Saturday, September 26, 2009

KE MANA DUIT RAYA DIHABISKAN

AMALAN memberi sumbangan duit raya kepada kanak-kanak setiap kali musim perayaan telah menjadi tradisi turun-temurun masyarakat 1 Malaysia. Ia amalan mulia yang menjurus kepada galakan untuk bersedekah dan saling bantu-membantu terutama kepada golongan daif dan kurang berkemampuan. Sebut sahaja hari raya pasti kanak-kanak yang paling gembira, kerana berpeluang mengumpul duit raya.

Namun sedarkah kita, sebanyak kira-kira RM 9 juta dibelanjakan untuk pemberian duit raya, jika dikira purata setiap orang memberikan sebanyak RM 1 kepada kanak-kanak yang berumur antara 1-14 tahun. Ini berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Negara, yang menyatakan terdapat kira-kira 8.7 juta kanak-kanak berumur antara 1-14 tahun direkodkan pada tahun 2007. Jumlah itu pasti meningkat kepada puluhan juta ringgit jika lebih ramai yang memberi dengan jumlah wang yang lebih besar.

Persoalannya, ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan. Adakah dihabiskan untuk berseronok dengan permainan video di cybercafé, membeli mercun, bunga api dan lain-lain yang tidak bermanfaat, atau digunakan untuk keperluan sekolah dan tabungan masa hadapan.

Justeru ibubapa, sewajarnya mengambil langkah proaktif menguruskan duit raya anak-anak dengan berhemah. Mungkin sebahagiannya boleh disimpan dalam akaun bank, atau bagi orang Islam disimpan dalam akaun Tabung Haji bagi menunaikan kewajipan haji apabila berkemampuan. Bagi yang bijak mengurus wang ia juga boleh dilaburkan dalam akaun amanah saham untuk mendapat pulangan yang lebih lumayan.

Kegagalan menguruskan duit raya dengan bijaksana menyebabkan matlamat untuk membantu golongan kanak-kanak yang kurang berkemampuan tidak tercapai. Malah, bantuan yang diperolehi terhad hanya untuk jangkamasa tertentu sahaja, kerana telah dihabiskan sebaik wang diterima oleh kanak-kanak tersebut.

Tindakan sesetengah ibubapa yang mempergunakan duit raya anak-anak untuk tujuan lain seperti membayar hutang kad kredit juga boleh dipersoalkan kerana telah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.

Oleh itu, ibubapa sewajarnya tidak mengambil kesempatan daripada budaya memberi duit raya dengan menghabiskan wang itu, bukan untuk keperluan anak-anak. Sebaliknya mereka diseru agar belajar menguruskan wang dengan baik, tanpa terlalu boros berbelanja dan membazir melebihi kemampuan yang ada.

Para penyumbang duit raya juga diingatkan agar sentiasa ikhlas ketika menghulurkan sumbangan, agar pengorbanan wang ringgit yang dilakukan diterima dengan sempurna. Elakkan daripada menunjuk-nunjuk yang boleh menghilangkan pahala sedekah. Disamping itu pemberian duit raya boleh juga diperluaskan kepada fakir-miskin, ibu tunggal dan orang tua yang lebih memerlukan berbanding kanak-kanak yang masih di bawah tanggungan.

Malah, adalah baik jika amalan ini dilakukan secara berterusan, demi manfaat ummah secara kolektif. Badan-badan kebajikan, rumah anak yatim dan rumah orang tua misalnya memerlukan bantuan sepanjang tahun demi untuk meneruskan suvival kehidupan.
Begitu pula masjid dan surau, juga sentiasa mengharapkan sumbangan orang ramai dalam menjalankan aktiviti ibadah dan kemasyarakatan. Amalan marhaban dari rumah ke rumah dilihat sebagai contoh terbaik pelaksanaan amalan ini. Disamping menghulurkan infaq untuk kebajikan ummah, masyarakat setempat dapat mempereratkan hubungan silaturrahim melalui aktiviti ziarah rumah ke rumah.

Sehubungan dengan itu, umat Islam seharusnya peka dengan keperluan-keperluan ini agar golongan yang memerlukan turut sama bergembira di musim perayaan ini.

Monday, September 21, 2009

AKHIRNYA RAMADAN PERGI JUA

SETELAH hampir sebulan berpuasa kini umat Islam bergembira, saat tibanya hari raya. Manakala Ramadan pergi jua, dengan meninggalkan seribu kenangan dan pengajaran buat insan yang berjaya melalui ujian puasa dengan sempurna.

