Thursday, April 29, 2010

BETULKAN NIAT BEKERJA

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Mei 2010.

BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat, golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah keji ini. Ini kerana menurut perangkaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak 524 tangkapan atas kesalahan rasuah telah dilakukan antara tahun 2005 hingga 2009 yang lalu. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah dikemukakan ke muka pengadilan.

Bagi mengelak trend peningkatan jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan memperbetulkan niat dan matlamat ketika bekerja.

Dalam Islam setiap amalan dinilai berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT nescaya dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak daripada melakukan perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu pula niat yang betul akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal lagi diberkati.

Selain itu, pekerjaan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi ataupun rendah yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud “ Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian di bawa ke pasar untuk dijual adalah lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu diberi ataupun tidak “. Justeru itu tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.

Begitu pula pekerjaan yang diharamkan agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan tersebut menyumbang persundalan dalam masyarakat lagi dilaknat oleh Allah SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba’dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan pil-pil khayal turut diharamkan.

Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah asas sama sekali tidak boleh diabaikan. Sesibuk mana sekalipun dalam menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja di pejabat, sembahyang tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh setiap bulan.

Dalam kesibukan bekerja juga seseorang tidak patut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan rumahtangga. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk makan bersama seisi keluarga dan pergi bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami isteri yang berkerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumahtangga. Jika tidak anak-anak terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Isteri yang keluar berkerja pula perlu mendapat restu daripada suami. Disamping itu pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai menggangu tugas hakiki seperti mengurus rumahtangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kerukunan rumahtangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir ini.

Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya “Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai pekerja dalam perkhidmatan awam pula , nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan cukup menjadi panduan dan pedoman untuk menjadi pekerja yang berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemulian kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.

Ingatlah kerja yang ikhlas, yang dilakukan semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati pasti akan mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperolehi akan dipersoalkan sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Disamping itu perbuatan memburuk-burukkan rakan sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep berkerja sebagai ibadah. Ini kerana selain berkerja untuk menyara kehidupan di dunia sebagai orang Islam kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.

Tuesday, April 20, 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER



Hari ini warga pelajar seluruh sistem UiTM mula menduduki peperiksaan akhir semester. Sejak beberapa hari yang lalu suasana study hard jelas kelihatan di sekitar kampus. Walaupun tidak dinafikan terdapat juga segelintir pelajar yang masih ha hu ha hu sedangkan peperangan di muka pintu. Sayapun terlibat mengawas peperiksaan pada hari ini dan hari ini juga paper CTU 101, CTU 151 dan IDA 152 bersedia untuk di tanda dan diberi markah.

Saya sempat bertanya dengan beberapa orang pelajar part 2 seusai menduduki kertas CTU 151. Ada yang mengeluh, ada yang kata susah dan ada yang kata tak boleh jawab. Itulah asam garam peperiksaan. Siapa yang study smart tentunya tersenyum gembira.

Terdapat pula yang datang lewat ke dewan peperiksaan dengan alasan salah tengok jadual. Kejadian itu mengingatkan saya kepada peristiwa sama yang menjadi sejarah pahit untuk dikenang semula. Ketika belajar dahulu saya tertidur hingga lewat menduduki peperiksaan akhir. Akibatnya saya dihalang masuk ke dewan peperiksaan dan terpaksa menunggu setahun hanya untuk mengulang subjek yang gagal itu.

Adalah diharapkan agar pelajar mengambil berat tentang hari-hari peperiksaan termasuk jadual dan persediaan sebelum masuk ke dewan. Begitu juga kepada yang bercita-cita nak bawa TOYOL sebagai talian hayat mohon dilupakan. Tak guna cemerlang dengan meniru lagipun sebagai orang Islam kita wajib percaya bahawa Allah SWT melihat apa sahaja yang dilakukan yang pasti akan diperhitungkan pula dihari kemudian.

Di doakan semoga para pelajar diberi kemudahan untuk mengulangkaji pelajaran dan dan diberi segala kemudahan oleh Allah SWT untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dengan sempurna. Dan akhirnya ramai yang berjaya memperoleh Dean List untuk Kampus JB. Ingatlah juga bahawa peperiksaan di hari kemudian lebih sukar kerana ia penentu kejayaan abadi yang kekal buat selama-lamanya.

Fahami erti perjuangan sebenar

TIDAK dinafikan setiap perjuangan punya cita-cita dan matlamat yang hendak dicapai. Kejayaan dalam perjuangan itu pula ditentukan dengan kesungguhan dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi oleh setiap anggota yang terlibat. Walau bagaimanapun perjuangan yang hakiki mestilah berteraskan ajaran syariat yang mantap supaya tidak terpesong daripada landasan yang sebenar.

Kegagalan memahami erti perjuangan sebenar kemungkinan menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara porak peranda apabila wujud suasana tidak aman dan huru-hara. Perlu juga diingat dalam mencapai objektif perjuangan falsafah matlamat menghalalkan cara sama sekali tidak sesuai digunapakai. Oleh itu setiap individu harus berwaspada agar tidak tertewas dalam memahami erti perjuangan sehingga terlibat pula mendukung perjuangan yang batil dan merosakkan keharmonian negara.

