Tuesday, March 20, 2012

JOM TUNAI ZAKAT GAJI

Artikel ini telah disiarkan dalam ruangan E-Mail Anda Harian Metro bertarikh 2 April 2012.


MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa pendapatan bulanan ataupun gaji yang diperoleh setiap bulan wajib dikeluarkan zakatnya jika memenuhi syarat wajib zakat yang ditetapkan. Ini kerana berdasarkan laporan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor hanya sejumlah 2,000 daripada keseluruhan 26,000 kakitangan awam di Negeri Johor yang menunaikan kewajipan membayar zakat gaji mereka.

Perangkaan ini sepatutnya menyedarkan umat Islam akan peri pentingnya menunaikan zakat difardukan. Ini kerana zakat pada dasarnya berperanan untuk menumbuhkan, menyuburkan dan mengembangkan harta seseorang. Ia sekali gus memberi isyarat kepada semua betapa sumbangan zakat yang difardukan tidak akan menyebabkan kerugian dan kekurangan harta malah semakin bertambah, berkembang lagi subur. Lebih menyeronokkan lagi apabila penerima agihan zakat kemudiannya mendoakan kebahagiaan dan kesenangan kepada sesiapa yang ikhlas melunaskan zakat hartanya.

Malah inisiatif oleh kerajaan melalui pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberi pelepasan cukai kepada individu yang membayar zakat sepatutnya menjadi pendorong umat Islam untuk berzakat bagi membantu asnaf yang memerlukan.

Persoalan sama ada zakat ke atas gaji dan pendapatan bulanan wajib atau tidak dikenakan zakat sepatutnya tidak timbul. Ini kerana hukum hakam zakat banyak berhubung kait dengan persoalan ijitihady yang mana bergantung kepada kebijaksanaan pemerintah dan pihak berkuasa agama di sesuatu tempat untuk menentukan apa yang wajib dizakatkan mengikut keperluan dan situasi semasa.

Berikutan dengan ketetapan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 12 Muharam 1421 bersamaan 17 April 2000 telah membuat keputusan bahawa gaji dan pendapatan wajib dikeluarkan zakat bila mana cukup syarat-syaratnya. Kaedah pengiraannya pula adalah berdasarkan pengiraan pendapatan kasar tahunan yang ditolak dengan keperluan asas sebenar pada tahun semasa. Sekiranya sama atau melebihi nisbah yang ditetapkan, maka zakatnya 2.5% atau 1/40.

Adapun keperluan asas sebenar pada tahun semasa yang ditolak daripada pendapatan tahunan adalah keperluan sara hidup yang diperlukan untuk diri sendiri iaitu sebanyak RM8,000.00, tolakan untuk isteri RM3,000.00 x bilangan isteri, anak di bawah tanggungan RM1,000.00 x bilangan anak juga mereka yang di bawah tanggungan seperti ibu bapa dan lain-lain. Wang gajian yang telah digunakan untuk tujuan perubatan dan pendidikan juga boleh ditolak. Baki gaji setelah ditolak keperluan asas sebenar kemudiannya di darabkan dengan 2.5% untuk memperoleh amaun zakat gaji yang wajib dibayar kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Perlu juga difahami bahawa zakat gaji perlu dibayar di negeri seseorang bekerja kerana di situ terdapat hak masyarakat setempat yang memerlukan . Kemudiannya jika terdapat lebihan agihan zakat baharulah pihak berkuasa agama menentukan untuk mengagihkannya ke negeri-negeri lain yang dikenal pasti memerlukan.

Untuk tujuan itu setiap individu Muslim yang mempunyai pendapatan bulanan perlulah bersegera menunaikan kewajipan ini supaya golongan yang memerlukan bantuan terbela. Malah wang hasil zakat yang telah dikutip oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai contohnya telah dimanfaatkan untuk keperluan membina asrama untuk pelajar seperti Asrama Pelajar Johor di Mesir, membeli mesin homodialisis bagi membantu pesakit buah pinggang dan lain-lain demi kepentingan ummah setempat.

Untuk tujuan itu juga orang Islam turut diseru supaya tidak hanya terhad menginfaqkan harta yang wajib dizakatkan sahaja malah patut diperluaskan juga kepada sumbangan sunat yang juga diperlukan. Sebagai contohnya masjid dan surau memerlukan bantuan kewangan sepanjang tahun untuk menampung aktiviti mengimarahkan rumah Allah SWT yang menjadi tanggungjawab semua. Selain itu rumah orang tua, rumah anak-anak yatim dan berbagai keperluan lain yang mendesak tidak terkecuali daripada mengharap bantuan kewangan sepanjang masa.