Tentunya, keriuhan ketika berbuka dan bersahur, keterujaan menanti azan Maghrib menandakan waktu berbuka akan tinggal kenangan. Malah agenda solat tarawih mahupun qiamullail juga sirna dalam diari kebanyakan orang Islam. Masjid-masjid akan kembali sunyi dengan perginya bulan mulia ini.

Namun harapan tinggi menggunung, disandarkan ke Hadrat Allah SWT agar segala kurnia berupa rahmat, pengampunan dosa, pembebasan api neraka, perkenan doa dan pahala beribadah di malam lailatulqadar diraih golongan yang menang dalam mengharungi jihad Ramadan.

Selain itu, terlalu banyak pengajaran boleh diperolehi daripada pendidikan Ramadan. Umpamanya umat Islam dididik supaya sentiasa menepati masa melalui amalan berbuka dan bersahur. Kepentingan menghargai masa ini, boleh diaplikasikan dengan sentiasa solat pada waktunya. Ramadan turut mengajar bagaimana, ibadat penting dalam kehidupan Muslim. Justeru, segala amalan mulia yang telah dipraktikan seharusnya menjadi rutin harian sepanjang tahun dengan penambahan aspek kesempurnaan ketika beribadah.

Amalan berdoa yang sinonim dengan Ramadan dan merupakan senjata Mukmin, wajar dipergiatkan lagi. Terutama, disepertiga malam sambil diringi ibadah qiamullail. Kerana di waktu itu setiap hamba boleh mengajukan permohonan dan bermunajat kepada-Nya.

Begitu pula, perbuatan buruk yang merosakkan pahala puasa seperti mengumpat, mengeji orang, banyak makan, banyak tidur dan melakukan perkara tidak berfaedah elok dihentikan. Ini kerana, jika setiap pengajaran Ramadan, boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian, bermakna individu terbabit telah beroleh sifat takwa sebagai balasan yang dijanjikan Tuhan.

Ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud “ Wahai orang-orang yang beriman di fardukan keatas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu, semoga kamu bertakwa”. (Surah Al-Baqarah:183)

Kini, Syawal pula kunjung tiba. Keceriaan menyambut Syawal jelas tergambar dengan persiapan kuih-muih, pakaian baharu dan perancangan untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Maha benar hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan “Bagi orang yang berpuasa dikurniakan 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berhari raya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya”.

Sehubungan itu, Syawal wajib disambut dengan amalan berteraskan syariat, jauh daripada perlakuan dosa dan maksiat yang terlarang. Apatah lagi ketika itu, syaitan baharu sahaja bebas daripada dibelenggu. Tentunya ia kesempatan untuk kembali aktif, menggangu individu lemah iman dan gagal melalui Ramadan dengan cemerlang.

Bagi orang Mukmin, inilah masa untuk merealisasikan pendidikan Ramadan dalam realiti kehidupan sebenar. Perlu difahami, Syawal bukan kesempatan untuk menqada’ dosa yang berhenti dilakukan sebulan lalu. Malah perjuangan selepas ini, ternyata sukar kerana berhadapan dua musuh dalam satu masa; iaitu Iblis dan nafsu diri sendiri.

Menjelang 1 Syawal, pertolongan Allah SWT sangat diperlukan bagi membantu menjalani kehidupan dengan berpandukan syariat, melalui doa dan memohon bantuan dair-Nya.

Disamping itu bagi yang belum menunaikan kewajipan zakat, tempoh masa sehingga menjelang solat sunat hari raya masih boleh dimanfaatkan. Hulurkanlah bantuan ikhlas kepada yang memerlukan selaras dengan tuntutan melaksanakan zakat yang difardukan.

Aktiviti shopping sakan yang telah menjadi tradisi sesetengah masyarakat elok dikikis menerusi budaya berhemah ketika berbelanja. Beli yang patut dan perlu serta elakkan berhutang semata-mata untuk bergaya. Ungkapan biar papa asal bergaya tidak patut menjadi amalan kerana bersalahan dengan prinsip Islam yang menganjurkan kesederhanaan dalam semua hal. Malah yang patut difikirkan, keperluan menjelang sesi persekolahan anak-anak yang baharu dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

Setiap individu Muslim juga perlu mempastikan, pakaian hari raya yang dibeli adalah yang patuh syariah, tidak terlalu ketat ataupun mendedahkan bahagian tubuh yang dilarang. Jangan alasan bergaya, kewajipan menutup aurat diabaikan. Hayatilah pengajaran Ramadan yang mendidik supaya sentiasa mengikut peraturan sepanjang masa. Ketahuilah, Syawal bukan bulan memperagakan berbagai fesyen pakaian, lalu mengundang sifat mazmumah seperti ego dan bangga diri. Tiada guna bersusah-payah melakukan ketaatan selama sebulan, kemudian dirosakan dalam tempoh sehari.

