Tuesday, October 27, 2009

PEMBANTU RUMAH BUKAN HAMBA ABDI

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan rencana Utusan Malaysia bertarikh 28hb Okt 2009 bertajuk Ubah suai waktu kerja amah 6 pagi - 6 petang.

Alhamdulillah setelah lebih setahun mengemukakan cadangan ini, ia mula mendapat reaksi positif daripada pihak yang berwajib. Semoga dapat direalisasikan untuk kepentingan semua. Berikut disertakan petikan artikel yang di siarkan di Akhbar Berita Harian Ruangan Nasional bertarikh 13 Dis. 2010 dengan tajuk bertajuk "Amah kerja ikut waktu tertentu, tinggal asing" Oleh Amin Ridzuan Ishak


GEORGETOWN: Indonesia bercadang melaksanakan peraturan baru berkaitan pembantu rumah dengan menetapkan amah warganya hanya bekerja mengikut tempoh tertentu dan tidak tinggal bersama majikan seperti diamalkan sekarang. Cadangan itu dikemukakan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) yang baru-baru ini menghantar surat kepada semua wakilnya di luar negara untuk membuat kajian berhubung perkara itu.
Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata menerusi langkah dikenali sebagai sistem ‘Tinggal di Luar’ itu, pembantu rumah hanya bekerja mengikut tempoh yang bakal ditetapkan dan akan pulang ke asrama selepas bekerja.

“Contohnya, mereka datang bekerja pada waktu siang dan pulang ke asrama lewat petang. Ini bagi memastikan mereka tidak perlu bekerja 24 jam dengan majikan yang kadang kala menyebabkan mereka terlalu penat berikutan ada segelintir majikan tidak memberi rehat,” katanya kepada Berita Harian.

Chilman berkata, langkah itu juga untuk mengelakkan kes pembantu rumah warganya tidak dibayar gaji oleh majikan yang ada kalanya melangkau tempoh beberapa tahun.
“Kami yakin kaedah baru ini mampu mengatasi masalah pembantu rumah Indonesia yang tidak dibayar gaji. Masalah ini turut memberi kesan kepada majikan kerana perlu mengeluarkan bayaran besar sekali gus. Kajian kami mendapati ada majikan tidak membayar gaji sehingga beberapa tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan kaedah baru itu, Kerajaan Indonesia akan melantik syarikat yang berperanan menyediakan tempat tinggal kepada pekerja domestik terbabit serta memastikan majikan membayar gaji mengikut tempoh sepatutnya, namun semuanya masih di peringkat cadangan.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan beberapa pendekatan ‘mesra pembantu rumah warga Indonesia’, antara lain mewajibkan majikan memberi cuti sehari dalam seminggu kepada mereka, tetapi jika kedua-dua pihak bersetuju tidak mahu melaksanakan konsep itu, amah terbabit boleh dibayar pampasan cuti berkenaan.

Jun tahun lalu, Kerajaan Indonesia menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah dari republik itu ke Malaysia berikutan dakwaan pekerjanya dianiaya, termasuk didera majikan serta tidak dibayar gaji.

Di bawah adalah artikel/cadangan penulis yang pernah disiarkan dalam ruangan rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28hb Okt 2009 bertajuk Ubah suai waktu kerja amah 6 pagi - 6 petang.

DI ZAMAN jahiliyah hamba bebas dijual beli. Kehebatan seseorang juga dinilai dengan ramainya hamba yang dimiliki. Apabila Rasulullah SAW diutus amalan ini masih berterusan, walau bagaimanapun dengan ketetapan golongan hamba perlu diperlakukan seperti manusia biasa, dimana hak dan kebajikan mereka dipelihara oleh syariat Islam.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis berkaitan layanan sahabat Nabi SAW terhadap hambanya; Aku pernah melihat Abu Zar memakai pakaian yang serupa dengan hambanya. Lalu aku bertanya kepadanya perihal keadaan itu. Dia menceritakan, dahulu pada zaman Rasulullah SAW, dia pernah memaki seorang hamba dengan menghinakan ibunya. Orang itu datang kepada Nabi SAW lalu baginda bersabda kepada Abu Zar” Ternyata tingkah lakumu masih seperti tingkah laku jahiliyah. Hambamu itu adalah saudaramu yang diamanahkan Allah dibawah jagaanmu. Oleh itu barangsiapa yang mempunyai saudara dibawah jagaannya, hendaklah diberi makan dengan makanan yang dia makan dan hendaklah diberi pakaian yang serupa dengan pakaiannya sendiri. Janganlah mereka diberi tugas yang melebihi kemampuan dan jika bebanan sedemikian yang diberi hendaklah kamu membantunya.

