Tuesday, July 31, 2012

FAHAMI ERTI JIHAD YANG SEBENAR

Sebahagian daripada artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Agama Akhbar Berita Harian bertarikh 7 Ogos 2012 dengan tajuk "Ramadan jihad lawan hawa nafsu". Diterbitkan juga di Ruangan Cetusan Akhbar Sinar Harian bertarikh 28 Ogos 2012.

SEMPENA sambutan Hari Pahlawan yang jatuhnya pada tarikh 31 Julai setiap tahun, seluruh anggota masyarakat diseru menghayati semangat jihad dan pengorbanan pahlawan terbilang tanah air dalam kehidupan seharian. Sambutan ini juga signifikan dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 55, yang turut melambangkan semangat juang dan usaha gigih pejuang kemerdekaan bagi membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Segala jasa dan perjuangan yang dicurahkan oleh pasukan keselamatan sepanjang zaman bagi membebaskan tanah air seterusnya mempertahankan negara daripada di ceroboh oleh musuh-musuh adalah bakti murni yang tiada tolok bandingnya. Semangat jihad Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, Tok Kenali dan lain-lain lagi, yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi negara sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam masa kini untuk sama-sama bangkit mempertahankan kesucian agama serta kedaulatan bangsa dan negara tercinta.

Sehubungan dengan itu juga umat Islam seluruhnya diseru menterjemahkan semangat jihad seperti ini dalam segala aktiviti dan tugasan seharian. Setiap individu Muslim hendaklah bersedia untuk berjuang mati-matian bagi mempertahankan akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa tanpa mudah diperolok-olokkan oleh harta dan kenikmatan duniawi. Usah hanya kerana habuan dunia yang sedikit ada di kalangan Muslim yang sanggup murtad, keluar daripada Islam.

Kesungguhan mempraktikkan segala ajaran agama seperti solat dan puasa di Bulan Ramadan turut mengandungi falsafah jihad yang murni. Malah bukan mudah untuk seseorang istiqamah melaksanakannya apatah lagi dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam mendidik nafsu terpaksa dilalui sebelum beroleh kemenangan yang dijanjikan.
Beberapa peristiwa penting menunjukkan kegigihan dan kesabaran umat Islam terdahulu patut dijadikan iktibar. Walaupun dalam keadaan berpuasa tentera Islam pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW pernah melalui beberapa siri peperangan dan beroleh kemenangan. Sebagai contohnya peristiwa Perang Badar al-Kubra yang berlaku pada tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah jelas menunjukkan betapa puasa bukan penghalang kejayaan.

Begitu pula bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan kemenangan jika tidak disertai dengan semangat juang yang tinggi dan bertawakal kepada Allah SWT. Selain itu Pembukaan Kota Mekah pada tahun kelapan hijrah, Peperangan Tabuk pada tahun kesembilan hijrah dan peristiwa penaklukan Bumi Palestine oleh Salahuddin al-Ayubi pada tahun 584 hijrah turut berlaku pada Bulan Ramadan. Ia sekali gus menunjukkan betapa umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan spritual dan fizikal di paras tertinggi ketika sedang berpuasa. Malah tidak salah jika dikatakan Ramadan adalah bulan kemenangan dan kejayaan bagi Muslimin secara umumnya.

Di sisi yang lain, golongan remaja dan muda-mudi terutama yang masih di bangku sekolah mahupun di menara gading selayaknya menghayati semangat jihad golongan terdahulu dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyumbang bakti kepada pertiwi. Masa muda yang merupakan anugerah tidak ternilai hendaklah digunakan untuk aktiviti berfaedah dan berimpak tinggi demi survival agama dan bangsa sendiri.

Usah hanya seronok berfoya-foya dan berhibur sepanjang masa sehingga terkesima dengan kenikmatan yang tidak berkekalan lalu menyesal di hari kemudian. Elakkan daripada terlibat berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa sehingga ajal datang menjelma tanpa bersedia dengan bekalan secukupnya.

