Thursday, September 30, 2010

EKSTRIMIS BUKAN AJARAN ISLAM

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 Oktober 2010 dengan tajuk PIAGAM MADINAH ASAS WUJUD HUBUNGAN HARMONI

TINDAKAN paderi Benjamin Stephen yang didakwa menghina Islam dan institusi kerasulan menerusi laman sesawang You Tube dilihat cuba mengeruhkan ikatan mesra antara penduduk berbilang agama di negara ini. Ia sekaligus menyemarakkan lagi perasaan takut dan benci kepada Islam yang sedang berlaku di sesetengah negara Barat. Gejala Islamophobia di Amerika Syarikat sebagai contoh telah menggagalkan usaha untuk menubuhkan sebuah pusat Islam berhampiran Ground Zero kerana mendapat bantahan akibat tuduhan penglibatan umat Islam dalam insiden 911. Malah tindakan Paderi Terry Jones dari The Dove World Outreach Centre di Florida yang beria-ia mengadakan kempen membakar al-Quran sempena peristiwa itu juga adalah antara usaha menanam kebencian mendalam terhadap Islam dan penganutnya.

Selaras dengan itu cadangan oleh Datuk Nooh bin Gadut Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor supaya Piagam Madinah dijadikan asas untuk mewujudkan hubungan harmoni di antara agama wajar dipertimbangkan. Menurut beliau lagi Piagam Madinah yang merupakan wasiat tinggalan Rasulullah SAW adalah model terbaik yang menunjukkan bagaimana Islam sangat menitikberatkan pertalian muhibah antara umat Islam dan bukan Islam.

Pernyataan ini dijelaskan lagi oleh Mahayudin Hj. Yahaya dalam buku bertajuk Tamadun Islam yang menyatakan Piagam Madinah atau Sahifah Madinah dengan jelas memberi jaminan keselamatan terhadap non –Muslim yang menganggotai dan mematuhi peraturan yang digariskan. Dengan kata lain isi kandungan piagam tersebut yang terdiri daripada 47 fasal telah menentukan prinsip kebebasan akidah, kebebasan berfikir, kesucian Kota Madinah, keselamatan nyawa dan harta benda serta pencegahan terhadap perkara mungkar seperti mencuri, melakukan kezaliman, membunuh dan seumpamanya.

Selain daripada itu setiap individu Muslim boleh memainkan peranan signifikan menjernihkan gejala Islamophobia yang mula semarak akhir-akhir ini dengan menjadi duta bagi mempromosikan elemen keunikan Islam kepada masyarakat. Komitmen bersungguh-sungguh dan berterusan perlu dilakukan bagi menghilangkan pelbagai tanggapan negatif yang dilontarkan terhadap Islam. Oleh yang demikian aspek perundangan Islam perlu terlebih dahulu menjadi teras pegangan ummah sehingga segala tindak-tanduk dan perlakuan dapat dilaksanakan sesuai dengan ajarannya.

Disamping itu umat Islam diseru mempromosikan nilai-nilai ketinggian Islam melalui aspek pemantapan akidah, pelaksanaan ibadah yang sempurna dan mempraktikkan keunikan nilai akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Begitu pula semangat toleransi dan persefahaman sesama manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa dapat menyumbang kepada keamanan sejagat yang sangat diperlukan dewasa ini.

Perlu juga diingat tindakan menghina dan mencerca agama lain adalah dilarang sama sekali. Ini termasuk gejala ekstrimis seperti membakar rumah ibadah dan mencemarkan kesucian agama lain yang jauh menyimpang daripada nilai al-samahah dan toleransi yang digariskan dalam Islam.

Tegahan ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampau batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah kami memperelok pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka lalu iapun menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka kerjakan”. (Surah al-An’am:108)

Lebih jelas lagi perlakuan buruk segelintir pelampau agama yang cuba menggugat keharmonian hidup beragama seperti ini pasti mengundang bencana dan malapetaka kepada negara jika tidak dibendung dengan segera. Ia ibarat api dalam sekam yang boleh menimbulkan rusuhan kaum pada bila-bila masa lalu merencatkan pembangunan negara. Lihat sahaja kepada tragedi Masjid Babri di Ayodha India yang pernah mengorbankan kira-kira 2000 nyawa akibat tindakan pelampau Hindu yang merampas Masjid tersebut. Kini setelah hampir 60 tahun isu tersebut kembali hangat diperkatakan menjelang keputusan penghakiman yang akan menentukan sama ada tapak masjid tersebut akan diserahkan kepada umat Islam bagi membina semula Masjid Babri yang diruntuhkan ataupun kepada penganut Hindu yang pernah merampas masjid tersebut.

