Wednesday, March 30, 2011

April Fool dan Hari Jumaat

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 1 April 2011 dengan tajuk "Keberkatan Jumaat vs kejahilan April Fool"

SATU April setiap tahun disambut oleh sebahagian masyarakat dunia sambil menipu orang lain dengan alasan untuk berseronok-seronok. Kebiasaan membohongi rakan dan anggota keluarga ini, dikatakan bermula di Perancis, kemudian tersebar ke England dan Scotland, lalu ke Amerika ketika berlaku perpindahan orang Eropah ke sana. Sehingga kini terdapat pula segelintir daripada kalangan umat Islam yang jahil dan terpengaruh dengan budaya songsang turut mengamalkan budaya pelik ini.

Walau dari mana pun asal-usul budaya ini ia tidak begitu penting. Malah jika diperhalusi ia jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang memerintahkan umatnya untuk saling menghormati dan berbuat baik kepada sesama manusia. Lebih-lebih lagi 1 April tahun ini jatuhnya pada Hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari. Pada hari Jumaat juga umat Islam disuruh untuk memperbanyak amalan kebajikan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beristighfar, pergi awal ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat dan lain-lain bagi memperoleh rahmat dan keampunan daripada Nya.

Sedarlah betapa selama ini umat Islam sering diperbodohkan dengan pelbagai diayah dan penipuan yang ditujukan khususnya kepada golongan muda-mudi Islam. Pelbagai propaganda dan penipuan yang diimport daripada luar impak negatif era globalisasi seakan berhasil mengheret ramai remaja dan golongan muda Islam mempraktikkan amalan-amalan yang tidak sihat bahkan terkadang bercanggah dengan akidah dan syariat yang suci.

Golongan yang terikut-ikut dengan budaya tidak sihat seperti ini seolah-olah tidak punya nilai dan jati diri sendiri sehingga melihat dunia hanya tempat untuk berseronok-seronok tanpa mempedulikan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT, tanggungjawab sebagai pelajar dan tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara. Sikap yang sebegini bukan sahaja merosakkan individu terbabit, malah jika dibiarkan bakal mencalar imej Islam di mata masyarakat lain.

Menurut perspektif Islam, setiap bulan dalam Islam adalah bulan yang mulia, malah Allah SWT melebihkan bulan-bulan tertentu kerana keutamaannya. Sebagai contoh Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Bulan Ramadan dengan malam Lailatulqadar yang menyamai seribu bulan. Bulan Zulhijjah, bulan para tetamu Allah beramai-ramai mengunjungi Baitul al-Haram untuk menunaikan ibadah haji. Bulan Rabiulawwal, bulan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan sebagai pembawa rahmat kepada sekelian alam. Justeru itu tiada hari atau bulan-bulan tertentu yang dikhususkan untuk memperbodoh-bodohkan orang lain apatah lagi kepada sesama sauadara se Islam.

Nabi SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud “Kamu akan mengikuti perlakuan umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Pernahkah ada yang terfikir bahawa Bulan April bukan bulan yang buruk seperti yang disangka malah sebenarnya golongan yang terlibat merayakannya merupakan individu yang dangkal apabila tidak mengerti adat budaya sendiri sehingga terikut-ikut dengan budaya asing tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Terdapat pula kalangan umat Islam yang terpedaya lalu terlibat dalam aktiviti pembohongan yang ditegah oleh syariat. Sedangkan amalan berbohong adalah amalan buruk yang ditegah oleh syariat.

Dalam sebuah hadis Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Barang siapa yang berbohong kepada kami bererti dia bukan daripada kalangan kami”. Islam dengan tegas, tidak pernah membenarkan pembohongan dilakukan oleh sesiapa dengan apa jua alasan. Lebih daripada itu perbuatan berbohong merupakan perkhabaran yang dibawa oleh orang fasik yang mesti diperhalusi sebelum diterima. Allah SWT menegaskan perkara ini dalam firman Nya yang bermaksud “ Wahai orang yang beriman apabila datang orang yang fasiq membawa berita kepada kamu, hendaklah kamu berhati-hati.

Nabi SAW juga diriwayatkan pernah bersabda "Kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Sesungguhnya sesorang sentiasa bersifat jujur sehingga ditulis di sisi Allah SWT sebagai orang yang jujur. Manakala pembohongan membawa kepada kemaksiatan, perbuatan maksiat pula membawa ke neraka. Sesungguhnya seseorang sentiasa berbohong lalu ditulis di sisi Allah SWT sebagai pembohong.

