Sunday, March 29, 2009

APRIL FOOL KITA DIPERBODOHKAN

SATU April setiap tahun, disambut oleh sebahagian masyarakat dunia sambil menipu orang lain dengan alasan untuk berseronok-seronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini, dikatakan bermula di Perancis,kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana.

Di Perancis, ia dikenali sebagai Poisson d’avril atau ikan April. Mereka percaya ikan kecil ini mudah ditangkap atau tertipu.Di Scotland pula dikenali dengan April Gowk, bererti berkelakuan bodoh seperti burung tekukur yang meletakkan telurnya di sarang burung lain. Di sana, April Fools disambut selama dua hari yang mana hari kedua dikhususkan untuk mempersendakan orang dengan melekatkan sesuatu yang melucukan seperti "tumbuklah saya" dan disebut Taily Day. Di England, jika seseorang sering dipermain-mainkan ia disebut April Noddie. Di Indonesia pula dikenali dengan April Mop, bermaksud April yang kelakar menurut Bahasa Belanda. Di negara kita terdapat juga golongan yang mengambil kesempatan mengenakan rakan-rakan dan orang yang dikenali, apabila tiba hari ini.

Menurut satu teori April Fool disambut bagi meraikan kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Ini berlaku apabila Kerajaan Islam Spanyol runtuh akibat serangan tentera Kristian setelah lama bertapak di Eropah. Ketika serangan berlaku penduduk Islam Moors telah menjadikan rumah sebagai tempat perlindungan. Tak lama kemudian mereka dibenarkan belayar keluar bersama barangan keperluan dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Orang Islam yang memandang serong dengan tawaran tersebut, telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan. Setelah berpuas hati, pada keesokan hari iaitu 1 April merekapun bersiap untuk berangkat.

Kesempatan ini diambil oleh tentera Kristian untuk menggeledah dan membakar rumah penduduk, begitu pula kapal-kapal di pelabuhan. Kaum muslimin yang terdiri daripada lelaki, perempuan, dan kanak-kanak dibunuh. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini telah diraikan oleh tentera Kristian di Spanyol dan juga diserata dunia. Malangnya umat Islam yang diperbodohkan turut meraikan hari ini kerana terikut-ikut dengan budaya luar yang jauh menyimpang daripada ajaran syariat.

Ada pendapat lain menyebutkan hari April Fools mula diperingati pada abad ke 16 di Perancis. Ketika itu tahun baru disambut pada 1 April setiap tahun dengan pesta tari-menari. Bermula tahun 1562, Pope Gregory memperkenalkan kalender baru Masihi yang bermula dengan bulan Januari. Lalu ada daripada kalangan mereka yang tidak percaya dengan perubahan ini lalu terus memperingati tahun baru pada tarikh 1 April. Orang-orang inilah yang disebut April Fools atau secara epistimologi bererti orang yang tertipu di bulan April kerana masih menyangka ia awal tahun baru.

Terdapat pula teori lain yang dinyatakan dalam The Washington Post, tradisi ini dimulakan pada zaman Rom purba, ketika orang merayakan festival Ceres di awal bulan April. Ceres adalah dewi tuaian yang puterinya diculik Pluto, dewa dunia ghaib. Ceres diceritakan mengesan dengan mengikuti gema suara teriakan anaknya, walaupun ia merupakan suatu perkara yang mustahil, kerana gema sukar dikesan. Sehingga Ceres dikatakan melaksanakan “a fools errand” atau tugas orang bodoh.

Walau dari manapun asal-usul budaya ini ia tidak begitu penting. Cukuplah selama ini kita diperbodohkan dengan pelbagai dakyah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan muda-mudi Islam, bakal pendokong kecemerlangan ummah pada masa hadapan. Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport daripada luar, impak negatif era globalisasi, telah berjaya mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan-amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan pemikiran yang sihat.

Ketika penganut agama Kristian merayakan Hari Natal mereka juga sibuk bergaya mengenakan pakaian ala Santa Klaus. Tanggal 14 Februari, semasa pasangan kekasih meraikan Hari Valentine, muda-mudi Islam juga tidak ketinggalan. Kini menjelang 1 April, masing-masing sibuk berfikir tentang lawak bodoh terbaik untuk mempersendakan orang lain. Malangnya Sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW, sepi daripada penglibatan golongan muda yang sepatutnya menghayati sirah perjuangan Baginda SAW sebagai panduan hidup sepanjang zaman. Malah ada yang terpaksa hadir kerana takut dikenakan tindakan.

Budaya ikut-ikutan ini, yang telah menular dalam masyarakat menjadikan seseorang, tidak punya nilai dan jatidiri sendiri sehingga berjaya mengalih perhatian mereka untuk berseronok-seronok tanpa memperdulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT., tanggungjawab sebagai pelajar dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap yang sebegini bukan sahaja merosakkan individu terbabit, malah mencalarkan imej Islam di mata masyarakat lain.

Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan-bulan tertentu kerana keutamaannya. Sebagai contoh Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Bulan Ramadan dimuliakan dengan malam Lailatulqadar yang menyamai pahala beribadah seribu bulan. Bulan Rabiulawwal, bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam. Bulan Zulhijjah, bulan para tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram menyahut seruan ilahi untuk menunaikan ibadah haji. Oleh itu tidak terdapat satu bulanpun yang dikhususkan hanya untuk berbohong mahupun berkasih-sayang.

Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yag ertinya “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawakpun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?”.

Pernahkah ada yang terfikir bahawa merekalah yang jahil apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut-ikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Malahan ramai yang terpedaya lalu terlibat dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat. Sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat.

Dalam sebuah hadith Nabi SAW pernah bersabda yang ertinya barangsiapa yang berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami. Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapapun dengan apa jua alasan.Lebih daripada itu perbuatan berbohong merupakan perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterimapakai. Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firmanNya yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (al-Hujurat ayat 6)

Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda "Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya sesorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis disisi Allah SWT. sebagai orang yang jujur. Manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis disisi Allah SWT sebagai pembohong.

Oleh itu tidak wajar sesiapapun dari kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan "Siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri".

Adalah lebih baik jika hari tersebut diganti dengan amalan mulia seperti menziarahi orang alim, menghadiri majlis-majlis ilmu, berzikir dan memperbanyak ibadah kepada Allah SWT. Sedarlah bahawa hari yang berlalu dengan perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat tidak akan datang lagi untuk diperbaiki semula. Hari yang pergi itu juga bererti hilang satu hari lagi daripada umur manusia di dunia yang juga tak akan dikembalikan lagi.

Cukuplah selama ini kita sering diperbodoh-bodohkan sehingga ada yang menganggap perbuatan buruk seolah-olah baik, lantaran telah menjadi amalan biasa. Kita patut bangkit daripada terus dibuai mimpi menuju alam nyata bagi mengharungi pelbagai cabaran semasa yang lebih kompleks dan memerlukan penyelesaian secara bijaksana. Sudah tentu tidak ada jalan terbaik melainkan kembali mengamalkan ajaran al-Quran dan sunnah RasulNya dalam pelbagai lapangan kehidupan.

Tuesday, March 24, 2009

PEMBAHARUAN UMNO DINANTIKAN

Diterbitkan dalam ruangan surat Berita Harian edisi Rabu 25hb. Mac. 2009

PERHIMPUNAN Agung Umno ke-59 sudah bermula. Kerja keras setiap ahli Majlis Tertinggi yang akan dipilih pada persidangan kali ini bakal ditentukan perwakilan seluruh negara. Pasti ada antara mereka terpilih dan ada pula kecundang.

Lembaga Disiplin Umno sendiri sejak awal lagi mengambil pendekatan drastik menghalang calon terbabit rasuah politik bertanding pada perhimpunan kali ini.

Menang dan kalah bukan masalah utama. Apa yang perlu difikirkan semua bakal pemenang ialah bagaimana mengembalikan semula maruah Umno yang tercalar. Begitu juga usaha untuk kembali memperjuangkan nasib orang Melayu yang bergantung harap kepada Umno.

Jangan terlalu tamak dalam berjuang, hentikan gejala rasuah politik dan amalan keji-mengeji yang menjatuhkan sesama saudara. Ingat akhirnya setiap orang Islam tidak dapat lari daripada menerima hakikat mereka adalah bersaudara.

Implikasi percaturan politik yang cacamerba itu kemudian menyebabkan kepentingan rakyat terabai sedikit demi sedikit. Rakyat pula sudah muak dengan percakaran politik yang tidak berkesudahan sehingga ramai tidak ambil peduli dengan keadaan politik yang berlaku. Lebih elok sebelum keadaan ini menjadi lebih buruk usaha ke arah penyatuan semula bangsa Melayu diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Amalan negatif seperti politik wang dan fitnah mesti dihindar kerana ia menyebabkan kesatuan umat Melayu semakin dipandang rendah orang lain. Begitu juga isu yang membabitkan kepentingan Melayu seperti Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang membawa kepada bantahan jalanan dan belum ada kata putus daripada pihak bertanggungjawab perlu diselesaikan segera. Isu agama Islam dan kedaulatannya yang akhir ini menjadi topik hangat di dada akhbar juga perlu perhatian serius agar tidak merosakkan keharmonian masyarakat pelbagai agama.

Sebagai orang Islam kita wajib menunjukkan teladan baik agar Islam terus terpelihara maruah dan kehormatannya. Jangan pula kita termasuk kalangan orang yang menjatuhkan ketinggian nilai Islam dengan melakukan pelbagai kemungkaran yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

Mungkin usaha ke arah penyatuan Parti Golkar yang memerintah Indonesia dan parti pembangkang Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan di bawah pimpinan bekas presiden Indonesia Megawati Sukarnoputri patut dicontohi Umno dan Pas yang majoriti ahlinya orang Melayu Islam.

