur sebarang rambut dan bulu di badan, termasuk memotong kuku selama 10 hari pertama Bulan Zulhijah. Bagi mereka disediakan ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka Allah SWT bagi setiap cukurannya selepas menjalani ibadah korban tersebut.

Selain itu daging korban yang sudah dilapah dan ditimbang hendaklah diagih-agihkan kepada penduduk setempat. Daging itu kemudiannya boleh dibahagikan kepada tuan punya bahagian korban, golongan fakir miskin dan orang kaya sebagai hadiah. Dalam hal pengagihan daging juga ini penduduk setempat hendaklah diutamakan berbanding yang tinggal di kawasan yang jauh. Malah ada pendapat yang mengatakan haram memindahkan daging korban ke tempat yang lain kerana di situ ada hak fakir miskin setempat.

Adapun trend melaksanakan ibadah korban di luar negara yang banyak dilakukan hari ini berkemungkinan disebabkan pandangan yang memikirkan ada Muslimin lain yang lebih memerlukan daging korban berbanding masyarakat Islam di Malaysia yang mewah dan selalu makan daging. Ini ditambah lagi dengan pelbagai promosi oleh pihak tertentu yang turut menawarkan harga murah pada setiap bahagian binatang yang dikorbankan. Dalam hal ini umat Islam diseru berhati-hati supaya tidak ditipu dalam beribadat. Malah yang afdal ternakan yang dipilih ialah yang paling mahal, paling sempurna dan tiada tawar menawar dalam proses membeli binatang korban.

Sebagai menghayati falsafah ibadah korban ini, para Muslimin secara umumnya diseru untuk berkorban mempertahankan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat. Amalan nikah batin untuk hajat tertentu sebagai contohnya adalah menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Begitu juga berubat dengan pawang dan bomoh yang menggunakan anasir jin dan makhluk halus dikhuatiri akan merosak akidah dan jauh daripada rahmat Allah SWT.

Dalam usaha untuk melaksanakan segala tuntutan perkara fardu dan sunat dalam ibadah setiap individu Muslim diseru bersedia untuk berkorban masa, usaha dan tenaga bagi melakukan yang terbaik. Ibadat solat lima waktu hendaklah sentiasa dipelihara dan diperkemas segala rukun dan syarat-syaratnya hingga diterima dengan sempurna. Kesibukan tugasan harian sepatutnya tidak menjadi alasan untuk mengorbankan solat lima waktu yang difardukan. Bagi yang belum berkesempatan untuk menunaikan fardu haji mereka di seru pula berkorban dengan bersungguh-sungguh menabung sikit demi sedikit hingga dapat ke Tanah Suci bagi menyelesaikan tuntutan fardu haji, jika tidak sampai bila pun niat yang suci itu tidak akan kesampaian.

Golongan yang seronok dan leka melakukan pelbagai dosa dan maksiat yang saban hari menjadi paparan akhbar tempatan juga diseru bersedia untuk berkorban dan bertaubat daripada terus bergelumang dalam kancah dosa dan maksiat sepanjang masa. Ambillah kesempatan sempena hari raya korban ini untuk memulakan gaya hidup baharu tanpa perilaku dosa dan songsang supaya dirahmati dan diberi petunjuk oleh Allah SWT. Rebutlah peluang masa muda sebelum sampai masa tua dan rebutlah peluang beramal semasa hayat di kandung badan agar tidak menyesal di kemudian hari.

Monday, October 15, 2012

TIADA ALASAN UNTUK HALALKAN PERLAKUAN TERKUTUK

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Oktober 2012.

Alasan golongan Pengkid yang berhujah mengatakan jenayah zina, persetubuhan haram dan bersekedudukan tanpa pernikahan yang sah sehingga melahirkan anak luar nikah dan kemudian dibuang di merata tempat lebih buruk berbanding perbuatan mereka tak ubah seperti perbuatan baling batu dan sembunyi tangan. Kemungkinan dek kerana nafsu dan terpedaya dengan bisikan Iblis mereka seolah-olah cuba menegakkan benang basah sehingga perbuatan haram cuba dihalalkan.

Begitu pula tindakan segelintir golongan Mak Nyah yang mencabar Mahkamah Syariah dan keputusan kehakiman yang menghalang mereka daripada berpakaian seperti wanita di khalayak ramai juga menunjukkan betapa masih ramai yang jahil hukum hakam agama.
Ternyata dalam situasi pelbagai maklumat di hujung jari termasuklah akses kepada pengetahuan hukum hakam agama mudah diperoleh masih ada segelintir masyarakat Islam yang seolah-olah buat-buat tak tahu betapa mereka sedang bergelumang dengan dosa yang terkutuk. Malah ada pula yang tanpa segan-silu mempromosikan perbuatan terkutuk itu dalam laman sembang sosial yang tidak dimanfaatkan untuk menambah ilmu dan memperbetulkan kesilapan diri.

