Wednesday, August 26, 2009

RAMADHAN BULAN KEMERDEKAAN

TANPA disedari bulan Ramadhan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umatnya. Apatah lagi bagi yang berusaha untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar kepentingan Ramadhan bercita-cita pula agar Ramadhan sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadhan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar. Ini dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang Ramadhan.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh utama iaitu syaitan. Sayugianya peluang ini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat sebanyak-banyak kebajikan. Sementelah lagi perjuangan manusia kini terhad kepada musuh nafsu dan kehendak semata-mata. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadhan, dunia penuh pancaroba boleh diharungi dengan berpandukan syariat ilahi.

Di dalam bulan ini juga, umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela. Diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam”.

Kepada yang merokok pula bulan Ramadhan adalah bulan berhenti merokok. Inilah kesempatan ditentukan untuk umat Islam memerdekakan diri dari kongkongan asap rokok. Terimalah hakikat rokok lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat kalaupun ada. Malah dengan segala penyakit dan implikasi buruk akibat rokok seharusnya setiap individu Muslim yang terlibat berlapang dada, berusaha meloloskan diri dari rokok. Elakkan daripada terlibat menggadaikan kesihatan diri, sebagai mekanisme untuk menghambakan diri kepada ilahi.

Firman Allah SWT “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Baqarah ayat 195)

Bulan Ramadhan juga adalah bulan zakat dan sedekah. Umat Islam yang berkemampuan diwajibkan membayar zakat fitrah dengan nilai secupak makanan asasi, untuk diri dan orang yang di bawah tanggungannya. Oleh itu, bersegeralah menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan. Dengan cara ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan untuk hari raya sahaja.

Bagi yang terpedaya melakukan dosa pula dijanjikan pembebasan daripada bakaran api neraka di bulan mulia ini. Terutama pada bahagian terakhir daripada Ramadhan. Nabi Muhammad SAW bersabda memperihalkan Ramadhan “Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka”.

Justeru itu, lipatgandakanlah amalan demi untuk kebahagiaan hidup di hari kemudian. Tentunya tiada siapa yang sanggup menanggung derita, kembali ke alam baqa’ dalam keadaan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh. Sesunguhnya amalan mulia mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu, Ramadhan yang mulia adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan lain. Seolah-olah Ramadhan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah apabila dirujuk, ayat 186 Surah al-Baqarah, yang berkaitan doa dinyatakan setelah firmanNya yang bersangkutan dengan kewajipan puasa di bulan Ramadhan.

Allah SWT berfirman yang ertinya “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.( Surah al-Baqarah ayat 186).

Dengan itu, apabila manusia berdoa, ia dapat menghilangkan pergantungan kepada sesama makhluk, dengan sentiasa berdoa dan berharap kepadaNya dalam segala permohonan.

Bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 yang jatuhnya dalam bulan Ramadhan ini juga, setiap warga 1 Malaysia diseru agar merenung dan bermuhasabah akan tingginya nilai kemerdekaan sesebuah negara. Tanpa kemerdekaan tak mungkin nikmat kebebasan yang dikecapi hari ini, membolehkan kita berkerja, berniaga dan melakukan apa sahaja termasuk peluang untuk beribadah. Syukurilah nikmat kemerdekaan negara, dengan mengelak dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan yang merosakkan keharmonian negara.

Sunday, August 23, 2009

PERBUATAN MENCEMARI KESUCIAN RAMADHAN

Telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 25hb Ogos 2009

TINDAKAN sesetengah pengusaha kedai makanan milik orang Islam yang memulakan perniagaan di awal pagi dalam bulan Ramadhan boleh dipersoalkan. Ini termasuklah pengusaha bazar Ramadhan yang berniaga sejak sebelum waktu zuhur lagi. Untuk siapakah makanan itu disediakan? Kalau untuk orang bukan Islam berapa ramaikah pula daripada kalangan mereka yang bertandang ke premis mereka. Lebih mengelirukan apabila ada pelanggan yang keluar masuk kedai makan melalui pintu belakang sedangkan pintu hadapan tertutup.

