Tuesday, May 18, 2010

Sejarah hitam Jahiliyah berdarah kembali

SEJARAH hitam perlakuan keji masyarakat Arab jahiliyah yang tergamak menanam anak sendiri kini berulang lagi. Walaupun perbuatan sebegitu dianggap tidak berperikemanusiaan, mereka punya alasan tersendiri ketika melakukannya. Hanya kerana malu dikurniakan zuriat perempuan, bayi yang tidak berdosa dibunuh hidup-hidup. Masyarakat Arab jahiliyah juga terkenal dengan kegemaran berperang dan bergaduh sesama sendiri. Malah dikatakan jika tiada sebab untuk berperang mereka akan mencari sebarang alasan untuk mencetuskan peperangan. Untuk tujuan itu semangat juang dan keperwiraan yang ada pada lelaki sangat diperlukan berbanding wanita.

Amalan pelik dan keji ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”. (Surah al-Nahl:58-59)

Malangnya kini, setelah lebih 1400 tahun pengutusan Nabi Muhammad SAW dengan misi membenteras amalan bersifat kebinatangan dan memperelok budi pekerti manusia, masih ada yang berkelakuan keji seperti dirasuk oleh Iblis sehingga rela menanam bayi darah daging sendiri. Lebih memeranjatkan lagi, apabila ia dilakukan oleh pasangan remaja berusia 15 dan 19 tahun yang masih di bangku sekolah. Bayangkan betapa luluhnya hati ibubapa menangisi perbuatan terkutuk anak sendiri yang menjadi mangsa nafsu serakah yang tidak terkawal.

Dimanakah silapnya sehingga episod buang bayi dan penderaan kepada kanak-kanak terus menghiasi dada-dada akhbar hampir setiap minggu. Walaupun setelah berbagai kempen kesedaran dilakukan nampaknya ia belum mampu meredakan situasi gawat yang berlaku.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, gejala keruntuhan akhlak dan moral segelintir masyarakat hari ini berpunca daripada rapuhnya institusi kekeluargaan. Ditambah lagi dengan kesibukan ibubapa bekerja sehingga ada yang jarang bersemuka dengan anak sehingga mereka lebih seronok bersosial bersama rakan-rakan. Begitu pula sikap sesetengah ibubapa yang kurang mengambil tahu aktiviti anak sedikit sebanyak menambah statistik pembuangan bayi yang membimbangkan.

Ingatlah anak umpama kain putih yang perlu dicorakkan dengan tunjuk ajar, didikan asuhan berdasarkan pedoman agama supaya tidak terpesong daripada jalan yang lurus. Jika amanah ini tidak dilaksanakan oleh ibubapa kemungkinan mereka tersesat dan sukar untuk kembali ke pangkal jalan. Malah ada pula yang menyerahkan bulat-bulat urusan anak kepada pembantu rumah yang sudah tentu lebih mementingkan kerjaya daripada terlibat menjadi pengasuh dan pendidik anak majikan.

Selain itu, amalan yang dianggap biasa bagi sesetengah muda-mudi seperti saling berpegangan tangan, keluar berdating, dan bercumbu-cumbuan merupakan budaya yang dicedok daripada Barat dan tidak ada kaitan langsung dengan ajaran Islam dan adat budaya ketimuran. Walaupun kelihatan biasa ia sebenarnya perkara yang diharamkan agama kerana menjurus kepada perbuatan zina dan bersekedudukan yang juga diharamkan. Akhirnya akibat terlanjur melakukan zina yang terkutuk,tidak sanggup pula menanggung malu mengandung anak hasil persetubuhan haram, bayi tersebut dibunuh ataupun dibuang dan dibiarkan di merata tempat.

Untuk membendung krisis moral dan akhlak yang semakin meruncing ini setiap individu Muslim wajib kembali mengamalkan Islam sebagai cara hidup dengan melaksanakan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa sahaja yang dilarang olehNya. Muda-mudi Islam juga dinasihatkan supaya sentiasa melaksanakan solat yang boleh menjadi perisai ampuh untuk menangkis serangan Iblis dan hawa nafsu sendiri yang selalu mengajak untuk melakukan kejahatan.

Kempen-kempen kesedaran berkaitan keburukan zina, pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak perlu diperluaskan lagi ke sekolah-sekolah kerana boleh jadi di sana terdapat golongan sasar yang memerlukan bantuan. Begitu juga sesi ceramah dan kaunseling berkenaan keburukan pergaulan bebas, seks liar, pengkid juga boleh dipergiatkan dari semasa ke semasa.

Keterlibatan semua lapisan masyarakat dalam membendung gejala negatif ini juga amat-amat diperlukan. Ia boleh bermula di rumah dengan ibubapa bertindak mendidik, menegur dan menghukum kesilapan anak jika perlu, diikuti di sekolah oleh para guru dengan penerapan nilai-nilai murni dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, begitu juga di surau dan masjid melalui sesi kuliah dan ceramah-ceramah agama. Malah ketua-ketua jabatan juga boleh memainkan peranan melaksanakan kerja amar makruf nahi mungkar, kepada staf bawahannya.

Langkah Kerajaan Negeri Johor misalnya mengadakan Program Membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di jabatan-jabatan kerajaan patut dicontohi kerana berupaya menjadi medium penyampaian dakwah yang berkesan. Ini kerana terdapat juga segelintir golongan dewasa yang kebudak-budakan sehingga masih terikut-ikut cara hidup yang melalaikan. Boleh jadi mereka terkesima dengan trend hidup untuk berseronok dan berfoya-foya lalu lupa tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Dicadangkan juga agar pihak berkuasa tempatan meletakkan papan tanda iklan mengandungi ayat-ayat al-Quran yang melarang perbuatan zina dan maksiat. Begitu pula penerangan tentang implikasi buruk akibat daripada kelahiran tanpa pengawasan pakar perbidanan yang boleh membawa maut, hukuman berat atas kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.

Papan tanda ini hendaklah diletakkan ditempat yang strategik dan kawasan tumpuan awam seperti pusat membeli-belah, pusat-pusat peranginan dan perkelahan juga di taman-taman rekreasi bagi membendung gejala tidak bermoral yang boleh merencatkan pembangunan negara. Hal ini bersesuaian dengan konsep negara maju yang menepati kehendak al-Quran iaitu negara yang aman damai dan mendapat keredaan Tuhan.

No comments:

Post a Comment