Umat Islam secara umumnya diseru bersatu atas nama akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menggembleng tenaga memajukan bangsa dan negara sendiri. Perbalahan dan perselisihan yang berpanjangan mesti dielakkan jika tidak ia bakal menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam sehingga mudah diperkotak-katikkan oleh musuh. Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana apabila nasi sudah menjadi bubur baharu segala kesilapan disedari boleh jadi kenikmatan dan keharmonian yang wujud pada hari ini tidak dapat lagi diwarisi oleh generasi yang terkemudian.

Allah SWT berfirman maksudnya “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (Surah al-Anfal ayat 60).

Untuk itu, kesediaan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT juga adalah suatu bentuk jihad yang dituntut. Ini kerana harta adalah sesuatu yang sangat dicintai dan sukar untuk seseorang memberikannya kepada yang lain kecuali jika dipaksa. justeru itu, segala pemberian yang ikhlas semata-mata mengharap maghfirah daripada Nya pasti akan diberi balasan yang setimpal.

Sesungguhnya jihad pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada usaha mengangkat senjata menentang kezaliman semata-mata. Skopnya luas termasuklah jihad untuk menjawab segala tohmahan dan usaha keji memburuk-burukkan Islam dan umatnya di ruang siber. Untuk itu para sarjana Islam dan ulama secara khususnya boleh menggunakan media baharu bukan sahaja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang tetapi juga sebagai medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara keamanan dan kedamaian yang dikecapi dengan menunjukkan rasa kesyukuran yang tidak berbelah-bahagi atas nikmat pemberian Allah SWT yang tersebut. Kesyukuran itu dibuktikan lagi dengan kesediaan semua untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan apa jua kaedah yang diredai oleh Nya. Dalam masa yang sama segala perkara yang mengundang kemurkaannya hendaklah dijauhi dan dihindari daripada kehidupan selama-lamanya.


Monday, July 23, 2012

BOROS BERBELANJA AMALAN SYAITAN



BERSEDERHANA ketika berbelanja merupakan tuntutan agama Islam. Selaras dengan itu berbelanja melebihi daripada keperluan sangat dilarang. Individu yang boros dan suka membazir turut dilabelkan sebagai rakan Syaitan dek kerana memiliki sifat negatif yang memudaratkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat amnya.

Oleh itu, umat Islam digesa berjimat cermat dan membeli sekadar keperluan sahaja. Usah diturutkan runtunan nafsu yang secara semula jadi mengajak manusia melakukan perkara buruk lagi ditegah oleh agama. Berusahalah untuk mendidik nafsu sendiri terutama di Bulan Ramadan ketika Iblis dibelenggu oleh Allah SWT.

Malahan, sikap buruk seperti ini kelihatan lumrah terjadi tatkala berkunjung ke bazar-bazar Ramadan sehingga segala yang dipandang terasa sedap lalu semuanya dibeli. Realitinya ketika berbuka hanya sedikit yang dimakan manakala yang lain terbiar dan terbuang begitu sahaja.

Oleh sebab itu masyarakat Islam disunatkan berbuka dengan 3 biji kurma ataupun kuih–muih yang manis sekadarnya lalu bangkit mengerjakan solat Maghrib yang difardukan. Atau jika sudah terbiasa menikmati juadah yang berat seperti nasi dan lauk pauk yang pelbagai, nikmatilah secara sederhana sambil tidak lupa menghadiahkan juadah berbuka kepada jiran tetangga yang berhampiran.

Dikhuatiri jika sudah kekenyangan seseorang akan terlepas peluang qiamullail di malam-malam Ramadan yang berlangsung sehingga menjelang waktu subuh. Boleh jadi dengan sebab itu juga terlepas nikmat beribadah pada malam lailatulqadar yang kekal menjadi rahsia Allah SWT sepanjang zaman. Amalan solat tarawih sebagai contohnya jika berupaya dilakukan dengan istiqamah merupakan antara ibadah qiamullail yang disyariatkan khusus sepanjang Ramadan. Lebih unik lagi amal jama’iy seperti ini tiada pada bulan yang lain sebagai sebahagian daripada kurniaan Ilahi yang sanggup berkorban masa dan tenaga mengharap keredaan Nya.

