Tuesday, January 25, 2011

Bank Grameen paling pemurah

Dipetik daripada Rencana Utusan Malaysia bertarikh 26 Jan. 2011

Bank Grameen berjaya membebaskan ramai rakyat Bangladesh daripada kancah kemiskinan.

SIAPA pernah mendengar adanya bank yang sanggup meminjamkan lebih AS$10 bilion kepada golongan miskin tanpa cagaran, malahan kadar bayaran balik pula mencapai 98 peratus? Bagi mereka yang masih belum mendengar kisah Bank Grameen, pertubuhan kredit mikro pertama di dunia, ia sesuatu yang luar biasa.

Walaupun operasinya bercanggah dengan kesemua peraturan perbankan konvensional, Bank Grameen berjaya membebaskan ramai rakyat Bangladesh daripada kancah kemiskinan. Lebih mengagumkan lagi, ia sehinggakan memperbaharui pembangunan sosial dan ekonomi bukan sahaja dalam negara malah merentasi dunia.

Orang yang muncul di sebalik idea bank ini, yang juga pemenang hadiah Nobel, ialah Profesor Dr. Muhammad Yunus. Beliau yang juga Pengarah Urusan Bank Grameen, mengasaskan bank itu pada 1970-an semasa rakyat negara itu mengalami kebuluran.

Dan inspirasi itu muncul pada satu pagi tahun 1976, semasa beliau berjalan melalui sebuah kampung untuk ke universiti di mana beliau adalah profesor ekonomi.

"Saya didatangi seorang wanita miskin yang memberitahu bahawa beliau hanya mampu meraih keuntungan dua sen (AS) sahaja dalam sehari bagi sebuah kerusi buluh yang dihasilkannya, kerana beliau berhutang dengan peminjam wang. Peminjam wang itu memaksa beliau menjual barangannya pada harga yang begitu rendah sehingga beliau hanya mampu menikmati keuntungan dua sen (AS) sahaja setiap hari," katanya.

Muhammad berkata, pada masa itu, beliau hanya perlu membayar peminjam wang berkenaan AS$1 untuk melangsaikan hutang dan membebaskan wanita itu daripada kitaran kemiskinan. Dan beliau lakukannya.

Kegembiraan dan kelegaan yang dirasai oleh wanita miskin itu memberi inspirasi kepada Muhammad untuk mencari lagi mereka yang lain, yang masih berhutang dengan peminjam wang berkenaan.

Beliau menemui 42 orang lagi dan hanya perlu membayar AS$27 sahaja untuk melangsaikan hutang di samping dijadikan modal untuk membeli bahan mentah.

Dengan jumlah wang itu, akhirnya mereka berjaya membebaskan diri daripada cengkaman hutang dan pada masa yang sama dapat menjual hasil produk kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi. Ini telah membawa penambahbaikan ke atas status ekonomi mereka.

Di sinilah bermulanya laluan Muhammad untuk menubuhkan Bank Grameen yang menamatkan kitaran pendapatan rendah, simpanan rendah dan pelaburan rendah.

Muhammad berkongsi sejarah penuh inspirasi bank ini semasa satu majlis makan tengah hari di Malaysia baru-baru ini yang turut menyampaikan ucaptama bertema Perniagaan Sosial dan Pengurangan Kemiskinan.

Majlis makan tengah hari khas ini dianjurkan oleh Khazanah Nasional dan Akademi Pengarah Malaysia (Minda).

Bank untuk miskin

Grameen bermakna "luar bandar" atau "kampung" dalam bahasa Bangladesh.Ia menawarkan kredit mikro kepada penduduk miskin luar bandar di Bangladesh, supaya mereka boleh memulakan atau membiayai perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Muhammad berkata bank ini memberi pinjaman dalam jumlah kecil AS$200 setiap orang kepada 8.3 juta peminjam di seluruh Bangladesh dan pinjaman itu dibayar dalam bentuk ansuran bulanan.

Apa yang mengagumkan, walaupun bank ini meminjam kepada mereka yang hidup di bawah garis kemiskinan, ia berjaya mendapatkan semula sehingga 98 peratus daripada pinjamannya.

