Wednesday, October 12, 2011

Konsep doa yang dituntut

AMALAN mengadakan kenduri doa selamat dan meraikan pemergian bakal haji ke Tanah Suci Mekah sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia. Tidak ketinggalan juga kebiasaan mengirim hajat dan doa tertentu untuk dibacakan di Tanah Suci sambil berharap keberkatan Tanah Haram lalu segala doa dimakbulkan. Malah dek kerana rasa kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW, ramai yang tidak lupa berkirim salam kepadanya. Begitulah hebatnya aura tetamu Allah SWT yang telah dimuliakan sejak di tanahair lagi.

Namun begitu individu Muslim seharusnya memahami konsep doa yang sebenar sehingga ia tergolong dalam kategori ibadah dan pergantungan yang mutlak hanya kepada Nya. Perlu juga difahami bahawa asas kepada penerimaan setiap doa turut dipengaruhi oleh individu yang terlibat. Kirimlah seberapa banyak doa kepada bakal haji, mintalah pula supaya doa tersebut di bacakan di Multazam, di bawah pancuran emas di Hijir Ismail, di kawasan Sai’e mahupun di Padang Arafah tetap tidak akan memberi kesan jika pengirimnya masih terbelenggu dengan dosa dan maksiat yang tidak berkesudahan.

Dengan semata-mata berdoa juga berkemungkinan tidak mampu merubah apa-apa. Ia hendaklah disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh sambil bertawakkal mengharap keredaan dan kurnia daripada Yang Maha Kuasa. Umat Islam turut diperintah untuk sentiasa melaksanakan ketaatan sebagai usaha untuk diperkenankan apa sahaja permohonan. Malah segala yang dimakan dan diminum juga perlu diperhatikan bagi mengelak doa ditolak.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadis riwayat Muslim)

Perkara ini juga ada kaitan dengan program solat hajat setiap kali menjelang peperiksaan utama seperti UPSR,PMR SPM dan STPM yang sering diadakan di sekolah dan masjid-masjid. Secara umumnya ia sesuatu yang dituntut dalam usaha untuk memperoleh kekuatan spritual yang sememangnya diperlukan oleh individu Muslim. Namun kelihatan ia ibadah bermusim, malah kadang-kadang solat fardu dan ibadah-ibadah wajib yang lain pula terabai setelah musim peperiksaan berakhir. Ada pula yang menyalahkan takdir apabila doa dan apa yang dihajatkan tidak kesampaian setelah bersusah-payah menunaikan solat hajat.

Begitu juga ramai kalangan umat Islam yang bercita-cita dan berdoa agar diberi kesempatan menunaikan fardu haji. Malah keinginan itu meluap-luap setiap kali tiba musim haji yang mana ada rakan sekerja mahupun jiran tetangga yang terpilih menjadi tetamu Allah. Ramai yang berpesan supaya mendoakan agar mereka segera dijemput ke Tanah Suci. Namun begitu jika tiada usaha untuk menabung misalnya ia boleh jadi ibarat hangat-hangat tahi ayam, tamat musim haji cita-cita ke Mekah turut terhenti di situ.

Justeru itu nikmat naik pangkat, nikmat naik gaji seperti yang diumumkan dalam budget 2012 yang lalu dan nikmat beroleh laba lumayan daripada usaha perniagaan hendaklah disyukuri dengan memperuntukkan sebahagian pendapatan bulanan bagi tujuan menunaikan fardu haji. Dianggarkan jika seseorang berkorban menabung RM200 sebulan Insya Allah dalam tempoh lima tahun tabungan tersebut akan meningkat kepada RM12,000 yang sangat mencukupi untuk mengerjakan fardu haji buat masa kini.

Di sudut pandang yang lain jamaah haji pastinya punya keistimewaan tersendiri mampu berdoa di Multazam, mampu bermunajat di kawasan Raudhah yang merupakan tempat makbul doa. Sayogianya peluang dan kesempatan ini tidak dipersiakan. Ambillah peluang dan kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan diri dan keluarga juga jiran tetangga dan rakan taulan di tanahair.

Malah tidak salah jika seseorang mendoakan keamanan dan kesejateraan untuk rakyat dan negara Malaysia secara umumnya. Begitu pula doa untuk saudara-saudara seagama yang tertindas seperti di Palestin dan lain-lain, manefestasi daripada falsafah pelaksanaan ibadah haji yang mempersaudarakan umat Islam tanpa mengira latarbelakang budaya dan negara tertentu.

Mungkin ada yang bertanya kenapa setelah lama berdoa hajat yang dipohon belum diperkenankan lagi. Jawapan kepada persoalan ini boleh diperhatikan dari dua sisi yang berbeza. Pertama, boleh jadi apa yang dipohon belum sesuai untuk diberikan pada masa itu kerana dengan ilmu dan pengetahuan Allah SWT ia mungkin memudaratkan akidah dan syariat seseorang. Kedua, ia boleh saja merupakan suatu bentuk ujian kepada manusia untuk menilai sejauh mana keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT sehingga terus berdoa dan berdoa tanpa berputus asa.

Semoga apa yang dipohon akan diraih suatu hari nanti kalau tidak di dunia kemungkinan di hari kemudian berkat keyakinan dan penggantungan yang tinggi kepada Allah SWT. Ingatlah juga betapa doa adalah senjata Mukmin yang jika digunakan dengan sebaiknya mampu menjadikan Islam dan umatnya dipandang tinggi di persada dunia.