Sunday, July 21, 2013

Patuhi fatwa pengharaman shisa


SUSULAN pengharaman shisa oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 yang lalu masyarakat Islam yang terlibat diseru berhenti daripada terus membinasakan diri sendiri dan berdegil untuk tidak mengendahkan fatwa yang telah dikeluarkan. Usahlah terpedaya dengan keseronokan yang sementara sedangkan individu yang terlibat akan menanggung sengsara dan menderita dengan pelbagai penyakit kronik di kemudian hari.

Keputusan ini dibuat berdasarkan penjelasan pakar perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan bersandarkan bukti-bukti perubatan dan saintifik yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan shisha terhadap kesihatan, pembangunan ekonomi serta generasi akan datang. Malah larangan ini turut diperluaskan kepada penyedia perkhidmatan shisha yang turut menyumbang kepada berkembangnya amalan yang tidak bermanfaat ini.
Pengharaman ini dilihat amat bertepatan dengan prinsip maqasid syariah dalam memelihara kesucian agama, jiwa, akal, keturunan dan harta daripada sebarang bentuk pembaziran wang ringgit, masa dan usia selain jelas memudaratkan kesihatan serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji.

Justeru masyarakat Islam yang terlibat diseru memuhasabah diri sambil merenung maksud firman Allah SWT yang berbunyi, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Baqarah: 195).

Umat Islam diseru membelanjakan harta kurniaan Ilahi kepada jalan-jalan kebajikan yang dituntut oleh syarak bukan membazirkannya pada perkara yang tidak bermanfaat. Menurut sumber daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Shisa mengandungi lebih daripada 100 bahan kimia berbahaya antaranya tar, nikotin dan karbon monoksida dalam kepekatan yang tinggi. Shisa juga dikatakan lebih berbahaya berbanding rokok kerana seseorang akan menyedut sebanyak 50 – 200 kali sedutan yang bersamaan dengan 0.15 – 1.0 liter asap selama 20 – 80 minit. Malah golongan ini turut terdedah menghisap nitrogen oksida dan plumbum daripada sisa asap kenderaan yang lalu lalang serta habuk berbahaya apatah lagi jika berada di premis terbuka dan berhampiran jalan raya.

Selain itu dengan tempoh menghisap shisa yang agak lama, pelakunya turut terdedah membazirkan masa kepada perkara yang tidak berfaedah yang dilarang di sisi agama. Malah jika difikirkan, masa yang ada untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara terlalu sedikit jika dibandingkan dengan umur dunia yang semakin tua dan hampir ke penghujungnya. Di sana-sana berlaku gempa-bumi, ribut taufan dan banjir besar yang mengorbankan banyak nyawa sebagai petanda dunia sudah terlalu tua dan hampir ke saat kemusnahannya.

Aktiviti penguatkuasaan daripada pihak berwajib juga diperlukan untuk membendung ia daripada terus merebak dalam masyarakat. Menghisap shisa seakan trend baharu yang begitu popular dan semakin diminati. Tanpa mengira jantina dan bangsa golongan ini seronok melepak berjam-jam lamanya sambil bertukar-tukar peralatan shisa sesama mereka yang dikhuatiri menyebabkan mereka terdedah pula kepada penyakit berjangkit seperti HIV yang tersebar melalui air liur penghidapnya. Kelihatan ia sangat menjijikkan namun bagi yang seronok dan ketagih menghisap pelbagai perisa shisa ia tidak diendahkan, dalam masa yang sama peniaga terlibat terus mengaut keuntungan daripada kealpaan orang lain.

Pihak kerajaan juga dicadangkan menyekat kemasukan peralatan shisa ke negara ini sambil mengkategorikannya sebagai barangan kawalan selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan untuk membendung aktiviti negatif ini daripada terus berkembang. Namun pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana mungkin ada yang berpendapat aktiviti pelancongan akan turut terjejas. Realitinya tanpa shisa pelancong asing tetap teruja bertandang ke sini bagi merasai sendiri pengalaman berada di sebuah negara Islam yang aman damai dengan penduduk berbilang bangsa sambil mempelajari budaya dan masyarakat setempat. Mereka juga terpaksa akur dengan jadual perjalanan yang ketat kerana terlalu banyak tempat menarik untuk dikunjungi sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang pasti menggamit kenangan. Malahan implikasi daripada larangan itu, fatwa yang sama kemungkinan turut diamalkan di negara mereka kerana menyedari keburukannya kepada ummah sejagat walaupun ia suatu budaya yang sukar dipisahkan.