Profesor ekonomi ini berkata, prinsip asas bank berkenaan sejak ditubuhkan ialah bank harus sampai kepada rakyat dan bukan sebaliknya.

"Kita menemui kesemua 8.3 juta peminjam ini di pintu mereka. Mereka tidak perlu ke mana-mana. Kami bertemu dengan mereka setiap minggu dan menjalankan urusan perbankan di kediaman mereka.

"Ia satu tugas yang besar. Tetapi ia satu-satunya cara kita boleh menggalakkan mereka menjalankan urusan perbankan dengan kami, memandangkan lebih 97 peratus daripada peminjam kami adalah wanita. Jika anda meminta mereka datang ke pejabat kami, itu tidak akan berlaku. Lelaki akan ambil alih tugas itu memandangkan merekalah yang selalu keluar. Wanita lazimnya tinggal di rumah menguruskan keluarga," jelas beliau.

Muhammad jelas dilihat mesra bercakap mengenai Malaysia dan hubungan beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar. Muhammad telah banyak kali melawat Malaysia, walaupun sebelum idea Grameen bermula di luar Bangladesh.

"Malaysia bagaikan kediaman kedua saya. Sebenarnya, kali pertama idea Grameen diperkenalkan di luar Bangladesh ia adalah di Malaysia, dengan yang pertama di Pulau Pinang," jelas beliau. - BERNAMA

Friday, January 21, 2011

Fahami matlamat hidup yang sebenar

SELURUH negara gempar lagi. Kini dengan pembunuhan seorang pelajar tingkatan 3 di Kota Samarahan, Sarawak. Hanya kerana bimbang rahsia jenayah dibocorkan, geng curi motosikal dan pecah rumah terbabit sanggup melakukan pembunuhan kejam yang tidak boleh diampunkan. Lebih menyayat hati apabila mangsa ditemui ditanam di dalam sebuah lubang yang digali oleh salah seorang suspek yang berjaya ditahan oleh pihak Polis.

Dimanakah hilangnya nilai perikemanusiaan dan sifat kasih-sayang antara sesama manusia, sehingga jenayah bunuh sering menghiasi dada akhbar tempatan dewasa ini. Ataukah mungkin terdapat segelintir manusia yang sudah hilang arah tujuan dan matlamat hidup sehingga terlibat melakukan pelbagai jenayah kejam mengikut runtunan nafsu sendiri. Apakah perasaan malu dan sabar benar-benar telah diangkat ke langit sehingga manusia begitu rakus menghirup darah sesama manusia yang tidak berdosa.

Sayugia difahami, Allah SWT menjadikan manusia dengan tujuan utama untuk mengabdikan diri kepadanya. Tuntutan itu dapat direalisasikan dengan berusaha untuk melakukan pelbagai kegiatan ibadah sama ada yang bersifat khusus seperti solat, puasa dan lain-lain ataupun bersifat umum seperti bekerja bersungguh-sungguh dan saling bantu membantu mewujudkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Selain itu manusia juga bertanggungjawab untuk mengimarahkan muka bumi ini dan tidak melakukan sebarang kerosakan padanya.

Jika diperhalusi lagi tugasan itu merupakan amanah berat yang tidak sanggup dipikul oleh langit bumi dan gunung-ganang ketika pertama kali ditawarkan kepada mereka. Namun manusia yang lemah dan hina serta sering melakukan kerosakan sanggup pula memikul bebanan itu demi untuk merealisasikan hasrat dan tujuan murni penciptaan manusia.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan ”. (Surah al-Ahzab:72)

Bagi mencapai matlamat kebahagiaan hidup di dunia pula manusia diseru untuk bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh dengan jalan halal dan dibenarkan oleh syariat. Walaupun boleh jadi kerja yang dilakukan nampak selekeh dan kotor ia lebih mulia kerana hasil usaha daripada titik peluh sendiri. Malah jika gaji sebanyak mana sekalipun yang diambil daripada sumber yang tidak halal pasti akan menghilangkan keberkatan rezeki dan tidak mencukupi.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya sebaik-baik pekerjaan ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri.

