Sunday, November 7, 2010

Usah tunai haji ikut kuota kroni

KESERONOKAN untuk menunaikan ibadah haji lebih daripada sekali menyebabkan segelintir umat Islam di negara ini sanggup menggunakan kroni dan orang dalam bagi mempermudahkan urusan ke tanah suci. Trend yang mula kedengaran akhir-akhir ini telah menyebabkan bakal jamaah haji yang telah mendaftar sekian lama masih belum mendapat peluang dek kerana sikap umat Islam yang lebih mementingkan diri sendiri. Kemungkinan juga ada yang menggunakan pangkat dan kedudukan tertentu hingga tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan haji kedua dan seterusnya sekembalinya mereka ke tanahair seusai menunaikan fardu haji.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW berkhutbah dengan maksudnya “Wahai sekelian manusia telah diwajibkan ke atas kamu menunaikan fardu haji maka tunaikanlah ia. Lalu bertanya seorang lelaki “Adakah ia diwajibkan setiap tahun ya Rasullulah? Nabi SAW diam sehingga dia mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali. Kemudian Baginda Nabi SAW bersabda lagi “Ziarahilah daku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kamu, jika aku menjawab ia nescaya haji akan menjadi suatu kewajiban setiap tahun dan kamu tidak mampu melaksanakannya. Sesungguhnya telah binasa umat yang terdahulu kerana banyak pertanyaan dan perdebatan dengan nabi-nabi mereka. Apabila kamu diperintahkan untuk melakukan sesuatu maka lakukanlah semampu kamu dan jika aku larang daripada sesuatu maka hendaklah kamu menjauhinya”. (Hadis riwayat Muslim dan al-Nasaie)

Para ulama juga telah berijmak dengan hadis di atas bahawa ibadah haji dan umrah hanya diwajibkan sekali seumur hidup bagi umat Islam yang berkemampuan kecuali jika dinazarkan.

Justeru itu masyarakat Islam yang prihatin diseru lebih bertoleransi dan bertimbang rasa agar setiap individu Muslim berpeluang menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu mengharap bantuan dan simpati daripada orang lain. Sebaliknya berdoa dan letakkanlah pergantungan hanya kepada Allah SWT yang berkuasa menjemput sesiapa sahaja menjadi tetamu kehormatnya setiap kali tiba musim haji.

Sistem kuota haji yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi menjamin kelancaran pergerakan jutaan tetamu Allah SWT termasuk daripada Malaysia di kawasan masayir al-Haj juga merupakan solusi terbaik agar setiap individu Muslim berkesempatan untuk menunaikan haji apabila sampai masa yang ditetapkan. Cadangan oleh pihak kerajaan memperketatkan syarat supaya jamaah haji yang baharu pulang tidak dibenarkan mendaftar sehingga lima tahun juga dilihat sesuatu yang elok bagi mengatasi masalah pergi haji menerusi kuota kroni ini.

Lagipun jika direnung-renungkan apalah nilai ibadah yang boleh diharapkan jika dilaksanakan dengan mengambil hak saudara se-Islam yang lain terutama golongan tertindas kerana tiada kroni dan kenalan yang membantu untuk mempercepatkan proses naik haji. Keburukan itu semakin terserlah apabila ada pula yang mendabik dada sambil mengatakan mereka lebih daripada mampu untuk pergi haji berulang-ulang kali lalu tiada yang perlu diheboh-hebohkan.

Ada pula yang sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit untuk mendapat layanan bertaraf lima bintang ketika menjadi tetamu Allah sedangkan terdapat saudara se-Islam yang lain kelaparan dan tidak mampu walau untuk membeli sehelai sejadah bagi menunaikan kefarduan solat lima waktu. Malah menurut sesetengah pihak keengganan umat Islam yang leka dan lalai daripada menunaikan kewajipan haji sepatutnya menjadi isu yang perlu diperbincangkan.

Dari satu sisi segala yang diperkatakan mungkin tampak kebenarannya. Namun sesuatu yang juga perlu direnungkan oleh golongan hartawan dan dermawan Islam ialah betapa moleknya jika nikmat kemurahan rezeki yang melimpah ruah itu diinfaqkan pula untuk memberi keseronokan berganda kepada saudara se-Islam yang lain bagi menyelesaikan tanggungjawab haji mereka. Ini boleh dilakukan dengan menaja ibu-bapa, adik beradik, kerabat terdekat mahupun ahli kariah yang berwibawa seperti imam, bilal dan ahli jawatankuasa masjid yang kurang berkemampuan.

Di sana-sini juga kelihatan masih ada umat Islam yang hidup tanpa keperluan daruriyat seperti tempat tinggal, pakaian dan makanan untuk meneruskan penghidupan. Ada pula yang hanya berupaya menyediakan keperluan hajiyat secara sederhana untuk menyara keluarga dan persekolahan anak-anak. Tentu sekali agenda untuk melaksanakan kerja haji jauh daripada benak mereka kerana tidak mampu menabung wang untuk pergi haji yang mencecah lima angka secara keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu umat Islam diseru mengamalkan prinsip fiqh awlawiyat yakni prioriti dalam beramal agar mampu menyediakan bekalan untuk hari akhirat semaksima mungkin tanpa terlibat menyusahkan orang lain. Bayangkan betapa besarnya ganjaran yang bakal diperolehi jika dengan rezeki pemberian Tuhan seseorang dapat melepaskan fardu haji rakan se-agama yang lain. Dan bayangkan pula betapa ruginya seseorang jika hanya syok sendiri dengan berulang-ulang kali melakukan haji sunat sambil menyangka mereka telah melakukan amalan terbaik dalam hidupnya. Perkara ini sangat bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Baqarah;265)

Sempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha ataupun dikenali juga sebagai Hari Raya Korban tidak berapa lama lagi setiap individu Muslim disaran merealisasikan nilai pengorbanan agung yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim AS sewaktu diperintahkan menyembelih anaknya Nabi Ismail AS dalam konteks masa kini. Ini dapat dilakukan dengan kesanggupan semua untuk berkorban masa, tenaga, idea dan wang ringgit demi untuk kepentingan seluruh umat Islam yang bersaudara, termasuklah bersedia menghajikan orang yang masih bernyawa.

No comments:

Post a Comment