Monday, February 13, 2012

BERSATU MENCEGAH KEMUNGKARAN

Artikel ini telah disiarkan dalam Akhbar Berita Harian Ruangan Agama bertarikh 14 Feb 2012 dengan tajuk "Jaga Tepi Kain Orang" Cegah maksiat berleluasa.

STATISTIK tangkapan khalwat yang mencecah angka 2,473 orang di Negeri Johor seperti yang dilaporkan oleh akhbar baru-baru ini memberi isyarat betapa gejala tidak bermoral semakin berleluasa di sana sini. Segelintir muda-mudi Islam kini tidak lagi berasa segan silu berpelukan dan berciuman di tempat awam walaupun diperhatikan oleh orang ramai. Kewujudan hotel-hotel murah yang berkemungkinan menjadi pusat untuk golongan ini melampiaskan nafsu juga tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Malahan golongan ini seakan bebas melakukan kegiatan haram di hotel tertentu tanpa halangan terutama dihujung minggu dan hari cuti umum. Akibatnya statisk kelahiran anak tak sah taraf juga turut bertambah dari tahun ke tahun kesan daripada persetubuhan haram yang dilakukan. Lebih memburukkan keadaan jika terdapat pasangan yang tidak bertanggungjawab lalu tergamak pula membuang bayi yang tidak berdosa.

Justeru siapa yang patut dipersalahkan dalam hal. Pengusaha hotel sudah pasti berlepas tangan kerana mereka berorentasikan perniagaan dan berharap kepada keuntungan yang lumayan. Kalangan penguatkuasa agama juga telah melaksanakan tugasan mereka berkerja siang dan malam walaupun dengan bilangan anggota yang terhad bagi mencegah aktiviti maksiat dan bersekedudukan.

Jawapannya tepuk dada tanya iman. Usah seronok menuding jari menyalahkan itu dan ini, sedangkan jika dilihat daripada aspek amalan beragama dan pergaulan seharian ramai yang berpotensi kecundang dikalahkan oleh tuntutan hawa nafsu sendiri. Pergaulan bebas tanpa ikatan pernikahan yang sah, berdua-duaan ke sana dan ke mari cukup membuktikan betapa diri sendiri yang patut dipersalahkan.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim perlu bertanggungjawab terhadap segala kelakuan mereka sama ada baik mahupun buruk. Begitu pula di hari kemudian setiap jiwa secara peribadi akan dipersoalkan dan diberi hukuman setimpal terhadap apa yang telah mereka kerjakan semasa di dunia yang fana ini. Benar seperti kata pepatah siapa yang makan cili dialah yang kepedasan.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud; “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama melainkan jika ditemani oleh mahramnya.” (Riwayat Imam al-Bukhariy) Dalam sebuah riwayat yang lain pula dinyatakan “Janganlah seorang lelaki dan seorang wanita berdua-duaan bersama kerana Syaitan akan hadir sebagai orang ketiga.” (Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Oleh itu menjadi kewajipan setiap individu Muslim untuk membenteng diri dengan perisai akidah dan membatasi pergaulan terutama dengan pasangan yang bukan mahram. Syariat Islam juga tidak melarang secara total pergaulan antara lelaki dan wanita asalkan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan.

Masyarakat setempat juga seharusnya memainkan peranan dalam usaha menegakkan amar makruf dan nahi mungkar. Setidak-tidaknya mereka perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan segala kejadian yang tidak bermoral yang berlaku di kawasan kejiranan mereka. Perlu difahami ia bukan isu menjaga tepi kain orang ataupun menyibukkan diri dengan kegiatan peribadi seseorang.

Lebih daripada itu ia merupakan kewajipan setiap individu Muslim untuk mencegah kemungkaran sama ada dengan tangan yakni kuasa yang dimiliki ataupun dengan lidah dan hati sepertimana maksud hadis Nabi Muhammad SAW. Malah jika Allah SWT murka dan menurunkan musibah atas kesalahan segelinitr umat manusia ia bersifat melata dan mengena kepada semua tidak kira yang berdosa mahupun yang beramal saleh.