Justeru itu penglibatan segelintir individu Muslim dalam pekerjaan haram dan tidak dibenarkan syariat seperti terlibat dengan arak, perjudian, loteri dan pelacuran pasti mengundang padah. Terdapat pula golongan wanita yang menggadaikan maruah diri dan agama menerusi aktiviti peragaan, model dan pertandingan ratu cantik dengan mendedahkan aurat yang kesemuanya diharamkan oleh syariat.

Perolehan harta daripada sumber yang haram juga boleh jadi memberi kesan kepada kelakuan buruk anak-anak yang dibesarkan dan disekolahkan dengan sesuap nasi hasil kegiatan yang dilarang agama. Akibatnya ada yang terlibat dengan jenayah bunuh, rogol, mencuri dan pelbagai kegiatan negatif dan tidak bermoral yang lain. Walaupun tidak dinafikan ada sebab lain seperti kurangnya perhatian ibubapa dan didikan agama yang menyumbang kepada peningkatan jenayah itu.

Sedia diketahui segala tugasan yang dilakukan di dunia akan nanti dipersoalkan di hadapan Tuhan Yang Maha Kuasa. Segala yang baik dan buruk akan diberi ganjaran dan balasan yang setimpal. Kemungkinan juga ada yang telah dihukum sejak di dunia lagi akibat kedegilan dan kesombongan tidak mentaati syariat Ilahi. Sejarah kehancuran umat terdahulu seperti kaum Aad, Tsamud dan individu seperti Firauan, Qarun dan Haman membuktikan betapa hukuman Allah SWT boleh berlaku kepada sesiapa dan bila-bila masa sahaja.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam terutamanya wajib memahami matlamat dan tujuan utama penciptaan manusia yang pasti bukan atas dasar suka-suka. Berlakunya banyak pelanggaran terhadap hak Allah SWT dan hak sesama manusia ketika ini merupakan kesan daripada ketirisan memahami tujuan hidup yang sebenar. Seolah-olah ada yang lupa bahawa suatu hari yang ditakdirkan setiap jiwa akan pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya. Sebelum terlambat, berusahalah untuk menyelesaikan tugasan besar yang menjadi amanah untuk direalisasikan oleh semua manusia.

Monday, January 10, 2011

Perlu sokong perbankan Islam

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Harian Metro ruangan e-mel anda bertarikh 10 Jan. 2011.

KEPRIHATINAN umat Islam terhadap aspek kesucian makanan dan minuman yang disuap ke dalam mulut menunjukkan ramai mula sedar akan kewajipan berbuat demikian demi mengelak sesuatu yang haram menjadi darah daging.

Atas keperluan itu, bukan saja pengusaha kopitiam perlu mendapatkan pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tetapi semua pengusaha kedai makanan. Kesedaran umat Islam akan isu halal juga boleh diperluaskan lagi kepada aspek penggunaan barangan keperluan harian lain seperti ubat gigi, sabun, peralatan kosmetik dan ubat-ubatan. Pengesahan status halal ini semakin signifikan berikutan ada pihak yang menangguk di air keruh mengaut keuntungan lumayan menggunakan logo halal diragui.Pengguna Muslim pula harus lebih sensitif untuk memilih dan menentukan hanya yang halal dan suci saja boleh dimakan dan digunakan setiap hari.Ibu bapa juga sepatutnya mendidik anak-anak supaya sentiasa peka dan sensitif dengan permasalahan ini.

Kegagalan berbuat demikian boleh memberi kesan kepada sahsiah dan keperibadian seseorang disamping mempengaruhi kelestarian beribadah dengan sempurna. Selain itu, umat Islam juga perlu memahami aspek halal bukan saja tertumpu kepada soal makan dan minum, tetapi sebenarnya mencakupi segala muamalah yang dilakukan manusia.

Ini termasuklah pembabitan masyarakat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba.

Malah, hukum bermuamalat dengan bank perdagangan yang berorientasikan riba juga pernah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-32 yang bersidang pada 10 hingga11 Jun 1993.

