Tuesday, October 27, 2009

PEMBANTU RUMAH BUKAN HAMBA ABDI

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 28hb Okt 2009 bertajuk Ubah suai waktu kerja amah 6 pagi - 6 petang.

Alhamdulillah setelah lebih setahun mengemukakan cadangan ini, ia mula mendapat reaksi positif daripada pihak yang berwajib. Semoga dapat direalisasikan untuk kepentingan semua. Berikut disertakan petikan artikel yang di siarkan di Akhbar Berita Harian Ruangan Nasional bertarikh 13 Dis. 2010 dengan tajuk bertajuk "Amah kerja ikut waktu tertentu, tinggal asing" Oleh Amin Ridzuan Ishak


GEORGETOWN: Indonesia bercadang melaksanakan peraturan baru berkaitan pembantu rumah dengan menetapkan amah warganya hanya bekerja mengikut tempoh tertentu dan tidak tinggal bersama majikan seperti diamalkan sekarang. Cadangan itu dikemukakan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) yang baru-baru ini menghantar surat kepada semua wakilnya di luar negara untuk membuat kajian berhubung perkara itu.
Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata menerusi langkah dikenali sebagai sistem ‘Tinggal di Luar’ itu, pembantu rumah hanya bekerja mengikut tempoh yang bakal ditetapkan dan akan pulang ke asrama selepas bekerja.

“Contohnya, mereka datang bekerja pada waktu siang dan pulang ke asrama lewat petang. Ini bagi memastikan mereka tidak perlu bekerja 24 jam dengan majikan yang kadang kala menyebabkan mereka terlalu penat berikutan ada segelintir majikan tidak memberi rehat,” katanya kepada Berita Harian.

Chilman berkata, langkah itu juga untuk mengelakkan kes pembantu rumah warganya tidak dibayar gaji oleh majikan yang ada kalanya melangkau tempoh beberapa tahun.
“Kami yakin kaedah baru ini mampu mengatasi masalah pembantu rumah Indonesia yang tidak dibayar gaji. Masalah ini turut memberi kesan kepada majikan kerana perlu mengeluarkan bayaran besar sekali gus. Kajian kami mendapati ada majikan tidak membayar gaji sehingga beberapa tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan kaedah baru itu, Kerajaan Indonesia akan melantik syarikat yang berperanan menyediakan tempat tinggal kepada pekerja domestik terbabit serta memastikan majikan membayar gaji mengikut tempoh sepatutnya, namun semuanya masih di peringkat cadangan.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan beberapa pendekatan ‘mesra pembantu rumah warga Indonesia’, antara lain mewajibkan majikan memberi cuti sehari dalam seminggu kepada mereka, tetapi jika kedua-dua pihak bersetuju tidak mahu melaksanakan konsep itu, amah terbabit boleh dibayar pampasan cuti berkenaan.

Jun tahun lalu, Kerajaan Indonesia menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah dari republik itu ke Malaysia berikutan dakwaan pekerjanya dianiaya, termasuk didera majikan serta tidak dibayar gaji.

Di bawah adalah artikel/cadangan penulis yang pernah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28hb Okt 2009 bertajuk Ubah suai waktu kerja amah 6 pagi - 6 petang.

DI ZAMAN jahiliyah hamba bebas dijual beli. Kehebatan seseorang juga dinilai dengan ramainya hamba yang dimiliki. Apabila Rasulullah SAW diutus amalan ini masih berterusan, walau bagaimanapun dengan ketetapan golongan hamba perlu diperlakukan seperti manusia biasa, dimana hak dan kebajikan mereka dipelihara oleh syariat Islam.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis berkaitan layanan sahabat Nabi SAW terhadap hambanya; Aku pernah melihat Abu Zar memakai pakaian yang serupa dengan hambanya. Lalu aku bertanya kepadanya perihal keadaan itu. Dia menceritakan, dahulu pada zaman Rasulullah SAW, dia pernah memaki seorang hamba dengan menghinakan ibunya. Orang itu datang kepada Nabi SAW lalu baginda bersabda kepada Abu Zar” Ternyata tingkah lakumu masih seperti tingkah laku jahiliyah. Hambamu itu adalah saudaramu yang diamanahkan Allah dibawah jagaanmu. Oleh itu barangsiapa yang mempunyai saudara dibawah jagaannya, hendaklah diberi makan dengan makanan yang dia makan dan hendaklah diberi pakaian yang serupa dengan pakaiannya sendiri. Janganlah mereka diberi tugas yang melebihi kemampuan dan jika bebanan sedemikian yang diberi hendaklah kamu membantunya.

