Monday, June 3, 2013

PENGAJARAN DI SEBALIK ISRAK DAN MIKRAJ



Bulan Rejab yang mulia sudah sampai ke penghujungnya. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa di Bulan Rejab ramai yang dipanggil kembali menemui Tuhan Nya. Hampir setiap hari berita tentang kematian didengari di sekeliling kita. Malahan terjadi di sesebuah kawasan tiga hingga empat orang meninggal dunia dalam satu-satu masa.
Memang ajal maut di tangan Tuhan dan tiada sesiapa yang dapat mengagak bila dan di mana ia akan berlaku. Namun realitinya, ia kelihatan begitu ketara berlaku di bulan Rejab berbanding bulan-bulan yang lain. Justeru itu, masyarakat Islam diseru meletakkan diri dalam situasi berjaga-jaga dalam erti kata bersiap sedia dengan amal kebajikan yang sempurna jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat kerana bimbang dijemput oleh Allah SWT dalam keadaan tidak bersedia lagi kurang amal kebajikannya.

Malah dalam konteks memperingati peristiwa agung Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW ke langit menghadap Allah SWT, banyak pengajaran berupa balasan dan azab akibat daripada perbuatan dosa dan maksiat boleh dijadikan iktibar bagi mengharungi liku-liku hidup di dunia yang fana ini.

Dalam perjalanan agung yang menakjubkan itu Nabi Muhammad SAW dipertontonkan dengan beberapa situasi azab dan seksaan akibat daripada perlakuan dosa manusia. Antaranya Nabi SAW diperlihatkan dengan suatu kaum yang dihidangkan dengan daging baru lagi segar tetapi tetap memilih daging yang busuk lagi berbau. Melihat kejadian itu Nabi SAW bertanya kepada Malaikat Jibril yang menemaninya sepanjang perjalanan, lalu dijawab itulah gambaran manusia yang sudah beristeri tetapi masih memilih untuk berzina dengan wanita lain yang diharamkan.

Dewasa ini gejala berkhalwat, berzina dan bersekedudukan di kalangan segelintir umat Islam seakan menjadi lumrah dan perkara biasa. Saban hari ada sahaja paparan berita berkenaan tangkapan dan serbuan oleh pihak berkuasa agama terhadap pasangan yang berdua-duaan dan melakukan zina di dada akhbar tempatan. Malahan aktiviti tidak bermoral ini kelihatan bukan lagi sesuatu yang dianggap berdosa dan terlarang apabila terdapat segelintir pasangan sama ada yang sudah berkahwin ataupun tidak, mengambil kesempatan cuti hujung minggu mahupun cuti umum dengan melakukan aktiviti maksiat di hotel-hotel murah tanpa segan silu. Lebih membimbangkan lagi, apabila perbuatan keji ini menyebabkan statistik gejala buang bayi turut meningkat kesan daripada perhubungan luar nikah dan pergaulan sosial yang tidak terbatas.

Selain daripada itu Baginda Nabi Muhammad SAW diperlihatkan juga dengan keadaan manusia yang menghantukkan kepalanya ke dinding, lalu pecah kemudian kepala bercantum semula dan dihentakkan kembali. Apabila ditanya kepada Malaikat Jibril tentang hal itu dijawab itu adalah hukuman bagi orang yang malas dan melengah-lengahkan sembahyang.

Justeru itu, umat Islam diseru supaya sentiasa mengambil berat akan ibadah sembahyang yang merupakan tiang agama. Malah perlu diingat antara perkara utama yang akan dipersoalkan pada hari kemudian adalah ibadah solat yang jika dilakukan dengan sempurna maka baharulah dipersoalkan akan ibadah yang lain. Akan tetapi jika tidak, maka akan diazab terlebih dahulu kerana bermasalah dengan solatnya.

Perlu juga diingat bahawa apa yang ditunjukkan kepada Nabi SAW adalah gambaran individu yang malas sembahyang lalu bagaimana pula jika seseorang enggan dan sering mengabaikan solat lima waktu sehari semalam. Sudah pasti hukumannya lebih berat kerana ia merupakan indikator pembeza antara individu yang beriman dan individu yang kufur kepada Allah SWT. Solat juga merupakan ibadah yang paling utama difardukan secara terus kepada Nabi SAW pada malam Israk dan Mikraj sekali gus jelas menunjukkan kepentingannya kepada umat Islam.

Dalam sebuah hadis yang panjang diriwayatkan bahawa golongan yang meninggalkan solat akan dihukum oleh Allah SWT dengan azab yang pedih ketika hampir mati, saat berada dalam kuburnya dan ketika berlaku hari kiamat. Antaranya ketika hampir mati dia berada dalam keadaan kehausan sehingga air 7 buah lautan sekali pun jika dituangkan ke dalam mulutnya masih tidak mampu menghilangkan kehausan yang ditanggung. Allah SWT kemudiannya mengutus seekor ular yang sangat berbisa untuk menyeksanya ketika di dalam kubur, kemudian sewaktu hari kiamat akan diberi catatan amalnya melalui sebelah kiri dan Allah SWT tidak akan melihat kepadanya.

Baginda Nabi Muhammad SAW turut diperlihatkan dengan gambaran golongan yang perutnya terlalu besar akibat daripada memakan riba yang diharamkan. Ada pula yang dibangkitkan daripada kuburnya dalam keadaan mabuk dan terhuyung hayang akibat daripada azab Allah SWT yang terlalu pedih lagi tidak tertanggung oleh manusia. Seksaan seperti itu diberikan oleh Allah SWT kepada golongan yang memakan hasil riba dan membenarkannya. Sedang hakikatnya Allah SWT menghalalkan amalan jual beli dan mengharamkan riba yakni faedah atau bunga.

Oleh itu dalam situasi hari ini umat Islam perlu menghindarkan diri daripada segala aktiviti kewangan dan pelaburan mahupun insuran yang melibatkan riba dan faedah yang diharamkan. Mungkin suatu ketika dahulu pada saat aktiviti kewangan dan perbankan Islam masih di tahap awal perkembangannya hukum haram ini tidak berlaku. Malah ia dianggap suatu yang darurat lagi diperlukan. Namun hari ini ketika amalan kewangan dan perbankan Islam sudah berkembang dengan begitu pesat sekali hukum darurat sudah tidak terpakai lagi. Fatwa pengharaman segala aktiviti yang berkaitan faedah dan bunga sama ada daripada pinjaman atau pelaburan yang tidak berteraskan Islam juga telah lama dikodifikasikan di Malaysia.

Yang jelas ia merupakan satu bentuk larangan agama terhadap mana-mana individu Muslim daripada terlibat dengannya.
Seyogianya sempena mengenang kembali peristiwa agung Israk dan Mikraj ini, umat Islam diseru kembali kepada landasan agama yang sebenar iaitu dengan mentaati segala perintah Allah SWT serta menjauhi larangnya. Jika tidak selama itu lah seseorang akan menanggung dosa dan boleh jadi dikenakan hukuman seperti yang ditunjukkan kepada Nabi SAW pada malam yang penuh keberkatan itu.

Allah SWT berfirman maksudnya;
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". ( Surah al-Isra':1)