Apa yang lebih penting, setiap individu Muslim perlu memastikan segala yang dimakan adalah yang bersifat halalan tayyiba iaitu halal lagi berkhasiat. Untuk itu, para Muslimin diseru lebih prihatin terhadap apa yang dimakan kerana boleh jadi ia merosakkan ibadah puasa yang telah dilaksanakan sepanjang hari. Apa guna segala susah payah dan pengorbanan yang telah dilakukan ketika berpuasa termasuk menahan diri daripada lapar dan dahaga kemudian tiada nilai dan sia-sia belaka.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud “Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi mereka tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga”.

Di sudut pandang yang lain, golongan peniaga Muslim pula diharap tidak mengambil kesempatan dengan rezeki yang melimpah ruah semasa Ramadan sehingga mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan. Mereka juga memikul amanah untuk menunaikan hak sesama saudara se Islam bagi memastikan segala yang dimasak adalah halal, bersih dan bermanfaat. Bayangkan betapa kecewanya hati saudara Muslim saat berbuka dengan juadah yang sudah basi ataupun rosak yang dibeli daripada saudara Muslim yang lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan penjual turut mendapat saham dosa kerana menyakiti hati saudaranya yang lain.

Dalam sebuah riwayat ada menyatakan perumpamaan orang Mukmin daripada aspek kasih sayang, belas kasihan dan saling hormat menghormati sesama mereka diibaratkan seperti satu jasad yang mana jika ada daripada anggota jasad itu sakit maka seluruh jasad turut merasakan kesakitannya.

Pengusaha restoran dan hotel tertentu juga tidak sepatutnya menangguk di air yang keruh dengan trend berbuka puasa di luar yang menjadi tarikan pada masa kini menerusi penyediaan Bufet Ramadan yang tidak mendapat pengesahan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Laporan akhbar turut menyatakan ada golongan peniaga yang menaikkan harga makanan dan bufet Ramadan demi mengaut keuntungan lumayan dengan alasan kenaikan harga barangan keperluan di pasaran.

Budaya boros dan berlebih-lebihan kelihatannya semakin ketara dalam membuat persiapan untuk berhari raya sehingga segala-galanya mesti baharu. Daripada aspek pakaian, perhiasan rumah, barangan perabot, aksesori peribadi, gajet terkini dan tak kurang juga yang mengambil kesempatan bertukar kereta baharu. Ada pula yang sanggup papa asal bergaya dengan membeli barangan berjenama dan mewah secara berhutang.

Dalam hal ini penggunaan kad kredit tanpa keperluan yang mendesak amat dilarang kerana umat Islam tidak digalakkan berhutang kecuali dalam kondisi yang sangat memerlukan. Begitu pula amalan meminjam wang untuk pulang ke kampung berhari raya secara umumnya juga tidak patut diteruskan. Ini kerana boleh jadi hutang persiapan hari raya tahun yang sudah masih belum terbayar dan kini terpaksa pula berhutang lagi. Akhirnya hidup merana kerana dihimpit masalah hutang yang tidak berkesudahan.

Seyogianya umat Islam bersifat qana’ah dengan mengguna apa yang sedia ada tanpa boros berbelanja melebihi kemampuan. Jika tidak pelbagai keburukan lain bakal menimpa termasuk diisytiharkan muflis jika gagal melunaskan hutang pada tempoh yang ditetapkan, terlibat dengan pinjaman berasakan riba yang diharamkan dan kemungkinan membahayakan diri dan keluarga apabila membuat pinjaman dengan ceti haram. Atau kalaupun mampu mengadakan segala-galanya perlu diingat di sana ada hak golongan memerlukan sama ada melalui infaq wajib seperti agihan zakat mahupun sedekah sunat daripada orang kaya kepada golongan fakir dan miskin.

Sifat positif berhemah ketika berbelanja termasuk tanggungjawab pemilik harta yang memikul amanah untuk membelanjakan harta kurniaan Allah SWT kepada jalan yang diredai oleh Nya. Justeru itu setiap insan akan ditanya berkaitan pengurusan hartanya lebih tepat lagi daripada mana ia diperoleh dan ke mana akhirnya dibelanjakan.



