Wednesday, August 4, 2010

PERSIAPAN MENYAMBUT RAMADAN

Sebahagian artikel ini telah diterbitkan dalam Ruangan Rencana Utusan Malaysia 10hb Ogos 2010 dengan tajuk "Bermuhasabah sambut ketibaan Ramadan"



KEMERIAHAN bulan Ramadan sudah mula terasa. Di sana-sini kelihatan pelbagai jenis kurma di jual untuk dinikmati sebagai appetizer sunnah ketika berbuka. AJK masjid dan surau juga sibuk meuar-uarkan kutipan derma bagi menyediakan juadah berbuka puasa dan bubur lambuk yang sinonim dengan budaya masyarakat Islam di Malaysia sepanjang Ramadan. Malah Syurga juga turut di hias bagi menyambut ketibaan hamba-Nya yang sanggup berjuang menahan nafsu di waktu siang dan melakukan pelbagai ibadah di kala malam.

Sehubungan dengan itu setiap individu Muslim seharusnya membuat persiapan rapi bagi meraih kejayaan hakiki beroleh keampunan Ilahi di bulan mubarak yang menjelang tiba ini. Peluang keemasan yang tiba itu tidak patut dipersiakan memandangkan hanya insan istimewa dan terpilih sahaja bakal mendapat kurnia ganjaran berlipat kali ganda termasuklah peluang beribadah pada malam lailatul qadar yang menyamai pahala 1000 bulan.

Oleh yang demikian segala persiapan termasuk ruhani dan jasmani perlu dilengkapkan. Persiapan ruhani diperlukan bagi mengikhlaskan niat melaksanakan ibadah puasa demi mendambakan keampunan daripada-Nya. Manakala persediaan jasmani diiperlukan bagi menjalani proses pentarbiyahan ilahi yang beraneka ragam sepanjang Ramadan. Malah persiapan mental juga penting bagi mengharungi cabaran dan ujian untuk berperang dengan nafsu sendiri. Sehingga kejayaan tersebut menjadi asas pula kepada kejayaan untuk melawan hasutan Iblis apabila berakhirnya Ramadan nanti.

Setiap individu Muslim juga diseru bersedia untuk melipatgandakan amalan kebajikan memandangkan pahala yang melimpah-ruah disediakan kepada individu yang berminat untuk bekerja kerana Allah SWT. Setiap amalan sunat akan dinilai sama seperti amalan fardu manakala segala amalan fardu akan dilipat gandakan sehingga 70 kali ganda amalan seumpamanya sebagai bonus tahunan pemberian Tuhan. Lebih daripada itu ganjaran pahala sehingga 700 kali ganda menanti setiap hamba yang sanggup berjuang habis-habisan dalam melakukan kebajikan.

Selain daripada itu setiap individu Muslim disaran mengelak daripada menimbun dosa dan melakukan pelbagai maksiat yang merugikan diri sendiri. Malah, jika ada yang sanggup berjaga malam ataupun bangun awal pagi sebulan yang lalu semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemaran mengapa tidak ia terus dipraktikkan dalam usaha memburu kejayaan beroleh takwa yang menjadi matlamat utama pensyariatan puasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang yang terdahulu semoga kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah:183).

Umat Islam juga diseru bersedia untuk berpuasa daripada segala-galanya termasuk puasa mulut, telinga dan mata bagi mencapai hakikat puasa khsusul-khusus yang sukar dinikmati. Ataupun setidak-tidaknya berganjaklah daripada tingkatan puasa awam kepada puasa khusus sebagai bukti kesyukuran terpilih sekali lagi dipanjangkan usia untuk beribadah di bulan Ramadan.

Elakkan berpuasa dengan hanya menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan mulut tidak berhenti mengumpat, mata berkeliaran memandang yang haram, telinga mendengar perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala berpuasa. Usahakanlah juga untuk terus melaksanakan ketaatan yang lain seperti solat, menutup aurat dan lain-lain kerana ia juga merupakan kewajipan yang akan dipertanggungjawabkan di hari kemudian. Lagipun jika difikir secara rasional apalah erti puasa seseorang jika hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga sedangkan perkara dosa dan maksiat yang lain tetap dilakukan seperti biasa.

Begitu pula umat Islam diingatkan supaya berwaspada dengan trend berbuka di luar yang menjadi pilihan ramai muslimin akhir-akhir ini. Apa yang lebih penting aspek halalan tayyiba wajib dipertimbangkan sebelum menyuap juadah ketika berbuka puasa. Ini kerana terdapat pengusaha kedai makanan termasuk restoran di hotel tertentu yang belum memohon untuk mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Akibatnya aspek kesucian makanan boleh dipertikaikan lalu memberi kesan pula kepada kualiti ibadah puasa yang dikerjakan. Terdapat pula yang lain kerana asyik menjamu selera sehingga terlibat melalaikan solat Maghrib dan Isyak yang semestinya dikerjakan.

Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud; “Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasa mereka melainkan rasa lapar dan dahaga”. (Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Nasai’e).

Para peniaga bazaar Ramadan juga dinasihat agar tidak mencemari kesucian bulan Ramadan dengan menjual juadah berbuka puasa seawal jam 10.00 pagi. Perbuatan sebegini dikhuatiri menyumbang kepada peningkatan gejala tidak berpuasa dikalangan umat Islam. Sebagai individu Muslim mereka juga dinasihat tidak mengabaikan hak pengguna seagama dengan menjual makanan dan minuman yang sudah basi sehingga memudaratkan orang lain. Ingatlah walau banyak manapun keuntungan yang dikecapi akan hilang entah kemana jika tiada keberkatan padanya.

Bulan Ramadan juga bulan bersedekah. Untuk tujuan itu umat Islam disaran memperuntukkan sejumlah budget bagi berlumba-lumba menginfaqkan harta kejalan Allah SWT. Ini boleh dilakukan dengan memberi juadah berbuka puasa dan menyediakan minuman kepada orang yang berpuasa. Ataupun setidak-tidaknya berusahalah untuk menyegerakan pambayaran zakat fitrah seawal 1 Ramadan supaya pihak yang memerlukan bantuan kewangan dapat sama-sama menikmati kegembiraan sebelum berlalunya Ramadan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan Syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) taman-taman bunga dan kebun-kebun buah-buahan, terutama anggur; dan perawan-perawan yang sebaya umurnya; serta piala atau gelas yang penuh dengan minuman; mereka tidak mendengar di dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula perkataan yang dusta; Sebagai balasan dari Tuhanmu, iaitu satu limpah kurnia yang dikira cukup (menurut yang dijanjikanNya)”. (Surah al-Naba’:32-36)

Akhirnya selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan selamat berpuasa diucapkan kepada semua khayalak pembaca Muslim. Semoga ibadah puasa yang akan ditempuhi tahun ini akan lebih bererti dan berkualiti berbanding tahun-tahun yang lalu. Untuk tujuan itu marilah semua bermuhasabah serta berazam untuk melakukan yang terbaik. Anggaplah puasa kali ini sebagai puasa yang terakhir dalam hidup kita, kerana jika terpilih bertemu Ramadan tahun ini belum tentu akan terpilih lagi di masa mendatang.

No comments:

Post a Comment