Di sudut yang lain, golongan perokok juga dinasihatkan mengambil kesempatan berpuasa di siang hari Ramadan untuk sedikit demi sedikit berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya. Berbanding shisa fatwa pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan di Malaysia namun ia kurang memberi kesan kepada golongan terlibat. Malah pihak berwajib juga dicadangkan memperluaskan fatwa tersebut kepada rokok elektrik yang mudah diperoleh di mana-mana. Kajian mengenai mudaratnya kepada kesihatan juga hendaklah dilakukan sebagai usaha berterusan memastikan rakyat Malaysia bebas daripada asap rokok.

Ia kelihatan semarak dilakukan di mana-mana, sehingga terdapat golongan yang tanpa segan silu merokok dalam bulan puasa yang mulia. Perokok wanita juga semakin ramai ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan walaupun sedar implikasinya yang buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Larangan merokok di tempat awam turut tidak diendahkan seolah-olah mereka khayal dek ketagihan merokok yang membelenggu diri. Lebih buruk lagi apabila ada umat Islam yang berbuka puasa dengan menghisap rokok berbanding memakan kurma yang disunahkan.

Sehubungan dengan itu, usah menegakkan benang yang basah kerana diri sendiri yang akan merana. Isteri dan anak-anak akan turut merasai keperitannya apabila suami sebagai ketua keluarga menghidap pelbagai penyakit kronik seperti bronkitis, kanser kerongkong dan penyakit jantung akibat tabiat buruk merokok yang berpanjangan. Kemungkinan juga keluarga akan hilang tempat bergantung ketika anak-anak masih di bangku sekolah jika tindakan berhenti merokok tidak diambil segera. Usah pula marahkan anak-anak jika turut merokok di usia muda kerana bak kata pepatah bapa borek anak rintik.

Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini masyarakat Islam khususnya diseru berusaha bersungguh-sungguh untuk berhenti daripada segala perbuatan buruk yang membelenggu diri. Sesuatu perkara tidak diharamkan di sisi agama melainkan ia memberi implikasi yang negatif dan selayaknya dijauhi.

Monday, July 15, 2013

RUTIN IBADAH SEPANJANG RAMADAN

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun 2013.

RAMADAN ialah waktu paling sesuai untuk beramal. Masyarakat Islam diseru untuk melipatgandakan amal demi kebaikan diri sendiri. Apatah lagi sewaktu Iblis dibelenggu oleh Allah SWT dan waktu makan yang berkurangan daripada kebiasaan.
Untuk tujuan itu juga setiap individu Muslim perlu memenuhkan jadual harian Ramadan dengan pelbagai aktiviti ibadah sambil mengharap keredaan Nya. Ini boleh dimulakan dengan memasang niat untuk berpuasa pada setiap malam dan hendaklah dilafazkan sekurang-kurangnya sebelum terbit waktu fajar. Ini kerana puasa ketika Ramadan dikira sebagai ibadah yang berasingan dan berulang-ulang. Nabi SAW bersabda maksudnya, “Barang siapa yang tidak memasang niat pada waktu malam sebelum terbit fajar maka tiadalah puasa baginya”. (Riwayat al-DaruQutniy)

Ini kemudiannya diikuti dengan bersahur yang sunat muakkad untuk dilakukan. Amalan bersahur mampu memberi kekuatan dan tenaga kepada orang yang berpuasa hinggalah waktu berbuka. Oleh itu ia sunat dilambatkan berdasarkan riwayat yang bermaksud, “Dan bantulah puasa pada waktu siang hari dengan makanan ketika bersahur” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak). “Senantiasa umat ku dalam kebaikan selagi mereka mempercepatkan berbuka dan melambatkan bersahur” (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya).