Amanat oleh YAB Perdana Menteri semasa berucap di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu supaya “Pergerakan Global Kumpulan Sederhana” dibina daripada semua agama untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem yang mengancam dunia dengan ketaksuban dan pendapat yang berat sebelah perlu disambut baik oleh semua pemimpin agama di Malaysia khususnya bagi merealisasikan hasrat tersebut. Ini kerana tiada guna YAB Perdana Menteri berceramah di persada dunia jika masyarakat sendiri masih skeptikal terhadap keistimewaan Islam sebagai agama rasmi di negara berdaulat ini, sehingga masih ada pihak berani yang mempersoalkan dan mencemarkan kesuciannya
Akhirnya fahamilah bahawa Islam tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana puak militant yang menyebabkan huru-hara atas nama agama. Sebaliknya syariah Islam adalah agama yang bersifat universal untuk semua manusia termasuk golongan bukan Islam yang mendapat manfaat keamanan dan keterbukaan daripadanya.

Perkara ini turut diperjelaskan oleh Rasulullah SAW dalam riwayatnya yangbermaksud “Aku diutus dengan agama fitrah yang menganjurkan toleransi dan persefahaman”

Wednesday, September 22, 2010

HANTU BERKELIARAN DI BULAN SYAWAL

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24/9/2010 dengan tajuk "Kebanyakan orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah".

FILEM hantu yang mengundang kepercayaan tahyul dan khurafat serta boleh membawa kepada perbuatan syirik menjadi juadah hidangan hari raya masyarakat Islam di Malaysia sejak 1 Syawal yang lalu. Berbagai gambaran hantu seperti pocong dan zombie yang ditayangkan kepada khayalak penonton semasa menyambut Aidilfitiri kelihatan tidak begitu sesuai dengan suasana hari raya yang hendaknya diisi dengan kegembiraan dan kesyukuran sambil memuji kebesaran Ilahi.

Akibatnya hari ini ramai orang lebih takutkan hantu daripada balasan azab Allah SWT ke atas segala dosa dan nista yang sengaja dilakukan. Malah perbuatan dosa yang mengundang malapetaka sosial kepada negara kini dilakukan secara terang-terangan tanpa segan-silu lagi. Di sana sini maksiat berleluasa, terbaharu jejantas pejalan kaki di Mersing Johor dijadikan tempat melakukan perbuatan zina terkutuk berikutan penemuan pakaian dalam wanita yang tidak sempat dipakai semula kerana tergesa-gesa melarikan diri.

Fenomena seperti ini juga boleh dilihat dengan mudah terutama di musim cuti dan hujung minggu di mana pasangan muda-mudi mengambil kesempatan cuti untuk memadu asmara di kawasan rekreasi seperti air terjun, hutan lipur dan kawasan pantai peranginan yang menjadi tumpuan ramai. Tentu sekali ia perlakuan menjijikkan apatah lagi jika dilakukan oleh umat Islam yang baharu sahaja selesai menerima pendidikan tuhan di bulan Ramadan. Malah ia kemungkinan dicontohi pula oleh kanak-kanak yang sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru apabila terpandang gejala tidak bermaruah tersebut. Ini ditambah lagi dengan akses mudah kepada bahan pornografi yang banyak terdapat di ruang siber tanpa sebarang sekatan.

Sehubungan dengan itu penulis menggesa semua pihak mengambil peduli akan kemungkaran yang berlaku disekeliling mereka. Ini kerana amanah menyeru kepada kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar bukan hanya terpikul di bahu pihak berkuasa seperti Polis dan penguatkuasa majlis agama Islam semata-mata. Begitu pula ia bukan hanya tanggungjawab imam, ahli jawatankuasa masjid dan golongan agamawan. Ia merupakan tugas semua yang jika tidak ditunaikan akan dipersoalkan di hari kemudian.

Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dengan maksudnya; “Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu maka hendaklah dengan lidahnya dan jika tidak mampu maka hendaklah dengan hati yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”.

Malah jika ada gesaan daripada beberapa pemimpin masyarakat India supaya gansterisme di kalangan mereka dibenteras habis-habisan mengapa tidak ia diperluaskan juga kepada membenteras habis-habisan gejala tidak bermoral seperti berkhalwat, zina dan bersekedudukan di kalangan umat Islam yang kronik serta mengundang pula kepada tindakan keji buang bayi yang tidak berperikemanusiaan.

Selain hantu lakonan yang banyak disiarkan oleh stesyen televisyen masa kini terdapat pula sebilangan manusia yang benar-benar dirasuk oleh hantu syaitan hingga tergamak melakukan pembunuhan kejam terhadap rakan seperniagaan, jiran tetangga, ibu dan ayah serta kerabat terdekat. Perbuatan bunuh-membunuh seperti yang banyak ditayangkan di filem-filem seolah-olah menjadi mainan oleh penjenayah masa kini lebih-lebih lagi jika terdesak untuk berbuat demikian.