Demi membendung jenayah khalwat dan penzinaan daripada terus menjadi barah yang membusuk kepada masyarakat Islam, dicadangkan agar pihak berkuasa meletakkan poster-poster supaya menjauhi zina dan keburukannya di semua hotel bagi menimbulkan keinsafan terutama kepada umat Islam. Hukuman akibat kesalahan khalwat dan persetubuhan haram mengikut enakmen kesalahan syariah yang telah diwartakan disetiap negeri juga boleh ditampal di lobi hotel sebagai peringatan untuk semua pengunjung.

Selain daripada itu isu-isu kemasyarakatan dan hukuman akibat dosa zina dan khalwat boleh juga dijadikan topik utama dalam ceramah-ceramah maulud Nabi Muhammad SAW yang sedang semarak di adakan terutama sekali di Negeri Johor dewasa ini.

Peranan oleh ibubapa juga tidak boleh diketepikan. Walaupun kemungkinan anak-anak telah dewasa dan bekerja boleh sahaja mereka menziarahi rumah sewa mereka bagi mengetahui di mana dan dengan siapa mereka tinggal. Begitu pula sesekali ibubapa hendaklah menziarahi anak-anak yang sedang melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian tinggi bagi memupuk hubungan kekeluargaan sekaligus mengelak terjebak melakukan perbuatan mungkar.

Ataupun sebaiknya selalulah berhubung dengan mereka agar mereka merasa selalu diperhatikan walaupun ketika berjauhan. Ini kerana Ibubapa masih bertanggungjawab terhadap anak-anak dan akan dipersoalkan terhadap segala tingkah laku mereka selagi mereka belum berumahtangga. Insya Allah apabila semua pihak bersatu dan memainkan peranannya bagi membenteras kemungkaran berbagai gejala sosial dan moral yang berlaku kepada masyarakat Islam berjaya dibendung suatu hari nanti.

Wednesday, February 8, 2012

SUKARNYA MENCARI YANG HALAL

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan E-Mail Anda Akhbar Harian Metro bertarikh 13/2/2012 dengan tajuk "Bukan hanya babi, arak".

SAMBUTAN bulan keputeraan Baginda Nabi Muhammad SAW kali ini di selubungi dengan kebimbangan meningkatnya gejala murtad di kalangan masyarakat Islam. Seolah-olah ada yang sudah bosan berpegang dengan kepercayaan terhadap Tuhan Yang Maha Esa sehingga sanggup menggadaikan agama demi habuan dunia yang sementara. Keterlibatan masyarakat Islam dalam perkara ini walaupun masih sedikit tetapi jika tidak diatasi akan merosak nilai jatidiri kepercayaan Islam yang wajib dipelihara sekalipun nyawa menjadi galang gantinya.

Akibatnya lagi banyak perkara yang melibatkan soal halal dan haram juga tidak dapat diselesaikan dek kerana kerosakan akidah yang membelenggu umat Islam. Sebagai contohnya isu makanan dan keperluan harian yang halal bagi komuniti Islam yang turut dikupas oleh wartawan Akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

Realitinya ia isu lapuk yang berpanjangan hingga ke hari ini. Realtinya lagi bukan mudah untuk umat Islam meloloskan diri daripada kemelut ini. Justeru tidak hairan jika aspek pemantapan akidah dan akhlak dalam skop yang luas pernah menjadi fokus utama dakwah Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di Kota Suci Mekah. Ini kerana tanpa kepercayaan yang mantap soal halal dan haram tidak dipedulikan. Begitu pula tanpa nilai akhlak yang mulia seseorang boleh sahaja terpesong daripada ajaran yang sebenar.

Lihat sahaja kepada makanan harian yang menjadi santapan seisi keluarga siang dan malam. Berapa ramaikah daripada kalangan umat Islam yang mengambil serius tentang perkara ini sehingga semua yang dibeli dan dimasak adalah produk yang telah mendapat pengesahan status halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ataukah mungkin penilaiannya hanya berdasarkan selera dan keinginan nafsu makan semata-mata sehingga yang haram pada pandangan mereka apabila memakan produk berasaskan babi dan arak semata-mata.