Boleh sahaja kesempatan ini diambil oleh orang yang tak mahu berpuasa sehingga menggalakkan lagi perbuatan keji itu. Perbuatan mereka ini boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia. Malah kemungkinan mendapat saham dosa dengan menggalakkan orang tidak berpuasa.

Memang pengusaha kedai makanan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini, ia akhirnya berbalik kepada keimanan individu itu sendiri. Namun jika jalan-jalan ke arah perbuatan keji itu ditutup mudah-mudahan dapat mengurangkan gejala buruk golongan ingkar berpuasa.

Sebagai peniaga Islam, mereka dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja yang dilakukan. Ingatlah semua itu pasti dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Janganlah semata-mata mengejar keuntungan, dosa dan pahala tidak dihiraukan. Tiada guna untung berlipat kali ganda kalau tiada keberkatan daripada segala yang diusahakan siang dan malam.

Golongan peniaga Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama melaksanakan ibadah solat apabila sampai waktunya. Begitu pula dengan kewajipan lain seperti menutup aurat dan sebagainya. Ini kerana puasa tidak bermakna jika kewajipan-kewajipan lain terabai.

Pendedahan JAKIM dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2009 juga perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Trend sesetengah orang Islam berbuka puasa di hotel sepatutnya dipertimbangkan kerana hanya 27 buah daripada 2000 buah hotel diseluruh Negara disahkan halal oleh JAKIM. Ini penting kerana ia melibatkan apa yang disuapkan ke dalam mulut sehingga menjadi darah daging. Nabi Muhammad SAW besabda “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya”.

Dan lagi, apakah ganjaran puasa yang bakal diraih setelah seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga, di saat berbuka puasa dicemari dengan juadah yang tidak halal. Memang, tiada siapa yang dapat menentukan pahala daripada ibadah puasa yang dikerjakan. Kerana puasa untuk Allah dan Allah yang berhak menentukannya. Tetapi, setiap orang mesti berusaha untuk mendapat puasa berkualiti dengan memperhatikan apa yang dimakan ketika berbuka puasa.

Secara umumya trend berbuka puasa di hotel juga menyebabkan umat Islam leka membuang masa lalu terlepas peluang melaksanakan solat sunat tarawih yang dituntut untuk dilaksanakan. Ingatlah bulan Ramadhan bukan masa untuk berseronok-seronok malah seharusnya dipenuhi dengan berbagai ketaatan seperti I’tikaf di masjid dan berusaha memperoleh berbagai kurnia yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, setiap individu Muslim diseru untuk sentiasa ingat kepada Allah SWT dalam segala tindakan yang dilakukan. Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya “ Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”.

Pihak berwajib juga disaran mengambil pendekatan sewajarnya bagi membendung gejala tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Misalnya dengan menetapkan waktu tertentu untuk memulakan perniagaan di bazaar-bazaar Ramadhan. Pihak berkuasa agama negeri juga disaran menjalankan pemantauan ke atas premis-premis menjual makanan milik orang Islam. Mungkin sahaja tindakan sita atau denda boleh dikenakan kepada pengusaha yang ingkar di samping menangkap mereka yang makan disiang hari bulan Ramadhan.

Thursday, August 20, 2009

MENDEKATI RAHMAT ALLAH UNTUK JAMINAN KE SYURGA

Disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 21hb. Ogos 2009

KETENTUAN jadi ahli syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT. Tiada makhluk yang boleh menjangkaui bidang kuasa tersebut. Cuma dalam sejarah Nabi Muhammad SAW pernah memberi berita gembira kepada 10 orang sahabatnya yang bakal mengecapi kemuliaan itu. Malahan orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid dan melaksanakan berbagai ketaatan agamapun belum tentu terpilih masuk syurga kecuali diperkenankan oleh Allah SWT.