Lebih merungsingkan lagi apabila jenayah pembunuhan terancang seperti yang berlaku kepada Datuk Sosilawati dan ramai yang lain dilakukan oleh golongan professional seperti peguam yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat dan negara demi menegakkan keadilan sejagat.

Untuk itu juga pengamal undang-undang Muslim terutamanya dinasihat supaya tidak hanya mementingkan keuntungan berlipat kali ganda dengan menipu dan mengambil hak orang lain. Kalaupun mungkin dengan perlakuan salah itu mereka terlepas daripada hukuman ketika di dunia, hukuman di hari akhirat yang lebih dahsyat menanti dengan pasti. Dan apabila tiba saat itu tiada sesiapa yang kebal daripada hukuman sehingga besar atau kecil sesuatu kesalahan tetap akan dipertanggungjawabkan.

Berdasarkan hukum karma juga jika sesuatu perkara terdahulu dilakukan bukan disebabkan nafsu, kerakusan dan sifat-sifat yang buruk maka pelakunya akan mendapat kenikmatan dan kebahagiaan. Manakala jika disebabkan nafsu dan segala sifat yang buruk, maka pembuatnya akan menerima padah. Ini juga bertepatan dengan kepercayaan dalam agama Hindu bahawa setiap manusia harus bertanggungjawab atas segala yang dilakukan dan akan menerima balasan yang setimpal.

Akhirnya masyarakat Islam perlu menyedari bahawa hantu yang sebenar iaitu Iblis serta kuncu-kuncunya kini berkeliaran di merata tempat. Sejak 1 Syawal yang lalu Iblis telah dibebaskan daripada dibelenggu dan kini berusaha sedaya-upaya untuk merosakkan akidah dan pemikiran manusia ke arah kesesatan. Untuk itu hanya golongan Mukmin yang beroleh ganjaran takwa dan teguh keimanannya mampu menangkis serangan bertubi-tubi musuh Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sedarlah juga betapa manusia yang bertopengkan hantu syaitan lebih berbahaya berbanding Iblis dan sekutunya yang hanya berupaya memujuk dan menjuruskan manusia kepada melakukan sesuatu kejahatan kemudian berlepas tangan daripada usaha buruk mereka itu.

In berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika dia berkata kepada manusia: Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!”. (Surah al-Hasyr:16)

Monday, September 20, 2010

USAH BUANG BAYI LAGI

PENEMUAN seorang bayi lelaki Melayu di bawah jambatan dan masih bertali pusat di Sungkai Perak dan seorang lagi bayi yang dibuang di belakang rumahnya sendiri di Taman Rasa Sayang, Jitra Kedah baru-baru ini jelas menunjukkan betapa barah sosial dikalangan segelintir masyarakat Islam ditahap membimbangkan. Nampaknya sia-sia sahaja berbagai peringatan dan kempen kesedaran yang banyak dianjurkan kerana ia belum mampu meredakan perbuatan durjana membuang kandungan sendiri. Begitu pula hukuman gantung mandatori jika sabit membuang bayi yang diperkenalkan oleh kerajaan juga langsung tidak menakutkan mereka. Lalu apa lagi yang harus dilakukan bagi membendung jenayah kejam ini daripada terus berpanjangan entah bila kan berhenti.

Justeru itu rayuan ikhlas ditujukan kepada sesiapa sahaja yang sudah terlanjur mengandung anak luar nikah supaya bertaubat dan berhenti daripada menambah dosa. Jika ada perancangan untuk membuang bayi yang bakal dilahirkan eloklah dibuang jauh-jauh kerana dia belum mengenal erti kehidupan. Mereka yang ingin berbuat demikian juga dinasihat supaya sentiasa ingat kepada Tuhan sambil merenungkan betapa siksa kematian bayi tersebut jika ditinggalkan dalam kesejukan malam lalu dihurung oleh ribuan semut ataupun di lahap oleh anjing yang kelaparan.

Pasangan lelaki pula diseru bertanggungjawab dan menebus kesilapan lalu dengan berusaha memulakan kehidupan baharu sambil mendekatkan diri dan memohon keampunan daripada-Nya. Jika ada yang enggan memelihara bayi yang dilahirkan usah dibuang merata tempat. Gunakan perkiraan akal yang waras dengan menyerahkannya kepada Rumah Kebajikan Masyarakat ataupun mana-mana pihak yang sudi untuk mengasuh dan membesarkannya seperti kanak-kanak yang lain. Golongan yang sudah terlanjur juga dinasihat supaya tidak terpengaruh dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga terlibat menjadi pembunuh tanpa disedari.