Muzakarah itu memutuskan bahawa; i) Bekerja di bank atau institusi kewangan hukumnya harus. ii) Pinjaman bank atau institusi kewangan adalah haram hukumnya kecuali kerana terpaksa bagi memenuhi keperluan asas yang mendesak.

iii) Menyimpan di bank dengan tidak mengambil faedah hukumnya harus.
iv) Wang faedah diperoleh daripada bank atau institusi kewangan adalah haram digunakan untuk diri sendiri tetapi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
v) Menerima pelbagai bentuk hadiah dan pemberian dari bank dan institusi kewangan seperti biasiswa adalah harus hukumnya.
vi) Menyewa bangunan kepada bank adalah haram.
vii) Memegang saham bank yang mengamalkan riba adalah haram.

Sehubungan itu, umat Islam dinasihat supaya menyokong sistem kewangan dan perbankan berteraskan Islam bagi mengelak terjerumus dalam kancah dosa yang memudaratkan.

Dunia diancam bencana

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 13 Januari 2011 dengan tajuk "Dunia kini diancam pelbagai bencana besar"

DI SAAT ada yang sibuk memperkatakan tentang kemusnahan kehidupan di dunia menjelang tahun 2012, dunia yang didiami hari inipun kelihatan tidak mampu lagi untuk bertahan lebih lama. Ini berikutan pelbagai musibah dan bencana yang acap kali berlaku mengingatkan semua betapa dunia sememangnya sudah uzur dan segala kehidupan di dalamnya akan musnah jua apabila tiba detik yang ditentukan.

Bibit-bibit ke arah kemusnahan itu sudah mula di rasai di sana sini. Fenomena bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan ribut salji ekstrim telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada bumi dan isinya. Malah kawasan-kawasan yang jarang dilanda banjir besar seperti di Queensland Australia, Pakistan dan Arab Saudi kini terdedah kepada ancaman banjir itu, yang turut mengorbankan nyawa dan kehilangan harta benda berskala besar.

Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun di Wilayah Queensland Australia sebagai contohnya telah mengubah landskap setempat sehingga menjadi seperti sebuah pulau yang dikelilingi lautan lumpur. Malah beberapa negeri di Pantai Timur Semenanjung juga turut mengalami nasib yang sama apabila hujan lebat dan berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke kawasan yang rendah.

Jika diteliti lagi bencana keruntuhan akhlak dan moral dikalangan segelintir masyarakat turut menunjukkan peningkatan ketara. Berdasarkan laporan di akhbar terdapat kira-kira 10 kes pembuangan bayi berlaku di seluruh negara sejak bermulanya tahun baru 2011 yang lalu. Kes penderaan terhadap kanak-kanak juga membimbangkan. Terbaharu seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru akibat didera oleh ibu tirinya. Dengan 73 kesan lebam dan luka di badan sehingga menyebabkan pendarahan dan kerosakan kepada organ dalaman menjadikan Nordiana Qistina Nurafizan mangsa terbaru jenayah yang tidak berperikemanusiaan itu.

Ketamakan sebilangan pemborong dan pengedar yang menyorokkan barangan keperluan orang ramai turut membebankan pengguna dan menambah lagi bencana kesusahan yang dialami kini. Perbuatan tidak beretika yang kemungkinan bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya menaikkan harga barangan keperluan tertentu semacam menjadi trend yang tidak boleh dibiarkan lagi. Daripada krisis gula, tepung, beras dan kini isu kekurangan minyak masak pula hangat diperkatakan. Yang pasti golongan ini akan mengaut keuntungan tinggi dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah akan terus terhimpit dan tertindas menjadi mangsa keadaan.


Mungkinkah semua ini berlaku kesan pemanasan global yang melanda dunia atau disebabkan oleh kerakusan tangan-tangan manusia menodai alam sehingga bumi seperti sudah tidak selamat lagi untuk dihuni. Ataukah mungkin ini terjadi akibat kemurkaan Allah SWT terhadap manusia yang terlibat mempersekutukannya lagi ingkar terhadap suruhan dan melanggar peraturannya sehingga perasaan belas kasihan dan malu lenyap dalam diri.