Wednesday, July 18, 2012

GANJARAN RAMADAN; BONUS TAHUNAN BUAT MUSLIMIN

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20/7/2012. Juga diterbitkan dalam Ruangan E-Mail Anda Harian Metro bertarikh 23/07/12.

KELEBIHAN Dato’ Fazley Yaakob yang konsisten menunjukkan bakat dan kemahiran memasak dalam Pertandingan Master Chef Selebriti memberi tuah kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan itu. Kemenangan tersebut tambah bermakna apabila ia dikongsi bersama dengan Yayasan Jantung Malaysia yang beroleh hadiah kemenangannya sebanyak RM 57,500 sebagai sumbangan amal bagi membantu pihak yang memerlukan. Sesungguhnya sifat mulia suka memberi dan membantu merupakan sebahagian daripada sifat mulia yang wajar dicontohi oleh semua.

Lebih besar lagi ganjaran yang bakal diraih jika amalan mulia suka memberi dan bersedekah seperti itu dilaksanakan di Bulan Ramadan. Di bulan ini masyarakat Islam digalakkan untuk memperbanyak bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa jua bantuan yang terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi SAW yang sangat pemurah semasa Ramadan. Diwaktu yang sama kewajipan untuk bersegera menunaikan fardu zakat fitrah bagi yang berkemampuan tidak harus dilengah-lengahkan.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; “Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi makanan kepada Mukmin yang kelaparan maka Allah SWT akan memberinya makanan buah-buahan Syurga pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi minuman kepada Mukmin yang kehausan maka Allah SWT akan memberinya khamar Syurga yang termeterai bekasnya pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi pakaian kepada Mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya pakaian Syurga yang berwarna hijau”. (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud). Dalam riwayat yang lain Baginda Nabi SAW pernah ditanya tentang sedekah yang paling afdal, dijawab “Sedekah di Bulan Ramadan” (Riwayat al-Tirmiziy

Selain daripada itu kelebihan Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama Ramadan, diikuti dengan ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari yang kedua dan akhirnya pembebasan daripada api neraka di 10 yang terakhir daripadanya. Yang mana kesemua daripada kelebihan ini merupakan suatu motivasi untuk Muslimin beramal ibadah seraya memenuhi Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat. Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.

Justeru itu, masyarakat Islam diseru berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi seluruh Ramadan dengan pelbagai kegiatan ibadah yang juga memiliki ganjaran hebat yang tersendiri. Ganjaran bertadarus al-Quran sebagai contohnya mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT. Ini dinyatakan dalam riwayat yang bermaksud “Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya”. (Riwayat Abu Daud)

Ramadan juga merupakan bulan pengampunan dosa. Malah inilah peluang untuk individu Muslim melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya bertaubat dan tidak lagi mengulangi segala dosa. Diriwayatkan Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya “Sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, Bulan Ramadan hingga Ramadan yang lain menjadi penebus dosa yang terjadi antara keduanya selagi seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Muslim).

Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam kemuliaan lailatulqadar yang diharapkan oleh Imam al-Syafi’y berlaku pada malam 21 atau 23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menjangkakannya berdasarkan hari awal Ramadan. Sebagai contohnya jika awal Ramadan jatuhnya pada hari Selasa atau Jumaat, lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan dan jika bermula pada hari Sabtu bermakna lalilatulqadar pada malam 23 Ramadan. Sungguhpun demikian umat Islam diseru untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan kerana terdapat hadis yang masyhur daripada Nabi Muhammad SAW menyatakan ia berlaku pada malam ganjil hari 10 terakhir Ramadan.