Bagi remaja yang terlanjur melakukan zina dan sedang hamil boleh juga mendaftarkan diri untuk memasuki sekolah hamil atau Sekolah Harapan Melaka yang sudah mula menerima kemasukan 5 orang pelajarnya baru-baru ini. Ia sekaligus memberi peluang kedua kepada golongan terlibat untuk memperbaiki kealpaan masa lalu dengan lebih sistematik dan terancang, disamping pengisian rohani yang mampu menenangkan jiwa. Penubuhan sekolah ini juga menunjukkan betapa masih ada yang sayang dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu golongan terlibat kembali ke pangkal jalan.

Lagipun tindakan nekad membuang bayi tidak akan menyelesaikan segala keterlanjuran yang sudah berlaku. Ia tak ubah seperti nasi yang sudah menjadi bubur. Selain berhadapan tindakan tegas disisi undang-undang mereka yang terlibat pasti menanggung penyesalan seumur hidup yang menyumbang pula kepada gangguan psikologi yang kronik. Rasa bersalah dan tidak tenang akhirnya akan menyebabkan golongan ini gagal menjalani kehidupan biasa sehingga kemungkinan ada yang terlibat mengambil dadah atau ubat penenang yang memudaratkan. Boleh jadi ada juga yang merana sakit jiwa dek kerana dosa-dosa silam.

Ingatlah juga bahawasanya setiap yang hidup pasti akan mati dan pada saat itu pelaku dosa termasuk yang membuang bayi akan berhadapan dengan hukuman Tuhan yang sangat pedih dan tidak tertanggung oleh sesiapapun. Pelbagai siksa kubur seperti dihimpit oleh tanah hingga bertemu tulang rusuk, digelapkan dalam kubur dan disengat oleh binatang yang berbisa menunjukkan betapa Allah SWT tidak pernah alpa daripada mengetahui segala tindak-tanduk manusia sama ada yang baik mahupun buruk. Malah kehidupan seharian yang tidak karuan dirundung dengan pelbagai masalah merupakan sebahagian daripada hukuman Tuhan di dunia yang sukar untuk dilalui jika sirna daripada limpahan rahmat dan petunjuk daripada-Nya.

Sehubungan dengan itu komuniti Islam daripada pelbagai peringkat umur diseru menjadikan kemenangan Ramadan yang telah berlalu sebagai langkah permulaan untuk memperbaiki diri sambil memperbetulkan kesilapan lalu dengan kembali ke jalan yang lurus. Golongan muda-mudi Islam pula dinasihat agar tidak terpengaruh dengan pergaulan bebas tanpa batasan yang menyumbang kepada gejala keruntuhan akhlak dikalangan masyarakat yang akhirnya menimbulkan persepsi negatif terhadap agama Islam.

Selain daripada itu aktiviti ziarah serta kunjung-mengunjung yang semarak dilakukan pada ketika ini elok menjadi wadah penyatuan ummah bagi membendung gejala ketirisan moral dikalangan sebahagian masyarakat Islam. Ini dapat dilakukan menerusi amalan mulia tegur-menegur dan saling menasihati antara satu dan lain. Para ibubapa yang berkunjung ke rumah jiran tetangga dan handai-taulan juga afdal membawa anak-anak remaja bersama untuk lebih mempertaut ikatan ukhuwah sesama Muslim. Perkenalan ini juga akan menjadikan masyarakat Islam setempat lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu keadaan saudaranya yang lain sehingga gejala tidak bermoral yang berlaku disekeliling mereka dapat dibenteras sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun kekuatan dalaman dan jatidiri sendiri merupakan perisai ampuh yang perlu disemat dalam diri bagi menangkis pelbagai penyakit sosial yang berleluasa ketika ini. Untuk tujuan itu setiap individu Muslim diseru supaya sentiasa mendampingkan diri kepada Ilahi dengan memperhebat kegiatan ibadah disamping sentiasa memohon bantuan dan pertolongan daripada-Nya. Ini kerana tiada jalan lain untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku selain kembali berserah dan berharap hanya kepada-Nya.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". (Surah Taha:124)

Apapun bukan mudah untuk merempuh kekuatan nafsu sendiri yang tidak terbatas dan melangkaui batasan masa dan tempat. Ini ditambah lagi dengan pembebasan musuh syaitan daripada dibelenggu sejak 1 Syawal yang lalu. Sekalipun begitu ia juga bukan alasan untuk terus mempergiat aktiviti dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan dan malapetaka Ilahi. Malah itulah cabaran yang wajib ditempuhi bagi mematangkan jiwa dan keimanan para mukminin sehingga kembali bertemu Allah SWT sebagai individu yang beroleh kemenangan hakiki duniawi dan ukhrawi.