Sempena I Syawal pula, masyarakat Islam diseru menyemarakkan lagi budaya kunjung mengunjung yang dapat mempereratkan hubungan silaturrahim. Sifat mulia saling memaafkan dan menerima kekurangan orang lain adalah intipati daripada nilai persaudaraan Islam yang perlu dipelihara.

Allah SWT berfirman yang ertinya “Sesungguhnya setiap orang Mukmin adalah bersaudara maka perelokkanlah hubungan persaudaraan sesama kamu” . (Surah al-Hujurat:10)

Dewasa ini, berlaku semacam trend di kalangan masyarakat Islam, yang lebih suka berhari raya di hadapan televisyen dengan berbagai hidangan rancangan hiburan berbanding menziarahi sanak-saudara. Dibimbangi budaya ini jika dibiarkan akan menular dalam masyarakat sehingga akhirnya amalan saling mengunjungi tidak lagi dipraktikkan terutama oleh generasi muda.

Sepatutnya kesempatan hari cuti sempena ketibaan hari raya dipenuhi dengan aktiviti ziarah untuk saling mengenali kaum-kerabat dan jiran tetangga sehingga berhasil mempertaut hubungan silaturrahim sesama manusia.

Walaupun demikian keseronokan berhari raya diharap tidak menyebabkan tanggungjawab utama seperti solat dilupakan. Kerana ia tugas utama yang tidak boleh diabaikan dalam apa jua situasi.

Selain itu, berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal sangat digalakkan kepada individu Muslim. Mereka yang melaksanakannya bakal beroleh ganjaran pahala puasa setahun, sebagaimana dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah puasanya itu seperti puasa sepanjang setahun”. ( Hadis Riwayat Muslim).

Ketetapan ini berdasarkan perkiraan jika setiap amalan kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Bermakna dengan berpuasa sebulan, sebanyak 300 kebajikan telah diperolehi kemudian ditambah lagi enam hari di bulan Syawal, maka genaplah seperti berpuasa 360 hari, iaitu kira-kira setahun.

Akhirnya, hayatilah pemergian Ramadan dengan ketakwaan dan sambutlah ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran. Selamat Hari Raya Aidilfitri,maaf zahir dan batin diucapkan kepada semua pengunjung yang sudi melayari blog ini.

Semoga ramadan yang pergi meninggalkan kesan dalam diri
Untuk menjadi Muslim sejati, sambil berharap kejayaan hakiki
Makan ketupat hati-hati takut tersedak merana diri
Salam lebaran dari kami mohon ampun sepuluh jari

Tuesday, September 15, 2009


Semalam berlangsung majlis buka puasa dan tazkirah Ramadan anjuran Johor Land Berhad di Kompleks Mutiara Bandar Dato Onn Johor Bahru. Ini majlis penutup sesi tazkirah Ramadan yang saya kendalikan setiap hari Rabu sejak awal Ramadan lalu. Dalam program ini saya telah menyampaikan ceramah bertajuk Akhirnya Ramadan Pergi Jua, dan menjadi imam solat Asar hingga Tarawih.

Jamuan buka puasa yang disediakan nasi beriyani tanam dan gulai kambing serta lauk pauk yang lain. Rasa bertuah juga dapat makan bersama orang besar-besar Johor Land. Disebelah kiri saya A.F.M Shafiqul Hafiz sebagai Managing Director dan disebelah kanan pula ialah Tuan Hj. Lukman bin Hj Abu Bakar mantan YDP Majlis Perbandaran Pasir Gudang. Manakala yang lain En. Mohd Razif Ab. Rahim selaku General Manager (Bandar Dato' Onn Division) dan En. Seth Jamaluddin selaku Deputy General
Manager (Marketing Department)

Saya juga telah dijemput untuk meneruskan sesi tazkirah mingguan kepada staf Johor Land selepas Ramadan. Alhamdulillah semoga dapat menyumbang kepada penyebaran ilmu dan dakwah semata-mata kerana Allah SWT

Monday, September 7, 2009

UPSR 5A DAN PAHALA 1000 BULAN

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 11 Sept. 2009 dengan tajuk Hindari Sifat Hipokrit Dalam Melaksanakan Pelbagai Ketaatan

KEBIMBANGAN jelas terpancar di wajah pelajar-pelajar yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sesi ini. Peperiksaan ini, boleh berubah menjadi igauan negeri buat mereka apabila gagal meraih apa yang dicita-citakan. Perasaan rendah diri, malu pasti akan menyelubungi diri, jika gagal menguruskan kegagalan dengan bijaksana.