Sebagai contohnya, amalan keji kaum Nabi Luth a.s. yang dihukum oleh Allah SWT dengan diterbalikkan negeri tempat tinggal mereka yang terletak berhampiran Laut Mati di Daerah Palestine, sehingga tiada seorang pun yang terselamat sepatutnya dikaji, dihayati dan dijadikan iktibar oleh golongan ini. Peristiwa yang dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan memang benar-benar berlaku, jelas menunjukkan betapa amalan seks songsang, lesbian dan gay adalah jauh menyimpang daripada hikmah penciptaan manusia dari kalangan lelaki dan wanita yang disyariatkan untuk berkahwin dan membina institusi keluarga atas prinsip sakinah, mawaddah dan rahmah. Ia sekali gus menolak amalan seks bebas termasuk pengkid yang bersalahan dengan fitrah semula jadi penciptaan manusia yang akhirnya menjurus kepada pengabdian diri secara total kepada Pencipta Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu”. (Surah Hud:82)

Gelagat segelintir artis dan pelakon lelaki yang seronok bermekap dan berpakaian seperti wanita juga adalah tidak sopan dan bercanggah dengan hukum agama. Malah akhir-akhir ini perbuatan seperti itu seakan satu keperluan dalam bidang lakonan sehingga ada yang beranggapan tidak ada salahnya jika sekadar berlakon dan menghiburkan penonton.

Ini kerana direkodkan bahawa Baginda Rasulullah SAW pernah mengutuk, melaknat lelaki yang mengenakan atau memakai pakaian perempuan dan perempuan yang mengenakan atau memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, al-Nasaiy dan al-Hakimiy)

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam secara umumnya diseru kembali kepada ajaran agama yang sebenar dan tidak melakukan sesuatu mengikut kehendak akal sahaja. Alasan biarlah apa orang nak kata juga tidak sepatutnya menghalalkan segala perlakuan sumbang lagi menjijikkan. Kalangan artis yang menjadi figur masyarakat sebaiknya lebih bertanggungjawab dengan aktiviti seni mereka kerana dibimbangkan akan membiakkan lagi aktiviti tidak bermoral dan tidak beretika dalam masyarakat. Apatah lagi jika ditonton oleh anak-anak yang belum mengenal erti kehidupan dan tertarik untuk meniru gaya lakonan mereka.

Para Muslimin secara umumnya perlu mengerti betapa kebebasan melakukan apa sahaja tertakluk kepada perintah dan larangan agama. Ia bukan seperti slogan kebebasan mutlak yang dipelopori oleh sesetengah masyarakat yang tidak berpegang kepada peraturan hidup beragama.

Malah sebagai makhluk yang istimewa yang diberi anugerah akal yang rasional lagi sempurna, manusia sepatutnya memanfaatkan kelebihan tersebut dengan berfikir dan menilai baik buruk sesuatu perkara sebelum bertindak melakukan sesuatu.
Bersempena dengan ketibaan Bulan Zulhijjah ini juga umat Islam diseru untuk menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim a.s. yang tunduk dan patuh kepada segala perintah Allah SWT walau terpaksa mengorbankan anak yang disayangi iaitu Nabi Ismail a.s.

Justeru itu pelaku dosa dan maksiat diseru mengambil kesempatan ini untuk memuhasabah diri dan merenung 1000 kali akan keburukan perilaku songsang mereka. Tiada gunanya berhujah itu dan ini untuk menghalalkan perbuatan yang salah kerana kelak diri sendiri yang akan merana. Lebih dikhuatiri hukuman akibat dosa dan kelakuan buruk itu akan terpalit kepada semua jika usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran diabaikan. Ini kerana azab Allah SWT sifatnya melata dan jika diturunkan kepada sesuatu kaum akan mengena kepada semua tanpa mengira latar belakang jantina, umur dan sebagainya. Walaupun kemudiannya kematian hamba yang saleh dibezakan di sisi Allah SWT berbanding hamba yang thalih lagi berdosa.

Kesanggupan individu Muslim untuk berkorban masa, tenaga dan wang ringgit kerana mengharap rahmat dan keampunan daripada Allah SWT bersempena bulan yang mulia ini juga amat diharapkan. Malah kesediaan untuk mengabdikan diri kepada Nya dengan menyembelih binatang ternakan pada Hari-hari Tasyrik, iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah mudah-mudahan dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang setimpal termasuklah nikmat pengampunan daripada dosa-dosa.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya "Tidak ada sesuatu amal perbuatan yang dilakukan oleh seorang manusia pada hari Nahr yang lebih dicintai oleh Allah (melebihi) dari pada menumpahkan darah (binatang kurban). Sungguh nanti pada hari Kiamat (binatang itu) akan datang dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah itu jatuh di hadapan Allah sebelum jatuh di bumi, maka pilihlah binatang yang bagus" (Hadis riwayat al-Tirmiziy)