Menjadi harapan perhimpunan kali ini berjaya menterjemahkan apa yang diuar-uarkan sebagai reformasi Umno yang pasti dinanti seluruh orang Melayu yang cintakan perpaduan dan kedamaian

Monday, March 23, 2009

PERKAHWINAN ADALAH IKATAN SUCI

MUSIM cuti sekolah pendek yang baru sahaja berlalu, memberi kesempatan kepada ramai pasangan untuk melangsungkan hari bahagia. Tempias kegawatan ekonomi yang turut melanda negara kita tidak menghalang mereka untuk berbelanja bagi membuat persiapan perkahwinan, menjadi raja sehari. Walau apapun adalah dinasihatkan amalan berbelanja secara boros dapat dielakkan. Kerana yang penting bukannya majlis persandingan yang grand dan diadakan di hotel-hotel mewah tetapi rumahtangga yang dibina selepas itu adakah beroleh keberkatan ilahi sehingga mampu berkekalan hingga ke akhir hayat atau hanya setakat bertahan setahun dua.

Perkahwinan dalam Islam adalah suatu ikatan suci yang disyariatkan agama, antara lain bertujuan untuk mewujudkan ketenangan, kasih-sayang dan saling belas kasihan diantara satu sama lain. Selain daripada itu ia juga berupaya mengembangbiakkan kelangsungan generasi manusia sehingga ke akhir zaman. Nabi SAW sendiri diriwayatkan pernah bersabda yang ertinya “Berkahwinlah dan perbanyakkanlah zuriat, kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari akhirat kelak”.

Bagi mencapai tujuan yang tersebut setiap pasangan lelaki dan perempuan yang akan berkahwin perlu terlebih dahulu memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing bagi memastikan bahtera rumahtangga yang akan dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.
Suami sebagai ketua keluarga hendaklah bertindak membimbing isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa taat kepada perintah Allah SWT. dan tidak melakukan pelanggaran terhadap ketetapannya. Suami juga hendaklah melaksanakan tugas mengurus keluarga dengan penuh hikmah dan bijaksana. Kegagalan melaksanakan tugas ini dengan sempurna akan mengundang kemurkaan Allah SWT. sehingga menghilangkan keberkatan kehidupan berumahtangga, lalu gagal mencapai matlamat perkahwinan yang diharapkan.

Suami juga perlu menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga dalam segala lapangan kehidupan. Sama ada dalam konteks hubungan dengan Allah SWT sebagai hamba mahupun hubungan antara sesama manusia. Ini kerana anak-anak biasanya mencontohi perilaku ibubapa. Jika ibubapa merokok misalnya, anak-anak juga kemungkinan besar akan merokok, jadi jangan letakkan seratus peratus kesalahan hanya kepada mereka.

Tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin kepada pasangan adalah juga dibebankan kepada suami. Dewasa ini wujud semacam trend baru apabila terdapat golongan suami yang lebih seronok tinggal di rumah, mengurus rumahtangga sedangkan isteri yang bertungkus-lumus berkerja bagi menyara kehidupan keluarga. Situasi terbalik ini jika dibiar berpanjangan akan menyebabkan maruah dan kehormatan suami dipandang rendah lagi hina disisi masyarakat.

Lebih daripada itu suami memikul beban untuk menyediakan segala keperluan asas seperti, tempat tinggal yang bersesuaian, pakaian juga makanan dan minuman. Ini kerana persekitaran tempat tinggal yang kondusif boleh mempengaruhi kebahagiaan hidup berumahtangga disamping mampu melahirkan zuriat yang bersahsiah dan berkeperibadian unggul.

Manakala isteri pula memikul amanah, untuk menjaga kehormatan diri dan suami. Bertanggungjawab menjaga segala keperluan rumahtangga dan anak-anak. Jangan sampai akibat kesibukan bertugas di pejabat tugas utama di rumah jadi terabai. Setiap isteri perlu memahami amanah ini agar keharmonian hidup berumahtangga dapat dikecapi walaupun berkerja.

Kadang-kadang terdapat isteri bermain kayu tiga dengan suami. Mungkin mereka lupa bahawa perbuatan itu menyebabkan kedurhakaan kepada suami, disamping mengundangkan kemurkaan ilahi. Banyak kemungkinan menyumbang kepada perbuatan tidak bermoral ini. Antaranya isteri kurang mendapat belaian suami dirumah, suami terlalu sibuk berkerja sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan juga pergaulan melampaui batasan di tempat kerja.