Situasi kini jauh berbeza, amalan perhambaan telah lama berkubur. Namun terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan pembantu rumah seperti hamba sehingga dikerah melakukan apa sahaja siang dan malam. Lagaknya tak ubah seperti tuan besar yang tahu memerintah itu dan ini sedangkan gaji yang dibayar tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Lebih menyayat hati terdapat pembantu rumah diperlakukan seperti binatang, diperkosa oleh majikan dan didera sehingga menyebabkan kematian.

Perlu disedari, pembantu rumah adalah manusia biasa yang punya hak untuk hidup, bersosial dan melakukan aktiviti personal. Mereka bukan hamba abdi yang boleh diperlakukan apa sahaja termasuk melayan nafsu majikan dan karenah mem besar yang pemalas. Mereka adalah pekerja yang membantu menguruskan kerja-kerja rumah dan wajib dibayar gaji setimpal dengan kerja yang telah dilakukan.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah dalam Utusan Malaysia bertarikh 28hb Ogos 2009 daripada tahun 2006 hingga kini terdapat kira-kira 139 kes penderaan pembantu rumah dilaporkan dan sebahagiannya telah dibicarakan di mahkamah. Kes-kes seperti ini akan semakin bertambah jika tiada penyelesaian dilakukan.

Terbaharu kisah pembantu rumah warga Indonesia meninggal dunia dipercayai didera dan dikurung oleh majikannya merupakan rentetan kisah sadis pembantu rumah yang dizalimi dan belum berkesudahan.

Untuk itu semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah ini. Apatah lagi dengan situasi ramai pasangan suami isteri berkerja dan tidak dapat menguruskan rumahtangga juga anak-anak dengan sempurna.

Penulis mencadangkan supaya kerja sebagai pembantu rumah diubahsuai seperti pekerja sektor perkilangan. Melalui kaedah ini pembantu rumah tidak lagi terpenjara di rumah majikan 24 jam sehari. Sebaliknya mereka tinggal diasrama atau rumah sewa yang disediakan oleh agensi penyedia khidmat pembantu rumah. Waktu berkerja pula ditetapkan daripada jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Jika ada yang memerlukan amah berkerja lebih masa, elaun kerja lebih masa akan dicajkan kepada mereka.

Berkenaan pembayaran gaji pula agensi yang akan membayar gaji amahnya. Pelanggan khidmat pembantu rumah hanya perlu membayar kepada agensi berkenaan sejumlah kadar yang ditetapkan. Amah juga akan menikmati gaji mengikut jam bekerja, elaun kenderaan, elaun kerja lebih masa, cuti mingguan, cuti sakit sepertimana pekerja kilang kebiasaannya.

Melalui kaedah ini, pembantu rumah akan seronok berkerja dan tidak terlalu tertekan dengan kerenah tuan rumah yang pelbagai. Ia juga mampu mengelak hubungan terlarang dengan pembantu rumah yang mengundang konflik rumahtangga.

Disebelah malam pula isteri yang berkerja dapat meluangkan masa, memberi kasih sayang kepada anak-anak yang dahagakan belaian ibu. Isteri juga dapat menyediakan juadah makan malam untuk dinikmati bersama sesi keluarga. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sekaligus mengelak gejala tidak bermoral anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibubapa.