Malahan ibubapa juga kelihatan risau memikirkan tentang masa depan anak-anak. Setelah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk membeli buku rujukan, membayar yuran tuisyen, berkorban masa dan tenaga pasti yang diharapkan ialah kejayaan mendapat keputusan 5A.

Namun perlu diingat kejayaan yang sebenar bukan terletak pada cemerlang ujian dunia yang sementara. Ia hanya mekanisme untuk mencapai kejayaan hakiki di negeri akhirat yang kekal abadi. Jangan pula kegagalan dianggap penghujung kepada karier sehingga apabila tidak mendapat 5A sifat putus asa dan merasa terpinggir membelenggu diri.

Ibubapa yang dahulunya, menggantungkan seluruh harapan kepada Allah SWT melalui amalan solat hajat, qiamullail, sering ke masjid, banyak bersedekah jadi sebaliknya kerana berputus asa daripada rahmat Allah kerana tidak memperkenankan doanya. Lebih menghairankan, terdapat yang lain, kembali malas, lemah iman dan amal walaupun telah dikurniakan kcemerlangan yang diharapkan.

Sayugia difahami itu bukan sifat mukmin sejati. Hindari bersikap munafik dengan ingat Allah ketika susah, kemudian lupa kepadaNya apabila kembali senang. Allah SWT berfirman yang ertinya “ Dan apabila mereka dilambung ombak yang tinggi seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya. Maka tatkala Allah meyelamatkan mereka sampai ke daratan, lalu sebahagian mereka tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat kami selain orang yang tidak setia lagi ingkar”. (Surah Luqman:ayat 32)

Kembalilah kepada berpegang dengan aqidah yang benar, di mana semua yang berlaku adalah qada qadar ketentuan Yang Maha Esa. Sudah tentu ada hikmah yang tersirat sama ada disebalik kejayaan mahupun kegagalan yang menimpa.

Untuk itu, golongan pelajar dan para ibubapa perlu memperbetulkan niat dan hala tuju pendidikan, berdasarkan matlamat akhir mencapai al-falah. Apa guna jika berjaya mendapat keputusan 5A, tetapi gagal melaksanakan perintah solat, puasa, tutup aurat dan kewajipan agama yang lain.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya” Barangsiapa yang inginkan dunia maka hendaklah dengan ilmu, barangsiapa yang mendambakan akhirat hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang inginkan dunia dan akhirat hendaklah juga dengan ilmu.

Pada situasi yang lain, kini umat Islam di waktu paling kritikal menjelang 10 hari terakhir, bulan Ramadan. Khususnya bagi yang peka dengan ganjaran pengampunan dosa dan pahala menyamai 1000 bulan yang ada pada tempoh terhad. Ini kerana ramadan yang pergi tak akan kembali lagi, dan belum tentu kenikmatan berpuasa dan beribadah seperti ini akan diperolehi lagi.

Sehubungan dengan itu, setiap mukmin perlu mempersiap diri dengan mengikhlaskan niat, berdoa dan melipatgandakan amalan supaya berjaya bertemu lailatulqadar. Iaitu malam kemuliaan dengan kehadiran rombongan malaikat, diketuai oleh Malaikat Jibril AS, mendoakan kesejahteraan ahli ibadah, disamping janji benar Allah SWT, terhadap pengampunan dosa.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Barangsiapa yang mendirikan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan keinsafan, diampunkan dosa-dosa yang lalu dan yang mendatang.

Peluang keemasan ini, tidak patut dibiarkan berlalu tanpa berusaha mendapatkannya. Ia boleh diusahakan dengan jihad puasa di siang hari dan dan menghidupkan malam dengan ibadah terutama hari ke-10 yang akhir Ramadan.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bererti “ Carilah lailatulqadar pada sepuluh yang akhir daripada Ramadan, sekiranya kamu tertewas sebelum itu, maka janganlah lagi gagal pada saki baki bulan tersebut.

Banyak hikmah daripada disembunyikan lalilatulqadar antaranya supaya umat Islam memperuntukkan sebanyak masa yang ada dalam beribadah. Sama seperti mati yang dirahsiakan agar manusia takut dan bersedia menghadapi saat getir itu. Selain itu, Lailatulqadar hadiah istimewa Ramadan buat insan pilihan, sehingga setiap hamba berusaha menempatkan diri dalam kelompok itu.