Oleh itu tidak wajar sesiapapun dari kalangan orang Islam terikut-ikut menyambut hari ini. Dibimbangi akan mengundang berlaku gejala lain yang lebih buruk dan tidak bermoral. Pepatah ada menyebutkan siakap senohong, gelama ikan duri bercakap bohong lama-lama mencuri.

Adalah lebih baik jika hari tersebut diganti dengan amalan mulia seperti menziarahi orang alim, menghadiri majlis-majlis ilmu, berzikir dan memperbanyak ibadah kepada Allah SWT. Sedarlah bahawa hari yang berlalu dengan perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat tidak akan datang lagi untuk diperbaiki semula. Hari yang pergi itu juga bererti hilang satu hari lagi daripada umur manusia di dunia yang juga tak akan dikembalikan lagi. Cukuplah selama ini kita sering diperbodoh-bodohkan sehingga ada yang menganggap perbuatan buruk seolah-olah baik kerana telah biasa dilakukan.

Monday, March 28, 2011

Usah seksi untuk popular

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 7 April 2011 dengan tajuk "Islam tidak menetapkan fesyen asalkan tutup aurat"


Akhir-akhir ini pelbagai pihak tampil menganjurkan pertandingan ratu cantik dengan pelbagai nama yang dipromosikan. Ia nampaknya menarik perhatian segelintir gadis-gadis Melayu beragama Islam untuk menyertai pertandingan tersebut yang turut menawarkan habuan lumayan kepada pemenang. Di sudut pandang yang lain penampilan seksi segelintir selebriti tanah air juga semakin hangat diperkatakan. Begitu pula terdapat sesetengah filem yang seolah-olah cuba mengeksplotasi wanita dengan cara berpakaian yang tidak senonoh dan mencemarkan budaya dan adat ketimuran. Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat kalangan selebriti yang dinobatkan sebagai artis wanita paling seksi dan paling hangat di Malaysia berdasarkan undian yang dilakukan oleh peminatnya.

Semua ini mencerminkan betapa hukum dan peraturan agama khususnya berkaitan perintah menutup aurat sudah tidak dipedulikan. Kemungkinan ada yang menganggap bahawa isu ini tidak perlu diperbesar-besarkan memandangkan dunia sudah maju zaman juga sudah berubah. Boleh jadi juga ada yang mengatakan usah jaga tepi kain orang atau biarkan sahaja apa yang dilakukan oleh mereka sambil mendakwa tidak pernah menyusahkan orang lain.

Namun begitu, setiap orang yang beriman sewajarnya meyakini betapa syariat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW merupakan syariat yang bersesuaian untuk setiap masa dan keadaan. Kalaupun berlaku perubahan ia lebih kepada amalan dan pelaksanaan sahaja, sedangkan asasnya tetap hingga ke akhir zaman. Selain daripada itu menjadi tugas dan tanggungjawab saudara se Islam untuk saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Islam tidak pernah mensyaratkan hanya pakaian tertentu yang wajib dipakai sama ada oleh lelaki mahupun wanita. Malah syariat yang murni memberi kebebasan kepada pelbagai bangsa dan keturunan manusia untuk mengenakan apa sahaja pakaian yang sesuai dengan adat, budaya dan persekitaran mereka. Asasnya ialah menutup antara pusat dan lutut bagi lelaki dan menutup seluruh badan bagi wanita kecuali muka dan tapak tangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ( Surah al-Ahzab, 59).

Dalam hal ini juga Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah menegur Asma’ yang berpakaian nipis, sambil membelakanginya Nabi Muhammad SAW bersabda Wahai Asma’ Sesungguhnya seorang wanita apabila telah cukup umur (telah baligh), tidak boleh dilihat daripadanya, kecuali ini dan ini, seraya Baginda SAW menunjukkan kepada wajahnya dan kedua belah tapak tangannya.

Oleh kerana itu, jika dengan hanya berpakaian nipis sahaja sudah ditegah lalu bagaimana pula dengan realiti pakaian segelintir masyarakat Islam hari ini. Justeru itu setiap individu Muslim perlu menginsafi diri dan berbuat sesuatu berlandaskan peraturan agama. Elakkan daripada mengamalkan budaya ikut-ikutan dengan meniru gaya dan corak berpakaian masyarakat lain yang tidak berlandaskan kepada prinsip hidup beragama yang sebenar.