Dalam masa yang sama para amah, boleh berehat dan bebas melakukan aktiviti personal mereka. Jika ini dapat dilaksanakan mereka mempunyai cukup rehat dan bersedia daripada sudut fizikal dan emosi untuk bertugas keesokan harinya. Tanpa emosi yang stabil kesan daripada pelbagai kerja yang membebankan berkemungkinan menjadi penyebab terdapat pembantu rumah mendera anak majikan yang ditinggalkan seharian di bawah jagaannya.

Bagi amah beragama Islam pula, kesempatan berehat pada waktu malam boleh digunakan untuk melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT dengan lebih sempurna. Apatah lagi jika mereka berkerja di rumah non muslim. Mereka juga boleh menyediakan sendiri bekalan makanan halal dan tidak hanya bergantung kepada apa yang disediakan oleh tuan rumah.

Tidak dinafikan akan ada pro dan kontra kepada cadangan ini. Misalnya kemungkinan berlaku kecurian dan sebagainya. Penulis sekadar melontarkan idea yang patut difikirkan bersama secara rasional dan diperkemaskan lagi terutama oleh golongan cerdik pandai. Penulis juga ingin mengajak pembaca berfikir dengan gaji pembantu rumah sekitar RM 300-450 sebulan, berkerja siang malam, dan dinafikan hak untuk bersosial masih terdapatkah masyarakat tempatan sanggup diperhambakan sebegitu rupa..

Thursday, October 8, 2009

PENDUDUK ISLAM DUNIA KINI 1.57 BILLION

Adaptasi daripada Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 Oktober 2009.

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

“Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria. – AP

[NOTA] Allahu Akbar, syukur alhamdulillah dengan pertambahan bilangan umat Islam diseluruh dunia. Ia adalah implikasi kempen menentang keganasan oleh Amerika dan sekutunya menyebabkan ramai orang mengkaji Islam dan tertarik dengan keluhurannya.

Namun perlu diingat bilangan yang ramai seumpama buih dilautan tidak bererti jika dunia Islam masih bercakaran sesama sendiri. Natijahnya, Umat Islam akan terus dikeroyok oleh musuh, seperti anjing lapar mengerumuni makanan. Justeru itu, masyarakat Islam wajib kembali berpegang dengan syariat Allah dan melestarikannya dalam kehidupan seharian. Jika mahu Islam terus agung dan dihormati.

Tuesday, October 6, 2009

BENCANA ALAM BUKAN FENOMENA BIASA

Artikel ini telah diterbitkan di ruangan Surat, Akhbar Berita Harian bertarikh 12 Oktober 2009.

KEJADIAN ribut taufan Ketsana di Filipina, tsunami di Samoa dan gempa bumi kuat di Indonesia yang berlaku baru-baru ini bukan sekadar fenomena alam biasa. Ia patut dilihat dalam konteks yang lebih luas sekaligus membuktikan betapa kekuasaan Allah SWT bersifat mutlak dan mengatasi teknologi hasil pemikiran manusia.

Segala kejadian ini mengingatkan manusia betapa dunia semakin uzur dimamah usia. Ia juga merupakan peringatan Allah SWT kepada umat manusia agar sentiasa bersedia menghadapi situasi yang lebih mengerikan ketika berlakunya hari kiamat.

Allah SWT berfirman yang ertinya “Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat. Dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat.Dan manusia bertanya; mengapa bumi jadi begini, pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memerintahkan (yang demikian itu) kepadanya”. (Surah al-Zalzalah:1-5)

Tanda-tanda menunjukkan dekatnya hari itu juga telah biasa dilihat, cuma tidak ramai yang menginsafi situasi yang berlaku walaupun ia berlaku disekeliling mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda Sesungguhnya kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat 10tanda, (antaranya) berlaku gempa bumi di tiga wilayah; timur barat dan jazirah Arab. (Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun demikian para ulama berpendapat gempa bumi yang dimaksudkan dalam hadis itu belum terjadi. Beberapa siri gempa bumi yang berlaku hari ini adalah termasuk tanda-tanda kecil, sebagai peringatan kepada manusia untuk kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT dan bersedia untuk menghadapinya.