Adapun tanda-tandanya agak sukar ditentukan seperti bulan terang benderang, malamnya hening, tak terlalu panas dan sejuk, matahari yang terbit diwaktu pagi berwarna putih tanpa sinaran yang membakar. Sebahagian ulama beranggapan, terdapat tanda berupa karamah, perkara luar biasa yang ditunjukkan kepada para wali dan hamba yang dekat kepadaNya. Misalnya kelihatan semua makhluk sujud menyembah bumi dan cahaya berkilauan diserata tempat walaupun dikawasan yang gelap.

Namun demikian, tidak bermakna kegagalan mengenalpasti ketibaan lailatulqadar menyebabkan seseorang terlepas ganjaran seumur hidup. Rahmat Allah amat luas, sehingga kepada sesiapa sahaja yang bertepatan beribadah pada malam itu sekalipun tidak mengetahui saat ia berlangsung.

Justeru itu, waktu akhir menjelang perginya Ramadan perlu diisi dengan sepenuh ketaatan agar dikurniakan ganjaran takwa sebagai bukti kejayaan individu Muslim mengharungi ujian getir, sebulan berpuasa. Keghairahan membuat persiapan hari raya perlu diseimbangkan dengan berbuat amal kebajikan untuk memperolehi kejayaan hakiki kurniaan ilahi.

Sunday, September 6, 2009

LAKSANAKAN SISTEM 4 M TERHADAP AL-QURAN

Artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 24hb. Sept. 2009

KEHEBATAN al-Quran tidak dapat ditandingi sejak zaman berzaman. Ia kekal sebagai mukjizat al-khalidah, panduan untuk umat manusia dunia dan akhirat. Setiap kali dibaca dan dikaji pasti akan ditemui perkara baharu yang menakjubkan. Pengajarannya pula menjangkaui sempadan masa, bangsa dan geografi negara.

Setiap individu Muslim wajib beriman dengan al-Quran sebagai Kalam Allah yang diturunkan melalui Malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW secara mutawatir dan tidak boleh dipertikaikan. Sesiapa yang mengingkari walaupun satu huruf daripadanya, boleh dianggap terkeluar daripada ajaran Islam.

Namun, kehebatan itu tiada erti jika tidak ditunaikan tanggungjawabnya. Perlu juga diingat, al-Quran bukan sekadar penghias dinding rumah, gedung perniagaan dan pejabat. Al-Quran juga bukan tangkal yang digantung di leher ataupun azimat pelaris perniagaan. Al-Quran perlu dibaca dan dipraktikkan pedomannya. Untuk itu, beberapa perkara perlu dilakukan untuk sampai kepada hakikat beriman dengan sempurna.

Memiliki Naskhah al-Quran
Mungkin ramai yang menyangka ini perkara simple yang tidak perlu dibicarakan, hakikatnya ia wajib dimiliki sebagai langkah awal melaksanakan tanggungjawab yang lain. Malahan jika dilakukan bancian, belum tentu setiap keluarga Islam memiliki minimum, senaskhah al-Quran di rumah mereka.

Terkadang ada pula, yang lebih rela berhabis melanggan majalah kegemaran setiap bulan daripada membeli naskhah al-Quran yang tak lekang dek hujan tak lapuk ditelan zaman. Tentunya ia sesuatu yang memeranjatkan dan boleh jadi, punca berlaku berbagai gejala tidak bermoral dikalangan masyarakat yang tidak berpenghujung.

Membaca al-Quran Sebagai Rutin Harian
Benar, al-Quran kitab petunjuk kepada umat manusia, tetapi jika tidak dibaca, ia tidak mendatangkan sebarang manfaat. Oleh itu, al-Quran seharusnya dibaca sebagai rutin harian dan tidak hanya terhad di waktu tertentu seperti bulan Ramadan dan majlis khatam al-Quran ketika hari pernikahan. Ini berikutan ganjaran besar dan tidak ternilai dikurniakan kepada pembacanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bererti “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran akan memperoleh satu kebajikan, dan satu kebajikan itu dilipatgandakan oleh Allah menjadi sepuluh kebajikan. (Hadis riwayat al-Tirmiziy)

Dalam hadis yang lain pula disebutkan “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya”.

