Tuesday, January 26, 2010

Menghina Simati Perbuatan Biadap

BIADAP dan keterlaluan. Itulah ungkapan yang sesuai dilontarkan kepada individu yang tergamak menghina orang yang telah meninggal dunia. Tiadakah lagi, jasa-jasa baik yang boleh dikenang sehingga aib dan keburukannya pula menjadi bahan bualan dan ejekan. Perbuatan menyerang peribadi seseorang dengan tujuan menjatuhkan maruah serta kehormatannya adalah memalukan dan jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang murni.

Penulis berasa hairan, disaat pelbagai medium dakwah digunakan untuk menyampaikan ajaran Islam kepada umatnya, masih ada lagi golongan yang tak mengerti agama dalam konteks memelihara kerukunan hidup bermasyarakat. Tidak cukupkah lagi forum-forum perdana anjuran pelbagai pihak, kuliah di masjid-masjid, ceramah agama dan pelbagai rancangan keagamaan di media-massa sebagai pedoman untuk saling berkata yang baik-baik antara sesama manusia.

Mungkin itulah implikasi buruk daripada berlebih-lebihan dalam berbicara lalu keburukan mayat pula yang diperkatakan. Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan umatnya dalam sebuah hadis yang bermaksud “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah berkata dengan perkataan yang baik atau diam”. Ia memberi pengajaran kepada semua supaya lebih baik diam daripada bercakap perkataan yang mengundang dosa kepada Allah SWT.

Malah Islam sendiri mengajar umatnya tatacara mengurus jenazah dengan sempurna bagi mengelak aib dan keburukannya diketahui oleh orang ramai. Misalnya, urusan memandikan jenazah hendaklah dilakukan ditempat yang tertutup dan afdal dimandikan oleh ahli keluarga yang terdekat. Kalaupun tiada dikalangan ahli keluarga yang sanggup memandikan, juru mandi jenazah memegang amanah untuk menyembunyikan segala aib dan keburukan simati daripada pengetahuan umum ketika urusan tersebut dilaksanakan. Tujuannya, untuk menyembunyikan perkara-perkara yang boleh mengundang fitnah dan menjatuhkan maruah simati.

Tidak dinafikan, ketika hayat dikandung badan seseorang kemungkinan melakukan perkara maksiat kerana lalai dan termakan pujukkan syaitan. Setelah kembali kerahmatullah, segala perlakuan itu terserah kepada kebijaksaan Allah SWT untuk menilai dan menghukum dengan balasan yang setimpal. Manusia tidak lagi berhak untuk mempersoalkan bidang kuasa milik mutlak Allah SWT.

Jika diteliti lagi, segala hubungkait antara simati dengan kehidupan dunia telah terhenti kecuali yang bersangkutan dengan 3 perkara iaitu sedekah jariah, anak saleh yang mendoakannya dan ilmu yang dimanfaatkan, sebagaimana dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadisnya.

Malahan sebagai menunaikan hak seorang muslim dengan muslim yang lain, hendaklah mendoakan akan kesejahteraan dan keselamatannya sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Lihat sahaja dalam lafaz doa yang dibacakan seusai talqin dibacakan. “Selamat berpisah dan Selamat tinggal kamu disisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu.Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW”.

Justeru itu, sesiapa yang terlibat menghina sesama manusia termasuk peribadi al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj ibni al-Marhum Sultan Ismail, dinasihatkan bertaubat. Muhasabah diri sendiri dan fikirkan apa yang anda akan lakukan jika ada dikalangan saudara terdekat meninggal dunia lalu orang ramai menghina dan mengaibkannya di blog-blog dan laman sesawang Youtube.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud “Wahai orang yang beriman jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak mengikut sangkaan yang dilarang). Kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganalah setengah kamu mengumpat akan setengah yang lain. Sukakah seseorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang telah mati?. (Jika demikian keadaan mengumpat ) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan bertakwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani. (Surah al-Hujurat:12).

Akhirnya, tulisan ini bukan bertujuan untuk membodek atau menghina sesiapa tetapi hentikanlah sikap buruk suka mempersendakan sesama manusia yang merugikan agama, bangsa dan Negara. Daripada melakukan kerja-kerja yang tidak bermanfaat lebih mulia jika setiap hamba berusaha melipatkan gandakan amal kebajikan guna bertemu Allah SWT. Cerminlah diri sendiri sebelum memperkatakan keburukan orang lain, supaya terselamat hidup di dunia mahupun di hari akhirat.

