Monday, December 28, 2009

PEMBUNUH BAYI SEMANKIN KEJAM

DIMANAKAH silapnya sehingga pembunuh bayi semankin berani melakukan kekejaman membunuh nyawa yang tidak berdosa tanpa sekelumit nilai peri kemanusiaan. Tindakan kejam yang dilakukan jelas menyimpang daripada mana-mana ajaran agama yang mengkhendaki penganutnya berkasih-sayang apatah lagi, terhadap darah daging sendiri. Terbaharu, kes penemuan janin perempuan yang dibuang di Sungai Kelang, cukup memberi isyarat kepada semua betapa isu ini bertambah kronik dan perlu ditangani dengan serius oleh semua pihak.

Ia nampaknya lebih besar daripada isu kemalangan jalanraya yang heboh diperkatakan ketika ini, kerana membabitkan dosa zina dan pembunuhan yang diharamkan sekaligus. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang ertinya “Dan siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahannam, kekal ia didalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab siksa yang besar. (Surah al-Nisa’:93)

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman berkenaan dengan perlakuan zina, yang ertinya “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”. (Surah al-Isra’:32)

Tidak keterlaluan jika dikatakan pembunuh bayi bertuhankan syaitan yang dilaknat oleh Allah SWT. walaupun tanpa mereka sedari sebenarnya syaitan berlepas tangan terhadap perlakuan dosa-dosa mereka. Lebih mengecewakan apabila mereka sedikitpun tidak merasa bersalah setelah terbabit melakukan dosa besar yang tidak diampunkan oleh-Nya kecuali dengan taubat yang bersungguh-sungguh.

Di dalam Kitab tafsir Ibnu Kathir diceritakan kisah seorang rahib (ahli Ibadah) terkenal bernama Barshish berjaya digoda oleh syaitan walaupun setelah 60 tahun tekun dalam beribadah. Syaitan telah memperdayakannya dengan seorang wanita yang pada mulanya datang untuk berubat. Dalam proses pengubatan wanita tersebut tinggal bersama rahib sehingga suatu hari rahib tergoda dan melakukan perbuatan zina yang terkutuk. Akibatnya wanita tersebut hamil dan rahib telah membunuhnya bagi menutup malu. Ketika saudara wanita tersebut datang untuk menjemputnya rahib berasa takut dan syaitan telah sekali lagi memperdayakannya dengan menjanjikan keselamatan, jika rahib sanggup untuk sujud kepadanya. Maka rahibpun sujud kepada syaitan dan pada ketika itu syaitan berkata sesungguhnya aku berlepas diri darimu, sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam.

Berkenaan dengan kisah ini Allah SWT berfirman yang ertinya “(Pujukan orang munafik itu) seperti pujukan syaitan ketika dia berkata kepada manusia; Kufurlah kamu, maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata; Sesungguhnya aku berlepas diri darimu, sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam”. (Surah al-Hasyr:16-17)

Justeru itu tidak ada cara lain bagi mengelak perbuatan zina dan dosa, kecuali setiap individu Muslim memperbaharui niat dan tekad untuk bersungguh-sungguh melaksanakan amalan ibadat seperti solat yang berupaya menjadi benteng menghalang tipu daya nafsu dan syaitan. Keengganan untuk kembali berpegang kepada ajaran agama yang merupakan peraturan asas kehidupan menyebabkan gejala buang anak tak akan ada noktahnya. Ia akan berterusan hingga hari kiamat selagi ada manusia durjana yang lalai daripada mengingati Allah SWT.

Selain daripada itu budaya hedonisme, yang membawa kepada hiburan melampau dan pergaulan tanpa batasan, sepatutnya dibendung terutama menjelang sambutan tahun baharu. Masyarakat Islam tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya sambutan tahun baharu dengan pesta tari menari dan bermabuk-mabukan yang jauh menyimpang daripada kehendak syariat.

Seolah-olah kita jadi seperti lebih sudu daripada kuah, apabila beramai-ramai menunggu di hadapan jam besar menjelang detik 12 tengah malam kemudian, terpekik terlolong hingga ke pagi, minum arak dan melakukan perbuatan yang tidak senonoh.
Adalah lebih mulia jika pesta ini diganti dengan majlis membaca doa selamat sebagai bukti kesyukuran dikurniakan nikmat tahun baharu. Ia sekaligus dapat mengelak gejala zina yang berpunca daripada pergaulan tanpa sempadan dan mendorong kepada jenayah buang bayi.

