Sunday, August 23, 2009

PERBUATAN MENCEMARI KESUCIAN RAMADHAN

Telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 25hb Ogos 2009

TINDAKAN sesetengah pengusaha kedai makanan milik orang Islam yang memulakan perniagaan di awal pagi dalam bulan Ramadhan boleh dipersoalkan. Ini termasuklah pengusaha bazar Ramadhan yang berniaga sejak sebelum waktu zuhur lagi. Untuk siapakah makanan itu disediakan? Kalau untuk orang bukan Islam berapa ramaikah pula daripada kalangan mereka yang bertandang ke premis mereka. Lebih mengelirukan apabila ada pelanggan yang keluar masuk kedai makan melalui pintu belakang sedangkan pintu hadapan tertutup.

Boleh sahaja kesempatan ini diambil oleh orang yang tak mahu berpuasa sehingga menggalakkan lagi perbuatan keji itu. Perbuatan mereka ini boleh mencemarkan kesucian bulan Ramadhan yang mulia. Malah kemungkinan mendapat saham dosa dengan menggalakkan orang tidak berpuasa.

Memang pengusaha kedai makanan tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini, ia akhirnya berbalik kepada keimanan individu itu sendiri. Namun jika jalan-jalan ke arah perbuatan keji itu ditutup mudah-mudahan dapat mengurangkan gejala buruk golongan ingkar berpuasa.

Sebagai peniaga Islam, mereka dipertanggungjawabkan dalam apa sahaja yang dilakukan. Ingatlah semua itu pasti dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Janganlah semata-mata mengejar keuntungan, dosa dan pahala tidak dihiraukan. Tiada guna untung berlipat kali ganda kalau tiada keberkatan daripada segala yang diusahakan siang dan malam.

Golongan peniaga Muslim juga dinasihatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab utama melaksanakan ibadah solat apabila sampai waktunya. Begitu pula dengan kewajipan lain seperti menutup aurat dan sebagainya. Ini kerana puasa tidak bermakna jika kewajipan-kewajipan lain terabai.

Pendedahan JAKIM dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 23 Ogos 2009 juga perlu diberi perhatian serius oleh umat Islam. Trend sesetengah orang Islam berbuka puasa di hotel sepatutnya dipertimbangkan kerana hanya 27 buah daripada 2000 buah hotel diseluruh Negara disahkan halal oleh JAKIM. Ini penting kerana ia melibatkan apa yang disuapkan ke dalam mulut sehingga menjadi darah daging. Nabi Muhammad SAW besabda “Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya”.

Dan lagi, apakah ganjaran puasa yang bakal diraih setelah seharian menahan diri daripada lapar dan dahaga, di saat berbuka puasa dicemari dengan juadah yang tidak halal. Memang, tiada siapa yang dapat menentukan pahala daripada ibadah puasa yang dikerjakan. Kerana puasa untuk Allah dan Allah yang berhak menentukannya. Tetapi, setiap orang mesti berusaha untuk mendapat puasa berkualiti dengan memperhatikan apa yang dimakan ketika berbuka puasa.

Secara umumya trend berbuka puasa di hotel juga menyebabkan umat Islam leka membuang masa lalu terlepas peluang melaksanakan solat sunat tarawih yang dituntut untuk dilaksanakan. Ingatlah bulan Ramadhan bukan masa untuk berseronok-seronok malah seharusnya dipenuhi dengan berbagai ketaatan seperti I’tikaf di masjid dan berusaha memperoleh berbagai kurnia yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, setiap individu Muslim diseru untuk sentiasa ingat kepada Allah SWT dalam segala tindakan yang dilakukan. Ingatlah pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya “ Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”.

Pihak berwajib juga disaran mengambil pendekatan sewajarnya bagi membendung gejala tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Misalnya dengan menetapkan waktu tertentu untuk memulakan perniagaan di bazaar-bazaar Ramadhan. Pihak berkuasa agama negeri juga disaran menjalankan pemantauan ke atas premis-premis menjual makanan milik orang Islam. Mungkin sahaja tindakan sita atau denda boleh dikenakan kepada pengusaha yang ingkar di samping menangkap mereka yang makan disiang hari bulan Ramadhan.

No comments:

Post a Comment