Sebenarnya isu ini lebih besar daripada sekadar itu. Kebanyakan orang prihatin terhadap soal penyembelihan ayam yang mesti disembelih dengan nama Allah SWT dan mengikut peraturan syariat. Akan tetapi pernahkan ada yang memikirkan tentang makanan dan segala vitamin yang diberikan kepada ayam sehingga dalam tempoh 40-50 hari sahaja sudah matang dan boleh dijual. Persoalannya adakah dedak itu halal? Apakah bahan asas untuk menyediakan dedak makanan ayam dan ternakan lain juga halal? Daripada manakah ia diperolehi dan pelbagai lagi persoalan lain yang perlu difikirkan bersama.

Persoalan ini disulitkan lagi dengan budaya makan diluar yang semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat Islam dewasa ini. Adakah pengusaha kedai makanan yang beragama Islam sendiri benar-benar sensitif sehingga semua bahan asas untuk menyediakan juadah yang dijual halal lagi berkhasiat.

Ataukah mungkin mereka lebih menitikberatkan dollar and sen lalu isu halal dan haram tidak diendahkan. Boleh sahaja mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda berikutan produk yang tiada logo halal lebih murah dan mudah diperoleh dipasaran. Keadaan ini diburukkan lagi dengan restoran yang berselindung disebalik bingkai ayat suci al-Quran dan pelayan yang berkopiah sepanjang masa sedangkan mereka bukan beragama Islam. Begitu pula sikap pengusaha produk makanan yang tergamak memalsukan loga halal JAKIM sehingga berjaya mengaburi pengguna Islam yang mula sedar akan kewajipan mencari yang halal.

Bagaimana pula dengan barangan keperluan harian seperti produk penjagaan dan kecantikan diri. Ini meliputi ubat gigi yang dipakai seawal bangkit daripada tidur, sabun untuk membersihkan badan mahupun sabun untuk membasuh pakaian dan pinggan mangkuk. Bagi yang gemar bersolek pula agaknya bahan apa yang disapu dimuka, gincu berasakan apa yang memerahkan bibir dan lain-lain lagi yang tiada pengesahan halal. Ini termasuk juga segala ubat-ubatan dan suplemen yang menggunakan gelatin yang banyak terdapat di pasaran pada masa kini. Begitu pula segala kelengkapan dan peralatan berasaskan bulu yang boleh diragui.

Melihat kepada fenomena ini tentunya begitu sukar sekali untuk mencari yang halal. Kelihatannya produk-produk yang diragui begitu banyak berlambak di pasaran sehingga sukar untuk dielakkan apatah lagi jika ia benar-benar diperlukan. Malah jika direnung-renungkan isu ini bukan lagi isu remeh temeh kerana melibatkan soal hubungan baik antara makhluk dan khalik. Ia melibatkan soal penerimaan ibadah di sisi Allah SWT. Soal makanan yang halal dan haram juga menjadi asbab untuk doa dan segala permohonan diperkenankan oleh Nya.

Sehubungan dengan itu masyarakat Islam diajak untuk lebih prihatin dan sensitif akan soal ini. Kerajaan melalui JAKIM telah memainkan peranannya dengan menguatkuasakan hanya satu logo halal sahaja yang diterima. Kini yang tinggal hanya sikap dan kesanggupan pengguna Muslim untuk beralih memilih hanya yang halal demi mengharapkan maghfirah dan keredaan dari-Nya. Semoga dengan jihad itu mampu memaksa pengeluar untuk mendapatkan pengesahan status halal sehingga manfaatnya kembali kepada seluruh pengguna. Pihak yang berwajib juga diharap dapat terus melipatgandakan usaha untuk memantau kegiatan pengeluar yang tidak bermoral sehingga berjaya dihadapkan ke muka pengadilan sebagai iktibar kepada yang lain.

Sesungguhnya makanan yang halal mampu mencorakkan peribadi setiap individu Muslim. Ia juga berupaya untuk memperelokkan sahsiah dan akhlak yang menjadi cerminan diri. Justeru itu berjihadlah dengan beralih kepada produk yang diyakini halal demi untuk kebaikan semua.