Islam tidak menghalang wanita untuk bekerja asalkan memenuhi kriteria yang ditetapkan bagi menjamin kerukunan rumahtangga. Malahan Islam mempunyai formula khusus bagi menangani masalah ini, isteri dilarang berlebih-lebihan dalam berhias kecuali untuk suami, perbuatan ini dibimbangi mendatangkan fitnah sehingga merosakkan hubungan kekeluargaan. Selain itu isteri perlu sentiasa menjaga batasan pergaulan diantara bukan mahram, begitu pula dalam hal berpakaian yang tidak keterlaluan. Biasa didapati isteri yang berkerja lebih cenderung untuk bersolek dan berhias secantiknya apabila keluar berkerja, tetapi ketika di rumah lain pula ceritanya. Diluar perfume yang dipakai sebatu dapat dihidu baunya tetapi dirumah perfume bawang dan belacan dihidu suami. Dirumah kain batik lusuh menjadi perhiasan diluar rumah pakaian mahal silih berganti diperagakan. Persoalannya untuk siapa semua ini?

Isteri mahupun suami dinasihatkan agar sentiasa menjaga hubngan baik dengan mertua dan keluarga masing-masing. Ini penting agar tujuan perkahwinan yang mampu memperluaskan hubungan silaturrahim sesama manusia dalam konteks yang lebih luas akan tercapai. Ibubapa mertua juga diharap tidak mencampuri urusan rumahtangga anak kecuali jika diminta untuk berbuat demikian.

Kerana tidak mengerti tanggungjawab yang perlu dipikul akhirnya perkahwinan yang dibina tidak mampu bertahan lama, sehingga menyumbang kepada pertambahan statistik perceraian di kalangan pasangan beragama Islam. Baru-baru ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, mendedahkan pada tahun 2007 dan 2008 yang lalu terdapat sejumlah 75,299 tuntutan kes cerai direkodkan di Mahkamah Syariah seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 64,631 kes direkodkan pada tahun 2007 manakala baki 10,668 kes direkod pada tahun 2008. Menurut Dr. Mashitah Ibrahim lagi, antara punca yang dikenalpasti ialah tiada persefahaman diantara pasangan suami isteri, ada hubungan sulit, poligami, campurtangan keluarga dan tekanan kerja yang tidak dapat diurus dengan baik.

Justeru itu setiap pasangan perlu mengetahui segala selok belok perkahwinan. Ia bukan semudah bercinta lalu melangsungkan perkahwinan begitu sahaja. Pasangan yang ingin berkahwin hendaklah juga bersedia dari sudut ilmu berkaitan hukum hakam perkahwinan sama ada disisi syarak mahupun undang-undang keluarga Islam yang dikanunkan di Malaysia. Begitu pula mereka seharusnya mempunyai sumber kewangan yang mantap untuk menyara kehidupan keluarga.

Perkahwinan dalam Islam adalah satu ikatan suci yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk megekang gejala maksiat dan dosa. Ia juga merupakan amanah yang akan dipersoalkan dihari akhirat kelak. Hakikat ini perlu difahami oleh setiap pasangan yang berkahwin agar perkahwinan yang dibina mendapat keberkatan dan rahmat Tuhan Yang Maha Esa.

Tiada siapa yang sempurna dalam melakukan suatu tindakan, begitu pula tiada yang mahu bercerai-berai setelah melangsungkan perkahwinan. Apa yang penting adalah kesediaan setiap pasangan berkahwin untuk sama-sama menghadapi ujian dan cabaran berumahtangga. Perselisihan dan ketidaksefahaman dalam hal tertentu adalah asam garam kehidupan rumahtangga. Yang lebih utama bagaimana ia dapat diurus dengan baik sehingga perkara yang buruk dapat dihindari. Pepatah ada menyebut sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami-isteri.

Tuesday, March 17, 2009

TRAVELOG EGYPT HARI KE-4


Hari ini hari terakhir kami berada di bumi Mesir, kalau 1st day kami ziarah makam ulama & wali-wali, hari terakhir kami bercadang ke pyramid di Giza. Begitulah cantiknya Mesir ni. Disinilah tempat para anbia’ di sinilah juga tempat firaun dan pengikutnya seperti Qarun dan lain-lain. Pendek kata kat Mesir ni nak jadi baik boleh nak jadi jahatpun boleh. Orang kata kalau tak pergi Pyramid dan tak tengok sungai Nil tak sampai Mesir namanya. Walaupun malam nanti kami akan bertolak pulang ke Malaysia sekitar jam 3.30 pagi.


Bayaran masuk ke pyramid untuk pelancong asing LE. 60 seorang. Orang Mesir cuma LE.2 sahaja. Itulah kehebatan Negara Mesir, kalaulah bukan kerana Allah SWT pelihara segala kesan peninggalan Firaun tentu Mesir tak terkenal seperti hari ini.