Walau apapun jawapannya, bencana dan huru-hara hari kiamat yang lebih dahsyat tidak boleh dipersendakan ataupun digambarkan melalui khayalan fikiran manusia dalam filem Armagedon ataupun 2012 adaptasi cerita dongeng kaum Mayan.

Lebih dari itu umat Islam diajak bersedia dengan segala kudrat yang ada menimbun amal kebaikan guna berhadapan dengan hari perhitungan itu. Ini kerana segala kejayaan dan anugerah yang dikecapi di dunia hanya sementara dan tidak bertahan lama. Malah yang kekal ialah amal baik yang dilakukan ikhlas semata-mata mencari reda Ilahi sebagai bekalan menuju alam akhirat yang kekal abadi.

Persoalan bilakah peristiwa dahsyat itu akan terjadi tidak penting untuk dibahaskan. Malah jika diteliti tiada satupun bencana dan musibah yang melanda dunia dapat diketahui secara tepat sekalipun dengan pelbagai teknologi dan peralatan canggih masa kini. Allah SWT berfirman yang bermaksud;
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”. (Surah al-‘Araf:187)

Justeru itu sebelum terlambat gunakanlah kesempatan yang ada untuk berbuat kebajikan ataupun setidak-tidaknya umur yang ada tidak dibazirkan dengan perbuatan noda dan nista yang menyumbang kepada pelbagai bencana yang tidak berkesudahan. Yang pasti apabila musibah dan malapetaka menimpa seluruh masyarakat akan terpalit sama tidak kira tua ataupun muda, ibarat seekor lembu berkubang lembu yang lain juga terkena lumpurnya.

Tuesday, January 4, 2011

Hasad dengki perosak kehidupan

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 7 Jan. 2011 dengan tajuk "Jauhi hasad dengki perosak silaturrahim".


KEINGINAN supaya nikmat atau kebahagiaan yang dimiliki seseorang lenyap sekalipun tidak berpindah kepada sesiapa adalah bibit-bibit kedengkian yang menjadi perosak dalam kehidupan. Mana tidaknya seseorang yang berkelakuan buruk seperti ini akan melakukan apa sahaja tindakan negatif untuk memuaskan nafsu serakah yang telah mendominasi diri. Berikutan dengan itu, setiap anggota dalam masyarakat hendaklah berusaha mengelak daripada terjerumus ke lembah hina dengan menghindar diri daripada perlakuan keji ini.

Implikasi daripada hasad dan dengki boleh menyebabkan amalan baik yang dilakukan sirna tanpa sebarang nilai yang diharap-harapkan. Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar”. (Riwayat Abu Daud).

Sayugianya, amalan buruk seperti ini dijauhi kerana ia juga merosakkkan hubungan silaturrahim antara sahabat handai, jiran tetangga, dan rakan sekerja. Lebih membimbangkan apabila ia menyumbang pula kepada sifat buruk yang lain seperti dendam yang tidak berkesudahan dan saling berusaha untuk memburuk-burukkan dan memfitnah satu sama lain. Bayangkan pula bagaimana sekiranya penyakit ini menular kepada seluruh anggota masyarakat, yang sudah barang tentu akan memporak-perandakan kehidupan sejagat.

Pernah diriwayatkan sebuah kisah yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Saidina Anas berkata sedang kami bersama Rasulullah SAW Baginda bersabda dengan maksudnya “Daripada laluan ini muncul seorang lelaki penghuni syurga”. Anas berkata lagi, Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki Ansar sambil mengusap sisa wuduk dijanggutnya dan memegang sandal di tangan kiri sambil memberi salam. Pada hari kedua dan ketiga Rasullullah SAW masih menyatakan perkara yang sama. Setelah Baginda beredar Abdullah bin Amir bin al-Ash mengikuti lelaki Ansar itu lalu berkata. “Sesungguhnya saya telah bertengkar dengan bapa saya dan bersumpah untuk tidak bertemu dengannya selama tiga hari, bolehkah saya bermalam di rumah tuan selama tempoh tersebut. Dijawab ya.