Para ibubapa juga, dinasihatkan agar menyediakan anak-anak dengan pendidikan al-Quran yang sempurna. Jangan lokek untuk mengeluarkan kos bayaran saguhati kepada guru al-Quran dan dalam masa yang sama sanggup berbelanja puluhan ringgit untuk yuran tuisyen, belajar lukisan dan muzik. Adalah menjadi amanah untuk ibubapa menyediakan pendidikan dunia dan akhirat kepada anak-anak supaya mereka beroleh kebahagiaan sejati.

Golongan dewasa yang tidak tahu mengaji, juga dinasihatkan jangan malu untuk belajar mengaji. Ini bukan malu yang dituntut disisi agama. Malahan dengan segala kemudahan yang ada, seseorang boleh sahaja menjemput guru al-Quran di rumah dan kesempatan itu boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga.

Memahami Isi Kandungan al-Quran
Sedia diketahui, seseorang tetap diberi pahala kerana membaca al-Quran walaupun tidak mengerti apa yang dibaca. Itulah keunikan al-Quran. Walau bagaimanapun tuntutan membaca boleh diperluaskan lagi dengan memahami terjemahannya. Tidak dipertikaikan, ramai yang berjaya khatam al-Quran berulang-ulang kali, malangnya sukar ditemui yang berhasil khatam dengan maknanya walau sekali seumur hidup.
Perhatikan Surah Yassin, yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu. Boleh dikatakan hidup dan mati dengan Surah Yassin, tetapi tak ramai yang tahu apa yang disebut, walaupun majoriti dihafaz ayat-ayatnya kerana telah biasa dibaca. Untuk itu, membaca dengan terjemahan perlu menjadi budaya masyarakat, sehingga melahirkan generasi celik dan faham al-Quran.

Langkah Kerajaan Negeri Johor misalnya, melaksanakan program membudayakan al-Quran di masjid-masjid dan jabatan kerajaan setiap pagi Jumaat adalah contoh terbaik yang wajar diteruskan dan dicontohi. Melalui program itu sekurang-kurangnya setiap kakitangan membaca al-Quran seminggu sekali, disamping berpeluang menambah pengetahuan tentang al-Quran melalui tazkirah yang disampaikan.

Melestarikan Pendidikan al-Quran Dalam Kehidupan
Ia merupakan tujuan utama penurunan al-Quran. Dengan ayat Makkiyah (yang turun di Mekah) berjumlah 4726 ayat dan ayat Madaniyah (yang turun di Madinah) berjumlah 1510 ayat , ia sarat dengan pelbagai perkara untuk memandu kehidupan manusia ke jalan yang benar. Di dalamnya terdapat ayat perintah dan larangan, pemberitaan tentang perkara ghaib, kejadian yang menimpa umat-umat terdahulu, juga perihal syurga dan neraka. Semuanya mengajak manusia untuk beriman dan beramal dengan al-Quran secara keseluruhan.

Untuk itu masyarakat Islam dinasihatkan agar tidak hanya memperingati peristiwa Nuzul al-Quran yang jatuhnya pada 17 Ramadan sebagai peringatan tahunan yang mesti diadakan.

Yang lebih penting ialah iltizam untuk menghayati segenap isi kandungan al-Quran dan memrealisasikannya dalam setiap gerak kerja, Natijahnya umat Islam berjaya mengharungi selok-belok kehidupan dunia yang penuh pancaroba. Kealpaan melestarikan tuntutan itu, dikhuatiri mengundang malapetaka kepada agama, bangsa dan negara.
Nabi Muhammad SAW bersabda “ Ramai yang membaca al-Quran tetapi al-Quran pula melaknatnya”. Ini terjadi kerana sikap sambil lewa, dan tidak menunaikan tanggungjawab sepatutnya terhadap isi kandungan al-Quran.

Malah untuk menempa kejayaan, pegangan mantap terhadap al-Quran mesti disemat dalam hati sanubari orang Mukmin. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bererti“Aku tinggalkan bagi kamu 2 perkara, jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya”.

Sayugianya, sempena memperingati peristiwa bersejarah ini, masyarakat Islam diseru menilai semula penghayatan mereka terhadap kitab suci al-Quran, agar sentiasa terdidik dengan peraturan ilahi.

Thursday, September 3, 2009

KAEDAH HUKUMAN SEBAT IKUT SYARAK

Adaptasi daripada rencana tulisan ABU SUFFIAN ABU YAZIZ, (Setiausaha Persatuan Pegawai Syariah Malaysia ) dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4hb sept. 2009

SEBAT adalah satu bentuk hukuman dalam perundangan Islam yang bertujuan memberi pengajaran kepada penerima hukuman dan orang yang melihatnya. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina.

