Saturday, April 13, 2013

Nasihat Semasa Berkempen

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 19 April 2013, bertajuk "Jaga Adab Sepanjang Kempen Pilihanraya"


KEHANGATAN tempoh berkempen menjelang Pilihan raya Umum ke-13 sudah mula dirasai di kota dan di kampung-kampung. Wakil-wakil rakyat yang bertanding mengambil kesempatan sepenuhnya berkempen siang dan malam bagi memastikan parti yang disokong memperoleh kemenangan besar sekali gus mendapat mandat untuk menerajui pentadbiran negara untuk penggal yang mendatang. Pastinya ia bukan tugas yang mudah kerana bukan sahaja seluruh usaha dan tenaga dicurahkan demi mencapai cita-cita yang dihajatkan, malah sejumlah besar peruntukan kewangan dilaburkan untuk memasang bendera parti, berkempen ke sana dan ke mari, serta keperluan-keperluan kewangan lain yang sememangnya diperlukan.

Selain daripada keperluan fizikal, kewangan dan pengorbanan masa sepanjang tempoh berkempen hinggalah ke sesi pembuangan undi dan memperoleh keputusan pertandingan, semua pihak disarankan tidak mengabaikan tanggungjawab sosial dan agama semasa berkempen.

Ini dapat direalisasikan dengan tidak menjadikan budaya berbohong, fitnah memfitnah, penyebaran berita palsu dan memburuk-burukkan sesama sendiri sebagai asam garam kempen pilihan raya. Lebih memburukkan lagi apabila ia ditujukan kepada saudara se Islam yang masing-masing punya hak dan tanggungjawab untuk dipelihara bersama. Usah kerana semata-mata ingin meraih sokongan dan undian pilihan raya apa sahaja cara digunakan, yang tanpa disedari telah menyimpang daripada peraturan agama yang suci. Dalam hal ini, syariat Islam tidak pernah menghalalkan cara dan kaedah songsang demi mencapai sesuatu matlamat. Dalam erti kata lain matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud;"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka(kecurigaan), kerana sebagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Hujuuraat: Ayat 12)

Penyokong-penyokong parti juga dinasihatkan supaya mengelak daripada terlibat menyebarkan berita-berita palsu yang tidak diketahui kesahihannya. Apatah lagi dewasa ini peranan media sosial dalam berkempen amat signifikan. Mana tidaknya dalam masa yang relatif singkat apa sahaja berita, maklumat, boleh dimuat naik ke laman sembang sosial seperti facebook, twitter, instagram dan boleh diakses serta merta di mana-mana sahaja. Peringatan ini bagi mengelak individu Muslim daripada tergolong dalam kelompok manusia fasik yang suka menyebarkan berita-berita palsu.

Allah SWT berfiman maksudnya; “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat:6)

Selain daripada itu hak jiran dan hak masyarakat setempat juga hendaklah diambil kira ketika berkempen. Usah terlalu ghairah hinggakan hak privasi penduduk setempat dicerobohi. Untuk itu jika ingin mengadakan ceramah pilihlah kawasan yang sesuai, atau mungkin boleh diadakan di dewan, balai raya mahupun pusat komuniti setempat. Kegagalan berbuat demikian kemungkinan mengganggu bayi dan anak-anak yang masih kecil juga golongan pelajar sekolah yang perlu menyiapkan kerja rumah kemudian tidur awal untuk memulakan sesi persekolahan yang baharu pada esok hari. Golongan yang bekerja juga tentu sahaja ingin merehatkan diri setelah seharian penat bekerja. Terdapat pula sesetengah penyokong parti yang dengan sengaja meletakkan kenderaan sesuka hati semasa menghadiri sesi ceramah hingga menyusahkan pemilik rumah untuk keluar dan masuk, atau meletakkan kenderaan tanpa peraturan hingga menyebabkan kesesakan jalan raya dan sebagainya.

Jika ingin memasang bendera parti, kain rentang dan sebagainya di kawasan persendirian, eloklah terlebih dahulu meminta keizinan yang empunya diri. Jika tidak kemungkinan akan menimbulkan perselisihan malah lebih memburukkan keadaan jika kediaman terlibat tidak semena-mena menjadi sasaran kemarahan ataupun tindakan provokasi penyokong parti yang lain. Dalam hal ini juga larangan memasang bendera di atas jambatan oleh sesetengah pihak berkuasa negeri haruslah diambil kira. Begitu juga peringatan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya tidak memasang bendera parti di tiang lampu jalan molek diperhalusi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Malahan bendera dan sepanduk parti yang telah dipasang di sepanjang jalan raya dan persimpangan lampu isyarat sepatutnya tidak mengganggu lalu lintas yang boleh mengundang malapetaka kepada pengguna jalan raya.

Justeru itu semua pihak sama ada yang bertanding, petugas-petugas parti dan seluruh penyokong parti hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang negara. Elakkan daripada menimbulkan suasana tegang dan huru-hara kerana yang akan mendapat kesan buruk ialah kita semua. Usah jadi seperti Pak Kaduk menang sorak kampung tergadai. Ingatlah bahawa pilihan raya ialah suatu proses penting dalam amalan demokrasi bagi memilih pemimpin yang bakal mencorakkan kemajuan negara bukan usaha jijik untuk menjatuhkan serta merosakkan keharmonian sedia ada.
Jika berkempen dari pada rumah ke rumah pula, hendaklah terlebih dahulu memberi salam sebelum masuk ke rumah yang dikunjungi. Jika tidak dijawab sehingga tiga kali memberi ucapan salam, eloklah beredar kerana besar kemungkinan tuan rumah tidak bersedia untuk menerima tetamu pada ketika itu. Selain itu pilihlah waktu-waktu yang sesuai dan jangan terlalu lama bertamu. Ini akan menyebabkan tuan rumah tidak selesa dan boleh jadi mengganggu tugasan tertentu yang perlu diselesaikan.

Bagi masyarakat Islam pula, segala kewajipan agama tetap perlu dipelihara. Dalam kesibukan berkempen usah lalai melaksanakan kewajipan solat yang difardukan. Batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita juga perlu dipelihara. Usah bersalaman dengan yang bukan mahram kerana ia termasuk larangan agama. Cara berpakaian yang sesuai dengan tuntutan agama hendaklah sentiasa dipatuhi bagi mengelak fitnah sama ada kepada diri sendiri mahupun agama Islam secara umumnya.
Mudah-mudahan dengan sentiasa memelihara dan melaksanakan setiap ajaran agama akan dikurniakan oleh Allah SWT dengan kemenangan yang dijanjikan oleh Nya. Ini dapat diperhatikan kepada firman Allah SWT yang bermaksud “Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Surah Muhammad, ayat 7)

Akhirnya perlu difahami bahawa semua manusia adalah pemimpin kepada kerajaan diri sendiri. Segala perlakuan anggota badan sebagai rakyat akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari kemudian. Jika baik corak kepimpinannya maka baiklah kesudahan yang bakal diperoleh sebaliknya jika gagal mengurus dan mentadbir diri sendiri maka buruklah pula akibatnya. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud; “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumah tangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.