Wednesday, July 20, 2011

Persiapan menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Julai 2011

TINGGAL lebih kurang seminggu sahaja lagi umat Islam diseluruh dunia akan mula melaksanakan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan. Ia merupakan tuntutan agama yang wajib dilakukan setahun sekali oleh setiap orang Islam yang baligh, berakal serta berkemampuan untuk melaksanakannya. Hanya golongan tertentu seperti orang tua yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa. Walau bagaimanapun golongan ini tertakluk kepada kewajipan untuk membayar fidyah ataupun menggantikan puasa pada bulan-bulan yang lain.

Perlu juga difahami betapa ketibaan Ramadan merupakan sebahagian daripada nikmat kurniaan Ilahi yang perlu disyukuri kerana hanya diberikan kepada insan-insan terpilih. Terdapat dikalangan kerabat, jiran tetangga dan sahabat handai yang pada tahun lalu sama-sama berpuasa dan berhari raya kini telah pergi selama-lamanya menyahut seruan Ilahi sekaligus tidak lagi diberi keistimewaan oleh Allah SWT untuk menikmati anugerah Ramadan.

Justeru itu peluang keemasan yang datang setahun sekali ini tidak patut dipersiakan dan berlalu pergi begitu sahaja tanpa berusaha untuk melipatgandakan ketaatan. Tentunya suatu kerugian yang amat besar apabila seseorang ditakdirkan melalui Ramadan hingga kepenghujungnya tetapi tidak beroleh pengampunan dan pembebasan api neraka sepertimana yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk tujuan itu juga, persiapan rapi bagi menyambut ketibaan Ramadan perlu dilakukan seiring dengan persiapan menjelang hari raya yang terkadang menjadi tujuan utama berpuasa. Oleh itu setiap umat Islam perlu membersihkan jiwa dan raga daripada pelbagai penyakit mazmumah sebagai persediaan beroleh ganjaran yang tiada tolok bandingnya di Bulan Ramadan. Betulkan niat dan tujuan berpuasa agar menjadi motivasi untuk mempertingkat amal dan kebajikan.

Selain daripada itu persediaan mental dan fizikal turut diperlukan bagi mengharungi jadual padat yang telah ditetapkan. Bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari seseorang perlu menahan diri daripada makan dan minum juga semua perkara yang membatalkan puasa. Malah bagi mencapai tingkatan puasa khusus seseorang perlu mempastikan seluruh pancaindera terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Begitu pula seseorang yang hanya berpuasa tetapi tidak melaksanakan kewajipan solat dan menutup aurat juga dikhuatiri gagal memperoleh kesempurnaan berpuasa seperti yang diharap-harapkan.

Selain beribadah dengan modal kesihatan umat Islam turut boleh beribadah dengan modal wang ringgit. Kewajipan menunaikan zakat fitrah, memberi sedekah kepada golongan miskin dan memerlukan, memberi makan dan minum untuk orang yang berpuasa semuanya merupakan ibadah yang bersifat materilistik. Tanpa kemahiran mengurus sumber kewangan yang terhad seseorang mungkin terlepas peluang untuk beribadah menggunakan wang ringgit. Apatah lagi menjelang musim perayaan banyak wang yang akan digunakan untuk tujuan tersebut. Justeru itu, asingkan sebahagian wang gaji yang diperoleh untuk terlibat sama menginfaqkan harta di bulan Ramadan yang cukup besar ertinya terutama bagi yang tiada. Malah doa golongan tersebut mampu memberi keberkatan dan kecukupan kepada rezeki yang sedia ada walaupun tampak sedikit di pandangan mata.

Demi untuk merealisasikan tuntutan ibadah di Bulan Ramadan setiap individu Muslim perlu menyediakan perancangan program ibadah sepanjang bulan. Selain program pelaksanaan ibadah wajib seperti berpuasa di siang hari dan solat lima waktu, banyak ibadah sunat boleh dilakukan. Rancangkan berapa muka surat al-Quran mampu dibaca untuk dapat khatam di penghujung Ramadan. Rancangkan pula sejumlah bilangan zikir seperti tahlil, tahmid dan tasbih yang mampu di baca selama sebulan. Malah yang lebih utama persiapan untuk beroleh ganjaran beribadah di Malam Lailatulqadar yang boleh dilakukan dengan berusaha untuk solat tarawih setiap malam. Ini diikuti pula dengan kesanggupan untuk beribadah di sepuluh malam terakhir daripada Ramadan yang berkemungkinan besar berlaku peristiwa lailatulqadar.