Merujuk kepada rencana bertajuk "Kaedah hukuman sebat di Mahkamah Syariah" oleh Datuk Muhammad Asri Abdullah di dalam Jurnal Hukum JLD. XXII BHG. 1 ( 1427 H) September 2006), pelaksanaan hukuman sebat di Malaysia diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri.

Peruntukan-peruntukan tersebut antaranya ialah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 125; Enakmen Acara Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, Seksyen 125.

Selain itu, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 125; Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Pahang) 2002, Seksyen 125 dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 125.

Di bawah Seksyen 125 dan 126 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560), diperuntukkan kaedah dan masa pelaksanaan hukuman sebat seperti berikut:

Seksyen 125 - Hukuman sebat

1. Peruntukan seksyen ini dan seksyen 126 hendaklah terpakai apabila tertuduh dihukum sebat.

2. Alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

3. Peruntukan yang berikut hendaklah diikuti apabila melaksanakan hukuman sebat iaitu:

a) Sebelum dilaksanakan, pesalah mesti diperiksa oleh seorang pegawai perubatan kerajaan untuk diperakui bahawa kesihatannya dalam keadaan baik untuk menjalani hukuman itu.

b) Jika pesalah sedang hamil, hukuman hendaklah ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas melahirkan atau keguguran, mengikut mana-mana yang berkenaan.

c) Hukuman hendaklah dilaksanakan di depan seorang pegawai perubatan kerajaan di mana-mana tempat sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah atau di suatu tempat yang ditetapkan oleh kerajaan.

d) Orang yang dilantik untuk melaksanakan hukuman hendaklah "adil dan matang".

e) Orang itu hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

f) Selepas satu sebatan, dia hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.

g) Sebatan boleh dibuat ke seluruh bahagian tubuh kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit.

h) Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum syarak.

i) Jika pesalah itu lelaki, sebatan hendaklah dibuat dalam keadaan dia berdiri dan bagi perempuan, dalam keadaan duduk.

j) Jika semasa pelaksanaan hukuman sebat itu pegawai perubatan kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, ia hendaklah ditangguhkan sehingga diperakui semula tubuhnya sihat.

4. Dalam hal pesalah dihukum sebat sahaja, maka dia hendaklah diperlakukan seolah-olah dia dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga hukuman itu dilaksanakan.

5. Jika pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu - oleh sebab umur tua (lebih 50 tahun), keuzuran atau apa-apa sebab lain - tidak dapat menjalani hukuman pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujuk kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksana mengikut cara yang difikirkan munasabah.

Seksyen 126 - Masa melaksana hukuman

Apabila tertuduh dihukum sebat sebagai tambahan kepada penjara, hukuman sebat itu tidak boleh dikenakan jika suatu rayuan dibuat dan sehingga hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Sebatan itu hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik dan dalam hal suatu rayuan, dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah Mahkamah Rayuan.

Kaedah pelaksanaan yang diperuntukkan sebenarnya tidak bertentangan dengan hukum syarak yang turut memberi panduan cara pelaksanaannya.

Jika menggunakan rotan atau ranting kayu, ia hendaklah dalam bentuk sederhana ukurannya. Tidak terlalu muda dan tidak terlalu tua, tidak berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya.

Ia amat penting supaya ia tidak boleh mencedera atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah.

Ini kerana hukuman tersebut bukan bertujuan mencederakan pesalah tetapi mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya. Ia selaras dengan hadis riwayat Malik dari Zaid bin Aslam. "Seorang lelaki mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW. Baginda meminta sebatang tongkat untuk menyebat lelaki itu. Apabila tongkat diberi kepadanya, Baginda mendapati ia telah pecah-pecah, lalu Baginda meminta tongkat lain.

Apabila yang kedua dibawa kepadanya, tongkat itu dibuat daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah menolaknya lagi dan meminta tongkat lain. Akhirnya diberi kepada Baginda tongkat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan supaya disebat tongkat itu.

Ketika melaksanakan hukuman sebat, cara sebatan hendaklah secara sederhana. Si pelaksana tidak boleh mengangkat tangan hingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkataan, tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga sampai kepada matlamat dan tujuannya.

Saidina Umar al-Khattab r.a pernah menghukum sebat seorang pesalah di zamannya. Beliau berkata kepada tukang sebat: "Sebatlah dia dan jangan diangkat tanganmu sehingga ternampak ketiak."

Ketika Umar melihat pukulan agak kuat daripada sepatutnya, beliau berkata: "Kamu tidak menghukum tetapi membunuhnya.''