Sebelum masuk kenderaan kami diperiksa rapi oleh pegawai Polis untuk mengelakkan kejadian tidak diingini di kawasan tumpuan pelancong. Lihatlah betapa banyaknya bas pelancong dikawasan itu yang datang tak putus-putus daripada mula dibuka hingga ke petang. Kalau tak dikawal betul-betul melingkup ekonomi mereka. Disini saya uploadkan banyak gambar-gambar semasa kami disana untuk tatapan semua.


Nak masuk kubur Firaunpun kena bayar, LE 100.Tu yang tak jadi nak masuk, ambil gambar je dengan penunggu gua. Lagipun dulu masa study kat sini saya dah beberapa kali meninjau keadaan di dalamnya.

Gambar dengan unta lagi baik. Sebab ada daripada kalangan nenek moyang unta yang terdahulu pernah berkhidmat menjadi tunggangan kepada Nabi SAW.

Lihatlah betapa hebat & cantiknya ciptaan Allah SWT, walaupun atas kerja keras Firaun & rakyat Mesir yang dipaksa mengikut perintahnya. Allah SWT kekalkan peninggalan Firaun agar manusia dapat mengambil pelajaran daripada peristiwa yg berlaku. Allah SWT nak tunjukkan kepada sekelian manusia akan keagungan serta kekuasaannya kepada seluruh makhluk.

Ini pula gambar tempat kapal pengangkut batu untuk membina pyramid dijumpai. Untuk pengetahuan batu-batu besar untuk membangun pyramid di bawah daripada Aswan letaknya hampir 300km daripada tempat pyramid di bina. Bayangkan susah-payahnya batu-batu besar seperti ini dibawa oleh buruh paksa Firaun sejauh itu.


Dalam sibuk-sibuk tu sempat juga ambil gambar rombongan budak-budak sekolah yang turut serta melawat sejarah negara mereka. Yang pastinya mereka tak perlu bayar apa-apa, percuma.

Ini pula gambar sungai Nil yang diambil ketika kami merempuh kesesakan lalulintas dalam perjalanan pulang daripada Giza. Dengan jumlah penduduk Bandaraya Kaherah mencecah 23 juta orang Traffic jam adalah perkara biasa

Malam sebelum kami pulang Ustaz Hanif Pegawai Kebajikan pelajar Johor di Mesir meminta saya & Dr. Ahmad menyampaikan ceramah sempena memperingati Hari Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di Rumah Johor. Ramai juga pelajar-pelajar Johor yang hadir. Saya terpaksa duduk ketika berceramah kerana sakit kedua-dua lutut mungkin akibat terlalu banyak berjalan.

Inilah wajah-wajah ulama pewaris anbia, pelajar Johor di Mesir yang diharapkan kepulangan mereka ke tanahair nanti akan dapat menjalankan tugas amr makruf nahi mungkar. Didoakan agar mereka akan berjaya menempuh segala ujian dan cabaran berada diperantauan.


Jam 12 mlm. Kamipun bergerak ke Airport. Setelah segala urusan check-in & boarding selesai kami berehat sementara menunggu masuk flight. Jam 3.30 pagi pesawat Egyptairpun berlepas meninggalkan Bumi Mesir dengan segala kenangan terindah. Lepas ni berangan pula nak ke negara orang putih, tengok suasana kat sana. Dengarnya Dr. Ahmad nak present paper kat Spanyol tahun depan. Saya memang berangan nak ke sana..Tapi tak taulah bila dapat pergi.

TRAVELOG EGYPT HARI Ke-3


Hari ini masuk hari ke-3 kami berada dibumi anbia’, hari ini juga hari yang bersejarah buat saya kerana akan membentangkan kertaskerja di Kaherah Mesir. Majlis perasmian seminar bertempat di Malaysia Hall Abbasiyah. Sambil tu sempat juga tangkap gambar di Malaysia Hall Abbasiyyah.

Prof Dr. Atiyyah daripada Sekolah Pengajian Perniagaan Universiti al-Azhar menyampaikan syarahan berkenaan Sekolah Pengajian Perniagaan di Uni.al-Azhar. Disamping itu beliau turut mempromosikan 2 hasil kajian terbarunya yang telah diterbitkan iaitu cIjaz al-Quran fi al-Mirath dan cIjaz al-Quran fi tahrim al-Riba’ . Setelah itu ucaptama disampaikan pula oleh Prof.Dr. Rashidah daripada UiTM Malaysia. Bangga juga sebab warga UiTM diberi penghargaan untuk menyampaikan ucaptama walaupun menggantikan speaker yg tak hadir. Bukan calang-calang orang yang dipilih.