Begitu pula persoalan bila berlaku hari kiamat tidak diketahui oleh manusia dan tidak penting untuk dibahaskan. Yang lebih utama untuk direnungkan ialah persiapan untuk bertemu dengan hari dahsyat itu. Allah SWT berfirman yang ertinya “Wahai manusia bertakwalah kamu kepada tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari kiamat adalah goncangan yang sangat dahsyat. Pada hari kamu melihat goncangan itu, lalailah semua wanita daripada menyusukan anaknya, dan gugurlah kandungan segala wanita yang hamil, dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, akan tetapi azab Allah itu sangat keras”. (Surah al-Haj:1-2)

Selain itu, berbagai bencana yang menimpa dunia hari ini kemungkinan akibat daripada perlakuan dosa manusia yang mengundang kemurkaan Ilahi. Tidak juga dinafikan ia merupakan ujian kepada orang yang beriman supaya tetap sabar dan taat dalam melakukan ketaatan.

Malahan bencana yang menimpa tidak pernah mengenal usia, bangsa dan agama. Jika Dia mengkhendaki sesuatu berlaku maka tetap akan berlaku. Cuma disisi Allah SWT terdapat perbezaan antara matinya orang beriman dan matinya orang yang bermaksiat. Allah SWT berfirman yang ertinya "Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang yang zalim di kalangan kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Ketahulilah bahawa Allah Maha Berat azab-Nya" (Surah Al-Anfal: 25)

Justeru itu, setiap orang beriman wajib mengambil pelajaran daripada berbagai bencana alam yang berlaku dengan kembali melaksanakan ajaran syariat dengan sempurna. Segala kejadian yang berlaku mengandungi maksud yang tersirat dan tersirat yang hanya boleh difahami oleh ulul al-bab.

Tinggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Sebaliknya lakukan seberapa banyak amalan kebajikan terutama di akhir zaman di mana ramai yang lalai, terpedaya dengan kemewahan dunia yang sementara.

Dalam masa yang sama budaya suka menuding jari menyalahkan orang lain harus dikikis daripada hati sanubari orang beriman. Apa yang menimpa saudara kita di Indonesia misalnya bukan hanya disebabkan oleh penyimpangan segelintir masyarakat daripada syariat yang sebenar tetapi boleh jadi sebahagian daripada bentuk ujian Allah SWT ke atas orang yang beriman.

Hulurkanlah bantuan dan sokongan seikhlasnya bagi membantu meringankan bebanan mereka yang ditimpa musibah. Ini selaras dengan konsep 1 ummah yang sekian lama menjadi intipati kehidupan bermasyarakat dalam Islam. Adalah tidak patut membiarkan saudara seIslam menderita, tanpa makanan, pakaian dan keperluan asas yang lain. Ini kerana umat Islam diumpamakan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai satu bangunan yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Inilah juga masanya segala perselisihan diketepikan demi untuk membantu sesama insan. Perbuatan sesetengah pihak di Indonesia yang mengejek dan membaling batu kepada sukarelawan Malaysia yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti kepada mereka sepatutnya dihargai dan diterima dengan hati yang terbuka.

Justeru itu, umat Islam diseru untuk bermuhasabah diri dengan menerima hakikat bahawa bencana yang berlaku, sebagai peringatan untuk semua. Kalaupun dari segi saintifiknya negara kita bebas ancaman gempa bumi dan gunung berapi kerana tidak terletak di Lingkaran Api Pasifik, persediaan untuk menemui kiamat kecil (mati) wajib dilakukan.