Thursday, January 21, 2010

BERHENTI MEROKOK DENGAN DOA

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22Januari 2010.

ISU rokok kembali hangat diperkatakan oleh media massa. Entah dimana silapnya galakan berhenti merokok yang mengundang pelbagai penyakit, tidak dipedulikan oleh mereka. Walaupun berbagai insentif, kempen malah tekanan oleh pihak kerajaan melalui kenaikan cukai rokok saban tahun, komuniti perokok tegar menjalankan kegiatan mereka. Terbaharu pandangan oleh Datuk Haji Nooh bin Gadot, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, agar perokok menabung wang untuk menunaikan fardu haji patut direnung dalam-dalam, tatkala menghisap asap rokok masuk ke dalam kerongkong mereka.

Sehubungan dengan itu semua pihak diseru memainkan peranan semaksima mungkin untuk menjadikan ia sebagai suatu realiti dan tidak bermusim. Ia boleh dimulakan oleh golongan ulama dan cendikiawan Islam yang punya kedudukan tinggi disisi masyarakat melalui sesi ceramah dan kuliah-kuliah agama. Golongan ini disaran agar tidak hanya berceramah isu yang hebat-hebat sedangkan isu rokok pembunuh umat diabaikan dengan alasan isu lapuk dan ketinggalan zaman. Lebih malang lagi apabila terdapat daripada kalangan mereka yang merokok sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan khalayak ramai tentang hukum merokok menurut kacamata Islam.

Pendekatan ini dilihat seiring dengan fatwa berkenaan pengharaman rokok yang pernah dikeluarkan di Negeri Selangor pada 7hb. Disember 1995. Fatwa tersebut menyatakan bahawa rokok adalah haram, oleh yang demikian , adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa -apa jenis rokok yang dihasilkan daripada tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

Pengharaman serupa juga turut difatwakan oleh Kerajaan Negeri Kedah, Perlis, Sarawak dan Pulau Pinang. Malah berdasarkan fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pengharaman turut meliputi penjualan atau penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam hal yang berkaitan dengan rokok. Tinggal lagi yang dimusykilkan ialah tiadanya penguatkuasaan ke atas pengharaman itu.

Walaupun terdapat percanggahan pendapat dikalangan ulama’ berkenaan isu ini namun satu hakikat yang boleh diterima semua, perbuatan merokok adalah suatu pembaziran yang ditegah agama bahkan dilabel sebagai kawan syaitan, sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT. dalam firmannya yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya”. (Surah Al-Israa’ ayat 27)

Sementelah lagi dalam suasana peningkatan harga barangan pengguna yang dirasai kini, merokok menyebabkan peningkatan perbelanjaan individu, justeru berhenti merokok berupaya mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ia boleh pula digunakan untuk keperluan lain yang lebih bermanfaat.

Selain ulama para ibubapa juga perlu bertindak mengawasi perlakuan anak-anak agar tidak terjebak merokok diusia muda. Malah Ibubapa wajib menjadi contoh yang terbaik kepada anak-anak dengan tidak merokok. Perbuatan sesetengah ibubapa memberikan wang membeli rokok kepada anak juga boleh diumpamakan seperti membunuh anak sendiri.

Dibimbangi anak-anak yang merokok diusia remaja akan terdedah melakukan gejala tidak sihat terutama apabila ketiadaan wang untuk membeli rokok seperti mencuri, menjadi peragut dan sebagainya. Selain daripada itu tumpuan mereka terhadap pelajaran di bilik darjah juga kemungkinan akan terganggu disebabkan tidak dapat merokok untuk satu jangkamasa tertentu.

Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan yang lebih efisien dalam menguatkuasakan undang-undang merokok ditempat awam. Ini kerana merokok ditempat awam akan memudaratkan orang lain yang tidak merokok, apabila mereka dipaksa menerima implikasi buruk asap rokok yang mencemarkan udara sekitar. Perokok juga akan mengotorkan tempat tumpuan awam seperti perhentian bas dan tandas awam dengan habuk dan puntung rokok yang dibuang sesuka hati.

Oleh itu, golongan perokok dinasihat berusaha untuk menghentikan amalan buruk yang ditegah agama. Tidak ada baiknya jika bertegang leher menegakkan benang yang basah sedangkan akhirnya diri sendiri dan keluarga yang merana.