Selesai majlis perasmian kami beredar ke Hussien dengan menaiki teksi kerana parallel session hanya akan bermula selepas maghrib, jam 6.00 ptg.waktu kaherah. Ketika itu seluruh kota Kaherah dilitupi debu akibat ribut pasir yang sedang melanda. Angin sejuk pula bertiup agak kencang. Tetapi kami tetap meneruskan perjalanan dengan teksi. Sampai di Hussien kami merayau-rayau di toko-toko buku yang banyak terdapat di belakang Uni. al-Azhar. Harganya sangat berpatutan jika nak dibandingkan dengan buku-buku yang dijual di Malaysia. Saya sempat membeli beberapa buah buku sahaja, bimbang kena extra luggage masa pulang nanti. Dalam perjalanan pulang ke rumah singgah di restoran makanan segera yg terkenal dikalangan pelajar Malaysia Restoran Ba Bye namanya.Ha inilah yang kami makan.

Setelah maghrib, sesi pembentanganpun bermula. Dr. Ahmad diberi penghormatan untuk memulakan pembentangan berkenaan zakat, manakala saya pula pembentang yang ke-3 berkaitan wakaf. Jam 9.30 mlm. Sesi pembentangan selesai.


Antara pelajar-pelajar Malaysia yang turut serta dalam sesi pembentangan di Rumah Selangor.

Selesai pembentangan kami dijemput pula oleh Pegawai Kebajikan Pelajar Selangor di Mesir untuk menjamu selera dirumahnya di aras bawah. Menunya nasi mandi dengan daging kambing panggang. Berselera gak makan malam tu.

Sunday, March 15, 2009

TRAVELOG EGYPT HARI KE-2

Hari ini 5hb.Mac 2009, awal-awal lagi kami bangkit dari tidur, solat subuh & bersiap untuk ke Alexandaria,kira-kira 280km daripada Kaherah.Bandar ini sangat terkenal dikalangan orang Arab & pelancong asing, kerana letaknya ditepi pantai Meditreanean. Selain daripada itu disini juga terdapat makam Imam al-Busiri, pengarang qasidah burdah,Makam Nabi Daniel dan Hidir serta makam cicit Rasulullah SAW. Jam 7.30 pagi kami bertolak ke Alexandaria dan tiba disana lebih kurang jam 10.30 pagi. Dalam perjalanan kelihatan pemandangan sekitar padang pasir yang turut dilitupi ladang kurma,pisang,anggur dan zaitun.

Ini pula kunter kutipan tol. Bayaran tol hanya dikenakan sekali sahaja mengikut jauh tempat yang dituju. Untuk itu kami hanya perlu membayar LE 4 sahaja. Menariknya lagi semua yang bertugas disini adalah lelaki.

Tempat terawal yang kami kunjungi sebuah kota lama yang telah diperbaharui semula dipinggir pantai. Menurut ceritanya kota ini digunakan untuk bertahan daripada serangan musuh yang datang dari arah laut.

Sambil merayap-rayap sempat juga snap gambar rombongan budak-budak sekolah yang kebetulan berada dikawasan itu. Memang diaorang suka bergambar. Tu yang posing maut tu.

Setelah itu kami berkunjung pula ke kawasan makam Imam al-Busiriy pengarang qasidah burdah yang terkenal. Diceritakan bagaimana beliau pernah ditimpa sakit lalu berniat jika sembuh daripada penyakit itu beliau akan mengarang bait-bait qasidah yang memuji Nabi SAW. Semasa saya menuntut dulu, kami biasa mengalunkan qasidah ini dibawah pimpinan guru kami al-marhum al-Habib al-ustaz Muhsin bin Umar al-Attas yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya & ditempat dikalangan hambanya yang saleh lagi diterima amalnya.

Ini pula makam cicit kepada Rasulullah SAW dan makam anak murid kepada pengasas tarikat al-Syaziliyah.

Menariknya dikawasan ini terdapat 3 buah masjid yang saling berdekatan antara satu sama lain. Kami sempat solat Jumaat disalah satu daripada masjid tersebut. Khatibnya seorang syeikh lulusan Uni. al-Azhar yang berkhutbah memperingati hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang disambut meriah disini.

Selesai solat suasana sekitar masjid riuh rendah dengan sorakan peniaga yang ingin melariskan jualan mereka. Ada yg menjual kasut, stokin, air minuman, pakaian dan lain-lain. Suasananya tak ubah macam zaman dulu-dulu,mengingatkan saya akan hebatnya fungsi masjid, antara yang pertama dibina Nabi Muhammad SAW seawal berhijrah ke Madinah.

Dalam kelam-kabut tu sempat juga kami posing dengan bilal masjid yang buta. Saya juga tak ketinggalan menghulurkan sedikit sumbangan kepada beliau, kerana gembiranya saya dicium sambil memuji-muji orang Malaysia.

