Sunday, May 9, 2010

PANDUAN MENGURUS MARAH

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 11hb. Mei 2010.

MARAH umpama suntikan ubat pelali kepada pertimbangan akal kemudian menghilangkan kewarasan berfikir. Apabila perasaan marah telah menyelubungi jiwa, pelbagai implikasi buruk yang tidak dijangka boleh berlaku. Hanya kerana isteri berbual ditelefon dengan lelaki lain, seorang suami di Kuala Lipis Pahang tergamak memijak dan menghentak kepala isterinya sehingga menyebabkan kematian. Dalam kes yang berasingan juga di Pahang, seorang suami bertindak mencederakan pasangannya dengan pisau kerana halusinasi dan marah atas dakwaan kewujudan orang ketiga.

Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan boleh diamalkan bagi mengurus marah supaya tidak melarat lalu mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemungkinan perceraian suami-isteri. Setiap individu hendaklah menyedari betapa besar keutamaan dan kelebihan seseorang menahan amarah ketika dia berkuasa untuk melampiaskannya, termasuk dikurniakan kenikmatan masuk Syurga.

Perkara ini boleh diperhatikan dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. (Surah ali-Imran: 133-134)

Perlu juga diketahui apabila perasaan marah telah dihamburkan kepada seseorang ia tidak akan berhenti setakat itu. Orang yang dimarahi pasti akan melawan dengan sumpah seranah dan kata-kata keji sambil memburuk-burukkan satu sama lain. Terdapat pula yang tidak berbuat apa-apa mungkin menyedari dirinya lemah dan tidak berkuasa, tetapi menyimpan dendam kesumat dan berusaha untuk membalas perbuatan itu dengan apa cara sekalipun diwaktu yang lain. Gara-gara itu ikatan persaudaraan akan terlerai dan kesatuan ummah atas nama ukuhwah Islamiyah juga lenyap. Malah kadang-kala boleh mengundang dosa syirik apabila khidmat bomoh yang menggunakan Iblis dan jin sebagai perantara digunakan untuk membalas dendam.

Seseorang yang bersifat panas baran juga patut merenungkan alangkah buruk wajahnya semasa marah, dengan keadaan muka merah padam, mata terbeliak dan berair, telinga seolah-olah berasap dan seluruh badan mengigil. Dalam masa yang sama bayangkan pula gambaran orang yang penyabar dengan wajah yang manis dan berseri-seri dihiasi pula senyuman menawan sehingga membuatkan rakan dan lawan suka untuk berdamping dengannya. Untuk itu kepada yang suka marah-marah, buatlah pilihan sama ada seronok menjadi pemarah atau sebaliknya jika masih memiliki pertimbangan akal yang sihat.

Kebiasaanya api kemarahan menyala dan marak dengan sebab-sebab tertentu. Ada kalanya kerana kesombongan, senda gurauan yang keterlaluan, pertengkaran dan ada juga disebabkan perlakuan curang kekasih, isteri dan sebagainya. Jadi fikirkan dengan rasional sama ada perlu marah atau sekadar memberi nasihat dan menyelesaikan masalah yang berlaku dengan berhemah.

Misalnya perbuatan sesetengah ibubapa memarahi anak dengan sepak terajang sambil mengeluarkan kata-kata kesat seperti bodoh, bebal dan lain-lain tidak patut menjadi amalan, kerana ia merupakan suatu bentuk pendidikan yang salah dan bakal mencorakkan keperibadian anak-anak di hari kemudian. Boleh jadi para ibubapa sebenarnya yang jahil kerana tidak pandai mengasuh dan mendidik terutama dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan masa kini. Perbuatan itu juga boleh menyumbang gejala anak remaja lari daripada rumah kerana tidak tahan dengan kerenah ibubapa mereka.

Dalam konteks ini sunnah Nabi Muhammad SAW sewajarnya menjadi pedoman. Baginda Nabi SAW kadang-kala marah apabila berlaku pelanggaran terhadap hak-hak Allah SWT dan syariatnya. Sebagai contoh Saidina Jabir diriwayatkan berkata “Kami telah keluar bermusafir, tiba-tiba seorang daripada kami luka terkena batu. Ketika tidur dia bermimpi keluar mani dan berhadas besar. Apabila terjaga dia bertanya akan keringanan untuk bertayammum. Lalu dijawab kamu tidak boleh bertayammum kerana kamu boleh menggunakan air. Sahabat tersebut mandi kemudian mati. Apabila sampai kepada Rasulullah SAW kami mengkhabarkan perkara yang berlaku. Rasulullah SAW bersabda “Mereka telah membunuhnya, semoga Allah SWT membunuh mereka. Kenapa tidak bertanya apabila mereka tidak mengetahui, kerana ubat kesamaran itu ialah bertanya. Memadai bagi orang itu bertayammum, membalut luka sambil menyapu diatasnya dan membasuh seluruh badannya. (Riwayat Abu Daud)

Sehubungan dengan itu, sunnah Rasulullah SAW patut dijadikan panduan dan ikutan bagi mengurus marah. Baginda Nabi SAW diriwayatkan pernah memerintahkan seseorang yang marah supaya mengucapkan al-Ta’auz iaitu “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam”.Ini kerana marah daripada syaitan dan dengan perlindungan Allah SWT sahaja seseorang mampu mengelak implikasi buruknya. Jika ia belum mampu meredakan kemarahan amalan berwuduk juga boleh dipraktikkan. Ini disebabkan marah adalah api membakar yang perlu dipadamkan dengan air. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud

“ Sesungguhnya marah daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan diciptkan daripada api, sedangkan api perlu dipadamkan dengan air. Maka apabila seseorang kamu marah hendaklah dia mengambil wuduk”.

Begitu juga dianjurkan duduk jika seseorang marah dalam keadaan berdiri, atau berbaring ke tanah sambil mengingat asal dan tempat kembalinya nanti. Jika sedang bergerak disarankan berhenti dan jika sedang mengeluarkan kata-kata kesat hendaklak diusahakan diam daripada berkata-kata.

Ingatlah marah tidak mencerminkan apa-apa selain daripada keburukan dan hilangnya maruah serta kehormatan diri. Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW pernah bersabda “Orang yang kuat tidak diukur berdasarkan kekuatan fizikal semata-mata tetapi orang yang kuat adalah orang yang berupaya mengendalikan nafsu ketika marah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pernyataan ini juga bukan bermakna seseorang tidak perlu marah sekalipun kehormatan, harta benda dan maruah negaranya tercalar, seperti yang dialami oleh saudara seIslam di Palestin. Dalam situasi biasa kalaupun perlu marah, sebaiknya janganlah sampai terlibat memburuk-burukkan orang lain, apatah lagi membunuh dan mencederakan orang. Mengelakkan diri daripada terlibat melakukan perkara yang lebih buruk adalah lebih baik daripada marah yang tidak berkesudahan.

Malah perbuatan saling memaafkan adalah amalan mulia yang patut dipraktikkan dengan mengambil kira tiada manusia yang sempurna.

Renungkanlah sifat Maha Pengampun Allah SWT kepada seluruh manusia, sekalipun mereka tidak mengesakanNya, tidak melakukan ibadah yang diperintahkan bahkan melakukan pelbagai maksiat dan kemungkaran. Yang mana, dosa itu jauh lebih keji daripada kealpaan dan kesilapan sesama manusia yang sayugia dimaafkan.

No comments:

Post a Comment