Tuesday, April 20, 2010

Fahami erti perjuangan sebenar

TIDAK dinafikan setiap perjuangan punya cita-cita dan matlamat yang hendak dicapai. Kejayaan dalam perjuangan itu pula ditentukan dengan kesungguhan dan pengorbanan yang tidak berbelah bagi oleh setiap anggota yang terlibat. Walau bagaimanapun perjuangan yang hakiki mestilah berteraskan ajaran syariat yang mantap supaya tidak terpesong daripada landasan yang sebenar.

Kegagalan memahami erti perjuangan sebenar kemungkinan menyebabkan institusi keluarga, masyarakat dan negara porak peranda apabila wujud suasana tidak aman dan huru-hara. Perlu juga diingat dalam mencapai objektif perjuangan falsafah matlamat menghalalkan cara sama sekali tidak sesuai digunapakai. Oleh itu setiap individu harus berwaspada agar tidak tertewas dalam memahami erti perjuangan sehingga terlibat pula mendukung perjuangan yang batil dan merosakkan keharmonian negara.

Realitinya, perjuangan melawan hawa nafsu perlu diutamakan kerana ia lebih sukar disebabkan medan perjuangannya tidak terbatas. Setiap manusia terdedah untuk menurut kemahuan nafsu di mana-mana mereka berada. Tidak kira sama ada ketika bersendirian atau beramai-ramai, di rumah, di jalanan dan di kawasan tumpuan awam. Ini boleh diperhatikan kepada kegilaan sesetengah muda-mudi mengadakan pesta seks dan pesta arak secara beramai-ramai sehingga menyumbang persundalan dalam masyarakat. Begitu pula jenayah rogol yang semakin menjadi-jadi sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan dan ketakutan terutama bagi yang bersendirian ketika di luar rumah.

Selain itu, masanya juga tidak terhad. Siang atau malam sama sahaja bagi pelaku dosa dan maksiat yang terpedaya dengan ikutan nafsu serakah mereka. Terdapat juga yang selamba, tanpa rasa malu dan berdosa berpelukan, bercumbuan di tempat awam bagaikan aksi pelakon dalam filem-filem terbitan Hollywood. Ataupun bersekedudukan tanpa ikatan pernikahan yang sah tanpa sekelumit rasa bersalah mahupun berusaha untuk bertaubat daripada terus bergelumang dengan dosa.

Begitu pula peperangan melawan hawa nafsu sangat payah dan menyulitkan kerana seseorang terpaksa bertarung dengan diri sendiri. Apatah lagi ia biasanya melibatkan perkara-perkara yang menyeronokan dan bukan calang-calang manusia dapat mengawal nafsunya sendiri. Tanpa disedari mereka terkesima dengan keseronokan yang sementara sehingga buntu mencari jalan penyudah kepada kemelut dosa yang dilakukan.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda “ Dikelilingi neraka dengan nafsu keseronokan manakala dilingkari syurga dengan segala keperitan dan kepayahan.

Oleh itu sesiapa yang berjaya dalam perjuangan melawan runtunan hawa nafsu yang selalunya mendorong manusia kepada kerosakan pasti akan berjaya pula dalam perjuangan-perjuangan yang lain termasuk keupayaan untuk menangkis pujuk rayu dan tipu helah Iblis dalam menyesatkan manusia.

Perlu juga diingat ia tidak semudah nukilan kata-kata yang indah semata-mata, sebaliknya perlu kepada komitmen dan jihad nafsu yang berterusan. Kesukaran melawan godaan nafsu boleh dilihat kepada segelintir penghidap penyakit sosial kritikal yang telah menjadi barah dan bernanah dalam negara dewasa ini. Jenayah buang bayi, penderaan kepada kanak-kanak dan pembunuhan di sana-sini menjadi bukti betapa sukarnya mengurus diri sendiri sehingga ramai yang terpedaya.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan akhbar yang melaporkan peningkatan jenayah keganasan seksual di Malaysia sejak lima tahun yang lalu kepada 17,283 kes melibatkan jenayah seksual seperti rogol dan sumbang mahram. Terbaharu, seorang remaja perempuan bermotosikal yang dilanggar kemudian dirogol cukup menjadi bukti betapa nafsu jika sudah bermaharajalela dalam diri, pertimbangan akal akan hilang dan tidak berguna lagi. Justeru itu semua pihak berperanan menyokong kempen Kami Prihatin anjuran Akhbar Utusan Malaysia bagi membangkitkan kesedaran untuk sama-sama membenteras kegiatan tidak bermoral daripada terus berleluasa.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang suka menuding jari mencari kesalahan orang lain berbanding berusaha untuk memperelok diri sendiri. Sementara itu, budaya caci-mencaci, dan memburuk-burukkan sesama manusia akibat tertipu dengan ikutan hawa nafsu seolah-olah telah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga perpecahan terus berlaku dan kesatuan ummah sukar direalisasikan.

Kegagalan mengurus nafsu dengan sempurna telah menyebabkan kerosakan lain yang lebih dahsyat sehingga menggugat akidah dan kepercayaan manusia kepada Tuhan. Ini terbukti dengan munculnya kumpulan-kumpulan ajaran sesat dengan dakwaan yang mengarut sebagaimana didedahkan oleh media-massa. Terdapat pula individu yang terpengaruh dengan perjuangan palsu yang digembar-gemburkan walaupun mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan berstatus hebat. Malah jika diselidiki perkara yang disampaikan biasanya perkara-perkara asas akidah yang sedia dipelajari sejak dibangku sekolah lagi.

Oleh itu fahami erti perjuangan hakiki, iaitu perjuangan memartabatkan ketinggian nilai manusiawi bagi memperoleh kedudukan tinggi yang kekal abadi. Elakkan juga daripada terpengaruh dengan pelbagai bentuk perjuangan palsu yang bermatlamat untuk memperoleh ganjaran duniawi lalu mengundang malapetaka kepada agama, bangsa dan negara. Yang pasti untuk sampai kepada kemuncak itu, setiap insan wajib berjuang mati-matian melawan hawa nafsu dan keinginan buruk diri sendiri yang selalu mendorong melakukan kemungkaran kepada Tuhan.

No comments:

Post a Comment