Berjihad mencari lailatulqadar merupakan kemuncak daripada segala amal kebajikan yang dilakukan sejak hari pertama Ramadan. Ini kerana pada malam itu Allah SWT turun ke langit dunia untuk mengampunkan dosa sesiapa yang beristighfar kepadanya, memperkenankan doa dan permohonan kepada sesiapa yang ikhlas menadah tangan kehambaan. Malah pahala beribadah menyamai 1000 bulan iaitu seolah-olah 83 tahun umur manusia bakal diraih oleh insan yang terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini juga peluang keemasan yang perlu diraih oleh setiap Muslim tanpa mengira usia, jantina dan latar belakang ilmu agama. Ia tiba setahun sekali dan tiada sesiapa yang boleh menjangka akan memperoleh lagi kenikmatan seperti ini pada tahun mendatang.

Lebih daripada itu kelebihan Ramadan yang paling utama terletak pada ibadah puasa yang difardukan kepada setiap individu Muslim yang baligh dan berakal. Ini kerana manusia sebagai makhluk sanggup menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa tidak lain semata-mata kerana ikhlas mentaati perintah Allah SWT. Sabda Nabi SAW bermaksud “Demi Allah yang jiwa ku berada dalam genggamannya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada bau minyak kasturi”. Allah SWT berfirman maksudnya “Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Puasa itu dilakukan kerana Aku, dan Akulah sendiri yang akan memberi balasannya”. (Riwayat Ahmad)

Malahan jika umat Islam tahu segala kelebihan dan kemuliaan yang disediakan ketika Ramadan nescaya mereka pasti menginginkan agar Ramadan berlangsung sepanjang tahun. Oleh kerana itu jugalah tiada nikmat dan ganjaran yang paling berharga buat individu yang berpuasa dalam erti kata yang sebenar melainkan beroleh sifat takwa dan terpilih masuk Syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan yang dikhususkan bagi orang yang berpuasa.

Andaikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan terakhir buat kita lalu segala usaha, tenaga, masa dan wang ringgit dipergunakan semaksimumnya untuk berbakti dan meningkatkan kualiti puasa tiada lain, demi mengharap maghfirah Nya.

Thursday, July 12, 2012

SIAPKAN 5B SEBELUM BERTEMU RAMADAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17/7/2012.

BULAN Syaaban kini semakin laju memecut menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak berapa lama lagi umat Islam di serata pelusuk dunia akan mula menjalani ibadah puasa wajib di Bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru itu segala persiapan bagi menemuinya wajar dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya setelah Ramadan sekali berlalu, tiada nilai takwa mahupun ganjaran setimpal berjaya diraih setelah bersusah payah berpuasa selama sebulan. Justeru itu, umat Islam diseru melakukan persiapan bagi menemui Ramadan dengan secukup. Persiapan itu termasuklah;

Bersihkan zahir dan batin
Setiap Muslim disarankan untuk menyucikan diri daripada kekotoran zahir dan batin. Ini dapat dilakukan dengan berusaha menghindari diri daripada melakukan perkara keji dan mungkar selain berniat untuk memenuhkan Ramadan dengan segala amalan kebajikan. Begitu pula segala penyakit mazmumah yang boleh merosakkan ibadah hendaklah dijauhi. Sikap negatif seperti riak, sombong, takbur dan hasad dengki termasuk dalam kategori penyakit buruk yang perlu dijauhi. Selain itu amalan buruk berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani dengan sifat takwa kepada Allah SWT. Ia juga selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa mengintai peluang untuk merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.

Bersedia untuk berbuat amal ibadah
Seyogianya Ramadan dipenuhi dengan kerja-kerja ibadah. Amalan biasa seperti berzikir, tadarus al-Quran, solat tarawih dan qiamullail patut disemarakkan lagi. Umat Islam diseru untuk mengimarahkan surau dan masjid secara berjemaah dan berterusan sepanjang Ramadan agar beroleh ganjaran rahmat, pengampunan dosa dan pembebasan daripada api neraka. Di samping itu segala kegiatan harian hendaklah dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat.
Elakkan daripada membazirkan masa dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah seperti bersembang mahupun tidur seharian. Peruntukkan juga sebahagian wang ringgit untuk bersedekah kepada golongan memerlukan dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ini termasuk juga membayar zakat fitrah yang diwajibkan bagi semua tanggungan jika memenuhi syarat diwajibkan. Kesemua ini jika dilakukan dengan ikhlas akan dibalas dengan ganjaran yang tidak ternilai di sisi Allah SWT, apatah lagi di Bulan Ramadan yang mana segala amal kebajikan dilipat gandakan ganjarannya oleh Allah SWT tidak seperti bulan-bulan yang lain.