Ini kerana mati adalah umpama hari kiamat yang mana manusia bakal diberi nikmat ataupun azab bergantung amalan yang dilakukan semasa didunia. Nabi Muhammad SAW bersabda “Barangsiapa yang mati maka telah berlaku kiamat ke atas dirinya”.

Sunday, October 4, 2009

PERSEDIAAN RUHANI SEBELUM KE MEKAH

SERUAN haji bergema lagi. Para tetamu Allah di segenap penjuru tanahair, sedang bersiap sedia untuk menunaikan rukun Islam yang ke-5 itu. Disebalik persiapan bersifat kebendaan seperti tambang pergi dan balik, pakaian ihram dan kelengkapan haji persediaan lain juga patut diberi perhatian.

Misalnya persediaan ruhani dan mental bagi menghadapi pelbagai ragam dan kerenah kira –kira 3 juta jamaah haji daripada seluruh dunia. Ketiadaannya, boleh menyebabkan falsafah pelaksanaan haji seperti bertolong-tolongan dalam melakukan ketaatan tidak tercapai. Begitu pula semangat persaudaraan Islam yang tidak dibezakan oleh warna kulit dan tutur bahasa boleh bertukar menjadi perkelahian yang merosakkan ibadah haji.

Untuk itu, beberapa perkara perlu diberi perhatian sebelum berangkat menuju ke Tanah suci. Antaranya ialah;

Murnikan niat sambil berharap keredaan-Nya

Dewasa ini terdapat segelintir masyarakat yang terpesong niat dan tujuan untuk ke Mekah. Ada yang pergi sekadar untuk melengkapkan gelaran haji dan hajah berikutan berbagai gelaran lain yang telah diterima, ada juga yang pergi berniaga dan tak kurang juga yang sekadar menunaikan kewajipan kerana malu disindir masyarakat setempat.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang ertinya "Daripada Anas ibn Malik RA berkata;Nabi SAW bersabda Akan datang suatu zaman ketika itu orang kaya mengerjakan haji untuk melancong, orang yang sederhana pergi haji untuk berniaga, para ulama pergi haji kerana riak dan mendapat nama manakala orang fakir pula mengerjakan haji untuk meminta-minta.

Oleh itu, niat yang ikhlas perlu disemat dalam hati sebelum memulakan langkah melakukan kerja-kerja haji yang lain. Malahan ia berpotensi mencorakkan pelaksanaan haji dengan sempurna dan diterima oleh Allah SWT.

Bersihkan jiwa dengan bertaubat

Mekah dan Madinah adalah dua kawasan tanah haram yang terpelihara kesuciannya, Untuk itu, bakal jamaah haji perlu membersihkah hati daripada sifat-sifat mazmumah. Penyakit hati seperti sombong, angkuh dan meninggi diri hendaklah dibuang jauh-jauh sebelum menjadi tetamu Allah. Ia sebaliknya diganti dengan sifat tawaduk, toleransi, sentiasa bersabar dan saling menerima kekurangan orang lain.

Disamping itu bertaubat dengan memohon keampunan daripada-Nya adalah perbuatan yang sangat dituntut. Tidak sepatutnya, peluang terpilih menjadi tetamu Allah SWT dicemari dengan berbagai dosa silam yang kemungkinan mengagalkan cita-cita beroleh haji yang mabrur.

Berfikiran positif sambil memohon rahmat-Nya.

Ada segelintir bakal haji yang khuatir dihukum oleh Allah setibanya di Mekah akibat perlakuan dosa-dosa lalu. Kebimbangan itu terserlah berikutan berbagai-bagai kisah balasan dan azab yang diceritakan.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya, mereka dinasihatkan kembali kepada landasan aqidah yang benar dengan sentiasa bersangka baik kepada Allah. Ini dapat dilakukan dengan memperbanyak solat taubat, beristighfar atas dosa silam sambil menaruh setinggi pengharapan agar diampunkan dosa dan dipelihara dengan rahmat-Nya daripada berbagai perkara buruk yang tidak diingini.