MEMANFAATKAN DUIT RAYA ANAK-ANAK

Artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 September 2010

RAMAI yang sanggup berbaris panjang dan bergerak dari satu bank ke satu bank semata-mata untuk menukar duit raya yang kebiasaannya daripada wang kertas yang baharu. Budaya sebegini telah menjadi tradisi turun-temurun masyarakat Islam di Malaysia. Ia amalan mulia yang menjurus kepada galakan untuk bersedekah dan saling bantu-membantu terutama kepada golongan daif dan kurang berkemampuan. Sedikit ataupun banyak pemberian itu tidak menjadi persoalan yang penting ia diberikan dengan rasa penuh keikhlasan sambil mengharap ganjaran daripada-Nya.

Dengan pemberian itu juga sudah pasti kanak-kanak antara yang paling gembira kerana berpeluang mengumpul sebanyak mungkin duit raya walaupun terpaksa berjalan jauh dan bertandang dari satu rumah ke satu rumah. Malah kadang-kadang terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana hanya disajikan dengan air sirap dan kuih muih sahaja.

Namun sedarkah kita jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk pemberian duit raya. Mengikut perangkaan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada tahun 2010 sahaja terdapat kira-kira 4.9 juta kanak-kanak dan remaja Melayu yang berumur di antara 1-14 tahun. (sumber http://www.epu.gov.my/html/themes/epu/images/common/pdf/eco_stat/pdf/1.2.5.pdf) Bayangkan jika purata setiap kanak-kanak menerima RM1 duit raya bermakna sebanyak hampir RM5 juta digunakan untuk tujuan itu setiap kali hari raya. Malah jumlah tersebut semakin bertambah apabila nilai wang yang diberikan juga semakin besar.

Persoalannya ke mana wang sebanyak itu dibelanjakan. Adakah dihabiskan untuk berseronok dengan permainan video di cybercafé, membeli rokok, mercun, bunga api dan lain-lain yang tidak bermanfaat atau digunakan untuk keperluan sekolah dan tabungan masa hadapan.

Justeru itu ibubapa sewajarnya mengambil langkah proaktif menguruskan duit raya anak-anak dengan berhemah. Mungkin sebahagiannya boleh disimpan dalam akaun bank atau bagi orang Islam disimpan dalam akaun Tabung Haji bagi menunaikan kewajipan haji apabila besar nanti. Bagi yang bijak mengurus wang ia juga boleh dilaburkan dalam akaun amanah saham untuk mendapat pulangan yang lebih menguntungkan.

Bagi golongan remaja pula yang kemungkinan menerima jumlah duit raya yang lebih banyak dinasihat berusaha untuk menggunakan wang tersebut sebaik mungkin. Jika masih bersekolah misalnya duit raya yang diperoleh boleh digunakan untuk perbelanjaan sekolah mahupun membeli buku-buku rujukan untuk keperluan menghadapi peperiksaan yang menjelang tiba. Ia sekaligus dapat meringankan beban tanggungan ibubapa apatah lagi jika ramai anak yang masih bersekolah.

Kegagalan menguruskan duit raya dengan bijaksana menyebabkan matlamat untuk membantu golongan kanak-kanak yang kurang berkemampuan tidak tercapai. Malah bantuan yang diperolehi terhad hanya untuk jangkamasa tertentu sahaja kerana telah dihabiskan sebaik wang diterima oleh kanak-kanak tersebut.

Tindakan sesetengah ibubapa yang mempergunakan duit raya anak-anak untuk tujuan lain seperti membayar hutang kad kredit yang telah digunakan untuk perbelanjaan hari raya juga boleh dipersoalkan kerana telah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.
Oleh itu ibubapa sewajarnya tidak mengambil kesempatan daripada budaya pemberian duit raya dengan menghabiskan wang itu bukan untuk keperluan anak-anak. Sebaliknya golongan ibubapa diseru untuk belajar menguruskan wang dengan baik tanpa terlalu boros berbelanja dan membazir melebihi kemampuan yang ada.

Para penyumbang duit raya juga diingatkan supaya mengelak daripada sifat menunjuk-nunjuk yang boleh menghilangkan pahala bersedekah. Pemberian duit raya juga hendaklah mengikut kemampuan yang ada. Disamping itu budaya pemberian duit raya boleh juga diperluaskan kepada fakir-miskin, ibu tunggal dan orang tua yang lebih memerlukan berbanding kanak-kanak yang masih di bawah tanggungan ibubapa mereka.

Malah adalah baik jika amalan mulia ini dilakukan secara berterusan demi manfaat ummah secara kolektif. Badan-badan kebajikan, rumah anak yatim dan rumah orang tua misalnya memerlukan bantuan sepanjang tahun demi untuk meneruskan suvival kehidupan mereka.