Berpuasa dalam erti kata yang sebenar
Segelintir umat Islam menyangka bahawa berpuasa terhasil dengan hanya menahan diri daripada makan dan minum bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari serta tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Namun sebenarnya pengertian puasa cukup luas dan menyeluruh. Selain makan dan minum seluruh anggota dan pancaindera juga selayaknya berpuasa yakni berhenti daripada berbuat kemungkaran. Dalam masa yang sama segala kewajipan lain seperti solat lima waktu dan perintah menutup aurat tetap dikerjakan. Masyarakat Islam juga diseru untuk mengelak daripada mengumpat, mengeji orang lain kerana dikhuatiri bakal mengurangkan pahala berpuasa di Bulan Ramadan.

Di samping itu pekerjaan seharian hendaklah diteruskan, kerana puasa tidak sepatutnya mengurangkan produktiviti dan kesungguhan untuk bekerja. Ia juga termasuk aktiviti ibadah yang diberi pahala jika tidak melanggar ketetapan syariat. Baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat sendiri sibuk berjuang menentang Musyrikin Mekah dalam Perang Badar al-Kubra di saat mereka sedang berpuasa dan beroleh kemenangan dalam peperangan tersebut. Justeru berpuasa di Bulan Ramadan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelak daripada melakukan kerja tertentu seperti yang diamanahkan.

Berjihad mencari lailatulqadar
Ramadan tiba setahun sekali, begitu pula malam lailatulqadar yang didambakan oleh setiap hamba yang beriman. Kesempatan yang sangat berharga ini tidak patut dipersiakan. Malah setiap individu Muslim perlu menanam azam dan tekad untuk berjihad dengan bersungguh-sungguh bagi mencari malam kemuliaan tersebut seraya beroleh ganjaran yang tidak ternilai harganya. Inilah masa paling sesuai untuk semua yang merasa pernah berbuat dosa memohon keampunan dan bertaubat kepada Nya.
Inilah saat dan ketika segala doa dan permohonan sama ada bersifat duniawi dan ukhrawi akan diperkenankan lagi dimakbulkan oleh Allah SWT. Justeru itu Ramadan bukan masa untuk bersenang lenang, mencari pelbagai kuih-muih di Bazar Ramadan dan sibuk membuat persiapan Hari Raya semata-mata. Lebih daripada itu Ramadan adalah bulan untuk berjihad melawan hawa nafsu, mendidik jiwa dengan takwa dan bersabar melalui pelbagai ujian yang mendatang.

Bersegera menyelesaikan hutang puasa
Bagi yang masih belum mengqada puasa yang ditinggalkan diharap bersegera berbuat demikian sebelum berakhirnya Bulan Syaaban. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pelakunya kepada dosa yang dimurkai oleh Allah SWT. Malah mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika telah menjangkaui Ramadan tahun yang baru. Kewajipan menggantikan puasa yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab yang diiktiraf oleh syarak mahupun dengan sengaja ditinggalkan umpama hutang dengan Allah SWT yang akan dibawa mati dan dipertanggungjawabkan pada hari kemudian. Malah ia tidak patut dilengah-lengahkan apatah lagi diabaikan begitu sahaja kerana bimbang tidak berkesempatan untuk melangsaikannya

Selain daripada itu, umat Islam turut digalakkan untuk membersihkan kawasan sekitar rumah yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap yang bertaburan di sana sini bagi menyambut Ramadan. Kawasan dalaman rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Pada masa inilah sepatutnya langsir yang lama ditukar dengan yang baharu. Begitu pula pakaian yang cantik-cantik dan serba baharu disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan. Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik bagi menyambut ketibaan Ramadan.