Setelah itu kami beredar pula untuk makan tengahari. Cadangan awal nak try makan seafood tapi terpaksa dibatalkan kerana harganya yang tak sanggup kami bayar. Bayangkan harga semua jenis ikan LE 80 sekilo, manakala harga sekilo udang LE 120. Hai tok Arab kalau nak sembelihpun berpada-padalah. Mentang-mentang kami ni pelancong. Agaknya begitulah luahan pelancong asing yg datang ke negara kita apabila mereka juga turut disembelih. Nasib...nasib, masa study kat Mesir dulu rasanya taklah semahal ni. Zaman dah berubah dunia dah maju..Tu 12 tahun dulu mana sama.

Akhirnya setelah penat mencari tempat makan kami singgah disebuah kompleks membeli-belah. Disitu kami berjumpa dengan sebuah restoran makanan segera. Servicenya lebih kurang macam KFC namanya Mo'min. Mungkin kalau betul-betul kita nak boikot KFC, kita kena sediakan alternatif seperti ini,sebab yang banyak makan kat situ orang kita juga. Menariknya lagi kat sebelah dia ada gerai minuman ala starbuck..tu yang best tu. saya sempat juga order teh yang dicampur pudina,minuman kegemaran orang Arab. harganya secawan LE.4

Selesai makan kami bergerak pula melawat kawasan peninggalan Rome Theatre dan menziarahi makam Nabi Danial dan Nabi Hidir AS. Sempat juga posing kat tanda jalan sempena nama Nabi Danial AS.

Jalan-jalan terjumpa kereta Waja, bangga juga apabila kereta buatan kita sampai ke Mesir. Mungkin sedikit sebanyak dapat merubah tanggapan sebahagian kecil orang Arab yg masih duduk bawah tempurung mengatakan kita ni masih lagi tinggal diatas pokok.

Inilah makam Nabi Danial AS yang terletak dibawah binaan masjid. Sedikit mencacatkan apabila kami seolah-olah memijaknya ketika turun ke bawah, kerana makamnya betul-betul dibawah tangga.


Di bawah ini pula adalah makam Nabi Hidir AS. Ada pendapat mengatakan baginda belum wafat. Wallahu'alam

Setelah itu kamipun bertolak pulang, dalam perjalanan singgah isi minyak..satu yang menarik untuk dikongsi bersama ialah orang Arab sangat gemar mengaji & menjaga solat. Lihatlah dimana-manapun mereka solat.

Kami juga sempat singgah di tempat saya belajar dulu Damanhur namanya juga dikenali oleh orang Arab sebagai Buhairah. Memang banyak perubahan disana sini. Kami singgah disebuah masjid untuk solat jamak maghrib & Isyak kemudian meneruskan perjalanan.



Kira-kira jam 10 mlm. kami selamat tiba di Kaherah. Sebelum pulang ke rumah kami singgah menjenguk Kompleks Kediaman Pelajar Malaysia yang baru di Hayyu al-Ashir. Esok saya & Dr. Ahmad akan membentangkan kertaskerja kami di Rumah Selangor di hadapan mahasiswa & mahawasiswi Maaysia yg menuntut di Uni. al-Azhar. Ikuti program itu dalam posting yang seterusnya.

Wednesday, March 11, 2009

TRAVELOG EGYPT 2009

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi kerana buat PERTAMA kalinya saya dijemput untuk membentang kertaskerja di The First International Conference On Arab-Malaysian Business & Entreprenuership,anjuran Universiti Utara Malaysia di Kaherah Mesir. Saya, Dr. Ahmad & isteri Pn Safiah memulakan pengembaraan kami ke bumi bertuah itu pada jam 2.30 petang 4hb Mac 09, dengan menaiki Pesawat Darat Naza Ria yang diterbangkan khas oleh pilot berpengalaman En. Nasir. Dalam perjalanan singgah di R&R Air Keroh, Melaka untuk solat Asar & isi perut. Hampir jam 7 malam kami selamat tiba di KLIA.

Kali PERTAMA menjejakkan kaki di KLIA, saya terpegun mengenangkan jasa Tun Dr. Mahathir mantan PM Malaysia walaupun pernah dikritik kerana berbelanja besar untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia.Saya pun sempat posing sebelum check in dimulakan jam 8.00 mlm.

Pihak penganjur UUM ada menyediakan pakej ke Mesir termasuk tiket, penginapan, makanan & lawatan tetapi atas cadangan Dr. Ahmad kami bertiga mengembara sendiri & tidak terikat dengan jadual yg telah diatur oleh penganjur. Oleh itu kami antara yg PERTAMA check in, sedangkan yg lain masih berlegar-legar disekitar kaunter.

Bahkan saya & pn Safiah sempat mengecas handphone sebelum kami bergerak untuk solat jamak Maghrib & Isyak,makan mlm di Burger King seterusnya boarding. Jam 9.30 mlm. pesawat Egyptair yang kami naiki berlepas ke Mesir melalui Mumbai, tempat tinggal Datuk Shah Rukh Khan & selebriti Bollywood yg terkenal. Lebih kurang 4.30 jam kemudian pesawat Egyptair mendarat di Mumbai (transit 1 jam).Pemandangan disekitar airport Mumbai dipenuhi rumah-rumah setinggan yang didiami penduduk miskin India yang nampaknya sedikit mencacatkan kemasyhuran artis Bollywood yang terkenal seluruh dunia.