Walau bagaimanapun al-Quran sebagai kitab pedoman sepanjang zaman sedia menjelaskan dengan terperinci golongan yang bakal dipilih untuk masuk syurga antaranya;

Yang pertama, golongan orang yang memelihara sembahyang dengan khusyuk. Sedia difahami bukan calang-calang orang boleh sembahyang pada setiap waktu. Ia tugas berat yang perlu kepada aqidah yang benar dan iman yang mantap sehingga dapat sentiasa melaksanakannya. Untuk khusyuk ketika sembahyang pula, seseorang perlu mengosongkan jiwa daripada perkara selain sembahyang disamping berusaha memahami setiap ucapan dan bacaan dan meletakkan diri dalam situasi benar-benar sedang menghadap Allah SWT. Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin pernah mencadangkan supaya seseorang sembahyang dengan memejamkan mata, menundukkan wajah ke tempat sujud, sembahyang di ruangan yang gelap dan berhampiran dengan dinding agar terhad pandangan, dan elakkan daripada solat di jalanan juga kawasan tumpuan orang ramai semuanya bertujuan untuk memudahkan khusyuk semasa solat.

Yang kedua, menjauhkan diri daripada perkara sia-sia. Menurut al-Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya perkara sia-sia itu meliputi perbuatan syirik dan maksiat kepada Allah SWT. Sehubungan dengan itu individu Muslim yang mendambakan syurga selayaknya berusaha menjauhi perbuatan syirik seperti percayakan bomoh dan perkara khurafat disamping mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat yang mengundang kemurkaan Ilahi. Ini kerana menghindarkan diri daripada gejala ini juga sukar memandangkan ramai orang Islam terjebak dalam kancah ini. Yang lebih membimbangkan lagi apabila terdapat segelintir yang tidak merasa kekok apabila melakukan dosa, seronok dan berbangga kerana telah melakukannya. Begitulah situasi akhir zaman disaat rasa malu telah diangkat oleh Allah, sehingga manusia tanpa segan silu melakukan berbagai dosa dan noda.

Yang ketiga, membersihkan harta dengan menunaikan kewajipan zakat. Zakat adalah kewajipan agama yang disyariatkan untuk membantu golongan yang memerlukan. Menurut perspektif sistem ekonomi Islam, zakat berupaya mengurangkan jurang perbezaan miskin kaya yang ketara dalam sistem ekonomi konvesional. Selain daripada itu zakat merupakan bantuan khusus kepada individu Muslim yang tidak mampu dan mengharap pertolongan orang lain. Ia juga sesuatu yang sukar untuk ditunaikan memandangkan naluri manusia yang cintakan harta. Oleh kerana itu nikmat syurga adalah balasan setimpal bagi yang sedia berkorban menginfaqkan sebahagian harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT.

Yang keempat, menjaga kehormatan diri dengan tidak terlibat melakukan hubungan zina yang dilarang agama. Malahan jika amalan ini dibiarkan berleluasa dalam masyarakat ia akan memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat dan negara. Lihat sahaja isu buang bayi yang tiada penghujungnya, adalah berpunca daripada terjebak merosakkan kehormatan diri sehingga terlibat pula melakukan jenayah pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia masalah kritikal umat Islam khususnya di negara kita sendiri yang perlukan penyelesian segera bagi mengelak kemurkaan Allah SWT.

Yang kelima, golongan yang sentiasa menunaikan janji dan menjaga amanah. Ini adalah akhlak mulia yang perlu dimiliki oleh setiap individu Muslim. Malahan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah melabelkan golongan yang tidak bersifat dengan sifat ini sebagai munafik. Ini berdasarkan sabdanya yang bermaksud Tanda orang munafik itu ada 3, apabila bercakap dusta, apabila berjanji dimungkiri dan apabila dipertanggungjawabkan dengan amanah dikhianati. Kegagalan umat Islam menghiasi diri dengan akhlak ini juga mengundang gejala rasuah yang jijik dan merosakkan negara secara umumnya.

Sebagai kesimpulan untuk masuk syurga setiap individu muslim selayaknya mempereratkan hubungan dengan Allah SWT melalui ibadah yang berkualiti, hubungan dengan sesama manusia melalui konsep amal ijtimai’ dan memelihara kehormatan diri dengan mengelak melakukan hubungan terlarang yang menjatuhkan maruah dan kehormatan diri.

Sandaran kepada pernyataan ini adalah firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).Dan mereka yang menjaga kehormatannya.Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya”. (Surah al-Mukminun ayat 1-11).