Selama menginap di rumah itu Abdullah tidak pernah melihat dia bangun malam hingga menjelang subuh kecuali jika tersedar dia menyebut nama Allah. Dia juga hanya berkata yang baik-baik sahaja. Setelah kecewa Abdullahpun menceritakan perkara yang sebenar dimana beliau berhasrat untuk menyelidiki amalan orang itu yang dipilih sebagai penghuni syurga. Lalu dijawab tidak ada apa yang kulakukan kecuali apa yang kamu lihat selain itu aku tidak punya rasa benci dan dengki kepada kaum muslimin yang dikurniakan kebaikan. (Riwayat Ahmad).

Sehubungan dengan itu, setiap individu sewajarnya tidak berasa iri hati dan dengki apabila ada dikalangan rakan sejawat yang dinaikkan pangkat ataupun beroleh laba lumayan hasil perniagaan yang diusahakan. Seharusnya ia menjadi motivasi kepada semua untuk berusaha dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang yang diceburi tanpa berasa dengki dan cemburu atas nikmat yang diperoleh oleh orang lain. Sedarlah itu semua merupakan takdir Tuhan yang berkuasa memberi kepada sesiapa yang istimewa dan berkuasa mutlak pula untuk mengambil daripada sesiapa yang dikehendaki.

Sejarah silam jelas membuktikan betapa Qabil dan Habil saling berbunuh-bunuhan hanya kerana dengki dan cemburu terhadap saudaranya. Begitu juga Nabi Yusuf as. dibuang ke dalam perigi buta oleh adik-beradiknya hanya kerana dengki dan iri hati. Malah perkara ini jugalah yang pernah dibimbangi oleh Nabi Muhammad SAW sepertimana sebuah hadis yang bermaksud “Perkara yang paling aku takuti terjadi kepada umatku ialah banyaknya harta pada mereka lalu mereka saling mendengki dan berbunuh-bunuhan”. (Riwayat al-Tirmiziy)

Lalu apa yang patut dilakukan untuk menghilangkan perasaan hasad dengki yang sering menyelubungi jiwa makhluk bergelar manusia. Dalam konteks ini para ulama seperti al-Ghazali berpendapat ubat yang mujarab bagi menghilangkan penyakit ini ialah ilmu dan amal.

Dengan pengetahuan agama yang sempurna seseorang mampu menyedari betapa penyakit dengki merupakan penyakit yang sangat berbahaya kerana seseorang sebenarnya membenci takdir (qada’ dan qadar) yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ini kerana pendengki buat pertama kalinya tidak suka nikmat yang telah dibahagi-bahagikan dan ditentukan oleh Allah SWT kepada para hambanya. Yang kedua, tidak mahu menerima keadilan dan kesaksamaan Allah yang Maha bijaksana mengatur segala sesuatu. Yang ketiga, terlibat menyakiti hati kaum Muslimin yang punya hak dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan bersama. Yang keempat menyalahi para Rasul, Nabi dan Wali Allah yang sentiasa mendekatkan diri dengan amalan kebaikan. Yang kelima mengikut telunjuk Iblis dan golongan kafir yang punya perasaan hasad dengki dan selalu mengidamkan bencana dan kerosakan kepada kaum Muslimin dan yang terakhir pendengki akan sentiasa sakit dan tersiksa selagi mana nikmat yang dimiliki oleh seseorang tidak hilang ataupun bertukar tangan kepadanya.

Manakala amal yang bermanfaat untuk menghilangkan keburukan itu ialah dengan memuji dan menyanjung seseorang jika dengki menyebabkan dia mencela dan mencerca orang lain. Bersikaf tawaduk dan merendah diri pula sekiranya benci telah menyebabkan sombong dan meninggi diri.

Tidak dinafikan dalam dunia yang dipenuhi golongan bijak pandai kini masih terdapat golongan yang berpenyakit hasad dengki. Ia kemudiannya mengundang musibah ataupun bencana yang juga merupakan ketetapan Ilahi. Untuk itu setiap makhluk seharusnya bersabar dan sentiasa mengadukan hal kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui. Lambat laun pelaku jenayah seperti ini akan kembali jua bertemu Allah SWT yang tidak alpa menilai segala perbuatan meskipun hanya sebesar zarrah daripada kebaikan dan keburukan yang dilakukan semasa di dunia.