Dengan melambatkan bersahur juga individu Muslim boleh mengambil kesempatan untuk dapat solat subuh berjemaah di surau dan masjid berdekatan yang kemungkinan jarang dapat dilakukan pada hari-hari biasa. Justeru waktu terluang sebelum azan berkumandang dapat digunakan untuk bersuci, berwuduk dan hadir awal beriktikaf di Rumah Allah. Yang mana beriktikaf di masjid turut merupakan perkara yang dituntut untuk diamalkan. Amalan tidur semula setelah bersahur adalah sesuatu yang tidak elok malah kemungkinan menyebabkan seseorang luput waktu solat subuh dan terlewat sampai ke tempat kerja.

Apabila mula bekerja berusahalah untuk bekerja dengan seikhlas hati, bersungguh-sungguh dan tidak curi tulang, kerana pekerjaan seharian apatah lagi mencari nafkah yang halal adalah sesuatu yang dituntut dalam agama dan boleh dinilai sebagai ibadah. Usah jadikan puasa sebagai alasan untuk tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan, kerana puasa sepatutnya menjadikan individu Muslim lebih produktif dan berdaya maju. Ketika berehat aktiviti mengumpat, memburukkan orang lain atau bersembang perkara yang laghah dan tidak bermanfaat hendaklah dijauhi kerana ia bakal menjejaskan pahala puasa sejak awal pagi lagi. Begitulah seterusnya hingga masuk waktu Zuhur dan waktu Asar, jika berkesempatan untuk solat berjemaah eloklah diusahakan jika tidak sembahyanglah secara bersendirian.

Setelah tamat bekerja pasti ramai yang berkunjung ke Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka. Mereka dinasihatkan agar tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja kerana dikhuatiri lebih banyak yang dibuang berbanding yang dimakan. almaklum ketika perut lapar segala yang dilihat berselera untuk dibeli. Tetapi apabila masuk waktu berbuka sedikit sahaja yang mampu ditelan sedangkan yang lain menjadi habuan tong sampah. Selain itu setiap Muslim harus menjaga pandangan dan segala pancaindera daripada berbuat dosa yang bakal mengurangkan pahala puasa.

Apabila masuk waktu berbuka hendaklah segera berbuka dengan membaca doa, dan sunat berbuka dengan tamar ataupun sesuatu yang manis-manis ataupun dengan segelas air. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya, “Bahawa Nabi SAW berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat, jika tiada dengan beberapa biji kurma kering jika tiada juga Baginda meminum air..” (Riwayat Tirmiziy dan Abu Daud)

Setelah selesai berbuka, bersegeralah untuk menunaikan solat fardu Maghrib. Dewasa ini ramai yang seronok berbuka di luar, namun diingatkan agar tidak lengah untuk bersolat kerana apalah ertinya berpuasa jika ibadah solat wajib terabai. Usah terlalu banyak makan kerana perbuatan ini akan menyebabkan kita malas dan terlepas kesempatan untuk solat tarawih dan ibadat yang lain.

Seusai solat Maghrib eloklah seisi keluarga bersiap sedia untuk mengikuti jadual Ramadan yang seterusnya iaitu Solat Isyak dan kemudian diikuti dengan Solat Tarawih dan Witir secara berjemaah. Bagi yang tiada aktiviti lain seusai bertarawih bolehlah mengambil kesempatan untuk bertadarus al-Quran. Malah inilah antara amalan mudah yang dilipatgandakan pahalanya di sisi Allah SWT.

Bagi yang ingin melipatgandakan lagi amal kebajikan bangunlah pula untuk bertahajud disepertiga malam, sambil berdoa dan berharap agar diampunkan segala dosa dan diperkenankan segala hajat.
Begitulah uniknya Ramadan yang tanpa disedari mempunyai jadual tersendiri yang telah diatur oleh Allah SWT. Persoalannya adakah setiap daripada kita mampu dan ingin berusaha untuk mengikuti jadual tersebut ataupun termasuk dalam golongan yang suka melanggar segala peraturan yang telah ditentukan oleh Nya. Pilihan terletak di tangan kita semua.

Sunday, July 14, 2013

Solat Tarawih dan penghinaan terhadap Islam

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 2013.