Untuk mengekang daripada kejadian ini terus berulang, jalan-jalan ke arah dosa dan maksiat hendaklah dibatasi, melalui didikan agama yang sempurna sejak daripada kecil lagi. Para ibubapa juga perlu lebih prihatin terhadap aktiviti anak-anak terutama golongan remaja. Walaupun sibuk bekerja, waktu malam elok dimanfaatkan bersama keluarga dan anak-anak. Hubungan rapat sebegini juga mampu mengelak gejala tidak bermoral kerana anak-anak merasa disayangi dan sehingga mereka berfikir dua kali sebelum bertindak melakukan sesuatu.

Diingatkan juga kepada mereka yang sudah terlanjur melakukan dosa zina sehingga mengandung anak luar nikah,agar bertaubat dan berhenti daripada menimbun dosa. Jangan semata-mata malu janin dan bayi yang dilahirkan dibuang merata-rata. Kembalilah kepada jalan yang benar dan bersangka baik kepada Allah semoga Dia menerima taubat dan mengampunkan dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Malahan mereka juga boleh menebus dosa dengan mendidik anak itu, memberi asuhan dan pelajaran yang sempurna supaya jadi insan yang berguna di masa hadapan. Ataupun setidak-tidaknya bertanggungjawablah dengan memberikan anak itu kepada orang lain untuk dipelihara. Ia lebih mulia daripada jenayah buang bayi yang dikutuk oleh agama dan masyarakat.

Wednesday, December 23, 2009

HIJRAH LANGKAH MULAKAN LEMBARAN BAHARU

MUNGKIN tak ramai yang sedar kedatangan tahun baharu 1431 hijrah, menandakan bertambah satu tahun lagi umur dunia. Ini menandakan dunia hampir kepada detik kehancuran menyeluruh sebagaimana dijanjikan Tuhan. Kalau dahulu, semasa perjalanan Isra’ dan Mikraj Nabi Muhammad SAW diperlihatkan dengan gambaran dunia seperti wanita tua yang terlalu uzur, tentunya boleh dibayangkan bagaimana keadaan dunia setelah hampir 1400 tahun berlalu peristiwa bersejarah itu.

Detik mencemaskan hari kehancuran dunia, bukan imiginasi dan khayalan filem yang boleh direka-reka. Ia tidak sedahsyat filem 2012, keluaran Hollywood yang hebat diperkatakan pada masa kini. Ia juga bukan End of the day sepertimana yang dibayangkan. Hari kemusnahan itu ialah hari kiamat yang menakutkan sebagai mana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud

“Wahai manusia, hendaklah kamu bertakwa kepada Tuhan-Mu, kerana gegaran hari kiamat adalah sesuatu yang dahsyat. Pada hari itu, kamu akan saksikan wanita yang sedang menyusukan anak lupa kepada anaknya, wanita yang sedang mengandung keguguran kandungannya, manusia dalam keadaan mabuk tetapi sebenarnya mereka tidak mabuk. Akan tetapi kerana azab Allah sangat pedih”. (Surah al-Haj:1-2)

Bibit-bibit ke arah kehancuran itu, mula dirasai ketika ini. Masalah pemanasan global yang membimbangkan dunia misalnya perlu dilihat dari kacamata yang lebih luas bukan sekadar mencari jalan untuk mengatasinya. Ini kerana, alam semulajadi ciptaan terbaik Allah SWT telah menjadi korban kerakusan manusia demi mengejar kemajuan. Malahan jika diteliti, tiada sebarang sparepart disediakan untuk mengganti lapisan ozon yang telah dimusnahkan. Kini generasi manusia berhadapan dengan impak kemusnahan alam akibat kejahatan tangan-tangan sendiri. Yang pasti segala yang telah musnah tak akan ada gantian lagi.

Ketibaan tahun baharu juga bererti umur manusia semankin meningkat, realitinya manusia hampir bertemu Tuhan-Nya. Pernah seorang wali Allah bertanya kepada seseorang tentang umurnya lalu dijawab 40 tahun. Berkata wali itu, kamu semankin dekat bertemu dengan Tuhanmu.

Persoalannya, apa persiapan yang telah dilakukan untuk pertemuan yang pasti itu. Sudah tentu agenda pelaksanaan ibadah akan menjadi asas utama indeks pencapaian kualiti di sisi Allah SWT. Ini bertepatan dengan tujuan utama penciptaan manusia bagi mengabdikan diri kepada-Nya.

