Tuesday, October 13, 2015

Sediakan bajet ibadah setahun


Menjelang pembentangan bajet kerajaan kali ini umat Islam turut diajak untuk menyediakan bajet setahun beramal menggunakan wang ringgit. Ini bagi membuktikan kesyukuran dan tanda pengabdian yang tidak berbelah bahagi atas sekalian banyak nikmat yang diterima. Selain sebagai ibadah sukarela yang mudah-mudahan dapat menutup lompang-lompang dan kekurangan dalam pelaksanaan ibadah wajib.

Ini boleh dimulakan dengan menyediakan bajet harian untuk bersedekah dan memberi kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Dengan cara ini para Muslimin dapat mengikis sifat negatif seperti bakhil dan cintakan kemewahan dunia yang sementara. Usaha ini boleh dikembangkan lagi dengan menyumbang kepada tabung Jumaat sebagai sumbangan bersifat mingguan. Untuk itu sejumlah peruntukan perlu ditentukan sejak awal tahun supaya seseorang sentiasa istiqamah bersedekah. Malah jumlah sumbangan itu eloklah ditambah sesuai dengan keperluan semasa.

Bayangkan jika seseorang hanya sekadar menyumbang sebanyak RM1 setiap Jumaat, secara purata hanya kira-kira RM48.00 sahaja yang didermakan sepanjang tahun. Fikirkanlah pula apa yang dapat dimanfaatkan oleh pengurusan masjid dengan sumbangan yang tak seberapa sedangkan sesetengah masjid dan surau kini dilengkapi dengan sistem penghawa dingin dan permaidani empuk untuk kemudahan jemaah.

Dalam situasi lain terdapat pula yang tidak keberatan untuk menyediakan peruntukan yang besar untuk perkara-perkara yang kurang berfaedah seperti membeli peralatan menghisap rokok elektrik yang bernilai ratusan ringgit. Lebih dari itu setiap individu Muslim sepatutnya berfikir tentang persiapan untuk kembali bertemu Ilahi yang kunjung tiba pada bila-bila masa tanpa disangka-sangka.

Selain itu setiap individu Muslim disaran menyediakan bajet awal untuk menyambut ketibaan Ramadan tahun ini dengan menentukan bajet untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Memandangkan ketika Ramadan segala amal ibadah dilipatgandakan pahalanya maka kesempatan Ramadan mestilah direbut dengan meningkatkan jumlah tabungan amal kebajikan untuk manfaat diri sendiri.

Begitu pula ketika Bulan Zulhijjah masyarakat Islam digalakkan untuk mengorbankan binatang ternakan sebagai mencontohi pengorbanan agung Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as. Persoalannya setelah sekian banyak wang ringgit kita belanjakan sepanjang tahun mengapa tidak setahun sekali para Muslimin mengorbankan sebahagian kecil daripada gaji untuk beribadah kepada Allah SWT pula. Ini dapat dilakukan dengan menabung sejak awal tahun supaya tidak sekadar menjadi penonton setiap kali ibadah korban dilaksanakan.

Bagi yang belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pula bolehlah menabung kira-kira RM100 sebulan. Jika istiqamah dilaksanakan, dalam tempoh sepuluh tahun wang tabungan untuk menunaikan fardu haji sudah mencukupi dan hanya perlu menanti jemputan ke Tanah Suci. Ataupun dalam tempoh lima hingga enam tahun menabung jumlah yang ada sudah memadai untuk menunaikan umrah.

Diingatkan juga betapa sedekah jariah ataupun wakaf sangat bermanfaat untuk kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Wakaf yang bersifat kekal menyediakan pahala bagi pewakaf yang berkekalan dan berpanjangan selama-lamanya. Untuk itu selagi hayat dikandung badan usahlah dilepaskan kesempatan untuk berwakaf dalam pelbagai keperluan kehidupan. Selain wakaf untuk masjid dan tanah perkuburan kini universiti juga memerlukan sejumlah dana wakaf untuk membiayai aktiviti akademik dan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.

Justeru itu setiap Muslimin diajak untuk menghilangkan perangai mazmumah seperti kedekut dan merasa kehilangan apabila menginfakkan harta fisabilillah, kerana pasti ada ganjaran setimpal yang menanti di sana. Allah SWT berfirman maksudnya;

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". (Terjemahan Surah Saba:39)

Oleh itu usahlah ditunggu sehingga detik-detik akhir menjelang kematian baru berharap untuk bersedekah dan berbuat kebajikan kerana pada ketika itu tiada apa yang dapat dilakukan melainkan berserah diri kepada ketentuan Tuhan.

Perlu juga diingat betapa sedekah dapat menghapuskan dosa-dosa sepertimana air memadamkan api. Malah sedekah mempermudahkan laluan ke Syurga, penawar kepada penyakit-penyakit selain bertambah rezeki dan berkat kehidupan dengan asbab doa daripada penerima sedekah. Nabi Muhammad SAW bersabda yang mafhumnya;

“Orang yang dermawan itu dekat kepada Allah, dekat kepada Syurga, dekat kepada manusia, jauh dari neraka. Orang yang kedekut itu adalah jauh dari Allah, jauh dari Syurga, jauh dari manusia dan dekat kepada neraka. Orang jahil yang dermawan pula lebih dicintai oleh Allah daripada ahli ibadah yang kedekut”. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dalam bersedekah tiada jumlah atau kadar tertentu yang ditetapkan. Sedikit ataupun banyak bergantung kepada kemampuan. Yang penting ialah ikhlas ketika memberi. Lebih elok lagi jika pemberian itu dirahsiakan bagi mengelak timbul riak dan perasaan meninggi diri. Boleh juga dilakukan secara terang-terangan sebagai motivasi untuk orang lain turut bersedekah.

Bersempena dengan kedatangan tahun baharu hijrah 1437 ini, masyarakat Islam diajak mempertingkatkan amalan kebajikan sepanjang masa dalam erti kata hijrah yang sebenar. Usah seperti hangat-hangat tahi ayam dengan pelbagai azam dan cita-cita ibadah diawal tahun kemudian ditinggalkan satu persatu setelah culas dan berkira-kira melaksanakannya.