Dipendekkan cerita kira jam 5.30 pagi waktu Cairo, 11.30pg waktu Malaysia, pesawat kami selamat mendarat di Cairo International Airport. Setelah selesai urusan di imigresen, walaupun terdapat sedikit kelewatan kerana saya dirujuk ke pegawai atasan, kamipun terus mengambil bagasi & solat subuh diperkarangan airport.

Diluar ust. firdaus pelajar Johor di Mesir telah menunggu kami begitu juga Ust. Wafi (Nephew Dr. Ahmad)& pemandu F1 kami Ust Firdaus dari Pahang.Daripada airport kami terus di bawa rumah wakaf Johor yang baru, tempat penginapan kami selama 5 hari disana. Ustaz Ahmad Hanif Bin Naim,( Bekas Kadi Daerah Muar ) selaku Pegawai Kebajikan pelajar Johor di Mesir menjemput kami untuk bersarapan pagi di rumahnya. Setelah bersarapan kami bersiap untuk memulakan perjalanan melawat sekitar Kaherah, walaupun agak penat tetapi terpaksa juga berjalan sebab masa yang ada cukup terhad.

Tempat pertama yang kami kunjungi ialah Maqam al-Imam Muhammad bin Idris al-Shafie, Imam pengasas kepada mazhab Shafie yg menjadi ikutan mazhab majoriti penduduk Asia Tenggara. Gambar kubah masjid tempat beliau dimaqamkan berbentuk perahu seakan menggambarkan keseriusan dan kesungguhan beliau mencari ilmu sehingga akhirnya wafat di Mesir.Berhampiran makam beliau dikatakan terdapat bekas tapak kaki Rasulullah SAW yang mulia.


Ini pula Maqam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansariy, antara sarjana Islam yang terkenal suatu ketika dahulu


Ini pula maqam guru Imam al-Shafie, Waqi' yang terkenal dengan nasihat yang berbunyi; Aku mengadu kepada guruku Waqi' akan lemahnya hafazanku lalu beliau menyuruh aku meninggalkan maksiat kerana ilmu itu cahaya ilahi dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang suka berbuat maksiat.

Selain daripada pada hari pertama kami juga sempat ke Masjid Qalah Kota Salahuddin al-Ayubi binaannya sama seperti masjid biru di Turkey, Masjid 4 mazhab, Masjid Saidina Hussien, tempat dimana kepala Saidina Hussien disemadikan setelah dipenggal dalam pertempuran berdarah di Karbala. Tak ketinggalan Masjid al-Azhar & Masjid Amru bin Al-As

Masjid Amru al-As adalah masjid pertama dibina di Mesir setelah dibuka oleh sahabat Nabi SAW yang bernama Amru al-As. Pada setiap bulan Ramadan masjid ini dipenuhi ratusan ribu warga Kaherah untuk solat terawih, terutama pada malam 27 Ramadan dengan alunan suara Syeikh Muhamad Jibrail Qari Mesir yang terkenal. Orang Arab akan beramai-ramai memenuhi masjid tersebut kerana menurut satu pendapat malam itu adalah malam LailatulQdar. Semasa saya disana saya juga sempat menikmati suasana yang sungguh menyeronokkan itu. Kami ke sana seawal solat asar, jika lambat terpaksa solat dijalanraya kerana tiada ruang kosong sangking ramainya manusia pada malam itu.


Ini pula ialah Maqam Saidina Hussien, cucunda kesayangan Nabi Muhammad SAW.

Acara yang terhebat pada hari itu ialah makan. Lihatlah makanan kami yang kesemuanya bernilai 190 LE (wang Mesir) termasuk 2 ekor merpati panggang makanan kegemaran Dr. Saya cuma makan roti & kacang pool, sebab rindu dengan makanan Arab.


Selain daripada itu sempat juga dalam kepenatan menjengah pasar Khan al-Khalili yang terkenal dikalangan pelancong asing. Pasar itu baru sahaja dibom minggu lalu, tak hairan kalau disana sini kelihatan anggota polis mengawal kawasan tersebut. Agaknya bilangan anggota polis sama banyak dengan orangramai yang berada disitu. Maklum pelancongan sumber pendapatan utama negara Mesir selain Terusan Suez. Jadual hari pertama kami tamat menjelang jam 8 malam apabila semua kepenatan sehari suntuk berjalan dan tidur. Esoknya kami akan bergerak pula ke Iskandariah jauhnya lebih kurang 280 km daripada Kaherah. Ikuti perjalanan kami dalam posting selanjutnya.