Monday, September 20, 2010

USAH BUANG BAYI LAGI

PENEMUAN seorang bayi lelaki Melayu di bawah jambatan dan masih bertali pusat di Sungkai Perak dan seorang lagi bayi yang dibuang di belakang rumahnya sendiri di Taman Rasa Sayang, Jitra Kedah baru-baru ini jelas menunjukkan betapa barah sosial dikalangan segelintir masyarakat Islam ditahap membimbangkan. Nampaknya sia-sia sahaja berbagai peringatan dan kempen kesedaran yang banyak dianjurkan kerana ia belum mampu meredakan perbuatan durjana membuang kandungan sendiri. Begitu pula hukuman gantung mandatori jika sabit membuang bayi yang diperkenalkan oleh kerajaan juga langsung tidak menakutkan mereka. Lalu apa lagi yang harus dilakukan bagi membendung jenayah kejam ini daripada terus berpanjangan entah bila kan berhenti.

Justeru itu rayuan ikhlas ditujukan kepada sesiapa sahaja yang sudah terlanjur mengandung anak luar nikah supaya bertaubat dan berhenti daripada menambah dosa. Jika ada perancangan untuk membuang bayi yang bakal dilahirkan eloklah dibuang jauh-jauh kerana dia belum mengenal erti kehidupan. Mereka yang ingin berbuat demikian juga dinasihat supaya sentiasa ingat kepada Tuhan sambil merenungkan betapa siksa kematian bayi tersebut jika ditinggalkan dalam kesejukan malam lalu dihurung oleh ribuan semut ataupun di lahap oleh anjing yang kelaparan.

Pasangan lelaki pula diseru bertanggungjawab dan menebus kesilapan lalu dengan berusaha memulakan kehidupan baharu sambil mendekatkan diri dan memohon keampunan daripada-Nya. Jika ada yang enggan memelihara bayi yang dilahirkan usah dibuang merata tempat. Gunakan perkiraan akal yang waras dengan menyerahkannya kepada Rumah Kebajikan Masyarakat ataupun mana-mana pihak yang sudi untuk mengasuh dan membesarkannya seperti kanak-kanak yang lain. Golongan yang sudah terlanjur juga dinasihat supaya tidak terpengaruh dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan sehingga terlibat menjadi pembunuh tanpa disedari.

Bagi remaja yang terlanjur melakukan zina dan sedang hamil boleh juga mendaftarkan diri untuk memasuki sekolah hamil atau Sekolah Harapan Melaka yang sudah mula menerima kemasukan 5 orang pelajarnya baru-baru ini. Ia sekaligus memberi peluang kedua kepada golongan terlibat untuk memperbaiki kealpaan masa lalu dengan lebih sistematik dan terancang, disamping pengisian rohani yang mampu menenangkan jiwa. Penubuhan sekolah ini juga menunjukkan betapa masih ada yang sayang dan sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membantu golongan terlibat kembali ke pangkal jalan.

Lagipun tindakan nekad membuang bayi tidak akan menyelesaikan segala keterlanjuran yang sudah berlaku. Ia tak ubah seperti nasi yang sudah menjadi bubur. Selain berhadapan tindakan tegas disisi undang-undang mereka yang terlibat pasti menanggung penyesalan seumur hidup yang menyumbang pula kepada gangguan psikologi yang kronik. Rasa bersalah dan tidak tenang akhirnya akan menyebabkan golongan ini gagal menjalani kehidupan biasa sehingga kemungkinan ada yang terlibat mengambil dadah atau ubat penenang yang memudaratkan. Boleh jadi ada juga yang merana sakit jiwa dek kerana dosa-dosa silam.

Ingatlah juga bahawasanya setiap yang hidup pasti akan mati dan pada saat itu pelaku dosa termasuk yang membuang bayi akan berhadapan dengan hukuman Tuhan yang sangat pedih dan tidak tertanggung oleh sesiapapun. Pelbagai siksa kubur seperti dihimpit oleh tanah hingga bertemu tulang rusuk, digelapkan dalam kubur dan disengat oleh binatang yang berbisa menunjukkan betapa Allah SWT tidak pernah alpa daripada mengetahui segala tindak-tanduk manusia sama ada yang baik mahupun buruk. Malah kehidupan seharian yang tidak karuan dirundung dengan pelbagai masalah merupakan sebahagian daripada hukuman Tuhan di dunia yang sukar untuk dilalui jika sirna daripada limpahan rahmat dan petunjuk daripada-Nya.

Sehubungan dengan itu komuniti Islam daripada pelbagai peringkat umur diseru menjadikan kemenangan Ramadan yang telah berlalu sebagai langkah permulaan untuk memperbaiki diri sambil memperbetulkan kesilapan lalu dengan kembali ke jalan yang lurus. Golongan muda-mudi Islam pula dinasihat agar tidak terpengaruh dengan pergaulan bebas tanpa batasan yang menyumbang kepada gejala keruntuhan akhlak dikalangan masyarakat yang akhirnya menimbulkan persepsi negatif terhadap agama Islam.

Selain daripada itu aktiviti ziarah serta kunjung-mengunjung yang semarak dilakukan pada ketika ini elok menjadi wadah penyatuan ummah bagi membendung gejala ketirisan moral dikalangan sebahagian masyarakat Islam. Ini dapat dilakukan menerusi amalan mulia tegur-menegur dan saling menasihati antara satu dan lain. Para ibubapa yang berkunjung ke rumah jiran tetangga dan handai-taulan juga afdal membawa anak-anak remaja bersama untuk lebih mempertaut ikatan ukhuwah sesama Muslim. Perkenalan ini juga akan menjadikan masyarakat Islam setempat lebih bertanggungjawab dan mengambil tahu keadaan saudaranya yang lain sehingga gejala tidak bermoral yang berlaku disekeliling mereka dapat dibenteras sedikit demi sedikit.

Walau bagaimanapun kekuatan dalaman dan jatidiri sendiri merupakan perisai ampuh yang perlu disemat dalam diri bagi menangkis pelbagai penyakit sosial yang berleluasa ketika ini. Untuk tujuan itu setiap individu Muslim diseru supaya sentiasa mendampingkan diri kepada Ilahi dengan memperhebat kegiatan ibadah disamping sentiasa memohon bantuan dan pertolongan daripada-Nya. Ini kerana tiada jalan lain untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku selain kembali berserah dan berharap hanya kepada-Nya.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman yang bermaksud "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta". (Surah Taha:124)

Apapun bukan mudah untuk merempuh kekuatan nafsu sendiri yang tidak terbatas dan melangkaui batasan masa dan tempat. Ini ditambah lagi dengan pembebasan musuh syaitan daripada dibelenggu sejak 1 Syawal yang lalu. Sekalipun begitu ia juga bukan alasan untuk terus mempergiat aktiviti dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan dan malapetaka Ilahi. Malah itulah cabaran yang wajib ditempuhi bagi mematangkan jiwa dan keimanan para mukminin sehingga kembali bertemu Allah SWT sebagai individu yang beroleh kemenangan hakiki duniawi dan ukhrawi.

No comments:

Post a Comment