Begitu pula masjid dan surau juga sentiasa mengharapkan sumbangan orang ramai dalam menjalankan aktiviti ibadah dan kemasyarakatan. Amalan marhaban daripada rumah ke rumah dilihat sebagai contoh terbaik pelaksanaan amalan ini. Disamping menghulurkan infaq untuk mengimarahkan rumah Allah masyarakat setempat dapat mempererat hubungan silaturrahim antara sesama mereka.

Sehubungan dengan itu umat Islam seharusnya lebih peka dengan keperluan-keperluan ini agar golongan yang memerlukan tidak ketinggalan merasai kegembiraan berhari raya sama seperti insan yang lain. Lebih daripada itu masyarakat Islam diharap tidak lokek untuk memberi sedikit sumbangan duit raya kepada kanak-kanak mengikut kemampuan yang ada. Dengan bersifat pemurah juga seseorang dapat menunjukkan kesyukuran terhadap segala rezeki pemberian Tuhan yang mudah-mudahan akan ditambah dan diberkati lagi.

Perkara ini dapat diperhatikan kepada sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Tidak akan menyesal orang yang beristikharah dan tidak akan papa orang yang bersedekah”

Monday, September 6, 2010

Berhemah elak kecelakaan jalanraya

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 7 Sept. 2010 dengan tajuk "Memecut laju kejar ganjaran Ramadan"

BERHEMAH di jalanraya adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Apatah lagi ia sangat berkait rapat dengan aspek pemeliharaan terhadap nyawa manusia yang menjadi mekanisme terpenting untuk memperhambakan diri kepada Rabulalamin. Justeru itu orang ramai di seru untuk sentiasa berwaspada semasa memandu bagi mengelak musibah kemalangan jalanraya yang berpotensi meningkat menjelang musim balik kampung sempena Syawal yang menjelang tiba.

Suruhan berhemah itu terkandung dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; “Berhati-hati merupakan perintah Allah manakala tergesa-gesa adalah amalan syaitan”. Sehubungan dengan itu umat Islam terutamanya diseru mempraktikkan sunnah Nabi SAW ini dalam segenap lapangan pekerjaan termasuk ketika pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Suruhan ini juga bertepatan dengan perintah Allah SWT yang secara umum melarang umatnya menjerumuskan diri kepada perkara yang membinasakan sebagaimana firman-Nya yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang yang berusaha supaya baik amalannya” (Surah al-Baqarah:195)

Mengikut statistik yang dicatatkan dalam laman sesawang rasmi Jabatan Keselamatan Jalan raya Malaysia (www.jkjr. gov.my) pada Ops Sikap ke 20 sempena Hari Raya Aidilfitiri 2009 yang lalu sebanyak 17,335 kes kemalangan jalanraya direkodkan. Daripada jumlah itu sebanyak 261 kematian dicatatkan dengan purata 17.4 kes kemalangan sehari. Menurut satitistik itu lagi sejak Ops Sikap dan pelbagai nama lain seperti Ops Pacak dan Ops Statik mula dilancarkan sejak tahun 2000 sebanyak 263,583 kes kemalangan jalanraya direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 4252 nyawa telah terkorban di jalanraya.

Lihatlah betapa nyawa yang begitu berharga terkorban akibat kecuaian dan sikap buruk sesetengah pemandu. Ia jelas terjadi akibat tidak berhemah dan memandu secara melulu tanpa mempedulikan keselamatan orang lain. Ia juga boleh berlaku hanya kerana sikap sambil lewa seperti tidak menyalakan lampu signal ketika membelok, memandu perlahan di lorong laju atau menjawab panggilan telefon dan mengirim sms yang membahayakan. Pastinya apabila insiden itu berlaku keseronokan pulang berhari raya di kampung pasti bertukar menjadi duka kehilangan orang yang tersayang.

Oleh itu hargailah nyawa sebagai kurniaan Ilahi dengan sentiasa memelihara keselamatan diri dan ahli keluarga masing-masing. Malah jika diteliti aspek pemeliharaan nyawa menjadi satu daripada maqasid syariah yang mesti diutamakan dalam Islam. Perkara ini boleh diperhatikan kepada kewajipan berpuasa di bulan Ramadan yang mengharuskan seseorang tidak berpuasa atau dibenarkan berbuka jika memudaratkan kesihatan dan menghilangkan nyawa. Begitu pula ketika darurat seseorang dibenarkan makan apa sahaja termasuk yang haram agar survival kehidupan dapat diteruskan.
Sayugia diingatkan agar setiap pemandu sentiasa bertimbang rasa dan bersabar semasa memandu. Perancangan rapi sebelum bertolak pulang ke kampung juga dilihat mampu mengelak lambakan kenderaan yang berpusu-pusu pulang ke kampung sekaligus berupaya mengelak sebarang kemalangan yang tidak diingini.