DALAM kesibukan melaksanakan tugasan harian, kaum Muslimin dinasihati mempertingkatkan amal ibadah termasuk menunaikan solat tarawih di malam-malam Ramadan. Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya melaksanakan qiam Ramadan tanpa menyuruh mereka dengan bersungguh sungguh (yakni tidak menunjukkan suatu perkara yang wajib), seraya bersabda; “Barang siapa melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda dan ganjaran Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Menurut buku Panduan Puasa Ramadan terbitan JAKIM, pendapat yang diamalkan dalam Mazhab Syafie’ ialah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat. Imam Nawawi juga pernah mengingatkan imam dan orang ramai supaya menyempurnakan kesemua tuntutan solat kerana ada segelintir yang mengabaikan zikir dan bacaan solat kemungkinan dengan alasan untuk bersegera menghabiskannya. Menurutnya lagi sebaiknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran dengan membaca satu juzuk untuk satu malam.

Selain itu umat Islam diharap tidak hanya semarak berbuat demikian di awal Ramadan, sehingga pengurusan masjid terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan semua jemaah selesa lalu segala tikar, karpet dan permaidani dikeluarkan dari pada stor simpanan. Namun setelah berlalu beberapa hari Ramadan rumah Allah mula sepi dan jemaah yang hadir turut berkurangan.

Mungkin ramai yang mula sibuk berbuka puasa di luar sambil mengambil kesempatan berbelanja dan membuat persiapan awal bertemu Syawal. Atau mungkin juga rahmat Allah SWT lebih banyak diberikan di awal Ramadan berbanding ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan api neraka yang dikhususkan untuk Mukmin terpilih sahaja.

Dalam pada itu amalan membawa juadah ringan seperti kuih muih untuk moreh seusai bertarawih elok diteruskan terutama oleh generasi masa kini. Amalan baik lagi terpuji seperti ini mampu mengimarahkan rumah Allah SWT sekali gus memupuk hubungan baik antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat. Untuk tidak membebankan, ia boleh dilakukan secara bergilir-gilir mengikut blok, lorong atau tingkat supaya semua merasai nikmat kemeriahan Ramadan.

Di sisi lain, bagi sebilangan masyarakat Islam, ketibaan Ramadan kali ini turut diwarnai dengan episod perang saudara, pergaduhan dan pertumpahan darah. Malah di Malaysia agama Islam yang suci juga turut menjadi mangsa penghinaan pihak tertentu yang kurang memahami nilai toleransi dan kebebasan beragama.
Hal ini dapat diperhatikan kepada saudara se Islam di Syria yang kini sudah lebih dua tahun dibelenggu dengan konflik untuk menjatuhkan pemerintahan Presiden Basyar al-Asad yang belum bersedia untuk melepaskan jawatannya. Kesannya umat Islam melarat dan merempat di Bulan Ramadan, dibunuh tanpa dosa, diperkosa dan diseksa tanpa belas kasihan. Situasi buruk ini seakan melarat pula ke Negara Mesir, apabila penyokong Presiden Mohamed Morsi dan Ikhwanul Muslimin Mesir terus berdemonstrasi walaupun dalam Bulan Ramadan bagi membantah penggulingannya oleh pihak tentera. Akibatnya ada yang ditembak ketika sedang bersolat dan ditembak dengan peluru hidup bagi menyuraikan demonstrasi jalanan. Ramai pula yang berbuka puasa di Dataran Tahrir sambil berharap pemerintahan Morsi dikembalikan. Terdapat juga umat Islam Rohingya yang terpaksa melalui Ramadan sebagai pelarian seperti di Thailand tanpa nikmat kebebasan yang sebenar.

Di negara kita pula isu penggunaan kalimah Allah yang suci masih lagi hangat dibicarakan. Terbaharu menurut laporan akhbar, Duta Vatican City, bertindak mencampuri urusan agama dan dalaman negara ini apabila menyokong penggunaan kalimah Allah oleh komuniti Kristian setempat. Malah terdapat pula individu yang mempersendakan umat Islam dan mencemari kesucian Ramadan dengan mempromosikan sup tulang babi sebagai menu berbuka puasa di laman media sosial dan turut mendapat kecaman pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti bukan Islam yang tidak senang dengan perlakuan tersebut.