Akhirnya bergembiralah untuk bertemu Ramadan dengan niat dan semangat untuk berbakti kepada Ilahi. Peluang yang datang ini belum tentu akan dinikmati lagi pada masa hadapan kerana hanya individu terpilih sahaja diberi kesempatan tersebut. Oleh itu usah disia-siakan kurniaan ini dengan melalui Ramadan tanpa beroleh sebarang ganjaran dan kurniaan daripada Nya.

Sunday, July 1, 2012

PERSIAPAN MENYAMBUT 1 RAMADAN


TEKA-TEKI siapa yang bakal menjulang Piala EURO 2012, telah pun diketahui umum. Kemenangan pasukan Spanyol dengan mengalahkan pasukan Itali 4-0, dalam perlawanan akhir EURO 2012 yang disaksikan oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia ternyata berbaloi walaupun peminat di beberapa Negara Asia termasuk Malaysia terpaksa berjaga sepanjang malam demi kerana bola.

Semoga kemeriahan pesta bola sepak EURO 2012 dapat menyuntik semangat bukan sahaja kepada pemain bola sepak tempatan tetapi kepada seluruh peminat bola sepak negara supaya berusaha dengan gigih untuk turut menyumbang sesuatu yang bernilai demi kemajuan agama, bangsa dan negara. Dengan berakhirnya pertandingan bola sepak yang penuh berprestij itu juga segenap lapisan masyarakat diseru untuk kembali menumpukan usaha dan tenaga, bekerja dengan penuh dedikasi demi keharmonian dan kesejahteraan hidup bersama.

Di sudut pandang yang lain, Bulan Syaaban yang tiba semakin laju memecut menghampiri penghujungnya. Ini bermakna tidak berapa lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa di Bulan Ramadan al-Mubarak. Justeru itu segala persiapan bagi menemui Ramadan wajar dilakukan bagi merealisasikan nilai puasa tingkatan tinggi seperti yang diharap-harapkan oleh semua. Adalah tidak molek jika bertahun-tahun mendapat nikmat bertemu Ramadan sedangkan kualiti puasanya tetap tidak berbeza. Akhirnya tiada nilai takwa berjaya diraih walaupun setelah sebulan melalui ibadah puasa yang difardukan.

Justeru itu, umat Islam diseru untuk mempersiap diri dengan membersihkan jiwa dan raga untuk mula berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Ini dapat dilakukan dengan memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara keji dan mungkar selain menanam azam dan tekad untuk memenuhkan Ramadan dengan amalan kebajikan. Usah hanya bersusah payah menahan lapar dan dahaga tetapi mulut tidak berhenti daripada mengumpat dan mengeji orang lain. Begitu pula pekerjaan yang wajib seperti solat dan menunaikan zakat fitrah diabaikan. Termasuk juga tuntutan wajib menutup aurat yang dipandang remeh dan semuanya dianggap tidak ada kaitan dengan perintah berpuasa.

Umat Islam juga diperingatkan supaya segera mengqada puasa wajib yang tidak dikerjakan setahun yang lalu sebelum berakhirnya Bulan Syaaban. Kegagalan berbuat demikian akan mendedahkan pelakunya kepada dosa yang dimurkai oleh Allah SWT. Malah mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mengganti puasa dan membayar fidyah jika telah menjangkaui Bulan Ramadan tahun yang baru. Kewajipan untuk menqadakan puasa ini juga umpama hutang dengan Allah SWT yang akan dibawa mati dan dipertanggungjawabkan jika tidak diganti semasa hidup. Malah ia tidak patut dilengah-lengahkan apatah lagi diabaikan begitu sahaja kerana bimbang tidak berkesempatan untuk melangsaikannya.

Kejadian ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh serta banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda di sesetengah tempat, sepatutnya menimbulkan keinsafan kepada semua. Malapetaka dan musibah yang menimpa ini memberi isyarat yang jelas betapa dunia semakin tua dan akan sampai ke detik kebinasaannya. Sedangkan manusia yang tinggal di dalamnya terus leka berfoya-foya dengan pelbagai kenikmatan dunia tanpa berbuat amal sebagai persediaan menghadapi hari kebangkitan yang dijanjikan. Untuk tujuan itu jua umat Islam di Malaysia secara khususnya diseru untuk sentiasa bersyukur atas nikmat kesihatan, keamanan dan keharmonian yang dikecapi selama ini dengan bersyukur sambil beramal dan berbuat bakti kepada Ilahi.