Para muslimin juga diseru berdoa dan bertawakkal kepada Ilahi agar terhindar daripada sebarang musibah yang menimpa. Walau bagaimanapun ia hendaklah bermula daripada sikap pemandu sendiri yang sewajarnya mematuhi segala peraturan jalanraya.
Antara doa tersebut ialah firman Allah SWT yang bermaksud “Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya” (Surah Hud:41) dan Firman-Nya lagi yang bermaksud “Maha suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya” (Surah al-Zukhruf:13).

Apapun umat Islam diseru untuk memecut gear laju bagi mengejar ganjaran kelebihan Ramadan yang semakin hampir kepenghujungnya. Masyarakat Islam juga diingatkan supaya tidak melalaikan tanggungjawab berpuasa yang wajib dilaksanakan sehingga akhir bulan Ramadan. Janganlah kerana sibuk membuat persiapan untuk pulang ke kampung dan berhari raya segala amal ketaatan yang menjadi rutin harian beberapa minggu yang lalu diabaikan begitu sahaja.

Sedarlah juga betapa peluang keemasan terpilih berada dalam Ramadan kali ini belum tentu dapat dinikmati lagi pada tahun-tahun mendatang. Malah di hari-hari terakhir Ramadan Nabi Muhammad SAW diriwayatkan mengasingkan diri daripada para isterinya dan mengejutkan mereka untuk bangun malam demi mencari ganjaran pahala beribadah 1000 bulan yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Persoalannya jika kesungguhan yang begitu ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW yang maksum mengapa tidak setiap individu Muslim berusaha menghabiskan puasa Ramadan dengan sempurna sambil berusaha mencari Lalilatulqadar dengan seluruh kudrat yang ada. Ini kerana kalaupun seseorang diberi nikmat umur melebihi 83 tahun yang menyamai pahala beribadah di malam al-Qadar belum tentu lagi dapat dipenuhkan semuanya dengan aktiviti-aktiviti ibadah. Bayangkan pula betapa mulia kedudukan seorang hamba disisi Tuhan-Nya jika setiap kali Ramadan diberi nikmat bertemu Lalilatulqadar lalu diampunkan segala dosa.

Sunday, September 5, 2010

Muhasabah sambut Aidilfitri

AIDILFITRI yang bakal disambut tidak lama lagi jelas menampakkan seribu kegembiraan kepada umat Islam di serata pelusuk dunia. Apa tidaknya segala susah payah menahan lapar dan dahaga di kala siang serta tidak melakukan perkara yang dilarang kini dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran takwa sepertimana yang dijanjikan oleh-Nya. Selain daripada itu ganjaran pengampunan dosa manefestasi daripada pelaksanaan puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan juga turut menjadi anugerah tidak ternilai untuk para Muslimin yang sanggup menghidupkan malam-malam Ramadan dengan pelbagai ketaatan yang disyariatkan.

Malah yang pastinya menjadi dambaan setiap orang yang berpuasa adalah kegembiraan ketika diberi nikmat menghadap Tuhan Yang Maha Esa. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Bagi orang yang berpuasa diberikan 2 kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka (berhari raya) dan kegembiraan ketika bertemu Tuhan-Nya”.

Justeru kejayaan memperoleh pelbagai ganjaran itu diharap menjadi titik tolak kepada perubahan tahap keimanan dan ketakwaan setiap orang Islam bagi mengharungi cabaran hidup menjelang tibanya Syawal yang mulia. Ini kerana Syawal dan bulan-bulan yang berikutnya merupakan medan perjuangan sebenar yang menagih komitmen umat Islam untuk merealisasikan pendidikan Tuhan ketika Ramadan.

Ia juga bakal menjadi penanda aras kepada tahap penerimaan ibadah puasa oleh Allah SWT yang sebilangan besar tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya selain rasa lapar dan dahaga. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”

Untuk tujuan itu juga masyarakat Islam diseru memuhasabah dan mempersiap diri bagi menghadapi perjuangan sebenar pasca Ramadan dengan melestarikan tarbiyah Ramadan sedapat mungkin. Malah usaha untuk mempergiat amalan salat berjamaah, qiamullail dan banyak bersedekah hendaklah dimulakan segera tanpa berlengah seusai Ramadan. Begitu pula amalan solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal merupakan amalan sunat muakkad yang tidak sepatutnya diabaikan.

Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka sama seperti dia berpuasa setahun lamanya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Masyarakat Islam juga diingatkan betapa Syawal bukan kesempatan untuk mengada’ segala perbuatan dosa yang “KIV” dilakukan sebulan yang lalu. Adalah tidak manis jika Aidilfitri yang tiba disambut dengan perlakuan dosa dan maksiat yang mencemari kesucian hari lebaran. Malah umat Islam digalak untuk memperbanyak ucapan zikir mengingat Allah SWT dan bertahmid memuji kebesaran Tuhan yang telah memberi berbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya.