Semua umat Islam diseru mengharap nikmat syurga dan terhindar daripada api neraka dengan berdoa memohon perlindungan daripadaNya. Apatah lagi menjelang ketibaan Bulan Ramadhan al-Mubarak, peluang yang datang sekali setahun tidak sewajarnya dibiarkan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berbuat amal dan kebajikan. Kerugian yang besar bagi seseorang apabila terpilih menemui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya oleh Allah SWT.

Wednesday, August 12, 2009

BERSEDIALAH, RAMADHAN MUNCUL LAGI

Disiarkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 14Hb. Ogos 2009

Beberapa hari sahaja lagi umat Islam diseluruh dunia akan mula melaksanakan salah satu daripada rukun Islam yang lima iaitu berpuasa wajib di Bulan Ramadhan. Mereka yang rindukan ketibaan bulan al-mubarak ini pasti sangat bersyukur dan bergembira atas nikmat terpilih untuk meraih sebesar-besar anugerah yang hanya diberikan oleh Allah SWT di Bulan Ramadhan.

Peluang keemasan ini sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan pelbagai ketaatan kerana belum tentu pada tahun hadapan seseorang akan terpilih lagi untuk bertemu dengan bulan mulia ini. Malah setiap individu Muslim perlu merasakan Ramadhan kali ini adalah yang terakhir dalam hidup mereka sehingga membangkitkan motivasi untuk beramal dengan sempurna.

Manakala bagi yang alpa dan lalai, kedatangan Ramadhan pasti meresahkan dan akan disambut dengan berbagai alasan dan helah untuk tidak berpuasa. Kepada mereka diingatkan agar bertaubat dan berusaha untuk melaksanakan kewajipan ini kerana ia akan dipersoalkan di hari kemudian. Ibubapa juga digalakkan agar mendidik anak-anak berpuasa supaya apabila baligh mereka telah terbiasa melakukan kewajipan ini.

Justeru itu setiap orang Islam perlu bersedia menyambut ketibaan Ramadhan. Beberapa persiapan perlu dilakukan agar Ramadhan kali ini lebih bermakna daripada tahun-tahun yang lalu. Antaranya ;

Betulkan dan perelokkan niat

Menjelang tibanya 1 Ramadhan setiap Muslim perlu mengikhlaskan niat semata-mata melaksanakan ibadah puasa kerana Allah SWT. Ini kerana setiap amalan akan dinilai berdasarkan niat melakukannya. Sementara itu niat yang betul kerana Allah SWT berupaya mendorong seseorang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh berbagai ganjaran di Bulan Ramadhan. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Sesungguhnya setiap amalan dinilai berdasarkan niat dan bagi setiap orang apa yang dia niatkan” (Hadis riwayat Imam Bukhariy dan Muslim). Untuk itu, janganlah hanya niat berpuasa semata-mata untuk menyambut hari raya, sehingga segala persiapan seperti pakaian, kuih muih, mengecat rumah dan lain-lain semuanya untuk hari raya yang masih jauh sedangkan Ramadhan di depan mata tak dipedulikan.


Bersedia fizikal, mental dan material

Bagi meraih bonus yang tidak terhingga di Bulan Ramadhan, persediaan dari sudut fizikal, mental dan material perlu diusahakan. Individu Muslim disaran menjaga kesihatan tubuh badan untuk kuat berpuasa juga bersedia mental untuk melawan nafsu tidur, makan dan keinginan lain yang boleh mengurangkan pahala ketika berpuasa. Begitu pula seseorang perlu bersedia dari aspek kewangan untuk memperbanyak amalan bersedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan dalam sebuah hadisnya “Sesiapa yang memberi ifttar (jamuan untuk berbuka puasa) nescaya akan diampunkan dosanya dan dibebaskan daripada api neraka”.

Berazam untuk tingkatkan KPI puasa

Setelah bertahun-tahun berpuasa, individu Muslim disaran berazam untuk meningkatkan kualiti puasa daripada sekadar tingkatan puasa awam kepada puasa tingkatan khusus dan khususul khusus. Ia boleh dilakukan dengan tidak membataskan puasa hanya dengan menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sebaliknya ditingkatkan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Disamping itu perkara-perkara wajib yang lain seperti sembahyang fardu dan menutup aurat juga turut dilaksanakan. Apalah ertinya puasa jika hanya tak makan dan tak minum tetapi kewajipan agama yang lain diabaikan.