Selain daripada mengqada puasa yang pernah ditinggalkan kesempatan yang ada juga turut boleh digunakan untuk melaksanakan ibadah puasa sunat yang besar ganjarannya di Bulan Syaaban. Nabi Muhammad SAW sendiri paling banyak berpuasa sunat di Bulan Syaaban berbanding bulan-bulan yang lain. Ia juga sebagai latihan awal untuk mempersiapkan diri berpuasa sepanjang Ramadan.

Selain daripada membuat persiapan mental dan fizikal untuk bertemu Ramadan, umat Islam turut digalakkan untuk membersihkan kawasan luar rumah yang kemungkinan dipenuhi lalang dan sampah sarap yang berteraburan di sana sini. Kawasan dalam rumah juga elok dihias dan dibersihkan. Pada masa inilah juga sepatutnya langsir yang lama ditukar dengan yang baharu. Begitu pula pakaian yang cantik-cantik dan serba baharu disediakan dan dipakai menjelang ketibaan satu Ramadan. Amalan seperti ini sangat bertepatan dengan perintah Allah SWT supaya pintu-pintu Syurga dibuka luas dan bahagian dalamannya dihias rapi dan cantik bagi menyambut ketibaan Ramadan.

Selain itu amalan keji berupa perbuatan dosa dan maksiat juga hendaklah dihindari sebagai persediaan mendidik jiwa dan rohani supaya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Ia juga selari dengan pendidikan Ramadan yang terfokus kepada melawan runtunan hawa nafsu yang sentiasa berusaha merosakkan manusia dengan perlakuan negatif.
Ini kerana kebelakangan ini jenayah jijik membuang dan membunuh bayi kandungan sendiri seolah-olah mula hangat dibicarakan. Minggu lalu sahaja tidak kurang daripada 4 kes pembuangan bayi dilaporkan di akhbar tempatan termasuk seorang bayi yang ditinggalkan di dalam but sebuah kereta di Johor. Kejadian ini jelas menunjukkan betapa masih ada segelintir masyarakat yang tidak bertamadun dan tergamak membunuh anak sendiri.

Selain itu tindakan muda-mudi Islam yang terlibat dengan aktiviti pelacuran juga penari pusat hiburan dengan aksi mengghairahkan turut menyumbang kepada gejala tidak bermoral yang terus membelenggu segelintir umat Islam. Ia pasti mencemarkan kesucian Ramadan jika di biar berterusan malah sesuatu yang tidak manis untuk diperkatakan di saat ramai yang sudah mula bercakap tentang ibadah puasa dan persiapan untuk menemuinya.

Sehubungan dengan itu juga ketibaan Malam Nisfu Syaaban yang jatuhnya pada Hari Khamis ini diharap menjadi titik tolak kepada usaha bersungguh-sungguh untuk merubah tingkah laku dan perangai kepada yang lebih baik sebelum mula berpuasa. Masyarakat Islam secara umumnya diseru untuk hadir beramai-ramai ke masjid dan surau bagi melaksanakan amalan membaca Surah Yasin dan berdoa agar beroleh keberkatan dan rahmat di Bulan Syaaban seterusnya beroleh nikmat panjang umur untuk bertemu Ramadan.

Semoga Syaaban yang pergi dan Ramadan yang bakal menjelang tiba mampu menjadi batu loncatan untuk umat Islam bertaubat daripada berbuat dosa dan menghimpun seberapa banyak kurnia dan anugerah yang khusus disediakan pada bulan yang mubarak itu. Ini kerana peluang yang ada belum tentu lagi dapat dinikmati pada tahun-tahun yang berikutnya. Justeru bersedialah untuk bertemu Ramadan lagi.