Tidak dinafikan berhenti merokok memang payah dan menyakitkan, apatah lagi setelah bertahun-tahun dibelenggu oleh perbuatan itu. Tetapi percayalah dimana ada kemahuan disitu ada jalan. Hospital kerajaan sebagai contoh ada membuka Klinik Berhenti Merokok bagi sesiapa yang berhasrat untuk berhenti merokok. Rawatan secara tradisional juga kemungkinan boleh membantu. Malah terdapat ramuan herba yang apabila diminum akan menyebabkan perokok tidak berselera untuk merokok lagi.

Bagi umat Islam pula tidak ada yang mustahil jika segala permasalahan diadukan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Berdoa, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk berhenti merokok. Pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman. Pilihan terletak ditangan sendiri, kerana Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali jika dia sendiri yang berusaha mengubahnya.

Mungkin ada yang mendakwa setelah bertahun-tahun merokok mereka tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya malah ada yang kelihatan awet muda dan jadi lebih sihat berbanding orang yang tidak merokok. Dakwaan ini mungkin benar untuk tempoh yang tertentu sahaja. Sedarlah satu ketika, padah menghisap rokok tetap akan mengena tak kira tua mahupun muda cuma masa yang menentukan segalanya.

Begitu pula mungkin ada yang mendabik dada mengatakan akhirnya semua manusia akan mati jadi jangan dikaitkan masalah rokok dengan punca kematian. Memang itu satu ketentuan ilahi yang tak dapat disangkal, tetapi biarlah mati dalam keadaan terhormat, dengan meninggalkan jasa dan sumbangan yang boleh dimanfaatkan untuk seluruh umat. Pepatah ada menyebutkan harimau mati meninggalkan belang , manusia mati meninggalkan nama.

Adalah diharapkan, dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia mensyaratkan setiap kotak rokok wajib mempamerkan kesan buruk amalan merokok yang mengerikan mampu menimbulkan keinsafan dan menyedarkan komuniti perokok tentang bahaya rokok kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Saturday, January 16, 2010

TAHNIAH PBK




PENAT lelah membuat persiapan untuk menyertai pertandingan inovasi dan rekacipta di Shah Alam terasa berbaloi apabila PBK dianugerahkan pingat gansa. Walaupun tidak berjaya merangkul pingat emas seperti mereka yang hebat-hebat, syukur alhamdulillah kerana PBK tak pulang dengan tangan kosong.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang, terutama team PBK yang diketuai oleh PM Dr. Ahmad Che Yaccob dan ahlinya yang terdiri daripada saya sendiri, Tn. Syed Mazlan, En. Kamal Fakrulrazy, Cik Normah, Pn. Azizah, Cik Khadijah dan Pn. Noraini Ismail. Semoga kerjasama yang baik ini akan berterusan untuk projek-projek yang akan datang. TAHNIAH, TAHNIAH, TAHNIAH.

Terima kasih kepada semua para juri yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi. Tahniah juga diucapkan kepada jiran kami..geng gold dinar yang diketuai oleh Ust. Dziauddin atas kejayaan mendapat pingat perak. Go Dinar Go dinar

Sunday, January 10, 2010

TOLERANSI BERAGAMA TONGGAK KEJAYAAN 1 MALAYSIA

GAGASAN 1 Malaysia yang diilhamkan oleh YAB. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak, tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latarbelakang agama dan keturunan. Semua pihak sepatutnya berganding bahu, memastikan keberhasilan gagasan itu, tanpa menyentuh sensitivity agama dan perkauman yang bakal memporak-perandakan Negara.

Isu penggunaan kalimah Allah yang menyebabkan 3 buah gereja di ibu Negara terbakar dan sebuah surau di rosakkan telah mencemari hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Dalam Perkara 11 (1) dinyatakan “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya.

Walau bagaimanapun dalam konteks maqasid syariah (objektif pemeliharaan syariah) pengembangan agama kepada orang Islam juga terkawal berdasarkan Perkara 11(4) yang menyebutkan; Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dikalangan orang yang menganuti agama Islam.