Realitinya, perjuangan melawan hawa nafsu perlu diutamakan kerana ia lebih sukar disebabkan medan perjuangannya tidak terbatas. Setiap manusia terdedah untuk menurut kemahuan nafsu di mana-mana mereka berada. Tidak kira sama ada ketika bersendirian atau beramai-ramai, di rumah, di jalanan dan di kawasan tumpuan awam. Ini boleh diperhatikan kepada kegilaan sesetengah muda-mudi mengadakan pesta seks dan pesta arak secara beramai-ramai sehingga menyumbang persundalan dalam masyarakat. Begitu pula jenayah rogol yang semakin menjadi-jadi sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dan ketakutan terutama bagi yang bersendirian ketika di luar rumah.

Selain itu, masanya juga tidak terhad. Siang atau malam sama sahaja bagi pelaku dosa dan maksiat yang terpedaya dengan ikutan nafsu serakah mereka. Terdapat juga yang selamba, tanpa rasa malu dan berdosa berpelukan, bercumbuan di tempat awam bagaikan aksi pelakon dalam filem-filem terbitan Hollywood. Ataupun bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan yang sah tanpa sekelumit rasa bersalah mahupun berusaha untuk bertaubat daripada terus bergelumang dengan dosa.

Begitu pula peperangan melawan hawa nafsu sangat payah dan menyulitkan kerana seseorang terpaksa bertarung dengan diri sendiri. Apatah lagi ia biasanya melibatkan perkara-perkara yang menyeronokan dan bukan calang-calang manusia dapat mengawal nafsunya sendiri. Tanpa disedari mereka terkesima dengan keseronokan yang sementara sehingga buntu mencari jalan penyudah kepada kemelut dosa yang dilakukan.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda “ Dikelilingi neraka dengan nafsu keseronokan manakala dilingkari syurga dengan segala keperitan dan kepayahan.

Oleh itu sesiapa yang berjaya dalam perjuangan melawan runtunan hawa nafsu yang selalunya mendorong manusia kepada kerosakan pasti akan berjaya pula dalam perjuangan-perjuangan yang lain termasuk keupayaan untuk menangkis pujuk rayu dan tipu helah Iblis dalam menyesatkan manusia.

Perlu juga diingat ia tidak semudah nukilan kata-kata yang indah semata-mata, sebaliknya perlu kepada komitmen dan jihad nafsu yang berterusan. Kesukaran melawan godaan nafsu boleh dilihat kepada segelintir penghidap penyakit sosial kritikal yang telah menjadi barah dan bernanah dalam negara dewasa ini. Jenayah buang bayi, penderaan kepada kanak-kanak dan pembunuhan di sana-sini menjadi bukti betapa sukarnya mengurus diri sendiri sehingga ramai yang terpedaya.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan akhbar yang melaporkan peningkatan jenayah keganasan seksual di Malaysia sejak lima tahun yang lalu kepada 17,283 kes melibatkan jenayah seksual seperti rogol dan sumbang mahram. Terbaharu, seorang remaja perempuan bermotosikal yang dilanggar kemudian dirogol cukup menjadi bukti betapa nafsu jika sudah bermaharajalela dalam diri, pertimbangan akal akan hilang dan tidak berguna lagi. Justeru itu semua pihak berperanan menyokong kempen Kami Prihatin anjuran Akhbar Utusan Malaysia bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama membenteras kegiatan tidak bermoral daripada terus berleluasa.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang suka menuding jari mencari kesalahan orang lain berbanding berusaha untuk memperelok diri sendiri. Sementara itu, budaya caci-mencaci, dan memburuk-burukkan sesama manusia akibat tertipu dengan ikutan hawa nafsu seolah-olah telah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga perpecahan terus berlaku dan kesatuan ummah sukar direalisasikan.

Kegagalan mengurus nafsu dengan sempurna telah menyebabkan kerosakan lain yang lebih dahsyat sehingga menggugat akidah dan kepercayaan manusia kepada Tuhan. Ini terbukti dengan munculnya kumpulan-kumpulan ajaran sesat dengan dakwaan yang mengarut sebagaimana didedahkan oleh media-massa. Terdapat pula individu yang terpengaruh dengan perjuangan palsu yang digembar-gemburkan walaupun mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan berstatus hebat. Malah jika diselidiki perkara yang disampaikan biasanya perkara-perkara asas akidah yang sedia dipelajari sejak dibangku sekolah lagi.

Oleh itu fahami erti perjuangan hakiki, iaitu perjuangan memartabatkan ketinggian nilai manusiawi bagi memperoleh kedudukan tinggi yang kekal abadi. Elakkan juga daripada terpengaruh dengan pelbagai bentuk perjuangan palsu yang bermatlamat untuk memperoleh ganjaran duniawi lalu mengundang malapetaka kepada agama, bangsa dan negara. Yang pasti untuk sampai kepada kemuncak itu, setiap insan wajib berjuang mati-matian melawan hawa nafsu dan keinginan buruk diri sendiri yang selalu mendorong melakukan kemungkaran kepada Tuhan.