Untuk memberikan sebahagian gaji yang diterima bukanlah suatu yang mudah. Apatah lagi dengan keadaan semasa di mana wang adalah segala-galanya bagi sesetengah orang. Setiap yang memberi pasti merasa kehilangan ditambah lagi harta dengan sifat semula jadi manusia yang cintakan harta dan kemewahan. Justeru untuk menghilangkan rasa kehilangan dan sukar untuk membayar zakat gaji yang diperoleh seseorang perlu melazimkan diri menginfaqkan hartanya ke fi sabilillah. Jika tidak pasti penyakit mazmumah seperti bakhil dan kedekut akan terus membelenggu diri sekali gus menghilangkan keberkatan daripada rezeki yang diperoleh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Barangsiapa terselamat daripada kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang yang berbahagia” (Surah al-Hasyr:9)
Selain daripada itu infaq ke jalan Allah SWT secara umumnya menunjukkan bagaimana individu Muslim bersyukur atas nikmat kurniaan harta dan rezeki kepadanya, sepertimana seseorang beribadah dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda bersyukur atas nikmat kesihatan dan kebahagiaan yang diperoleh. Adalah tidak molek jika segala pemberian itu yang diterima secara percuma tidak dibalas dengan mensyukurinya. Apatah lagi jika Allah SWT kemudian menjanjikan pula ganjaran syurga yang tidak ternilai harganya.

Lebih daripada itu keengganan individu Muslim untuk menunaikan zakat harta mendedahkan diri mereka kepada ancaman dan balasan buruk daripada Allah SWT. Sebagaimana firmannya yang bermaksud “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.” (Surah al-Tawbah:34-35)

Memang ada perbezaan pendapat ulama tentang hukum zakat gaji. Majlis Fatwa negeri-negeri di Malaysia juga tidak sepakat mewajibkan zakat gaji dan pendapatan. Apapun tepuk dada tanya iman. Adalah diharapkan bilangan umat Islam yang prihatin untuk menunaikan kewajipan zakat gaji dan seumpamanya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sebarang persoalan berkaitan zakat juga hendaklah diajukan kepada pihak yang arif seperti MAIN supaya segala kekusutan dapat di rungkai dengan harmoni. Semoga suatu hari nanti semua individu Muslim ikhlas menunaikan kewajipan zakat pendapatan mereka tanpa sebarang persoalan sebagaimana mereka ikhlas membayar cukai kepada pihak kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Thursday, March 1, 2012

KENAPA PERLU JADI KAYA

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan e-Mail anda, Harian Metro 5 Mac 2012 dengan tajuk "Fahami Hakikat Zuhud Yang Sebenar"



SENARAI 40 orang individu terkaya di Malaysia bagi tahun 2012 yang dilaporkan oleh majalah kewangan dan perniagaan Forbes baru-baru ini sudahpun diketahui umum. Daripada 10 individu yang menduduki senarai teratas, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berada di tempat ketujuh sekaligus merupakan satu-satunya individu Muslim yang tersenarai sebagai 10 orang terkaya di Malaysia. Kenyataan ini jelas menunjukan betapa umat Islam masih jauh ketinggalan daripada aspek pemilikan kekayaan harta duniawi. Walaupun ia bersifat sementara tetapi sebenarnya sangat signifikan dalam memelihara maruah agama dan peradaban Islam sejagat.

Justeru Islam sangat menggalakkan umatnya supaya bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan juga kemewahan hidup di dunia, dalam masa yang sama perbuatan meminta-minta dan terlalu berharap kepada orang lain adalah ditegah lagi memalukan. Malah dengan penglibatan setiap Muslim dalam pelbagai profesion yang dihalalkan, umat Islam berupaya pula untuk keluar daripada kancah kemiskinan yang berkemungkinan merosakkan akidah dan kepercayaan mereka.

Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang, menerima atau meminta). Maka kerana itu mulailah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Siapa yang mohon dipelihara (agar dia tidak sampai minta-minta) Allah akan memeliharanya, dan siapa yang mohon ditetapkan (agar tidak ada bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya."

Oleh itu, setiap Muslim diseru untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai status hidup mewah ataupun sekurang-kurangnya berada di atas paras kemiskinan bagi melaksanakan tuntutan agama yang berkaitan dengan aspek kewangan dan punca pendapatan yang kukuh.