Berazam untuk beribadah di Malam Lailatul Qadar.

Lalilatul Qadar adalah malam kemuliaan yang datang sekali setahun. Malam yang pahala beribadah padanya menyamai 1000 bulan atau kira-kira 83 tahun 4 bulan itu tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja. Ini kerana jika seseorang dipanjangkan usianya selama tempoh itupun belum tentu dapat beribadah sepenuhnya. Justeru itu setiap individu Muslim perlu mempersiap diri untuk menjejaki malam itu sejak daripada 1 Ramadhan lagi dengan melaksanakan jihad puasa di siang hari dan solat tarawih, qiamullail di malam hari sambil berdoa kepada Allah SWT agar dipilih memperoleh kenikmatan itu. Alangkah bahagianya hidup seorang Muslim apabila setiap tahun terplih mengecapi nikmat beribadah di malam Lalilatul Qadar yang juga dianugerahkan kepada insan terpilih sahaja.

Berharap agar ibadah puasa diterima oleh Allah SWT

Setiap individu Muslim perlu menaruh harapan tinggi kepada Allah SWT agar puasanya kali ini akan diterima dengan sempurna. Ini kerana dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan Setiap amalan anak Adam dilipatgandakan sebanyak 10 kali hingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku dan aku yang akan membalasnya, kerana dia meninggalkan syahwat dan makanan keranaku. (Hadis riwayat Imam Ahmad) Oleh kerana itu, seseorang digalakkan memperbanyak amalan-amalan sunat seperti bersedekah, tadarus al-Quran, ‘itikaf di masjid dan lain-lain bagi menampung kecacatan dan kekurangan ketika berpuasa seterusnya di terima amalan puasa dengan sempurna.

Akhirnya diperingatkan juga agar sesiapa yang masih berhutang puasa agar segera menqadanya sebelum menjelang Ramadhan yang baharu. Kegagalan melunaskan hutang lapuk itu kemungkinan menyebabkan seseorang dinafikan daripada berbagai-bagai keistimewaan yang disediakan di Bulan Ramadhan.

Selain daripada itu,marilah sama-sama kita bersedia untuk menemui Ramadhan dengan penuh kesyukuran, hati yang terbuka dan lapang dada. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “ Barangsiapa yang berpuasa di Bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keinsafan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Selamat Menyambut Ketibaan Ramadhan al-Mubarak dan Selamat Memulakan Ibadah Puasa Dengan Sempurna.

Monday, August 3, 2009

NIKMAT SIHAT YANG SERING DILUPAKAN

NEGARA kita sedang dilanda penularan wabak selsema babi (H1N1) yang agak membimbangkan. Ini berikutan peningkatan kes-kes jangkitan dan kematian yang dilaporkan di media massa setiap hari. Walaupun setelah berbagai-bagai usaha pencegahan dan rawatan dilakukan oleh pihak kerajaan, namun ternyata virus H1N1 seolah-olah memiliki ilmu kebal yang mampu menangkis serangan bertubi-tubi daripada pihak lawan.

Sebagai orang yang beriman, wajib difahami bahawa sihat dan sakit adalah ketentuan qada dan qadar Allah SWT. Manusia sememangnya tidak punya daya dan upaya untuk menolak segala ketetapan itu. Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan nikmat sihat selayaknya bersyukur dengan memperbanyak ibadah, manakala bagi yang diuji dengan penyakit haruslah reda menerima ujian yang mendatang.

Allah SWT berfirman yang ertinya Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbia’ ayat 35)

Lazimnya manusia leka dengan nikmat sihat. Kesihatan yang dianugerahkan kepada mereka tidak disyukuri malah dijadikan pula mekanisme untuk melakukan pelanggaran terhadap hak-hak agama. Malangnya apabila diuji oleh Allah SWT dengan penyakit barulah mereka tersedar dan kembali untuk beramal.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, 2 nikmat yang sering dilalaikan oleh kebanyakkan manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang. (Hadis riwayat Imam Bukhariy)

Sehubungan dengan itu, setiap individu muslim harus menginsafi diri sebelum tiba saat mereka ingin bertaubat dan mendampingkan diri kepada Allah SWT sedang mereka hanya mampu melakukannya dalam keadaan duduk atau berbaring. Sudah tentu pada ketika itu sesalan tidak berguna lagi. Benar kata pepatah sesal dahulu pendapatan sesal kemudian memang tidak berguna.

