Monday, November 2, 2009

SATU TAULIAH UNTUK SATU MALAYSIA

SUSULAN penangkapan mantan Mufti Negeri Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin atas dakwaan mengajar tanpa tauliah, penulis mencadangkan Gagasan 1 Malaysia oleh YAB Perdana Menteri diperluaskan juga kepada perkara berkaitan pengajaran dan syarahan agama di seluruh negara. Konsep satu tauliah untuk satu Malaysia dicadangkan bagi mengelak tanggapan serong masyarakat terhadap keperluan untuk memiliki tauliah yang berbeza bagi mengajar agama di setiap negeri di Malaysia. Malah ketentuan ini sedikit sebanyak merencatkan aktiviti dakwah dan penyebaran Islam di seluruh negara.

Umum perlu mengetahui, penyampaian kuliah agama oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran (tauliah) merupakan suatu kesalahan menurut enakmen pentadbiran agama Islam yang digubal di negeri-negeri di Malaysia.

Di Selangor misalnya, Seksyen 119 Enakmen 1 Tahun 2003, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Bahagian X-Pendidikan Agama Islam memperuntukkan kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah. Peruntukan tersebut menyatakan;

(1)Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Walau bagaimanapun terdapat pengecualian yang menyatakan Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi;

a) mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau

b) mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.

Pada dasarnya penetapan undang-undang ini adalah selaras dengan keperluan maqasid syariah untuk memelihara agama daripada diselewengkan oleh pemikiran yang merosakkan dan menyebabkan perpecahan dikalangan umat Islam di Malaysia, yang majoriti bermazhab Syafi’iy. Ia mejurus kepada maslahah ummah yang perlu didahulukan.

Walaupun demikian tidak bermakna ikutan kepada mazhab lain adalah dilarang. Dalam kes-kes tertentu pandangan mazhab lain daripada golongan ahli sunnah wal jamaah adalah diterima pakai dalam mengeluarkan fatwa untuk diikuti. Berdasarkan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor, 2003 berkenaan Qaul muktamad yang hendak diikuti menyatakan;

(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.

(2) Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

(3) Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu.

Sehubungan dengan itu polimik yang berlaku perlu diselesaikan segera melalui jalan perundingan. Pihak-pihak yang terlibat perlu duduk semeja berbincang bagi mengatasi masalah yang berlaku. Elakkan daripada bercakaran sesama sendiri yang merugikan dan tidak menguntungkan sesiapa. Malah lebih mengelirukan dan mengeruhkan lagi suasana.

Pendakwah dan guru-guru agama juga disaran tidak membelakangkan peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam masyarakat. Etika dan tanggungjawab pemegang tauliah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor misalnya boleh dijadikan panduan untuk mengelakkan daripada ustaz ditangkap lagi.

a)Peranan utama seorang pemegang tauliah mengajar adalah berkewajipan untuk membantu dalam memberikan khidmat nasihat (kaunseling, oanduan dan bimbingan kepada orang ramaikhususnya dalam perkara yang berkaitan dengan agama.

b)Pemegang tauliah hendaklah sentiasa menjaga maruah diri dan agama dengnan berpakaian yang sempurna dan sesuai dengan jawatannya serta sentiasa berakhlak mulia, jujur, amanah, ikhlas dan tidak melakukan sebarang perkara kemungkaran yang boleh menjejaskan nama baik agama, diri, keluarga, organisasi, masyarakat, bangsa dan Negara

c)Pemegang tauliah hendaklah sentiasa mendalami ilmu pengetahuan agama yang sesuai dalam perkara fardu ain khasnya dan pengetahuan am untuk persediaan memberikan nasihat dan panduan kepada orang ramai secara muzakarah-muzakarah berkelompok sesame pemegang tauliah dan alim ulama’

d)Pemegang tauliah hendaklah menyampaikan pengajaran berdasarkan ajaran ahli sunnah wal jamaah (Akidah, Syariah dan Akhlak) yang berlandaskan mazhab Syafi’iy.

e)Pemegang tauliah hendaklah merujuk sebarang masalah yang ditimbulkan oleh masyarakat dan tidak dapat diselesaikan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor melalui Pegawai Tadbir Agama Daerah.

f)Pemegang tauliah hendaklah sentiasa memberi contoh tauladan yang baik dalam masyarakat khususnya perkara-perkara yang berhubung tingkah laku dan akhlak disamping tidak mengekalkan amalan yang makruh seperti menghisap rokok.

g)Pemegang tauliah digalakkan solat berjamaah di masjid dan surau

h)Pemegang tauliah hendaklah bertanggungjawab membasmi ajaran-ajaran yang bertentangan dan merosakkan ajaran akidah ahli sunnah wal jamaah seterusnya syariat Islam

i)Pemegang tauliah adalah dilarang membuat sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan kontroversi, perselisihan faham atau khilafiah dalam soal agama

j)Pemegang tauliah adalah dilarang membuat sebarang kenyataan yang menyentuh hal-hal pentadbiran Majlis Agama Islam Johor atau kuasa-kuasa Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai ketua Agama bagi Negeri sebaliknya merujuk perkara tersebut kepada saluran-saluran Majlis Agama Islam Johor

k)Pemegang tauliah adalah dilarang meminta, mendesak dan sebagainya untuk mendapatkan bayaran yang tidak berpatutan atau melebihi kebiasaan yang menyebabkan kesusahan atau aduan orang ramai

l)Pemegang tauliah adalah diminta untuk memakai kad kuasa sepanjang mengajar dan memberi syarahan agama

m)Pemegang tauliah hendaklah sentiasa mengikuti mematuhi dari masa ke semasa arahan dan pekeliling Majlis Agama Islam Johor, Jabatan Agama Johor, Jabatan Mufti Johor, Jabatan Imigresen dan pihak keselamatan.

Semoga hubugan ukuhuwah atas nama Islam akan terus terjalin dihati sanubari umat Islam seluruhnya. Tuduh-menuduh dan mencemarkan nama baik orang lain adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan kepada sesama saudara seIslam. Marilah kita kembali kepada asas perpaduan ummah yang pernah digarap oleh Nabi Muhammad SAW bagi mengelak musibah yang lebih besar menimpa. Pepatah Melayu ada menyebutkan buang yang keruh ambil yang jernih.

No comments:

Post a Comment