Thursday, April 29, 2010

BETULKAN NIAT BEKERJA

Artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Mei 2010.

BERDASARKAN jumlah tangkapan pemberi rasuah melibatkan pekerja sektor awam mahupun swasta yang semakin meningkat, golongan pekerja diseru membuat pertimbangan seribu kali sebelum melakukan jenayah keji ini. Ini kerana menurut perangkaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak 524 tangkapan atas kesalahan rasuah telah dilakukan antara tahun 2005 hingga 2009 yang lalu. Manakala untuk tiga bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 142 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 51 pertuduhan telah dikemukakan ke muka pengadilan.

Bagi mengelak trend peningkatan jenayah rasuah yang merugikan bangsa dan negara daripada berterusan, golongan pekerja disaran mengaplikasikan konsep bekerja sebagai ibadah ketika menjalankan tugasan harian mereka. Ini boleh dilakukan dengan memperbetulkan niat dan matlamat ketika bekerja.

Dalam Islam setiap amalan dinilai berdasarkan niat, jika ia benar semata-mata mencari reda Allah SWT nescaya dianggap ibadah dan berupaya untuk mengelak daripada melakukan perbuatan hina seperti menerima dan memberi rasuah. Begitu pula niat yang betul akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal lagi diberkati.

Selain itu, pekerjaan yang dilakukan mestilah yang dibenarkan oleh syariat. Tidak kira sama ada bergaji tinggi ataupun rendah yang penting pekerjaan yang halal lebih mulia daripada perbuatan meminta-minta. Kenyataan ini pernah disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya yang bermaksud “ Perbuatan seseorang pergi ke hutan menebang kayu, mengikat dan memikul di bahu kemudian di bawa ke pasar untuk dijual adalah lebih baik daripada meminta-minta kerana belum tentu diberi ataupun tidak “. Justeru itu tiada guna berpendapatan tinggi dan hidup mewah jika apa yang dilakukan boleh merosakkan agama dan keharmonian negara.

Begitu pula pekerjaan yang diharamkan agama seperti bekerja di rumah urut sambil melacurkan diri, bekerja di kelab malam yang dikelilingi maksiat dan arak juga pusat-pusat perjudian seperti kedai menjual nombor ekor dan lain-lain wajib dijauhi. Ini kerana perbuatan tersebut menyumbang persundalan dalam masyarakat lagi dilaknat oleh Allah SWT. Bagaimana ia boleh diterima sebagai ibadah sedangkan Allah SWT hanya menerima yang baik sahaja. Malah penglibatan orang Islam dalam jual beli riba’dan apa sahaja bidang perniagaan yang memudaratkan seperti pengedaran dadah dan pil-pil khayal turut diharamkan.

Perlu juga diingat dalam melaksanakan apa jua pekerjaan, kewajipan melaksanakan ibadah asas sama sekali tidak boleh diabaikan. Sesibuk mana sekalipun dalam menguruskan perniagaan mahupun kerja-kerja di pejabat, sembahyang tidak patut ditinggalkan. Ia merupakan kewajipan utama yang pertama kali akan dipersoalkan di hari kemudian. Akibat diabaikan kerja-kerja yang lain kemungkinan akan terbengkalai dan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Amalan bermesyuarat sehingga mengorbankan sembahyang fardu sebagai contohnya patut dihindari sebagai tanda bersyukur atas nikmat rezeki dan gaji yang diperoleh setiap bulan.

Dalam kesibukan bekerja juga seseorang tidak patut mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan rumahtangga. Ibubapa perlu meluangkan masa untuk makan bersama seisi keluarga dan pergi bercuti bersama anak-anak. Pasangan suami isteri yang berkerja juga perlu memperuntukkan masa bersama sambil berbincang untuk menyelesaikan masalah anak-anak dan rumahtangga. Jika tidak anak-anak terutamanya akan merasa bosan dan tidak seronok berada di rumah lalu keluar bergaul dengan rakan-rakan yang kemungkinan menyumbang perlakuan tidak bermoral dan terlibat dengan aktiviti jenayah.

Isteri yang keluar berkerja pula perlu mendapat restu daripada suami. Disamping itu pekerjaan yang dilakukan hendaklah yang dibenarkan oleh syariat dan jangan sampai menggangu tugas hakiki seperti mengurus rumahtangga dan mendidik anak-anak. Elakkan daripada menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada pembantu rumah, kerana dikhuatiri akan menjejaskan kerukunan rumahtangga. Isteri yang keluar bekerja juga perlu mengelak fitnah dengan tidak melampau-lampau dalam berhias dan berpakaian. Ini bagi mengelak hubungan terlarang di pejabat yang banyak terjadi akhir-akhir ini.

Sesuatu pekerjaan yang hendak dilakukan juga semestinya dilakukan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh. Untuk itu perbuatan curi tulang dan makan gaji buta hendaklah dijauhi. Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya “Sesungguhnya Allah suka jika seseorang itu bekerja, maka ia bekerja dengan tekun (Riwayat al-Baihaqi).

Sebagai pekerja dalam perkhidmatan awam pula , nilai-nilai murni dalam Tonggak 12 yang diperkenalkan oleh kerajaan cukup menjadi panduan dan pedoman untuk menjadi pekerja yang berintegriti. Nilai-nilai yang baik seperti menghargai masa, ketekunan membawa kejayaan, keseronokan bekerja, kemulian kesederhanaan, ketinggian peribadi, kekuatan sifat baik hati, pengaruh teladan, kewajipan menjalankan tugas, kebijaksanaan berkhidmat, keutamaan kesabaran, peningkatan bakat serta nikmat mencipta hendaklah sentiasa tersemat dalam hati sanubari.

Ingatlah kerja yang ikhlas, yang dilakukan semata-mata untuk mencari rezeki halal menjadi penyebab kepada keberkatan hidup. Mungkin gaji yang diperoleh sedikit tetapi jika diberkati pasti akan mencukupi. Sedarlah juga setiap wang ringgit yang diperolehi akan dipersoalkan sumber dan cara bagaimana ia dibelanjakan. Disamping itu perbuatan memburuk-burukkan rakan sepejabat dan saling dengki mendengki satu sama lain untuk tujuan kenaikan pangkat misalnya tidak bertepatan dengan konsep berkerja sebagai ibadah. Ini kerana selain berkerja untuk menyara kehidupan di dunia sebagai orang Islam kita juga bekerja untuk mendapat keredaan Allah SWT di hari akhirat.

No comments:

Post a Comment