Justeru, ketibaan tahun baharu hijrah mengajak masyarakat Islam untuk memperbaharui tekad dan kesungguhan bagi merealisasikan ibadah dengan sempurna. Bukan sekadar menunaikan yang wajib sahaja tetapi diperluaskan kepada ibadah umum meliputi hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar.

Dalam konteks hidup bermasyarakat, budaya saling hormat menghormati perlu sentiasa dipupuk dan dipelihara. Elakkan amalan keji fitnah memfitnah yang merugikan bangsa dan negara. Begitu juga budaya hidup berjiran dengan semangat kerjasama, tolong menolong perlu disemai terutama oleh generasi muda agar masyarakat terus harmoni, hidup aman damai.

Masyarakat Islam juga diseru meninggalkan amalan buruk seperti jenayah rasuah yang masih berpanjangan, setelah berbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membendung kegiatan itu. Janganlah hanya mengejar nikmat hidup dunia yang sementara, keamanan dan keselamatan negara tercinta tergadai. Terbaharu kehilangan aset keselamatan negara yang kemungkinan terdapat unsur salahguna kuasa menimbulkan persoalan kepada perkara-perkara lain yang boleh sahaja dieksport oleh petualang bangsa demi kepentingan peribadi. Rasulullah SAW pernah melaknat golongan penerima dan pemberi rasuah ini memandangkan betapa seriusnya jenayah mereka jika tidak dibendung dengan segera.

Golongan muda, pewaris bangsa juga diseru berhijrah dan berfikiran lebih matang sebelum melakukan sesuatu perkara. Kegiatan melepak dan berpeleseran di pusat membeli-belah tanpa tujuan hanya membuang masa. Adalah lebih mulia jika ia diganti dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah seperti membaca buku yang merupakan jambatan ilmu. Semankin banyak yang dibaca semankin banyak pula ilmu yang diperolehi lalu boleh dijadikan asas pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.

Dalam konteks persekitaran hidup yang dipengaruhi oleh berbagai budaya tidak sihat, golongan muda-mudi dinasihatkan supaya menjadikan pegangan agama sebagai benteng untuk menangkis serangan yang mendatang. Tanpa kekuatan itu seseorang pasti akan tergoda dengan tipu helah dunia dan kemewahannya. Kerana ingin hidup mewah dan bergaya ada yang tak kisah kalaupun dijadikan gundik untuk memuaskan nafsu serakah manusia bertopengkan syaitan.

Untuk berhijrah secara total tidak semudah ungkapan kata-kata. Ia perlukan pengorbanan masa, tenaga dan segalanya. Lebih-lebih lagi, hijrah menurut perspektif masa kini jauh berbeza dengan apa yang pernah dilalui oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Ia bukan sekadar hijrah daripada Mekah ke Madinah tetapi juga hijrah perubahan sikap dan minda kepada yang lebih positif. Malah hijrah mempertahankan akidah daripada digangu-gugat sangat diperlukan oleh umat Islam kini. Masalah buang anak, bersekedudukan, hidup tanpa batasan agama merupakan kesan ketirisan akidah yang meruncing dan perlu diperbaiki segera.

Golongan haji dan hajah yang baharu pulang juga perlu menghayati erti hijrah dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan ibadah yang biasa dilakukan ketika di Tanah Suci. Malah disinilah medan perjuangan sebenar untuk membuktikan sejauh mana pendidikan Mekah berjaya merubah nilai diri seorang yang bergelar haji dan hajah. Tentunya ia suatu tanggungjawab yang berat, hanya yang beroleh kejayaan haji mabrur sahaja mampu melakukannya.

Disebutkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, antara tanda haji diterima, seseorang akan meninggalkan kebiasaan maksiat yang pernah dilakukan, suka bersahabat dengan rakan-rakan yang baik dan menjauhi perkara-perkara maksiat yang melalaikan lalu digantikan majlis-majlis ilmu yang membangkitkan kesedaran.

Walau bagaimanapun untuk berhijrah persiapan mental dan ruhani juga diperlukan sebagai persediaan menghadapi sebarang ujian yang mendatang. Ini kerana belum meningkat kedudukan hamba disisi Tuhan selagi belum diuji berdasarkan peringkat keimanannya.

Sayugianya detik 1 hijrah, menjadi titik tolak kepada perubahan diri, keluarga dan masyarakat ke arah melahirkan umat Islam yang berpegang kepada akidah yang sama dan syariat sebagai satu cara hidup yang sama.