Monday, August 16, 2010

Ramadan Bulan Kemerdekaan

Sebahagian daripada artikel ini telah disiarkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos 2010

TANPA disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umat Islam. Apatah lagi bagi yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar akan keistimewaan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan berlaku sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar yang dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh iaitu Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sayugianya peluang sebegini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat kebajikan semaksima yang termampu. Sementelah lagi perjuangan manusia kini hanya terhad kepada musuh nafsu dan kehendak diri semata-mata. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadan dunia penuh pancaroba boleh berjaya diharungi dengan pedoman wahyu ilahi.

Di dalam bulan ini juga umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela individu lain.

Kepada yang merokok pula bulan Ramadan adalah bulan yang boleh dijadikan landasan untuk berhenti merokok. Inilah kesempatan ditentukan bagi umat Islam memerdekakan diri dari kongkongan asap rokok. Terimalah hakikat rokok lebih banyak mendatangkan mudarat daripada manfaat kalaupun ada. Malah dengan segala penyakit dan implikasi buruk akibat rokok seharusnya setiap individu Muslim yang terlibat berusaha meloloskan diri daripada belenggu ketagihan rokok. Janganlah terpedaya menegakkan benang yang basah lalu terlibat menggadaikan kesihatan diri yang perlu digunakan untuk memperhambakan diri kepada ilahi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Baqarah; 195)

Bulan Ramadan juga adalah bulan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT dengan mengeluarkan zakat fitrah dan bersedekah. Umat Islam yang berkemampuan diwajibkan membayar zakat fitrah dengan nilai secupak makanan asasi untuk diri sendiri dan orang yang di bawah tanggungannya. Oleh itu para Muslimin diseru untuk bersegera menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan. Malahan dengan kaedah ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan sempena Ramadan dan sambutan hari raya sahaja.

Bagi yang terkesima melakukan dosa pula Allah SWT menjanjikan pembebasan daripada bakaran api neraka di bulan mulia ini. Terutama pada bahagian terakhir daripada Ramadan. Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW bersabda memperihalkan Ramadan “Awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka”. Justeru itu lipatgandakanlah amalan demi untuk kebahagiaan hidup di hari tiada bantuan dan pertolongan selain dari-Nya.

Apatah lagi tiada siapa yang sanggup menanggung derita kembali ke alam baqa’dengan bekalan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya amalan-amalan yang saleh mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu Ramadan adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Seolah-olah Ramadan dan doa tidak dapat dipisahkan. Ini dapat diperhatikan kepada maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 186 yang berkaitan doa, dinyatakan setelah firmanNya yang memperihalkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.( Surah al-Baqarah ayat 186).

Sehubungan dengan umat Islam diseru memperbanyakkan doa bagi mengelakkan pergantungan kepada sesama makhluk dan berharap hanya kepada-Nya apabila berhadapan dengan sebarang permasalahan.

Malah bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 yang jatuhnya dalam bulan Ramadan ini setiap warga 1 Malaysia terutama yang beragama Islam patut merenung dan menilai akan tingginya nilai kebebasan sesebuah negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Sedarilah tanpa nikmat kemerdekaan itu peluang untuk solat tarawih dan qiamullail di masjid dengan sebebasnya mungkin tidak akan dapat dirasai jika tanahair masih dijajah. Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan negara yang diwarisi daripada titisan darah perwira terdahulu dengan mengelak daripada dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan seperti membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa.

No comments:

Post a Comment