Cukuplah perilaku buruk segelintir manusia yang tergamak mencemari kesucian 10 hari terakhir Ramadan dengan berhibur di kelab malam yang dikelilingi oleh pelayan wanita dan minuman keras yang memabukkan. Inilah antara realiti perilaku durjana sebilangan kecil umat Islam yang telah menjadi hamba syaitan lalu sama sekali tidak mengerti perkara halal dan haram. Kegiatan keji ini jika tidak dibendung dikhuatiri mengundang bencana kemurkaan Ilahi yang bersifat menyeluruh bukan hanya kepada pelaku maksiat sahaja.

Selain daripada itu kesempatan cuti panjang sempena hari raya hendaklah dimanfaatkan dengan mengunjungi orang tua dan sanak-saudara yang dekat mahupun jauh. Malah inilah masa untuk mempertaut hubungan silaturrahim dengan saling kunjung mengunjungi dan bermaaf-maafan antara satu sama lain yang selama ini seolah terpisah dengan kesibukan masing-masing. Perkara ini juga bertepatan dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menghormati golongan tua dan mengasihani yang muda”.

Malah yang lebih utama untuk diziarahi ialah kedua ibubapa yang tentunya merindui anak-anak dan hilai tawa cucunda terutama di hari lebaran. Keengganan segelinitir umat Islam yang seperti tidak pernah dilahirkan di dunia ini untuk kembali menjenguk kedua ibubapa dikampung adalah sesuatu yang jauh daripada landasan syariat yang sebenar. Janganlah kerana kesibukan mengejar dunia segala jasa dan pengorbanan ibubapa dilupakan begitu sahaja. Ingatlah juga betapa keredaan Allah SWT terletak pada keredaan kedua ibubapa dan kemurkaan Allah SWT juga tertakluk kepada kemurkaan kedua ibubapa.

Para ibubapa juga disaran membawa anak-anak bersama ketika berkunjung ke rumah sanak saudara kerana mereka adalah generasi yang akan mewarisi budaya mulia ini di masa hadapan. Peluang keemasan ini juga boleh digunakan untuk saling kenal-mengenali sesama kerabat. Elakkan daripada terlalu asyik menonton pelbagai rancangan menarik di televisyen sehingga budaya ziarah-menziarahi adat tinggalan bangsa dilupakan oleh golongan muda. Begitu pula keghairahan sesetengah muda-mudi yang berpusu-pusu mengunjungi pusat membeli belah dan pawagam pada 1 Syawal merupakan bibit-bibit ke arah pupusnya amalan baik ini jika tidak dipupuk sejak daripada kecil lagi.

Walau bagaimanapun dalam keseronokan berziarah ke sana dan ke mari segala adab dan peraturan ziarah hendaklah dipatuhi. Ini termasuklah tidak berkunjung ketika waktu tengahari dan lewat malam. Begitu pula elakkan terlalu lama bertandang ke rumah jiran tetangga dan handai taulan kerana mungkin ada tugasan yang perlu diselesaikan oleh tuan rumah. Yang lebih penting sebelum masuk ke rumah seseorang hendaklah terlebih dahulu meminta izin dengan memberi salam sehingga 3 kali ulangan. Jika setelah itu pintu tidak dibuka atau tiada tanda-tanda yang menunjukkan kesediaan untuk menerima tetamu, orang yang berziarah hendaklah mula beredar. Ini bagi mengelak gangguan terhadap privasi seseorang yang juga dilarang dalam Islam.

Apapun dalam kesibukan berhari raya para Muslimin dinasihat supaya tidak melalaikan tanggungjawab salat yang difardukan. Begitu juga segala bentuk fesyen pakaian yang diperagakan sempena hari raya wajib melepasi garis panduan menutup aurat yang ditetapkan syariat. Ini kerana syaitan dan kuncu-kuncunya yang turut bergembira dibebaskan semula di hari raya sentiasa berusaha memasukkan jarum-jarum halus demi untuk menyesatkan akidah, syariah dan akhlak manusia agar terpesong daripada jalan yang lurus. Ini ditambah lagi dengan musuh nafsu sendiri yang membuak-buak mengajak kepada kesesatan dosa dan noda yang terkutuk.

Justeru itu berhati-hatilah dalam melakukan apa jua aktiviti agar kita sentiasa di bawah lembayung petunjuk dan rahmat-Nya. Semoga Ramadan yang baharu berlalu menjadi kaffarah penghapus daripada dosa-dosa sehingga Ramadan yang akan datang. Akhirnya penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua rakan blogger yang budiman.