Justeru itu, bilangan rakaat tarawih bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk memenuhi Ramadan dengan amal ibadah dan aktiviti berfaedah. Masyarakat Islam di negara ini juga sepatutnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang ada kerana dengan nikmat tersebut kita dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana aman dan harmoni berbanding di tempat yang lain. Nikmat yang begitu bernilai ini eloklah dipelihara agar generasi masa depan turut merasai nikmat Ramadan yang sama. Malahan kesempatan bebas beribadah termasuk bertarawih eloklah juga ditambah dengan memperbanyak doa agar masalah dalaman dan luaran yang membelenggu umat Islam masa kini diselesaikan oleh Nya lebih-lebih lagi dengan berkat Ramadan sebagai bulan dimakbulkan doa.


Thursday, July 11, 2013

Keistimewaan Bulan Ramadan

Artikel ini telah diterbitkan oleh Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2013.

KEISTIMEWAAN Bulan Ramadan berbanding bulan yang lain tidak disangkal lagi. Saban tahun golongan Mukmin yang sedar akan kelebihannya sentiasa menanti dan mendambakan kedatangan Ramadan. Justeru peluang ini hendaklah dimanfaatkan seraya diisi dengan nilai kehambaan dan ketaatan yang sebanyak-banyak.
Di bulan ini segala amalan wajib dilipatgandakan pahalanya manakala ibadah sunat akan dinilai seperti melakukan ibadah yang difardukan. Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya;

“Barangsiapa mendekekatkan dirinya kepada Allah degan suatu kebajikan di dalamnya (Bulan Ramadan), samalah dia seperti orang yang menunaikan satu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan satu fardu di Bulan Ramadan, samalah seperti orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Begitu pula ganjaran besar disediakan buat golongan yang ikhlas bersedekah dan menyediakan jamuan berbuka. Justeru elok juga sesekali beramal jariah dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk masyarakat setempat, sahabat handai malah anak yatim dan golongan memerlukan. Ataupun setidak-tidaknya hantarkanlah sedikit juadah yang dimasak ke rumah jiran demi meraih ganjaran yang disediakan. Baginda Nabi SAW pernah ditanya tentang sedekah yang paling afdal, lalu dijawab “Sedekah di Bulan Ramadan” (Riwayat al-Tirmiziy)

Keistimewaan Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT, ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Yang mana kesemua ini merupakan suatu lagi motivasi untuk Muslimin beramal ibadah sepanjang Ramadan.

Para Muslimin turut diseru untuk bertadarus al-Quran di masjid dan surau berhampiran. Amalan ini mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT. Ini dinyatakan dalam riwayat yang bermaksud; “Tidaklah berkumpul sesuatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya”. (Riwayat Abu Daud)

Ramadan juga merupakan bulan pengampunan dosa. memohon keampunan daripada Nya disamping bertaubat dan tidak lagi mengulangi segala kesilapan lalu. Diriwayatkan Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya; “Sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, Bulan Ramadan hingga Ramadan yang lain menjadi penebus dosa yang terjadi antara keduanya selagi seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Muslim).

Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam kemuliaan lailatulqadar yang diharapkan oleh Imam al-Syafi’y berlaku pada malam 21 atau 23 Ramadan. Oleh itu hendaklah setiap Muslimin berjihad bersungguh-sungguh mencari lailatulqadar sejak hari pertama Ramadan dengan bertarawih di setiap malam. Malah pahala beribadah yang lebih baik dari pada 1000 bulan itu bakal diraih oleh insan terpilih yang menumpukan sepenuh usaha dan tenaga untuk menemuinya.

Kemuncak daripada itu keistimewaan Ramadan terletak pada ibadah puasa itu sendiri. Ini kerana manusia sebagai hamba Allah sanggup menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang merosakkan puasa semata-mata kerana mentaati perintah Nya Nabi SAW bersabda maksudnya; “Demi Allah yang jiwa ku berada dalam genggamannya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada bau minyak kasturi”. Allah SWT berfirman maksudnya “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Puasa itu dilakukan kerana Aku, dan Akulah sendiri yang akan memberi balasannya”. (Riwayat Ahmad)

Tentu sahaja jika umat Islam benar-benar tahu segala kelebihan dan kemuliaan yang disediakan ketika Ramadan nescaya mereka pasti menginginkan agar Ramadan berlangsung sepanjang tahun. Oleh kerana itu jugalah tiada nikmat dan ganjaran yang paling berharga buat melainkan beroleh sifat takwa dan terpilih masuk Syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan yang dikhususkan bagi orang yang berpuasa. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya;