Situasi kini jauh berbeza, amalan perhambaan telah lama berkubur. Namun terdapat segelintir masyarakat yang menjadikan pembantu rumah seperti hamba sehingga dikerah melakukan apa sahaja siang dan malam. Lagaknya tak ubah seperti tuan besar yang tahu memerintah itu dan ini sedangkan gaji yang dibayar tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan. Lebih menyayat hati terdapat pembantu rumah diperlakukan seperti binatang, diperkosa oleh majikan dan didera sehingga menyebabkan kematian.

Perlu disedari, pembantu rumah adalah manusia biasa yang punya hak untuk hidup, bersosial dan melakukan aktiviti personal. Mereka bukan hamba abdi yang boleh diperlakukan apa sahaja termasuk melayan nafsu majikan dan karenah mem besar yang pemalas. Mereka adalah pekerja yang membantu menguruskan kerja-kerja rumah dan wajib dibayar gaji setimpal dengan kerja yang telah dilakukan.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah dalam Utusan Malaysia bertarikh 28hb Ogos 2009 daripada tahun 2006 hingga kini terdapat kira-kira 139 kes penderaan pembantu rumah dilaporkan dan sebahagiannya telah dibicarakan di mahkamah. Kes-kes seperti ini akan semakin bertambah jika tiada penyelesaian dilakukan.

Terbaharu kisah pembantu rumah warga Indonesia meninggal dunia dipercayai didera dan dikurung oleh majikannya merupakan rentetan kisah sadis pembantu rumah yang dizalimi dan belum berkesudahan.

Untuk itu semua pihak perlu memainkan peranan bagi mengatasi masalah ini. Apatah lagi dengan situasi ramai pasangan suami isteri berkerja dan tidak dapat menguruskan rumahtangga juga anak-anak dengan sempurna.

Penulis mencadangkan supaya kerja sebagai pembantu rumah diubahsuai seperti pekerja sektor perkilangan. Melalui kaedah ini pembantu rumah tidak lagi terpenjara di rumah majikan 24 jam sehari. Sebaliknya mereka tinggal diasrama atau rumah sewa yang disediakan oleh agensi penyedia khidmat pembantu rumah. Waktu berkerja pula ditetapkan daripada jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja. Jika ada yang memerlukan amah berkerja lebih masa, elaun kerja lebih masa akan dicajkan kepada mereka.

Berkenaan pembayaran gaji pula agensi yang akan membayar gaji amahnya. Pelanggan khidmat pembantu rumah hanya perlu membayar kepada agensi berkenaan sejumlah kadar yang ditetapkan. Amah juga akan menikmati gaji mengikut jam bekerja, elaun kenderaan, elaun kerja lebih masa, cuti mingguan, cuti sakit sepertimana pekerja kilang kebiasaannya.

Melalui kaedah ini, pembantu rumah akan seronok berkerja dan tidak terlalu tertekan dengan kerenah tuan rumah yang pelbagai. Ia juga mampu mengelak hubungan terlarang dengan pembantu rumah yang mengundang konflik rumahtangga.

Disebelah malam pula isteri yang berkerja dapat meluangkan masa, memberi kasih sayang kepada anak-anak yang dahagakan belaian ibu. Isteri juga dapat menyediakan juadah makan malam untuk dinikmati bersama sesi keluarga. Keadaan ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan sekaligus mengelak gejala tidak bermoral anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibubapa.

Dalam masa yang sama para amah, boleh berehat dan bebas melakukan aktiviti personal mereka. Jika ini dapat dilaksanakan mereka mempunyai cukup rehat dan bersedia daripada sudut fizikal dan emosi untuk bertugas keesokan harinya. Tanpa emosi yang stabil kesan daripada pelbagai kerja yang membebankan berkemungkinan menjadi penyebab terdapat pembantu rumah mendera anak majikan yang ditinggalkan seharian di bawah jagaannya.

Bagi amah beragama Islam pula, kesempatan berehat pada waktu malam boleh digunakan untuk melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT dengan lebih sempurna. Apatah lagi jika mereka berkerja di rumah non muslim. Mereka juga boleh menyediakan sendiri bekalan makanan halal dan tidak hanya bergantung kepada apa yang disediakan oleh tuan rumah.

Tidak dinafikan akan ada pro dan kontra kepada cadangan ini. Misalnya kemungkinan berlaku kecurian dan sebagainya. Penulis sekadar melontarkan idea yang patut difikirkan bersama secara rasional dan diperkemaskan lagi terutama oleh golongan cerdik pandai. Penulis juga ingin mengajak pembaca berfikir dengan gaji pembantu rumah sekitar RM 300-450 sebulan, berkerja siang malam, dan dinafikan hak untuk bersosial masih terdapatkah masyarakat tempatan sanggup diperhambakan sebegitu rupa..

No comments:

Post a Comment