Dengan memiliki harta yang melebihi paras nisab, umat Islam berupaya untuk menunaikan zakat yang diwajibkan. Ia sekaligus dapat dimanfaatkan oleh asnaf yang memerlukan dalam usaha untuk mengubah taraf hidup mereka. Golongan miskin misalnya boleh diberikan bantuan zakat untuk memulakan perniagaan yang akhirnya apabila beroleh keuntungan mereka pula berkewajipan membayar zakat harta yang difardukan. Kaedah seperti ini jika berjaya dilaksanakan dengan sistematik boleh menjadikan mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan dikalangan masyarakat Islam.

Kewajipan menunaikan fardu haji juga turut tertakluk dengan syarat memiliki tambang perjalanan pergi dan balik juga sara hidup bagi orang di bawah tanggungan yang berada di tanahair. Tanpa sumber pendapatan yang kukuh pasti sukar untuk melaksanakannya. Ini di tambah lagi dengan situasi ekonomi semasa yang memungkinkan pertambahan kos bagi menunaikan fardu haji dari setahun ke setahun.

Selain itu daripada itu terdapat juga galakan agama yang berkaitan dengan harta seperti sedekah, hibah, wakaf dan lain-lain. Tanpa sumber kewangan yang mencukupi pasti sukar untuk melaksanakannya. Malah boleh jadi umat Islam terdedah pula kepada aktiviti pinjaman haram akibat tidak cukup pendapatan bagi menyara keluarga dan kehidupan seharian.

Untuk bergelar hartawan Muslim pastinya tidak mudah. Segala peraturan dan ketetapan syariat mesti dipatuhi agar segala aktiviti ekonomi dan pekerjaan yang dilakukan boleh dinilai sebagai ibadah dan beroleh keberkatan daripada Nya.

Antaranya niat kena benar, kegiatan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak memudaratkan. Setiap Muslim juga tidak sepatutnya menggabaikan tanggungjawab agama seperti solat dan menunaikan zakat dalam mengejar kemewahan. Begitu pula nilai-nilai akhlak Islam seperti jujur, amanah dan bertimbang rasa perlu sentiasa menjadi perhiasan diri. Sikap buruk seperti sombong dan mementingkan diri sendiri hendaklah dijauhi dalam usaha merapatkan jurang sosial antara golongan miskin dan kaya.

Kalangan hartawan Muslim turut diseru supaya tidak lokek membantu usaha-usaha kemasyarakatan seperti sumbangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, juga rumah kebajikan dan anak-anak yatim. Dengan cara ini mudah-mudahan segala punca rezeki akan dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT malah jika diperkenankan boleh sahaja dikurniakan rezeki tanpa disangka-sangka.

Salah faham terhadap pemilikan harta dan kemewahan dunia juga perlu ditangkis. Ini kerana terdapat segelintir Muslim yang tidak memahami hakikat sebenar zuhud sehingga kelihatannya mereka seperti orang yang tidak punya apa-apa sedangkan mampu untuk mengadakannya. Perbuatan menolak dunia secara total seperti ini tidak bertepatan dengan kehendak Islam sebenar yang akhirnya mengundang pandangan serong terhadap Islam. Asas yang perlu dititiberatkan adalah memenuhi keperluan untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungan dengan niat ibadah tanpa menunjuk-nunjuk dan membazir.

Dari Abu Ishaq dari Abu Ahwash dari ayahnya berkisah: "Pada suatu hari aku datang kepada Rasulullah saw, ketika beliau melihatku memakai pakaian compang camping, maka beliau bertanya padaku: "Adakah kamu masih mempunyai harta?" Jawabku: "Ya, aku masih mempunyai semua jenis harta yang diberikan Allah padaku". Sabda beliau: "Bila kamu mempunyai harta, maka hendaklah kamu memperlihatkan nikmat-nikmat Allah itu dalam dirimu." (Hadis riwayat al-Nasai’e)

Perlu juga difahami skop kaya dalam Islam terlalu luas. Ia tidak hanya terhad kepada aspek materialistik dan kebendaan sahaja. Kaya ibadah, kaya budi pekerti dan kaya senyuman juga perlu diusahakan. Apalah gunanya harta dan kemewahan yang ada jika bersikap buruk seperti sombong dan membanggakan diri. Perangai buruk seperti ini pastinya merugikan memandangkan harta adalah milik mutlak Allah SWT yang Maha Berkuasa memberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan Maha Berkuasa pula untuk mengambilnya pada bila-bila masa.