Mengenai bahagian yang disebat, Imam Syafie berpendapat, pukulan hendaklah ditujukan kepada pelbagai anggota tetapi hendaklah menjauhi faraj, rusuk dan semua anggota yang ditakuti membahayakan orang yang disebat.

Ia berdasarkan riwayat Umar al-Khattab bahawa beliau menemui seorang jariah yang sedang dilakukan hadd ke atasnya, lalu beliau berkata maksudnya: "Kamu pergilah kepadanya, pukullah dan janganlah sampai mengoyakkan kulitnya."

Ini kerana maksud daripada hukuman sebat itu adalah mencegah tanpa bertujuan membunuh pesalah.

Ketika disebab, pesalah mesti memakai pakaian menutup aurat. Jika memakai pakaian tebal, hendaklah diganti dengan yang sederhana kerana dibimbangi pukulan tidak dirasai oleh pesalah. Ini berdasarkan riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak ada pada umat ini, perebahan, pembogelan, pembelengguan dan pengikatan."

Bagi pesalah hamil, hukuman mesti dilakukan dua bulan selepas melahirkan. Jika dia masih sakit, pelaksanaan mesti ditangguhkan sehingga betul-betul sihat.

Jika penyakitnya tiada harapan sembuh, hukuman hendaklah dijalankan serta-merta dengan syarat, rotan tidak akan mencederakannya.

Diriwayatkan Rasulullah pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang tenat dengan hanya satu pukulan menggunakan seratus mayang tamar yang diikat. Lelaki itu telah berzina dan sepatutnya disebat 100 kali.

Hukuman sebat juga hendaklah dilaksanakan pada masa dan keadaan yang sesuai iaitu tidak dalam cuaca yang sangat panas atau sejuk kerana boleh membawa kemudaratan.

Pelaksanaannya pula hendaklah di depan sekumpulan orang mukmin. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nur ayat 2: "Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman."

Sementara itu, kertas kerja bertajuk "Peranan institusi penjara dalam pelaksanaan hukuman sebat bagi kes jenayah syariah: satu pandangan" oleh Masran Muhamad pula membezakan hukuman sebat antara pesalah jenayah dan syariah.

1. Saiz Rotan

Bagi pesalah jenayah panjang rotan tidak dinyatakan tetapi bergaris pusat 1.25 sentimeter. Sementara pesalah jenayah syariah pula ialah panjang 1.22 meter dan bergaris pusat 1.25 sentimeter.

2. Pemeriksaan Kesihatan

Bagi pesalah jenayah, pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh mana-mana pegawai perubatan, manakala jenayah syariah oleh pegawai perubatan beragama Islam.

3. Pelaksanaan Hukuman

Bagi pesalah jenayah, sebat dilaksanakan oleh mana-mana pegawai sebat rotan yang dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara, manakala jenayah syariah hanya dilakukan oleh Pegawai Sebat Rotan beragama Islam.

4. Bahagian Anggota yang Disebat

Bagi pesalah jenayah, pukulan sebat hendaklah di bahagian punggung dan ia berbeza dengan jenayah syariah yang meletakkan beberapa pengecualian.

5. Cara Sebatan

Bagi jenayah syariah, tukang sebat tidak boleh mengangkat rotan sehingga ke paras kepala dan pukulan secara sederhana agar tidak melukakan kulit.

6. Kedudukan dan pakaian semasa disebat

Bagi pesalah jenayah, mereka tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian sulit sahaja dan diikat di tripod manakala pesalah syariah lelaki disebat dalam keadaan berdiri dan perempuan duduk dan memakai pakaian menutup aurat.

7. Baki hukuman sebat yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah, jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah manakala jenayah syariah ia boleh ditangguhkan sehingga pegawai perubatan memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu.

8. Orang yang boleh disebat

Bagi pesalah jenayah, perempuan tidak boleh disebat tetapi pesalah jenayah syariah, perempuan tidak dikecualikan.

9. Saksi-saksi

Bagi pesalah jenayah, tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan tetapi pesalah syariah mesti bersaksikan sekurang-kurangnya empat lelaki Islam.

Maka, hukuman sebat adalah sebagai satu bentuk hukuman dalam Islam yang bertujuan menjaga kebaikan dan kepentingan umum. Islam sentiasa memandang dan mementingkan kebaikan orang ramai lebih utama daripada individu kerana ia boleh menghindari kerosakan, keruntuhan moral dan memberi rasa keinsafan kepada pesalah.

Pelaksanaannya bukanlah bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya memberi rasa keinsafan dan pengajaran.