“Sesungguhnya pada Syurga itu ada sebuah pintu yang disebut al-Rayyan. Pada hari kiamat nanti yang akan masuk melaluinya ialah orang yang benar-benar berpuasa. Tidak ada golongan lain yang akan masuk melaluinya melainkan mereka. Akan dikatakan kepada mereka; Di manakah mereka yang benar-benar berpuasa (di dunia dahulu) ?. Maka mereka pun bangun. (Sekali lagi disebutkan) Tidak ada golongan lain yang akan masuk melaluinya melainkan mereka. Maka sesudah mereka memasukinya (pintu Syurga al-Rayyan), ia akan ditutup, maka seorang pun tidak dapat memasukinya setelah itu”. (Riwayat Bukhariy dan Muslim)

Andaikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan terakhir buat kita semua lalu segala usaha, tenaga, masa dan wang ringgit dipergunakan semaksimumnya untuk berbakti dan meningkatkan kualiti puasa tiada lain, demi mengharap maghfirat Nya.

Sunday, July 7, 2013

Persiapan Menyambut Ramadan

Artikel ini disiarkan di Ruangan Rencana AKhbar Utusan Malaysia bertarikh 8 Julai 2013.

BULAN Syaaban kini sudah hampir melabuhkan tirainya. Ini bermakna fajar Ramadan kembali menyingsing lagi dan umat Islam di serata pelosok dunia mula bersiap sedia untuk berpuasa di Bulan Ramadan. Justeru itu segala persiapan bagi menemuinya patut dimulakan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali lagi berlalu pergi, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan.

Justeru itu, umat Islam diseru melakukan yang terbaik bagi menghargai kesempatan terpilih bertemu Ramadan sekali lagi dengan secukupnya. Mukminin yang merindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT. Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan seikhlas jiwa dan raga.

Manakala bagi golongan yang alpa dan lalai, kedatangan Ramadan pasti meresahkan dan akan disambut dengan pelbagai alasan dan helah untuk tidak berpuasa. Kepada mereka diingatkan supaya bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan pada hari kemudian.
Setiap Muslim juga disarankan agar menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan mula berazam untuk menghindari diri daripada terlibat melakukan perkara keji dan mungkar selain bertekad dengan bersungguh-sungguh untuk mengimarahkan Ramadan dengan segala bentuk amalan kebajikan. Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan nilai ibadah di sisi Allah SWT hendaklah segera dijauhi. Sifat negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit hati yang perlu dijauhi.

Selain itu pekerjaan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga bertepatan dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh pelbagai ganjaran di Bulan Ramadan.

Adalah tidak molek jika matlamat dan tujuan berpuasa yang tiba setahun sekali diarahkan semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiapan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadan di depan mata terabai dan tidak dipedulikan. Malah kecenderungan seperti itu elok diganti dengan membuat persiapan menyambut Ramadan dengan berpakaian serba baharu, menghias rumah dengan langsir baharu dengan niat serta tekad yang baharu. Ini selari dengan perintah Allah SWT supaya Syurga dihias dan dicantikkan bagi menyambut Ramadan al Mubarak.

Bagi meraih bonus berlipat kali ganda dan yang tidak ternilai sewaktu Ramadan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material juga perlu diusahakan. Individu Muslim disarankan menjaga kesihatan tubuh badan, bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dengan berlebih-lebihan serta keinginan lain yang boleh menjejaskan kesempurnaan berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia daripada aspek kewangan dan material untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya yang bermaksud; “Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka”.

Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan segala kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar semua beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka di sepanjang Ramadan. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang kurang berfaedah lagi berdosa.

Di sudut pandang yang berbeza, terdapat segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa yang cukup luas dan menyeluruh itu kurang difahami. Ini kerana selain makan dan minum s,eluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa ketika berpuasa.

Ramadan yang tiba setahun sekali turut menjanjikan kenikmatan bertemu malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh. Setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada Nya.

Individu Muslim di saran untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus dan khususul khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membatasi puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Di samping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan. Apalah ertinya seseorang berpuasa jika hanya tak makan dan tak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Setiap individu Muslim perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan;
“Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)