Lebih daripada itu, setiap wanita Muslimah wajib memiliki sifat malu sebagai pendinding untuk menangkis serangan bertubi-tubi musuh Islam daripada berbagai-bagai kaedah yang ditujukan terutamanya kepada golongan belia Islam agar mereka jauh daripada pegangan agama yang dituntut.

Penulis sendiri berasa malu apabila ada individu yang tidak faham tentang agama Islam tetapi tahu apa yang sepatutnya dilakukan oleh orang yang beragama. Malah dengan tegas beliau mengatakan seksi bukan penanda aras yang akan menentukan sesebuah filem sama ada bermutu ataupun tidak.

Masyarakat Islam secara umumnya juga perlu memahami bahawa perbuatan mendedahkan aurat di khalayak ramai adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat. Malah fatwa berkaitan perkara ini telah diwartakan di Wilayah Persekutuan pada 8hb. Feb. 1996 yang menyatakan adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik. Fatwa yang sama juga turut diwartakan di Negeri Sabah dan Selangor.

Berbagai-bagai perkara sumbang yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini menunjukkan bahawasanya sifat malu mula diangkat oleh Allah SWT sedikit demi sedikit menjelang hari kiamat. Saban hari kita dihidangkan dengan kelakuan golongan yang dicabut perasaan malu dalam diri mereka. Pelbagai fesyen pakaian yang mendedahkan aurat diperagakan ketika ke pejabat mahupun bersiar-siar tak ubahnya seperti seorang model di pentas peragaan. Akibatnya banyak pula pelanggaran terhadap hak-hak Allah SWT yang dicabuli apabila mereka tidak malu dengan pemerhatian dan pengawasan Allah SWT yang tidak putus-putus.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diajak menilai kecantikan bukan dengan fizikal dan gaya penampilan yang seksi lagi menggiurkan. Ia sesuatu yang tidak akan kekal lama dan sirna apabila tiba masanya. Adapun kecantikan akhlak dan budi pekerti mulia yang kekal tertanam dalam hati sanubari individu Muslim adalah sesuatu yang perlu diusahakan agar beroleh rahmat dan pengampunan daripada Nya.

Monday, March 21, 2011

Apabila bumi bergegar lagi

Sebahagian artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan e-mail anda Akhbar Harian Metro dengan tajuk "Iktibar Bencana" bertarikh 28 Mac 2011. Ia turut tersiar di akhbar Berita Harian dengan tajuk "Badai tsunami iktibar terbaik ummah hargai nikmat, rahmat-Nya" pada 30 Mac 2011.

11.3.11 adalah hari yang tentunya tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Jepun lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan Timur Laut negara tersebut. Dalam sekelip mata ombak tsunami setinggi 10 meter membadai lalu menghancurkan segala sesuatu di hadapannya. Sehingga kini dianggarkan lebih daripada 10,000 orang terkorban dan Bank Dunia pula menganggarkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di kawasan tersebut mencecah USD235 bilion dan mengambil masa kira-kira 5 tahun untuk membangun semula. Belum pun reda daripada trauma rempuhan tsunami rakyat Jepun kini terdedah pula kepada kesan langsung daripada radiasi loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi yang juga rosak teruk di badai ombak gergasi tsunami.

Secara tersurat apa yang berlaku di Jepun adalah satu bentuk musibah dan bencana alam yang tidak dapat dielakkan. Ia termasuk dalam ruang lingkup kekuasaan mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa melakukan apa sahaja. Perlu diingat walau sehebat mana sekalipun teknologi garapan pemikiran manusia ia masih dangkal untuk menentukan apa yang akan berlaku di hari mendatang.

Walau dengan kecanggihan teknologi yang ada manusia mampu mengesan kejadian gempa bumi di bawah laut juga ombak tsunami yang akan melanda kemusnahan jiwa dan harta benda pasti tidak dapat dielakkan jika benar Allah SWT menghendaki ia berlaku. Malah perkara ini termasuk dalam ketetapan qada dan qadar Allah SWT yang tidak juga menafikan konsep usaha dan tawakal kepadanya.

Secara tersirat ia sebenarnya satu daripada nikmat dan rahmat Allah SWT yang Maha Luas kepada hamba-hamba Nya yang beriman agar berfikir dan merenung kepada setiap kejadian yang berlaku dengan pandangan mata hati. Ia sekali gus mengajak manusia untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan Ilahi yang tidak terhitung banyaknya. Mana tidaknya sehingga hari ini kita di Malaysia masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi.

Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi di akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan. Jika tidak kemungkinan pelbagai musibah dan malapetaka bakal menimpa implikasi daripada kemurkaan Allah SWT terhadap perlakuan segelintir umat manusia yang tidak bersyukur.

Bibit-bibit kehancuran dan kemusnahan tersebut mula dirasai apabila kerosakan akhlak dan moral masyarakat di tahap yang membimbangkan. Buktinya Akhbar Utusan Malaysia pernah melaporkan sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak kira-kira 257,000 bayi didaftarkan tanpa nama bapa oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Ia bersamaan dengan 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari iaitu tujuh bayi dilahirkan bagi setiap dua jam.

Lebih menakutkan apabila akhbar yang sama turut melaporkan kenyataan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana sebanyak 517 kes buang bayi direkodkan sejak Januari 2005 sehingga Januari tahun ini. Bulan Januari 2011 sahaja mencatatkan 19 kes buang bayi di seluruh negara. Institusi kekeluargaan Islam juga turut dilanda kehancuran apabila pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit.

Malapetaka dan kehancuran di kalangan muda-mudi juga tidak dapat dielakkan lagi. Perkara haram dan dosa jadi alat mainan mereka. Arak diminum seperti teh dan kopi, gejala melepak, berpeleseran jadi hobi mengisi masa lapang dan berseronok di kelab-kelab malam umpama satu kemestian. Kelab gay dan lesbian juga mula mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai kepercayaan kepada Tuhan. Rumah-rumah urut yang menyediakan khidmat seks beroperasi tanpa halangan dan banyak lagi bukti kehancuran yang dapat diperhatikan berlaku di sekeliling kita.

Bukankah semua ini musibah dan malapetaka yang telah melanda negara ? Malah jika difikirkan musibah moral dan sosial yang berlaku hari ini lebih buruk kesannya berbanding tsunami dan bencana alam yang lain kerana akan merebak dan berjangkit kepada generasi masa hadapan jika tidak dibendung dan dibiar berpanjangan.

Sebelum terlambat umat Islam juga harus menginsafi betapa gegaran dan gempa saat berlakunya hari kiamat adalah sesuatu yang menakutkan dan tiada sesiapa akan terselamat daripada kemusnahan seluruh alam. Allah SWT berfirman yang bermaksud;
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. َMaka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah al-Zalzalah:1-8)

Justeru sebelum tiba detik yang menakutkan itu, marilah semua bangkit daripada tipu daya dan kemewahan dunia yang sementara untuk berbakti kepada Tuhan Yang Esa bagi beroleh kesejahteraan hidup di dunia mahupun di akhirat nanti. Jangan sesekali lalai dan leka dengan nikmat keamanan dan kesejahteraan yang ada kerana ia boleh jadi musnah dalam sekelip mata tanpa diduga.

Sunday, March 20, 2011

"Berwaspada daripada terlibat noda, dosa di hujung jari"

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Mac 2011.

DUNIA di hujung jari adalah ungkapan yang sering didengar. Ia merupakan suatu fenomena yang mana segala perkara dan maklumat yang berlaku di segenap penjuru dunia boleh diketahui dengan segera melalui kepantasan pelbagai jaringan laman sesawang yang wujud ketika ini. Namun dosa di hujung jari jarang diperkatakan sehingga ramai yang tanpa sedar terjebak dengan elemen-elemen negatif di sebalik kecanggihan teknologi garapan akal pemikiran manusia yang terhad. Lebih membimbangkan apabila masyarakat Islam secara umumnya terdedah kepada perlakuan dosa di alam maya yang menyumbang pula kepada gejala sosial dan moral yang berpanjangan.

Baru-baru ini YB Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim mendedahkan betapa perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia semakin membimbangkan. Purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit adalah satu statistik yang menunjukkan bagaimana nilai kasih-sayang dan tanggungjawab dalam membina sebuah institusi kekeluargaan Islam mula tercemar dek kerana kurang pemahaman terhadap selok-belok dan peraturan agama. Akibatnya anak-anak jugalah yang menjadi mangsa dan berkemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan statistik salah laku sosial dan moral di kalangan muda-mudi Islam.