Sesungguhnya kegembiraan bertemu Ramadan hanya dapat dirasai oleh individu yang tahu akan berbagai kelebihan yang khusus disediakan dalam bulan tersebut. Adapun bagi golongan yang lalai dan lemah iman berbagai alasan dan helah mula direka hanya kerana enggan menunaikan kewajipan berpuasa. Ibadah puasa bagi mereka umpama suatu penyiksaan batin yang tidak tertanggung sehingga tanpa segan silu makan di khayalak ramai tanpa sekelumit rasa berdosa. Seolah-olah mereka nekad ditangkap oleh penguatkuasa agama berbanding melaksanakan ibadah puasa sebagai manefestasi keimanan dan kepercayaan kepada Ilahi.

Marilah kita semua bergembira dengan ketibaan Bulan Ramadan al-Mubarak. Marilah kita semua berazam untuk menjadikan puasa tahun ini lebih berkualiti daripada tahun-tahun yang lalu. Ini kerana peluang yang ada semakin terhad berbanding umur dunia yang semakin deras menuju ke penghujungnya. Malah kegembiraan dan kejayaan sebenar yang bakal dikecapi adalah berpunca daripada kesempurnaan ibadah puasa yang bakal dilakukan demi mencapai makam takwa kepada Allah SWT.

Thursday, July 14, 2011

KELEBIHAN MALAM NISFU SYAABAN

SECARA umumnya semua hari dalam Islam adalah hari yang baik dan dilimpahi dengan berbagai nikmat juga keberkatan daripada Allah SWT. Namun Allah SWT melebihkan hari tertentu berbanding hari yang lain kerana hikmah dan keistimewaan yang tersendiri. Kelebihan itu juga dapat diperhatikan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang berikut;
“Syaaban adalah bulan diantara Rejab dan Ramadan yang sering dilalaikan. Di dalam bulan tersebut segala amalan hamba akan diangkat naik ke langit dan aku amat suka jika amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa”.

Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri diriwayatkan paling banyak berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Pernah Aisyah berkata kepada Baginda Nabi SAW, Ya Rasulullah, aku melihat kamu banyak berpuasa di bulan Syaaban. Rasulullah SAW bersabda “Ya Aisyah sesungguhnya ia bulan yang dicabut ruh disepanjang tahun itu maka aku suka jika ruhku dicabut pada bulan Syaaban”.

Walau bagaimanapun perlu diketahui bahawa hukum berpuasa pada hari 15 Syaaban secara khusus adalah makruh. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Apabila telah sampai pertengahan Syaaban maka usahlah kamu berpuasa lagi”. (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmiziy)

Dalam hadis yang lain disebutkan “Apabila telah sampai nisfu Syaaban (pertengahan Syaaban) maka tiadalah puasa (sunat) lagi sehingga menjelang Bulan Ramadan”. (Riwayat Ibn Majah)

Justeru dapat difahami bahawa terdapat larangan berpuasa pada 15 Syaaban dan seterusnya sehingga masuk Bulan Ramadan. Lalu bagaimana pula dengan hukum mengqada puasa. Ya bagi orang yang masih ada tanggungan puasa, wajib menggantikan puasanya jika tidak akan dikenakan membayar fidyah jika sampai melompat tahun. Perlu juga difahami hukum makruh berpuasa mulai 15 Syaaban hingga akhirnya terkecuali bagi orang yang telah melazimi berpuasa sunat Isnin Khamis, juga telah berpuasa sejak daripada awal Syaaban lagi.

Adapun kelebihan malam nisfu Syaaban berbanding malam-malam yang lain, dapat diperhatikan menerusi hadis Nabi Muhammad SAW yang berikut;

“Sesungguhnya Allah SWT turun pada malam Nisfu Syaaban ke langit dunia. Maka dia mengampuni setiap orang Islam melainkan orang musyrik, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim, yang berbuat fitnah dan wanita yang tidak menjaga kehormatan dirinya”.