Protes yang dilakukan oleh masyarakat Islam kini, dilihat bertepatan dengan Perlembagaan yang bertitik-tolak daripada kebimbangan berlaku kekeliruan terutama apabila ayat-ayat Bible yang mengandungi kalimah Allah disebarkan kepada masyarakat awam. Justeru itu, gesaan oleh Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun agar tuntutan untuk menggunakan nama Allah digugurkan patut dipuji bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Rasulullah SAW sendiri, sebagai Ketua Negara telah meletakkan asas-asas kehidupan beragama kepada masyarakat majmuk di Madinah yang terdiri daripada orang Islam, Yahudi, Nasrani dan golongan penyembah berhala. Ini dinyatakan dalam Perkara 25, Piagam Madinah yang berbunyi, Bahawa kaum Yahudi dari Bani ‘Auf, adalah satu umatyang bersama-sama orang mukmin, bagi mereka kebebasan untuk menganut agama mereka dan orang Islam dengan agama mereka, begitu juga orang yang berada di bawah mereka dan diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya.

Penulis sangat tersentuh dengan apa yang pernah disebutkan oleh Mukram Abid, Bekas Menteri Kewangan Mesir dan seorang tokoh pemikir bangsa Coptik, yang pernah menyebutkan “Ana Muslimun Watanan wa Nasraniyyun diinan”, bermaksud Saya seorang Muslim jika ditinjau daripada aspek kenegaraan tetapi seorang kristian jika dilihat daripada aspek keagamaan.

Sehubungan dengan itu toleransi beragama perlu disemai dan dipupuk kepada semua lapisan masyarakat antaranya dengan mengelak gejala buruk dan melampau seperti Ekstremisme yang dirujuk sebagai tindakan berlebih-lebihan dan melampaui batas dalam hal agama. Ideologi fanatisme yang menjadikan seseorang bersikap keterlaluan dan mentaati agama secara membabi-buta sehingga tidak memperdulikan kepentingan orang lain juga hendaklah dielakkan.

Dalam pada itu, semangat taksub yang keterlaluan dalam memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tanpa mengambil kira pandangan orang lain seharusnya dihindari bagi mengelak konflik agama yang boleh meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa.
Sejarah memperlihatkan bagaimana konflik yang berlaku antara Kristian dan Yahudi di Eropah pada kurun ke-9 dan ke-18 Masihi telah menyebabkan berlaku siri pembunuhan beramai-ramai ke atas orang Yahudi. Begitu pula Perang Salib (Crusades) yang berlangsung selama ratusan tahun diantara Kristian dan Islam telah menyebabkan ramai nyawa terkorban atas nama kepercayaan beragama yang melampau.

Walaupun tidak dinafikan banyak nilai-nilai positif yang berjaya disemai dalam masyarakat hasil interaksi budaya dan agama yang menyumbang kepada keharmonian sejagat. Sebagai contohnya, di zaman pemerintahan Bani Umaiyyah hingga ke zaman pemerintahan Uthmaniyyah, golongan minority seperti orang Yahudi dan Kristian boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan kerajaan Islam. Malah di Andalusia (Spanyol Islam) mereka diberi kedudukan dan jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan.

Selain daripada itu, keinginan untuk berbincang secara terbuka oleh semua pihak juga dilihat mampu menjernihkan suasana. Kemelut yang berlaku perlu diselesaikan dengan semangat 1 Malaysia agar kedamaian dan keamanan Negara dapat terus dinikmati untuk selama-lamanya. Melalui perbincangan secara ilmiah, saling menghormati perbezaan pandangan dan pendapat merupakan tonggak kejayaan amalan beragama di Malaysia.
Perlu juga dinyatakan bahawa perbuatan mencemari kesucian rumah ibadat tidak ada kaitan dengan ajaran Islam yang suci. Mereka yang terlibat dengan perbuatan itu hendaklah diberi balasan yang setimpal agar menjadi pengajaran untuk generasi masa hadapan.

Disebalik apa yang berlaku, Umat Islam seharusnya bangun daripada mimpi yang melalaikan dan berusaha untuk menterjemahkan agama sebagai satu cara hidup. Kelalaian berbuat demikian akan menyebabkan Islam terus diperkotak-katikkan sehingga Nama Allah Yang Maha Suci dan institusi kerasulan akan terus dipermainkan sepanjang zaman.

Sunday, January 3, 2010

Jangan marah ha,,tumpang posing



Tak dapat drive, dapat ambil gambarpun jadilah. Nak beli, kumpul gaji seumur hidup pun tak tau lagi cukup ke tidak.. Gambar ni diambil semasa dalam perjalanan ke JAWHAR untuk bentang first draf projek baitulmal.