Ini ditambah lagi dengan kewujudan laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan lain-lain yang disalahgunakan. Ada pasangan suami isteri tanpa sedar telah bermain kayu tiga sambil memadu kasih di Internet. Akibat terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumah tangga diluahkan kepada individu maya yang tidak dikenali. Kemungkinan juga terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku. Ada pula yang telah bergelar suami dan isteri berlagak seperti anak muda apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah tangga tidak terurus sehingga terlibat pula melakukan dosa zina dan mengundang perceraian yang dimurkai Tuhan.

Kalangan pelajar sekolah juga turut terpalit sama. Ada yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulang kaji pelajaran terabai. Banyak masa dibazirkan kepada perkara-perkara yang kurang bermanfaat dan merosakkan pemikiran mereka. Malah ia juga boleh menyebabkan seseorang terjebak dalam kancah dosa apabila caci makian dan perkataan berunsur lucah digunakan dalam komunikasi seharian. Pelbagai laman sesawang yang berunsur pornografi juga mudah diakses di mana-mana lalu menimbulkan keghairahan dan keinginan untuk mencuba sekali gus membawa kepada jenayah seksual dan rogol yang menakutkan.

Laporan akhbar juga menyebutkan bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Akibatnya ada gadis-gadis tempatan yang terjebak dan merengkok dalam penjara di luar negara kerana telah diperalatkan demi habuan lumayan yang dijanjikan kepada mereka.

Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di alam maya daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan. Perbuatan sebegini sewajarnya dielakkan kerana ia melibatkan punca rezeki yang kemudiannya digunakan pula untuk menyara kehidupan keluarga. Yang pasti keberkatan daripada wang gaji yang diperoleh setiap bulan boleh jadi hilang disebabkan gagal melaksanakan kerja-kerja yang diamanahkan dengan sempurna. Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi masa kini yang seakan berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai musuh bentuk baru yang berusaha untuk merosakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan umat Islam secara umumnya.

Memang tidak dinafikan, kecanggihan teknologi ICT seperti ini boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme perhubungan antara sesama kerabat, rakan dan taulan dengan kos yang murah, pantas dan menyeronokkan. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiyah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada. YAB Perdana Menteri sendiri menjadikan rakan Facebook dan Twitter sebagai medium untuk bertukar pandangan dan pendapat bersama rakyat pelbagai bangsa di Malaysia. Begitu juga bagi yang minat berbisnes secara online ia pasti dapat menjana keuntungan lumayan jika tahu memanfaatkan kemudahan sebegini.

Sungguhpun demikian umat Islam secara khususnya diminta berwaspada dan berhati-hati daripada terlibat dengan noda dan dosa saban hari. Ini dapat dilakukan misalnya dengan pemantauan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak terutama ketika melayari internet di rumah. Sementara itu setiap umat Islam di seru untuk sentiasa menambah amal dan ibadah dengan melakukan kegiatan yang diperintahkan agama dan menjauhi setiap larangannya. Amalan buruk seperti bersembang di internet tanpa mempedulikan solat mahupun tugasan yang dipertanggungjawabkan menyumbang kepada kemurkaan Allah SWT lagi ditegah oleh agama. Sedarlah juga betapa umur yang ada semakin meningkat setiap tahun sedangkan masa yang tinggal untuk memperbanyak amal semakin berkurangan.

Pastinya sukar untuk pihak berwajib mengharamkan akses kepada pelbagai laman sesawang termasuk laman sembang sosial, pornografi dan lain-lain secara total. Namun begitu setiap individu Muslim diseru sentiasa memuhasabah dan menilai diri sendiri dalam apa jua kegiatan yang dilakukan. Ini penting bagi mengelak sesuatu yang memudaratkan berlaku ke atas pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam. Ia juga sangat bertepatan dengan objektif syariah yang bertujuan untuk memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Penyalahgunaan internet yang mula dibicarakan akhir-akhir ini jika tidak dibendung kemungkinan menyumbang pula kepada masalah-masalah lain yang lebih kronik jika tidak di atasi dengan segera. Mana tidaknya budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburuk-burukkan sesama sendiri seakan berkembang subur dan sukar dielakkan. Lebih membimbangkan lagi apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab guna untuk mengaibkan sesama sendiri. Keburukan ini semakin terserlah apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan.

Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh merosakkan keharmonian hidup manusia pada bila-bila masa dengan terlibat melakukan pelbagai dosa tanpa disedari.