Diriwayatkan daripada Abu Musa daripada Nabi Muhammad SAW sebuah hadis qudsi mengenai kelebihan Malam Nisfu Syaaban yang mana Allah SWT turun ke langit dunia lalu berfirman “Sesiapa yang memohon keampunan maka aku akan mengampunkannya, sesiapa yang meminta rezeki maka aku akan mengurniakan kepadanya, sesiapa yang ditimpa bala bencana maka aku akan melepaskannya.”.

Justeru itu, setiap individu Muslim diseru mengambil peluang dan kesempatan ini untuk berbakti kepada Allah SWT. Antara amalan yang biasa dilakukan di Negeri Johor ialah membaca Yassin sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib, dengan niat ditetapkan iman, dipanjangkan umur dalam keadaan ibadat dan dimurahkan rezeki. Kemudian diikuti dengan membaca doa malam nisfu Syaaban.

Sayogianya umat Islam memenuhi masjid dan surau-surau yang berdekatan untuk berbakti dan beramal kepada Allah SWT. Atau setidak-tidaknya lakukanlah bersama keluarga di rumah masing-masing. Apatah lagi menjelang ketibaan Bulan Ramadan al-Mubarak dimana setiap individu Muslim disuruh melipat gandakan amal kebajikan bagi meraih pelbagai ganjaran lumayan yang hanya ada di Bulan al-Mubarak tersebut.

Malah apa yang lebih penting tanggunjawab beribadat termasuk amalan membaca al-Quran dan Surah Yasin tidak hanya tertentu kepada hari-hari yang terpilih sahaja. Ia sepatutnya sudah sebati dalam jiwa sanubari umat Islam yang ingin mengabdikan diri kepada Allah Rabbul Jalil.

Selamat beramal dan semoga kita semua terpilih sebagai insan istimewa yang sekali lagi diberi peluang dan kesempatan untuk berada di Bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba.

Tuesday, July 12, 2011

BERSIH kan diri daripada sifat mazmumah

TIDAK berapa lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa sempena kedatangan Bulan Ramadan al-Mubarak. Realitinya ramai yang lebih bersedia untuk menyambut hari raya dengan pelbagai persiapan seperti tempahan baju dan langsir baru, tempahan kuih-muih, jadual marhaban dari rumah ke rumah dan lain-lain lagi. Jarang didengar ada yang menempah baju sebagai persiapan untuk bertemu Ramadan ataupun setidak-tidaknya berusaha memperbetulkan niat dan membersihkan diri daripada pelbagai perangai mazmumah yang tercela. Malah kemungkinan ada yang sudah mula berkira-kira bagaimana untuk mengelak daripada berpuasa dengan alasan yang tidak syarie yang direka-reka sendiri.

Untuk itu, setiap individu Muslim perlu membersihkan hati dengan memahami betapa ibadat puasa di bulan Ramadan merupakan suatu kewajipan yang tidak boleh sama sekali diabaikan. Ia termasuk rukun Islam yang fardu dilakukan oleh setiap individu Muslim yang memenuhi syarat-syarat wajib berpuasa iaitu Islam, baligh, berakal dan tidak dalam keadaan haid dan nifas bagi wanita.

Sayogia juga difahami barangsiapa yang enggan berpuasa dengan mengingkari kewajipan berpuasa di bulan Ramadan termasuk golongan murtad yang kena disuruh untuk bertaubat jika tidak, boleh dikenakan hukuman bunuh seperti yang disyariatkan. Adapun keengganan berpuasa kerana malas dan tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak termasuk pula dikalangan orang fasik yang berdosa besar. Pemerintah Islam boleh bertindak menangkap dan memenjarakan golongan ini serta diperintah untuk berpuasa di siang hari sebagaimana yang sepatutnya dilakukan.

Selain itu, umat Islam diseru memuhasabah diri dengan bersiap sedia sama ada dari aspek mental, fizikal dan punca kewangan bagi menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak. Ia peluang sekali setahun khusus bagi individu yang terpilih yang tidak patut dipersiakan. Ramadan juga bulan ibadat yang memerlukan kekuatan mental untuk melawan musuh hawa nafsu yang bermaharajalela ketika Iblis dibelenggu oleh Allah SWT. Selain itu kesihatan tubuh badan dan kekuatan fizikal juga sangat diperlukan untuk melakukan pelbagai ibadat sama ada yang difardukan mahupun yang disunnahkan seperti solat tarawih dan qiamullail. Sumber kewangan turut dapat membantu merealisasikan tuntutan ibadat dengan bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan membayar zakat fitrah yang diwajibkan.