Nabi Muhammad SAW bersabda “Diampunkan dosa bagi orang yang mengerjakan haji, dan bagi mereka yang dimintakan ampun oleh orang yang menunaikan haji. (Hadis riwayat Thabarani dan al-Hakim)

Bakal haji juga hendaklah sentiasa berlapang dada dan reda dengan segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan tanpa mengungkit-ungkit pengorbanan wang, masa dan tenaga yang telah disumbangkan fi sabilillah.

Berazam untuk melestarikan tuntutan ibadah

Peluang terpilih menjadi tetamu istimewa perlu dimanfaatkan dengan bersungguh-sungguh melakukan pelbagai ibadah wajib mahupun sunat. Solat berjamaah di masjid setiap waktu, bersedekah, melakukan ibadah umrah, bertadarus al-Quran dan berzikir merupakan intipati daripada kesempurnaan ibadah haji.

Hindari daripada terlalu sibuk shopping, menyebabkan tugas ibadat terabai. Kesempatan cuti daripada tugasan harian sebaiknya diganti dengan memperbanyak amal kebajikan. Lebih-lebih lagi bonus pahala berlipatkali ganda disediakan kepada mereka yang sanggup berkorban masa dan tenaga semasa berada di tanah suci.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya “Dan solat yang dikerjakan di Masjidil-Aqsa diberi ganjaran sehingga lima puluh ribu solat, Solat yang dikerjakan di masjidku(Masjid al-Nabawiy) diganjarkan sehingga lima puluh ribu solat dan solat yang dikerjakan di Masjidilharam diberi ganjaran sehingga seratus ribu solat. (Hadis riwayat Ibn Majah).

Berharap anugerah haji yang mabrur

Ganjaran haji mabrur adalah cita-cita setiap bakal jamaah haji. Itulah antara balasan yang dikurniakan Allah kepada hambanya yang telah melakukan jihad haji. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya “ Haji yang mabrur tidak punya balasan kecuali syurga, Dikatakan kepadanya Ya Rasulullah apakah haji yang mabrur, Nabi SAW bersabda perkataan yang baik dan memberikan makanan. (Hadis riwayat al-Hakim)

Selain itu, haji yang diterima juga berupaya menghapuskan dosa-dosa. Seperti mana sabdanya daripada Abu Hurairah RA bermaksud, Barangsiapa menunaikan haji untuk mendapatkan keredaan-Nya, dengan tidak menyebut perkataan buruk dan tidak melakukan perkara maksiat akan kembali bebas daripada dosa seperti hari dimana ibu melahirkannya.

Manakala, bagi yang belum menunaikan kewajipan haji, diseru untuk berazam sambil berdoa agar diberi kemudahan untuk pergi haji. Lakukan persediaan awal dengan menabung sedikit demi sedikit bagi tujuan itu. Bak kata pepatah sikit-sikit lama jadi bukit.

Ini kerana haji adalah ibadah yang difardukan kepada setiap orang Islam yang berkemampuan dan tidak sempurna iman seseorang jika gagal melaksanakannya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang ada mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak menunaikan haji maka tidak ada halangan baginya mati sebagai Yahudi dan Nasrani.” (Hadis riwayat al-Tirmiziy dan al-Baihaqiy)

Alasan belum sampai seruan, adalah hujah lapuk yang tidak lagi relevan. Sejak dahulu lagi Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS untuk menyeru seluruh manusia bagi menunaikan kewajipan haji dan seruan itu sampai ke seluruh pelusuk alam.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud “Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke Biatullah dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datang daripada berbagai jalan yang jauh” (Surah al-Haj:27)

Dalam tafsir ibn Kathir dinyatakan, bukit-bukau tunduk bagi memberi laluan kepada suara Nabi Ibrahim AS sehingga seruan itu didengari oleh seluruh alam termasuk yang berada di alam rahim.