Walau bagaimanapun sesiapa yang ditimpa penyakit seperti H1N1 dan lain-lain tidak harus menyesali diri kerana terdapat berbagai hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripada ujian itu. Antaranya ialah

Kesempatan untuk muhasabah diri

Ujian sakit adalah kesempatan paling bermakna buat insan yang leka dan lalai dengan tipu helah dunia. Peluang yang datang, wajib dimanfaatkan dengan menginsafi diri, bertaubat daripada segala dosa dan noda yang pernah dilakukan disamping berharap rahmat dan keampunan daripadaNya. Ini kerana sakit adalah diantara balasan azab Allah SWT terhadap perlakuan dosa dan maksiat hamba kepadaNya. Diriwayatkan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq pernah bertanya kepada Rasulullah SAW” Wahai Rasulullah , bagaimanakah bentuk kebaikan itu setelah diturunkan ayat ini “ Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu” (Surah al-Nisa’ ayat 123). Apakah setiap kejahatan yang telah kami lakukan akan diberi balasan? Rasulullah SAW kemudiannya bersabda Semoga Allah mengampunkan kamu wahai Abu Bakar (sebanyak 3 kali), lalu Baginda SAW bersabda, Bukankah engkau sakit?, Bukankah engkau merasa sedih?, Bukankah engkau keletihan?, Bukankah engkau ditimpa musibah? Abu Bakar menjawab Ya. Baginda kemudian bersabda lagi, Begitulah kamu diberi balasan semasa di dunia. (Hadis riwayat al-Baihaqiy)

Sakit sebagai Kaffarah penebus dosa

Sakit adalah salah satu daripada kaedah untuk menghapus dosa yang pernah dilakukan oleh manusia. Oleh itu sesiapa yang ditimpa penyakit sepatutnya reda dan berlapang dada kerana terpilih untuk diampunkan dosa-dosanya. Ia merupakan anugerah kurniaan tuhan yang diberikan kepada golongan terpilih.

Nabi Muhamad SAW pernah bersabda “Sesungguhnya seorang Mukmin itu jika ditimpa musibah penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah, maka penyakit itu menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan kepadanya untuk masa hadapan. Sedang seorang Munafik apabila dia sakit dan disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, kemudian dilepaskan. Orang Munafik itu tidak tahu mengapa dia ditambat dan mengapa dia dibebaskan (Hadis riwayat Abu Daud)

Sebab untuk beroleh kemuliaan ilahi

Sakit juga adalah sebab bagaimana Allah SWT meninggikan darjat kemuliaan hamba pilihanNya. Hal ini juga sangat berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang. Malah seseorang belum sempurna imannya selagi belum diuji oleh Allah SWT. Semakin hebat ujian itu semakin tinggi pula darjatnya disisi Allah SWT.

Nabi Muhamad SAW pernah bersabda Tiadalah seseorang Mukmin yang tertusuk duri atau lebih dari itu melainkan Allah mengangkat satu darjat dengan tusukan duri itu atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan. (Hadis riwayat Muslim). Dalam sebuah hadis Qudsi pula Allah SWT berfirman Sesiapa yang aku hilangkan kedua matanya lalu dia bersabar dan mengharapkan pahala, nescaya aku tidak suka baginya pahala selain syurga (Hadis riwayat al-Tirmiziy)

Perlu difahami segala ganjaran ini, tidaklah menjadikan individu Muslim bersifat lemah dan berharap agar diuji dengan pelbagai musibah dan penyakit. Ia lebih kepada motivasi pesakit untuk memperkuat keimanan dan kepercayaan kepada Allah SWT.

Disamping itu setiap individu Muslim diperintahkan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat terutama menjelang Bulan Ramadan al-Mubarak dimana kekuatan fizikal sangat diperlukan untuk menjalani ibadah berpuasa di bulan itu dengan sempurna.