Sikap buruk seperti suka melepak dan membuang masa hendaklah mula diganti dengan banyak beritikaf di masjid dan mengaji al-Quran. Perbuatan suka mengumpat, mengeji dan memburukkan orang lain hendaklah dielakkan. Malah adalah lebih mulia jika ia diganti dengan berzikir mengingat Allah SWT ataupun diam jika tiada yang hendak diperkatakan. Pelbagai gejala dosa dan maksiat termasuklah perangai mazmumah seperti sombong, tidak mahu ditegur, sukar menerima nasihat hendaklah dijauhi sebagai persediaan memperoleh sebesar-besar kurniaan di bulan Ramadan.

Selain itu golongan peniaga diseru membersihkan jiwa daripada hanya memikirkan keuntungan berlipat kali ganda yang bakal diraih menjelang Ramadan dan musim perayaan yang mendatang. Ini kerana selain berniaga mereka juga berpeluang memperoleh pahala dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang enak lagi berkhasiat juga dengan harga yang berpatutan. Para peniaga Bazar Ramadan pula dinasihat agar tidak terlalu awal memulakan perniagaan kerana dikhuatiri menyumbang kepada gejala tidak berpuasa dikalangan umat Islam. Alasan juadah dijual untuk orang bukan Islam tidak boleh diterima kerana berapa keratlah sangat golongan tersebut yang bertandang ke gerai mereka. Malah lebih membimbangkan apabila amalan puasa yang dilakukan kurang sempurna dek kerana terpalit dosa golongan yang sengaja tidak berpuasa.

Isu makanan halal yang disuapkan ke mulut juga perlu diberi perhatian serius. In kerana menjelang Ramadan pelbagai promosi dilakukan oleh hotel tertentu untuk berbuka puasa. Ia semarak di bulan Ramadan berikutan kegemaran segelintir masyarakat Islam yang mengadakan majlis berbuka puasa di hotel-hotel ataupun berbuka sambil bersantai bersama keluarga. Malah penyelidikan sama ada terdapat sijil halal daripada JAKIM ataupun tidak perlu dilakukan sebelum memilih untuk berbuka di hotel tertentu. Ini penting bagi mengelak memakan makanan yang tidak halal seterusnya memberi kesan kepada puasa yang dilakukan sepanjang hari. Umat Islam juga perlu membersihkan jiwa daripada keinginan untuk makan dan berseronok-seronok di bulan Ramadan berbanding usaha bersungguh-sungguh melakukan seberapa banyak ibadah termampu.

Sempena dengan ketibaan Ramadan kali ini juga umat Islam diseru merangka dan menyedia jadual terperinci akan amal ketaatan yang akan dilakukan. Misalnya berapa muka surat al-Quran yang hendak dibaca setiap hari hingga berjaya khatam di penghujung Ramadan. Semua ini penting bagi melonjakkan diri ke tangga puasa khusus yang lebih berkualiti dan diterima dengan sempurna.

Apapun pelbagai persiapan yang dilakukan menjelang tibanya hari raya tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan yang mengurangkan pahala berpuasa. Akan tetapi janganlah ia dijadikan tujuan dan matlamat puasa yang sebenar sehingga persiapan berbentuk spritual untuk bertemu Ramadan diketepikan. Malah tanda aras kepada kejayaan sebenar yang bakal diraih daripada Ramadan ditentukan dengan kejayaan membersihkan diri daripada ikutan hawa nafsu ataupun sebaliknya.

Akhirnya ingatlah pesan Baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa kecuali rasa lapar dan dahaga”. Ada kemungkinan ia akibat daripada kurang memahami hakikat puasa yang sebenar kesan daripada hati sanubari yang kotor lagi dicemari oleh pelbagai sikap buruk yang tercela. Justeru itu, berusahalah untuk mencapai kualiti puasa sebenar dengan membersihkan seluruh pancaindera daripada perangai mazmumah yang merosakkan pahala berpuasa.